11 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009)
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh. Tuan Yang di-Pertua peluang ini insya-Allah saya nak gunakan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 yang semalamnya telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri.
Ada dua perkara yang saya nak bangkitkan pada kesempatan ini. Pada muka surat 26 butiran nombor 76 di bawah sub topik dengan izin, effective management of government financial resources, Menteri Kewangan antara lain menyebut bahawa, kesemua government procurement atau perolehan kerajaan ini, akan dibuat melalui tender terbuka ataupun tender terhad, kecuali dalam beberapa kes yang spesifik.
Berdasarkan kepada latar belakang ini, saya mohon untuk membangkitkan perkara di dalam Dewan yang mulia ini, iaitu berkaitan dengan Jambatan Kedua Sdn. Bhd yang terlibat dalam pembinaan jambatan di Pulau Pinang.
Kita sedia maklum bahawa kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, telah menubuhkan special purpose vehicle yang dinamakan sebagai JKSB, dan JKSB inilah kemudiannya telah mengeluarkan Letter of Award kepada syarikat dari China yang kita panggil sebagai CHEC yang sebahagian pembiayaan projek ini, akan dibuat oleh bank AXCEN dari China.
Perkara yang saya nak timbulkan Tuan Yang di-Pertua ialah, sehingga hari ini saya difahamkan kontrak berkenaan dengan projek ini, belum lagi ditandatangani. Sehingga hari ini yang hanya dikeluarkan oleh JKSB kepada syarikat dari negara China tersebut ialah surat tawaran, Letter of Award dan di bawah sana setakat progress yang telah dilaksanakan Cuma melibatkan beberapa aspek penilaian tanah ataupun ujian tanah dan juga sebahagian aspek penilaian alam sekitar, yang progressnya tidak pun sampai 5%. Akan tetapi, sehingga minggu lepas syarikat daripada negara China ini telah pun mengemukakan tuntutan untuk mereka dibayar sehingga mencecah RM300 juta.
Baru dapat Letter of Award, kontrak belum tanda tangan, kerja baru tak sampai 5%, telah pun minta. Sekarang kerajaan terpaksa bergelut untuk cuba mendapatkan dana dari Kumpulan Wang Amanah Pencen, bagi membiayai projek ini. Kumpulan Wang Amanah Pencen dalam siling perbelanjaan untuk pembiayaan projek prasarana pula, telah pun sampai tahap silingnya, ia tak mampu lagi untuk mengemukakan pembayaran ini, tetapi kerana keputusan Jemaah Menteri telah dibuat.
Saya kira perkara yang anehnya di sini ialah ketika kontrak belum ditandatangani bagaimanakah tuntutan ini boleh dikemukakan.
Ini saya mohon untuk kementerian berkenaan, memberikan penjelasan. Berhubung perkara yang sama juga, kita mohon untuk Parlimen ini diberikan penerangan tentang status tentang penyertaan syarikat UEM yang pada mulanya mendapat kontrak ini dan konsesi ini tetapi kemudiannya berpindah ke JKSB. Aspek kerja-kerja yang bagaimanakah yang dilaksanakan oleh UEM dan aspek kerja yang bagaimana pula akan dilaksanakan oleh China Harbor Engineering Limited atau CHEC.
Teruskan membaca
Filed under: ADR Machang | Leave a comment »