Ketua Pembangkang: Ada yang dibangkitkan yang sampai sekarang ditutup,….

16 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Usul menggantung Ahli Dari Puchong)

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Saya juga meneliti usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun saya merasakan perlu diberikan tempoh supaya diteliti, tetapi saya akur keputusan Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Puchong memang kenyataan serius.

Saya tidak nafikan, dalam keadaan biasa baik pembangkang atau kerajaan tidak boleh pandang ringan sebab itu saya faham mengapa Menteri merasakan perlu usul ini dibawa segera.

Cuma saya ingin menjelaskan di sini, ini satu tuduhan yang berat dan sesiapa juga Ahli Yang Berhormat sama ada pihak kerajaan atau pembangkang tidak harus mengeluarkan kenyataan yang serius begini, yang kasar begini kalau tidak mampu mempertahankan dakwaan itu. Saya tidak berkesempatan untuk berbincang panjang dengan Yang Berhormat Puchong, tetapi sepatutnya sebelum kita berbicara soal hukum.

Kita harus beri ruang mengapa sanggup seorang Ahli Yang Berhormat mengeluarkan kenyataan yang begitu kasar mendakwa seorang Timbalan Perdana Menteri tidak membunuh, tetapi terlibat dalam pembunuhan, dalam kes pembunuhan.

Sebab itu kita tahu dalam hal ini sepatutnya ada dua pertimbangan yang saya rasa kita harus berikan perhatian. Pertama, oleh kerana tuduhan ini serius dan dia tidak terlepas begitu sahaja, kita hukum orang itu. Tuduhan masih kekal sebab itu jangan kita terburu-buru untuk menggunakan kuasa majoriti kita menghukum kemudian kes ini dengan sendirinya terhenti.

Sebaiknya kes ini harus diselesaikan melalui ketegasan, memberi ruang kepada orang yang mendakwa kalau tidak mampu memberikan hujah dan bukti, maka menghukum mengikut peraturan undang-undang yang ada.

Inilah sebab mengapa ada kebijaksanaan bila rakan-rakan mengemukakan supaya diteliti di bawah Peraturan Mesyuarat 80(1) iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Kerana ini bukan soal seperti mana yang saya dengar enam kali diulang oleh Tuan Yang di-Pertua tentang celopar begitu sahaja. Kalau orang celopar tuntut dia minta maaf atau hukum begitu.

Akan tetapi ini tuduhan yang begitu serius, ia tidak boleh ditutup hanya dengan kenyataan Menteri ataupun undi. Ini tuduhan jenayah yang berat dan besar, saya tidak tahu sama ada Yang Berhormat Puchong akan menjelaskan kemudian. Mungkin di sini atau juga di luar, tetapi oleh kerana dakwaan itu dakwaan yang agak keras yang tidak sepatutnya dikeluarkan kalau tidak
ada keupayaan mengemukakan bukti.

Ini saya tidak pertikai, sesiapa juga yang mengeluarkan kenyataan yang menuduh sesiapa bukan sahaja Timbalan Perdana Menteri. Rakyat biasa, buruh kasar sekalipun kalau tidak dapat mengeluarkan bukti dan tidak boleh mempertahankan hujahnya, tidak boleh menggunakan haknya sebagai manusia apatah lagi sebagai Ahli Parlimen.

Sebab itu saya kurang mengerti walaupun telah dibuat keputusan mengapa kita tidak berikan ruang supaya diberikan penjelasan dan rakyat juga puas hati. Ada tuduhan yang begitu kasar dan keras dilemparkan, siasatan dilakukan kemudian didapati tidak benar, maka orang yang membuat dakwaan itu dihukum keras.

Akan tetapi kalau kita gunakan hanya ruang ini, bahas dari segi politik kemudian jatuhkan hukuman yang keras, itu tidak menyelesaikan masalah, itu yang pertama.

Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, ialah sesiapa sahaja, bukan sahaja Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen atau orang lain bila terkena tuduhan begitu harus berupaya untuk mempertahankan dirinya menolak ini sebagai satu fitnah kemudian menuntut supaya penyiasatan yang rapi dan terbuka dilakukan. Yang dibangkitkan kebimbangan adalah kerana dalam kes ini dicurigai dan dikhuatiri kerana rekod penyiasatan dan perjalanan mahkamah, hal ini tidak dipatuhi dan diikuti.

Ini yang menimbulkan permasalahan dan persoalan ini terus dibangkitkan berulang kali. Saya tidak mahu menyenaraikan apa yang dijadikan pengetahuan umum yang berkaitan dengan kes yang menyebabkan Yang Berhormat Puchong yang juga peguam dalam kes ini, yang melemparkan tuduhan yang keras begitu. Ada yang dibangkitkan yang sampai sekarang ditutup
begitu sahaja, soal pegawai penyiasat yang hilang, soal rekod imigresen yang hilang, soal keterangan yang saksi tidak dipanggil.

