MP PKR Sungai Petani: Tidak adil serah tanggungjawab keselamatan menjaga rakyat kepada Polis

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Dato’ Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya hendak sentuh dua perkara sahaja iaitu Butiran 12000 – Balai-Balai Polis dan Pondok-pondok Polis.

Saya pernah bertanya dalam Dewan yang mulia ini tentang status dahulu. Kalau kita lihat di kawasan Merbok tetapi kita share Sungai Petani pekan yang sama terdapat sebuah Kem Polis Hutan yang tanahnya bukan sahaja strategik tetapi cukup cantik. Akhirnya polis telah pun ada negotiation dengan pihak tertentu untuk memajukan tanah Kem Polis Hutan tersebut dengan perjanjian untuk membina tiga buah IPD. Antara IPD yang telah dijanjikan untuk dibina ialah di Sungai Petani.

Jadi, yang saya hendak tahu di sini ialah sementara Sungai Petani sudah siap apa jadi kepada dua lagi kerana kawasan tanah Kem Polis Hutan itu sudah tidak ada, dibina dengan projek-projek perumahan dan juga bangunan-bangunan lain oleh pihak pemaju.

Jadi, sementara polis ada tanah, sementara polis serahkan tanah kepada pemaju, sementara pemaju sudah membina dan mungkin telah mengaut untung, tiba-tiba polis kata dia tidak cukup balai.

Jadi, kita hendak tahu apakah yang jadi kepada negotiation tanah antara polis dengan pemaju tadi secara spesifik di kawasan Sungai Petani – Merbok.

Kedua, tentang 75000 – Pusat Pertahanan Awam dan Pejabat. Saya kira untuk menyerahkan tanggungjawab keselamatan menjaga rakyat negara ini kepada polis sahaja kadang-kadang tidak adil.

Bab ini saya setuju sebab dalam jumlah yang begitu terhad mana mungkin polis boleh jaga macam-macam masalah, dari yang curi ayam sampailah yang curi benda yang sophisticated.
Teruskan membaca

MP PAS Pokok Sena: Pokok Sena sudah dinaikkan taraf Daerah baru .. tetapi Polis masih dalam Daerah Kota Setar

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya ingin menyentuh Maksud P.62 – Kementerian Dalam Negeri. Pertama, berkaitan dengan Butiran 120000 – Balai-balai Polis dan Pondok-pondok Polis. Saya seperti rakan-rakan tadi bahawa ini menjadi satu keperluan kepada kita dan khusus saya hendak fokus kepada kawasan saya sendiri yang juga menghadapi masalah yang sama kes-kes pecah rumah yang berleluasa.

Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri, sudah tentu rakan saya Yang Berhormat Timbalan Menteri juga berasal daripada Kedah.

Di Kedah ini sebahagian daripada Parlimen Pokok Sena itu telah pun dinaikkan taraf menjadi daerah baru, daerah Pokok Sena. Ini sudah tentulah ia semakin bermasalah dengan isu-isu keselamatan dan sebagainya sedangkan walaupun kita sudah ada daerah baru Pokok Sena dari segi pentadbiran kerajaan negeri khususnya, polisnya masih lagi berada dalam daerah Kota Setar.

Daerah Kota Setar ini ia merangkumi Parlimen Pokok Sena, Parlimen Alor Setar dan juga Parlimen Kuala Kedah. Tiga Parlimen dalam satu daerah polis. Jadi, sudah tentu bahawa untuk hendak menampung keupayaan dari segi tenaga manusia, anggota pasukan polis itu dengan kadar jenayah yang semakin meningkat ini dan berada pada satu pusat pentadbiran polis sahaja sudah tentu tidak berkemampuan.

Oleh itu saya ingin mendapat penjelasan apakah ada perancangan untuk membina pertamanya, balai polis baru yang harus dinaikkan taraf menjadi balai polis ataupun Ibu Pejabat Polis Daerah Pokok Sena.

