MP PAS Shah Alam: Wujudkan suasana persaingan yang bebas …

3 Mac 2009 – Sesi soalan jawab lisan

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan apakah langkah-langkah kerajaan untuk memecahkan monopoli perniagaan barangan makanan seperti gula yang sering mengalami kenaikan harga.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila abang Yang Berhormat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna [Dato’ Shahrir Abdul Samad]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh. Salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua, buat masa ini kerajaan mengamalkan kaedah kawalan import, kawalan bekalan dan kawalan harga terhadap barang-barang perlu seperti gula, tepung, minyak masak, LPG, petrol dan diesel yang merupakan bahan-bahan atau barangan yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar, syarikat-syarikat pengeluar yang terhad dalam negara ini. Di samping
itu, pemberian subsidi ketika perlu juga diberikan untuk tujuan mengekalkan harga runcit pada paras yang munasabah bagi faedah dan manfaat pengguna dan rakyat.

Namun demikian kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk tujuan mewujudkan satu keadaan persaingan yang sihat dalam pasaran dan telah pun mengeluarkan barangan seperti simen dan juga besi keluli daripada kaedah atau rejim kawalan harga dan kawalan bekalan. Ini telah dilakukan pada pertengahan tahun 2008 dan bagi kedua-dua bahan tersebut kawalan import juga telah dimansuhkan bagi kedua-dua bahan binaan ini.

Buat masa ini, kerajaan sedang menimbang juga untuk memansuhkan kawalan import terhadap gula dan juga tepung memandangkan bahawa memang kerajaan ingin bergerak kepada satu rejim yang lebih terbuka dan lebih bersaing.
Di samping itu, kerajaan kini sedang dalam fasa terakhir merangka rang undang-undang amalan perdagangan adil yang bertujuan untuk memberikan lebih kuasa kepada kerajaan untuk menangani masalah-masalah yang mungkin timbul hasil daripada salah guna kuasa pasaran oleh mana-mana syarikat pengeluar.

Beberapa Ahli: [Bangun]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya ucapkan terima kasih atas jawapan yang telah diberi dan kita bernasib baiklah kerana kita ini dapat bersidang dalam di dalam Dewan..
Seorang Ahli: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dewan Undangan Negeri Perak bersidang di bawah pokok. [Tepuk][Dewan riuh] Di hadapan beberapa…
Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Tidak ada kena-mengena ini.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Wartawan antarabangsa. Soalan susulan saya…
Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Tidak ada kena-mengena ini. Salah guna hak pengguna.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya ucapkan tahniah atas kesedaran…..
Seorang Ahli: Abang saya. [Ketawa]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Pihak kerajaan..
Seorang Ahli: Barisan Nasional.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Berhubung dengan perlunya menamatkan kawalan import atas barang-barang tertentu dan saya rasa ini memang merupakan satu persoalan yang telah menghantui pihak pengguna di negara ini. Di mana pengimport-pengimport telah dihadkan dan soalannya coming-coming. Sabar-sabar sikit. On the way. Maka…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Itu abang punya arahan Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Abang punya arahan Yang Berhormat itu.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okey. [Ketawa] Tetapi ianya masih merupakan satu persoalan mengapa begitu lama. Kita faham bahawa adanya AP, kawalan import untuk hendak kawal industri tempatan, tetapi apa yang kita lihat industri tempatan yang sepatutnya memerlukan kawalan dan perlindungan tidak dikawal dan tidak dilindungi dengan AP
import kereta yang gila-gila, sedangkan barang keperluan biasa seperti gula yang 90 peratus, 80 peratus sehingga 90 peratus adalah daripada pasaran antarabangsa.