Hal-hal ini adalah hal yang kita sebut sahaja ia terus sub judice, jadi akhirnya semua kes yang ditafsirkan dan persepsi rakyat yang melibatkan tokohtokoh besar tertutup kerana menggunakan kuasa dan kekuatan sub judice yang disebutkan itu.
Sebab itu saya inginlah meminta pertimbangan Tuan Yang di-Pertua dan rakan-rakan, saya tidak bermaksud supaya menarik balik usul ini tetapi bagi ruang.

Yang Berhormat jika Yang Berhormat bercakap tentang rule of law, the principle of natural justice ada orang membuat tuduhan, dia mempertahankan tuduhan itu. Kalau dia tidak buat balik tuduhan orang yang dizalimi atau difitnah berhak untuk menuntut tuduhan.

Dalam kes ini orang yang buat tuduhan tidak ada hak untuk mengeluarkan keterangan yang terperinci dan siasatan teliti dan orang yang dituduh tidak pun menyebut dan menafikan dan ada untuk mempertahankan dirinya. Dalam duadua prinsip tidak ada, yang ada hanya menggunakan ruang dan kuasa kerana jumlah yang ramai dan majoriti untuk menghukum tanpa dua prinsip ini diambil kira.

Jadi saya pohon setakat itu, saya minta Tuan Yang di-Pertua beri pertimbangan kalau tidak – sukar, kita diminta untuk terus membuat keputusan dalam tuduhan yang berat. Ini bukan soal yang Tuan Yang di-Pertua ulang sebut, ini soal kenyataan yang longgar. Saya faham, saya juga dihamun banyak walaupun rakan-rakan saya cakap soal prinsip hari ini, yang melanggar
batas akhlak dan etika baik khazaf, baik fitnah tetapi itu soal lain. Ini kalau berkaitan dengan tuduhan jenayah besar, ia tidak tertutup. Menteri Dalam Negeri ada di sini, ia tidak boleh ditutup dengan hanya undi majoriti.

Soal tuduhan jenayah besar harus ada keupayaan, pertama biar hak, bukan sahaja hak yang menuduh. Bahkan saya dalam hal ini, terkeluar daripada pertimbangan lain yang saudarasaudara boleh tafsirkan. Hak Yang Berhormat Pekan, Timbalan Perdana Menteri untuk mempertahankan dirinya dan membersihkan dirinya. Itu harus diberikan sepenuhnya. Akan tetapi dalam kes ini, yang ada bukan soal principle of natural justice. Yang ada hanya brute power, force untuk mengatakan right or wrong berdasarkan undi bukan berdasarkan siasatan dan keputusan yang sebenarnya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya cuma benarkan perbahasan ini sehingga jam satu. Saya mahu Menteri menjawab mungkin dalam lima hingga sepuluh minit. Ahli Yang Berhormat-Ahli Yang Berhormat, perkara ini jelas, saya membenarkan usul itu atas sebab saya duduk di sini hampir setahun. Saya dengar segala ungkapan-ungkapan yang dikeluarkan. Akan tetapi malangnya apabila ditegur tidak ada siapa yang mendengar.

Akan tetapi apabila satu perkara yang berbangkit begini, semua angkat peraturan mesyuarat. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu dibincangkan. Peringkat Jawatankuasa, Menteri menjawab, ada lagi lebih kurang 20. Jadi kalau Ahli-ahli Yang Berhormat bersikap seperti Ahli-ahli Yang Berhormat, tidak ada perkara begini yang menghabiskan masa kita.

Silakan Yang Berhormat Batu Pahat. Saya juga ada kuasa untuk saya tetapkan masa itu kerana saya sendiri yang menerima usul ini. Usul ini, apa yang dihujahkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh saya terima dengan baik tetapi saya terima usul ini proper. Saya mahu Ahli-ahli Yang Berhormat bahas, saya juga mahu Ahli-ahli Yang Berhormat juga kasi jatuh hukuman,
bukan saya supaya lain kali, jangan lagi ada hujah-hujah yang melanggar peraturan mesyuarat. Silakan.

—————————– SEBELUM ITU ——————————-

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Minta maaf, Tuan Yang di-Pertua. Kita hendak buat usul untuk menghukum Yang Berhormat Puchong. Sekarang Yang Berhormat Puchong berdiri, kita kena bagi ruang Puchong bagi penjelasan. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, saya faham itu, Yang Berhormat, tetapi tindakan saya ialah saya menjemput Menteri untuk menggulung perbahasan kerana semua sudah saya dengar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Akan tetapi Puchong belum berucap.
Tuan Yang di-Pertua: Saya tahu Yang Berhormat. Ini kan berbahas? Saya akan panggil siapa yang saya mahu panggil, Yang Berhormat Permatang Pauh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, terima kasih. Yang Berhormat, saya tidak mahu…
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sayalah orang terakhir mahu berbalah dengan Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua tahu itu, tetapi saya minta, kita hendak buat satu usul hendak hukum berat seorang Ahli Yang Berhormat dan kita tidak mahu bagi ruang kepada dia berucap. Saya fikir ini satu yang janggal, Tuan Yang di-Pertua.