Bagi saya balai polis pekan Pokok Sena itu terlalu kecil untuk menampung keupayaan bagi menjaga seluruh daerah Pokok Sena. Apatah lagi di dalam tahun ini juga, kalau tidak ada apa aral melintang kita akan membina satu lagi pusat bandar baru iaitu Bandar Tuanku Puteri iaitu di pekan Pokok Sena di mukim Gajah Mati di keluasan lebih kurang 400 ekar.
Teruskan membaca

MP PKR Lembah Pantai: Apakah kriteria Kementerian memilih pembinaan Balai Polis baru

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk terus kepada Maksud Perbekalan 62, Kementerian Dalam Negeri Butiran 12000 – Projek Balai-balai dan Pondok polis. Yang Berhormat Timbalan Menteri ada bersama. Tambahan ini sebanyak RM81 juta lebih diperuntukkan untuk membiayai projek membina balai dan pondok polis di pelbagai negeri.

Tadi Yang Berhormat daripada PAS telah menyebut kalau boleh diberikan perincian negeri-negeri yang terpilih. Saya mahu tahu bagaimanakah kementerian memilih, negeri mana yang mahu ditambah jumlah balai dan pondok dan apakah kriteria yang digunakan?

Adakah kriteria pertambahan statistik jenayah menjadi satu penentuan kerana secara khusus di dalam daerah Brickfields saya agak bimbang kerana dalam artikel bertajuk “Polis nafi kadar jenayah di Brickfields meningkat” oleh BERNAMA, 23 Jun 2008.

Dilaporkan bahawa Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Azri Abdul Rahman, di bawah kawasan saya, dia cover Bangsar, berkata bahawa Polis Daerah Brickfields kerjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 7% bagi tempoh Januari hingga Mei 2008 berbanding dengan lima bulan tahun sebelumnya hasil kejayaan pemantauan efektif polis.

Akan tetapi dua hari kemudiannya iaitu pada 25 Jun 2008 Utusan Malaysia di bawah artikel bertajuk “Lokasi Mesin ATM – Bank Perlu Pandangan Polis” pula melaporkan bahawa Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat, dia melawat IPD Brickfields, memuji IPD Brickfields kerana berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 19.4% dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2008 berbanding dengan 2007 masa yang sama.

Justeru, kedua-dua laporan akhbar mengenai kadar jenayah di Brickfields menunjukkan perbezaan yang ketara. Timbalan Ketua Polis Brickfields berkata kurang 7% berbanding 19.4% yang dikatakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Saya mahu tahu apakah impak kepada daerah Brickfields, adakah mereka tidak akan diberikan peruntukan dan kalau pun ada pengurangan kenapakah wujud kekeliruan di antara angka dan statistik yang sebenar.
Teruskan membaca

MP PAS Hulu Langat: ..mulanya dia (OCPD) kata boleh diadakan pondok polis tetapi kemudian dijawabnya tidak ada peruntukan

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Tuan Pengerusi. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri mengenai Butiran 12000 – Balai-balai Polis dan Pondok Polis.

Dalam bajet lepas kita bincang ada banyak balai polis yang akan dibina dan kali ini juga saya setuju peruntukan RM81.8 juta dan kalau boleh lebih lagi daripada ini kerana balai-balai polis dan juga anggota polis ini perlu dipertingkatkan bagi mengawal peningkatan jenayah yang ada sekarang.

Saya ingin penjelasan manakah negeri-negeri yang akan diperuntukkan sebanyak RM81.8 juta ini ataupun saya memohon supaya dilebihkan lagi peruntukan ini.

Saya berharap jugalah di Selangor dan lebih-lebih lagi di Parlimen saya yang saya mohon kepada OCPD Kajang tetapi jawapan mulanya dia kata boleh diadakan pondok polis tetapi kemudian dijawabnya tidak ada peruntukan.

Jadi kita berharaplah dengan tambahan ini dapat menyelesaikan sedikit masalah keselamatan atau masalah jenayah di Parlimen saya.