Mengapa kita perlu adakan sekatan-sekatan yang sebegini, sedangkan ianya menjejas kepentingan pengguna. Dan adalah disyorkan dan dituntut supaya amalan ini ditamatkan dengan seberapa segera supaya kita boleh mewujudkan satu suasana persaingan yang bebas dan kita tidak perlu membeli seperti mana yang sekarang berdasarkan kepada satu harga yang ramalan
future, yang kita buat kontrak dengan hanya dua tiga orang dan mereka boleh menentukan harga yang tidak semestinya mencerminkan harga pasaran antarabangsa sekarang.

Yang kedua..
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat sudah.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Soal dasar amalan perdagangan adil. Bila kita boleh lihat benda ini dibentangkan dan dikuatkuasakan. Terima kasih.

Dato’ Shahrir Abdul Samad: Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Saya rasa kalau kita mengikut peraturan bersidang dengan cara yang betul saya ingat kita tidak perlu. Sebab itu kita boleh mengadakan perbincangan dan perbahasan secara yang bertamadun. Tidak payah bersidang secara tidak sah di bawah pokok. [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kalau
ditinjau…

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Pokok perlulah. Perlu diadakan secara tidak sah kerana kerajaan haram.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Padang Serai.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Perak itu kerajaan haram.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Padang Serai Yang Berhormat.
Dato’ Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [Lenggong]: Itu standard.
Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Padang Serai dengar. Padang Serai mana boleh sentuh. [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, ini tidak bertamadun Yang Berhormat.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Perak pun tidak bertamadun lah. [Dewan riuh]
Dato’ Shahrir Abdul Samad: Saya bersetuju dengan Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila Yang Berhormat, ya.
Dato’ Shahrir Abdul Samad: Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat daripada Shah Alam. Sebenarnya, kalau ditinjau dan mendalami mukadimah kepada soalan tambahannya sebenarnya lebih kepada memuji kepada saya dan juga kerajaan di atas pendekatan kita yang baru ini. Kalau ditanya mengapa…

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kesedaran lewat.
Dato’ Shahrir Abdul Samad: Kalau ditanyakan mengapa lama sangat? Ianya disebabkan bahawa lama juga untuk abangnya menjadi Menteri. Ini kerana, ini memang merupakan dasar dan pendekatan kerajaan bahawa yang utama ialah untuk menentukan harga kepada pengguna terutama rakyat Malaysia berada pada paras yang munasabah dan tidak
dikotak-katikkan dan tidak ditentukan secara pakatan oleh pihak-pihak yang tertentu.

Oleh sebab itu, memang menjadi tindakan kerajaan dalam menyemak keadaan yang kita hadapi semenjak tahun 2008 semasa saya menjadi Menteri ialah untuk bergerak ke arah satu keadaan di mana adanya persaingan yang sihat untuk menentukan supaya pengguna dan rakyat mendapat faedah dari harga runcit yang sebenar.

Oleh sebab itu, kajian ini oleh kerana ia melibatkan beberapa pihak tentunya ia mengambil masa sedikit dan insya-Allah akan kita laksanakan secepat yang mungkin. Sama jugalah dengan dasar atau pun Akta Amalan Perdagangan Adil. Ia merupakan satu akta yang akan membolehkan kepada persaingan dan amalan dasar perniagaan yang lebih baik. Tentunya harus kita mengambil pandangan dan pendapat semua pihak bukan secara satu pihak sahaja iaitu dari segi kerajaan untuk mengambil tindakan untuk membentangkan undang-undang ini untuk dibahaskan.

Malah, prosesnya mengambil masa kerana rundingan yang dilakukan melibatkan semua pihak sama ada daripada pihak badan bukan kerajaan, atau pun pihak industri dan perniagaan dan juga pihak-pihak yang berkepentingan atau stakeholders dengan izin Tuan Yang di-Pertua terhadap undang-undang ini. Jangkaannya ialah undang-undang ini akan dibentangkan kepada
Parlimen di dalam tahun ini kalau lah kita dapat melaksanakan tugas-tugas Parlimen terutama Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam kaedah yang tersusun dan terkawal. Terima kasih.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: