MP PAS Hulu Langat: RM200 juta membangunkan vendor…

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya hanya ingin menyentuh Butiran 00201 – Dana Pembangunan Automatif.

Sebagaimana Yang Berhormat Rasah dan juga Yang Berhormat Ledang sebut tadi, saya ingin juga mendapat penjelasan adakah peruntukan RM200 juta ini untuk pengeluar kereta nasional sahaja iaitu Proton dan Perodua ataupun kereta-kereta lain juga Naza, KIA, Hyundai, Toyota, Honda dan lain-lain.

Kalau untuk semua, saya kira peruntukan ini sangat kecil kerana ia melibatkan dengan izin tool, die, mould yang berkos agak tinggi. umpamanya bagi Proton untuk mengeluarkan model yang baru kerana model katalah Wira agak lama yang perlu kita upgrade menjadi model baru yang boleh diterima oleh masyarakat atau menarik masyarakat.

RM200 juta ini untuk hanya membangunkan vendor yang sekarang ini banyak mengeluarkan part kereta-kereta nasional ataupun kereta Naza atau Kia yang menghadapi masalah kerana volume atau bilangan kereta yang dikeluarkan itu agak kecil, mereka menanggung kos yang tinggi termasuklah kos manpower.

Mungkin untuk membantu mereka, dana ini digunakan bagi menstabilkan pengeluaran part kereta dan kita harap juga mereka dapat menjual hanya part untuk alat ganti di samping untuk pemasangan kereta yang baru. Sekian, terima kasih.

Datuk Liew Vui Keong [Timbalan Menteri]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Yang Berhormat Hulu Langat telah pun bertanya mengenai adakah nama untuk Proton sahaja atau peruntukan ini adakah untuk kereta yang lain. Saya telah pun menjawab tadi bahawa pihak EPU dan juga MOF sedang dalam proses menentukan satu mekanisme sama ada ini akan terbuka kepada kereta-kereta yang lain.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Penjelasan, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya merasa cukup pelik dalam keadaan di mana kita tentukan satu angka lepas itu kita fikir macam mana kita hendak pakai. Saya rasa cara buat kerja ini memang satu cara buat kerja yang terbalik. Patutnya kita tentukan apa yang kita hendak buat dan berdasarkan kepada itu kita tentukan angka.

Saya nampak pagi tadi pun dalam soal Sibu Airport dia diberitahu RM70 juta diluluskan. Selepas itu Yang Berhormat Timbalan Menteri kata kita belum fikir macam mana hendak pakai lagi.

Saya tidak tahu adakah ini memang kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Adakah ini budaya kerja yang dianggap sebagai cara yang paling baik ataupun tidakkah sepatutnya… [Disampuk] [Ketawa] Ini semua baru bangun tidur tadi.

Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Yang Berhormat Shah Alam hendak register sahaja nama ini malam-malam – pegawai bertugas.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Ketawa] …Tidakkah sepatutnya kita fikir apa yang perlu kita buat dan lepas itu kita tentukan angkanya, bukan macam ini. Tentukan angka lepas itu fikir macam mana hendak buat. Yang Berhormat Timbalan Menteri, tolong minta jawablah.

Datuk Liew Vui Keong: Terima kasihlah Yang Berhormat Shah Alam. Seperti yang saya nyatakan tadi, ada kemungkinan akan melanggar regulasi WTO mengenai pembelian diskaun kepada sebahagian daripada jenama kereta. Jadi, itu sahaja yang dapat saya cakap.

Itu yang sebenarnya, Tuan Pengerusi di mana saya dapat memberi penjelasan ke atas isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan yang saya sempat menjawab. Sekian, terima kasih.

MP PAS Shah Alam: Dulu SMART Tunnel nak atasi masalah banjir dan lalulintas, kini?

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Mencelah Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar)

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri. Saya sebenarnya ingin mendapat penjelasan berhubung dengan SMART Tunnel ini, kerana semasa ia dilancarkan dahulu saya telah melihat dia punya kempen dan penjelasan rencana yang disiarkan di televisyen, di mana walaupun di antara peranan yang besar adalah soal banjir, tetapi ianya juga dibina dengan tujuan untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas ataupun trafik dan digambarkan bahawa air drainage itu ataupun sistem perparitan itu wujud di satu level yang di bawah level jalan dan kereta di atas dan saluran air di bawah.

Itulah di antara sebab mengapa ia dinyatakan sebagai SMART Tunnel dan bukan flood tunnel, kalau ia hanya sekadar untuk menangani masalah banjir maka there is nothing fantastic about it, dengan izin.

Akan tetapi oleh kerana ia mampu untuk menangani traffic dan itulah sebab mengapa ia ada tol kerana kalau sekadar untuk menangani banjir saya rasa air itu dia tidak bayar tol kan. Oleh kerana ada sistem tol, ada sistem saluran traffic yang akan mengurangkan kesesakan dan sebagainya dan itulah yang diheboh-hebohkan.

Bahawa inilah kehebatan dan kecemerlangan kejuruteraan tempatan yang mampu mengemukakan kaedah yang tidak wujud atau pun di antara yang terbaru, yang mampu bukan sahaja menyelesaikan masalah banjir tetapi juga menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas. Terima kasih
Teruskan membaca

MP PAS Hulu Langat: Kolam tadahan, salah satu usaha mengurangkan banjir?

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Mencelah Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar)

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin merujuk Butiran 16700 mengenai Tebatan Banjir iaitu satu daripada langkah mengurangkan banjir dengan mengadakan kolam tadahan atau catch pond.

Jadi, adakah peruntukan RM76 juta ini memasuki penyediaan kolam tadahan ini? Ini kerana pengalaman saya, satu daripada usaha mengurangkan banjir iaitu dengan menyediakan catch pond ataupun kolam tadahan di hulu sungai. Itu yang saya minta penjelasanlah. Terima kasih.

MP PAS Kuala Krai: Peruntukan ‘pengeluaran virgin coconut oil’ banyak nilai kesihatan

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Mencelah Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani)

Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Boleh mohon penjelasan sikit? Kuala Krai, depan. Terima kasih Tuan Pengerusi terima kasih Timbalan Menteri. Saya hendak berpatah balik sikit mengenai pemulihan kelapa ini.

Salah satu perkara baru dalam industri kelapa ini ialah pengeluaran virgin coconut oil yang dikatakan merupakan minyak kelapa dara yang tinggi nilainya dan banyak nilai-nilai kesihatannya dan menjadi satu industri baru di dalam industri kelapa ini.

Apakah tidak ada sedikit peruntukan untuk membuat satu program galakan supaya industri ini dipertingkatkan supaya nilai yang diperolehi daripada industri ini lebih tinggi daripada hanya menjual santan ataupun perkara-perkara lain yang biasa kita dengar. Terima kasih.

Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim: Terima kasih Yang Berhormat. Ini adalah peruntukan untuk kita memastikan bahawa kita ada cukup jumlah kelapa kita bermula sebab virgin coconut oil dan macam-macam di sini sebenarnya keperluan kelapa Yang Berhormat untuk kita mengeluarkan santan segar kita memerlukan 54,000 metrik tan. Untuk virgin coconut oil kita memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 metrik tan dan untuk lain-lain produk 1,000.
Teruskan membaca

MP PAS Hulu Langat: Kenapa Kelapa banyak berguguran seolah-olah tidak ada pasaran?

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Saya ingin mendapat penjelasan 00700 – Pengeluaran Benih Padi Sah, apa yang dimaksudkan dengan itu dan peladang baru, apakah itu merujuk kepada estet ataupun ada kaedah baru.

Kemudian kepada Butiran 02500 – Industri Kelapa. Saya dapati sekarang ini, kebanyakan kelapa ini sudah banyak yang tua-tua yang memerlukan tanaman semula macam kelapa sawit juga.

Jadi saya agak peruntukan yang RM10 juta ini dapat digunakan untuk tanaman semula. Yang penting juga saya perhatikan dari segi pasaran, banyak kelapa-kelapa kalau kita lihat di Kuala Selangor dan sebagainya, kelapa banyak berguguran tetapi seolah-olah
tidak ada pasaran.

Jadi tentu ada kaedah atau mekanisme supaya kelapa ini dapat dipasarkan dengan baik supaya peladang-peladang kelapa ini dapat memasarkan hasil mereka dengan lumayan. Terima kasih.

MP PAS Hulu Langat: RM15 juta untuk biayai Pusat Promosi Perkayuan .. sepatutnya diberi benih kayu

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hanya ingin menyentuh perkara 11200 mengenai Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.

Peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta untuk membiayai pusat promosi perkayuan Malaysia dan sokongan bahan mentah kepada usahawan kayu bumiputera. Jadi adakah sebahagian besar daripada peruntukkan tambahan ini untuk promosi.

Sedangkan mungkin saya lebih setuju kalau peruntukkan ini diberi benih kayu untuk dijadikan balak pada masa akan datang. Bagaimanakah status kayu balak sekarang umpamanya meranti, sentang atau mahogani yang digalakkan ditanam suatu masa dahulu.

Kemudian seterusnya dari segi polisi adakah kita meletakkan satu peraturan sekiranya berlaku penebangan balak maka mesti ditanam balik balak itu sebagaimana di setengah negeri yang saya tahu di Thailand, kalau ditebang kayu bakau atau kayu balak mesti ditanam balik.

Jadi adakah perkara itu dibuat di Malaysia? Saya minta penjelasan. Terima kasih.

MP PAS Kubang Kerian: Sejauhmana Industri Koko Malaysia masi relevan?

12 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 dalam Jawatankuasa Bagi Kepala Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Di peringkat jawatankuasa ini di bawah kepala B.20. Saya ingin untuk mendapat beberapa penjelasan tentang kepala 00100 tentang Lembaga Koko Malaysia.

Di bawah tajuk ini, saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri sejauh manakah industri koko Malaysia ini masih relevan dan berapakah jumlah sebenarnya kalau boleh dalam hektar kawasan–kawasan yang masih ditanam dengan tanaman koko ini. Adakah klon-klon yang ditanam oleh petani-petani khususnya pekebun-pekebun kecil di negara kita ini masih menggunakan klon-klon yang lama.

Ini adalah sebab saya dulu pun punya pengalaman dalam berkhidmat industri koko ini. Kalau tidak silap saya di awal tahun 70-an dahulu klon-klon seperti KKM1 hingga KKM25 / KKM26 masih diperkenalkan pada waktu itu.

Adakah R&D masih lagi berterusan dalam bidang industri ini dan kemungkinan kalau boleh Yang Berhormat dapat memberitahu Dewan yang mulia ini adakah kita telah mempunyai atau memperolehi klon-klon yang baru bagi mempertingkatkan keluasan ataupun mutu koko yang kita hasilkan dalam negara kita ini?.
Teruskan membaca