Yang kedua Butiran 75000 – Pusat Pertahanan Awam dan Pejabat. Saya memang menghormati Pasukan Pertahanan Awam ini kerana mereka telah memberi bantuan yang cukup baik dalam membantu masyarakat dari segi mengatasi masalah kecemasan dan kemalangan yang saya sendiri alami.

Jadi peruntukan sebanyak RM5.6 juta ini memang baik dan kita berharap mereka diberi peruntukan yang lebih juga terutama untuk melatih anggota-anggota sukarelawan ini.
Saya ingin mendapat penjelasan apakah bentuk insentif yang diberi kepada mereka daripada peruntukan RM5.6 juta ini. Sekian, terima kasih.

MP PAS Kuala Krai: Peruntukan RM20 juta menaik taraf perkhidmatan virtual autopsy technology tidak munasabah

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.49 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih kepada Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya untuk bersama-sama menimbang Butiran 01500 iaitu peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta lebih untuk membiayai projek menaik taraf perkhidmatan virtual autopsy technology bagi unit forensik makmal diagnosis Hospital Universiti Kebangsaan.

Kita menyokong penuh usaha untuk memudahkan urusan membuat autopsi ini supaya ianya lebih tepat dan dapat mencari punca kematian bagi mana-mana kes dengan lebih tepat, lebih jelas supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Terutama berikutan beberapa insiden kebelakangan ini, di mana hasil bedah mayat ataupun post-mortem ataupun autopsi telah menjadi bahan pertikaian sehingga menimbulkan keresahan kaum keluarga dan juga masyarakat.

Kita juga berhadapan dengan suasana Tuan Pengerusi, sebagai pimpinan masyarakat, sebagai Ahli Parlimen apabila berhadapan dengan kes-kes kematian yang dikatakan, dikaitkan dengan kes-kes polis, keluarga akan cuba untuk meminta kita menggunakan pengaruh supaya post-mortem ini dapat dikecualikan, biasa ya. Sebab tidak ada siapa mahu melihat kaum keluarganya dibedah, diambil organ-organnya untuk menjadi bahan bukti punca kematian.

Jadi tidak keterlaluan kalau keluarga datang kepada kita setelah berjumpa polis, polis tidak mahu beri sokongan, minta kepada kita. Akan tetapi kita juga ada masalah sebab kita tidak mahu terheret dalam kes-kes polis apabila suara kita ataupun sokongan kita ini menyebabkan sesuatu kes yang sepatutnya telah melalui proses post-mortem, tidak melaluinya. Apabila timbul kes ini di mahkamah, mungkin kita pun terseret sebagai saksi yang tidak bersedia, unwilling witness.

Jadi perlu ada satu kaedah autopsi hari ini yang mungkin tidak memerlukan dissection, tidak memerlukan pembedahan dan pengeluaran organ untuk membuktikan sesuatu sebab kematian. Maka saya dimaklumkan bahawa virtual autopsy technology ini adalah satu teknologi yang dapat mengurangkan dissection ataupun pembedahan-pembedahan terhadap organ-organ ini.

Ertinya mungkin dengan mengambil sebahagian daripada cecair badan atau sebahagian daripada organ itu melalui extraction misalnya dapat menentukan punca kematian. Saya dimaklumkan juga oleh pakar-pakar dalam bidang ini bahawa teknologi ini telah digunakan dalam banyak negara yang moden. Peruntukan RM20 juta ini saya rasa munasabah.
Teruskan membaca

MP PAS Kuala Krai: Kementerian perlu wujudkan Klinik Kesuburan

17 Mac 2009 – Mencelah Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) Peringkat Jawatankuasa Kepala B.48 (RM6,332,600) dan P.48 (RM10) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: LPPKN. Yang Berhormat Kuala Krai. Terima kasih Tuan Pengerusi. Mengenai LPPKN yang di cadang pembelian premis-premis baru bukan premis-premis, satu premis saja.