Saya minta sebelum Yang Berhormat Menteri jawab, biar Yang Berhormat Puchong diberikan floor untuk menjelaskan pendirian dia. [Tepuk] Dia buat tuduhan…

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: …Saya terima, Tuan Yang di-Pertua, bahawa Yang Berhormat Puchong buat tuduhan yang berat.
Seorang Ahli: Its only fact.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Kalau begitu, beri dia ruang untuk memberi penjelasan sebelum dibuat keputusan.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Persidangan di bawah usul yang dibawa tadi itu bagi saya tidak ada beza dengan perbahasan lain. Tidak ada beza dengan perbahasan lain. Saya telah buat ketetapan dan saya akan teruskan dengan ketetapan itu, sila gulung.

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Teruskan, teruskan.
Beberapa Ahli Pembangkang: [Bangun] [Menyampuk]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Sebenarnya kita berlaku adil.
Tuan Yang di-Pertua: Teruskan.
Beberapa Ahli Pembangkang: [Bangun] [Dewan riuh]
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan berbanyak terima kasihlah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam soal ini dan saya ingin membuat penjelasan berkenaan dengan perkara yang telah dibangkit. Pertama, berkenaan dengan…

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, saya sudah buat ketetapan apa pun persepsi Ahli Yang Berhormat, itu sudah diambil kira. Biarlah dia menggulung. Sila, teruskan. [Dewan riuh]
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, pertamanya perkara yang dibangkit berkenaan dengan apa yang telah Yang Berhormat dari Permatang Pauh cakap sebentar tadi iaitu bahawa kita harus melihat niat apa yang di sebalik yang dilakukan oleh Yang Berhormat dari Puchong.
Semua Ahli Pembangkang: [Bangun] [Menyampuk]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Saya ingin menjelaskan di sini iaitu ini bukan satu jenayah di mana yang kita hendak bincangkan bukan satu jenayah yang harus kita membukti dan menyelami apakah niat di sebalik dia membuat kenyataan itu. Jadi oleh kerana itu, cukup sahaja kalau tindakan itu telah pun dilakukan dan jelas tindakan itu menampakkan sikap kurang ajar terhadap Timbalan Perdana Menteri, sudah cukup kita mengambil tindakan terhadap beliau.

Keduanya, melainkan kalau Yang Berhormat dari Puchong dia mengaku dia gila, itu lainlah. Akan tetapi saya percaya waktu dia membuat kenyataan itu dia tidak gila dan dia tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.

Ketiganya, saya ingin mengatakan di sini iaitu Timbalan Perdana Menteri, dia tidak hadir pada hari ini disabitkan kes dia sedang dibincangkan dan dia tidak mahu kehadirannya itu akan mempengaruhi sebagai Ketua WHIP, mempengaruhi Ahli daripada Barisan Nasional membuat keputusan untuk menyokong dia. Maka itulah yang dikatakan mengapa dia tidak hadir pada hari ini.

Selain daripada itu, Yang Berhormat, dalam perkara yang dibangkit sebentar tadi iaitu mengatakan segala apa tindakan yang diambil oleh Puchong dilakukan dalam Dewan. Memanglah, kita tidak suruh pun dia keluar daripada Dewan kerana tindakan yang kita hendak ambil ialah sebagai Majlis di atas tindakan perbuatan dia di dalam Dewan. Bermakna apa salah laku yang dia buat di dalam Dewan ini, kita berhak untuk mendengar dan kalau dia merupakan satu offences, penghinaan terhadap Dewan, maka kita berhak untuk membincang dan mengambil keputusan sama ada dia telah melakukan kesalahan ataupun tidak.
Semua Ahli Pembangkang: [Keluar Dewan]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Soal memberi kesempatan kepada dia, pihak kita lebih adil. Bapa dia kita suruh bela. Bapa dia itu, lawyer yang bela dalam ini, lebih daripada apa yang boleh kita berikan. Bukan setakat dia sebagai Wakil Rakyat Puchong dibenarkan membela, bapa dia pun kita bagi bela dia. Apa lagi yang hendak dikehendaki oleh kita? Jadi sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya kira tidak ada banyak perkara yang penting dibangkitkan oleh mereka. Jadi saya mohon supaya usul ini dibahas dan diterima. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah Usul atas nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini di bawah Perkara 1 hendaklah disetujukan. Usul dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan.
————————-
Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:
BAHAWA pada 12 Mac 2009, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen kawasan Puchong semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa YAB. Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan.

BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

DAN BAHAWA kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

MAKA INILAH DIPERSETUJUI BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong hendaklah digantung tugas dari jawatannya sebagai Ahli Parlimen selama dua belas (12) bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan. Dalam masa penggantungan ini Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang Ahli Parlimen.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: