Ketua Pembangkang Bahas Bajet Mini (2)

11 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Menyambung Membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009)

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Laluan. Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, penjelasan atau pandangan Permatang Pah iaitu saya ada menanyakan satu soalan berkenaan GLC. Mungkin saya patah sedikit ke belakang.

Soalan yang saya tanyakan supaya Menteri Kewangan menyatakan gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan yang diterima oleh CEO-CEO, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah 20 GLC terbesar di bawah Khazanah Nasional Berhad.

Jadi jawapan yang saya terima, untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, bayaran perincian gaji, elaun dan kemudahan yang dibayar kepada CEO syarikat GLC adalah dipertimbangkan dan diperakukan oleh Lembaga Pengarah Syarikat GLC masing-masing setelah mengambil kira pencapaian petunjuk prestasi utama atau KPI yang telah ditetapkan. Antara aspek yang diberi penekanan adalah prestasi kewangan dan penyampaian perkhidmatan syarikat GLC ini di sepanjang tempoh yang diterajui oleh CEO tersebut.

Jadi adakah patut dalam keadaan krisis ekonomi sekarang ini, sepatutnya GLC-GLC ini merujuk balik atau menyemak balik imbuhan-imbuhan yang diberikan kepada kumpulan-kumpulan pengurusan ini. Di sini saya lihat pihak kerajaan tidak mahu dilihat ingin menyembunyikan fakta yang sebenarnya sehingga dikatakan ditentukan oleh syarikat.

Sepatutnya ini dimaklumkan kepada rakyat supaya kita tahu dan kita mahu supaya pengurusan syarikat-syarikat ini mengambil satu langkah yang sejajar dengan masalah krisis ekonomi sekarang. Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Ini kenyataan di Malaysia. Syarikat kerajaan pun boleh ditanya jumlah gaji dan elaun pun tidak boleh diberitahu. Berbeza dengan apabila Obama mengambil alih, dia mengarahkan Wall Street mana syarikat yang ada keperluan mendapat bantuan daripada kerajaan, mesti ada siling gaji tidak boleh lebih dari setengah. Bermula dari USD400,000 satu tahun kepada setengah juta satu tahun.
Teruskan membaca