Adakah ini premis extension kepada Klinik LPPKN di ibu pejabat di Kuala Lumpur ataupun beberapa premis di daerah-daerah dan kalau dibeli pun, adakah kementerian menyediakan komponen kakitangannya dan sama ada klinikklinik yang baru ini akan menyediakan klinik kesuburan seperti yang ada di ibu pejabat di Kuala Lumpur kerana saya rasa fungsi utama klinik ini antaranya yang dipandang oleh masyarakat ialah klinik kesuburannya.

Adakah ianya menjadi sebahagian daripada program bagi klinik-klinik yang baru. Ini sahaja yang saya nak tanya, terima kasih.

Puan Noriah Kasnon: Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Sebenarnya, untuk butiran pembelian bangunan, pembelian baru Yang Berhormat sebenarnya di Batu Pahat satu dan juga di Johor Bahru satu.

Ia adalah bukan pengujudan klinik baru tetapi untuk memindahkan dua buah klinik Nur Sejahtera yang sedia ada yang pada hari ini satu sewa di Wisma Plaza Lian Ho di Batu Pahat dan satu lagi kita menumpang di bangunan Kementerian Kesihatan di Hospital Sultanah Aminah JB dan mereka memerlukan ruang itu kerana Kementerian Kesihatan juga sudah membesarkan khidmat mereka.

Jadi, kita terpaksa mencari dua venue baru untuk melanjutkan perkhidmatan yang sedia ada untuk masyarakat atau rakyat di Johor Bahru dan juga di Batu Pahat dan insya-Allah bukan sahaja untuk perkhidmatan kesuburan tetapi yang penting sekarang adalah untuk perancang keluarga supaya famili yang susah biasanya yang datang kepada JKM yang nak mohon bantuan, anak ramai Yang Berhormat. Jadi, penting juga untuk kita educate mereka tentang perancangan keluarga.
Teruskan membaca

MP PAS Rantau Panjang: Program pemantapan keluarga diambil berat … bukan sekadar melepas batuk ditangga

17 Mac 2009 – Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) Peringkat Jawatankuasa Kepala B.48 (RM6,332,600) dan P.48 (RM10) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat. Saya ingin menyentuh dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa ini iaitu Butiran 00300 Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Saya ingin penjelasan sejauh manakah kejayaan dan peranan serta fungsi lembaga penduduk ini sejak ia ditubuhkan dan apakah masalah dan kelemahan yang perlu diatasi untuk menghadapi situasi yang ada sebab kita lihat sekarang ini, di antara isu kekeluargaannya ialah isu kita tengok masalah perceraian yang semakin tinggi, masalah meningkatnya anak luar nikah, masalah meningkatnya anak-anak atau gadis yang lari daripada rumah dan pelbagai isu yang berkaitan dengan keluarga.

Sejauh mana program yang boleh membina kemantapan keluarga itu diambil berat oleh pihak kementerian.

Saya harap perkara ini diberi perhatian yang serius bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Maknanya sekadar memenuhi jadual program tetapi mesti buat sesuatu perkara yang betul-betul boleh mencapai penyelesaian terhadap masalah yang ada di depan kita.

Kedua, saya ingin menyentuh berkenaan dengan 00704 – Pembaikan/Pembesaran Institut Kebajikan Sedia Ada. Saya ingin penjelasan sejauh mana penilaian dibuat terutama terhadap institut yang berada di peringkat-peringkat daerah di seluruh negara.

Kita lihat bagaimana kelemahannya masih ada terutama kalau kita tengok seperti contoh dalam kawasan saya melibatkan dua Parlimen sedangkan pejabatnya satu tetapi pengendaliannya melibatkan dua Parlimen iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Ini sudah tentulah memerlukan satu bidang yang cukup luas yang terpaksa ditanggung oleh pegawai. Jadi saya ingin meminta penjelasan sejauh mana pemantauan di buat dan keperluannya dan sejauh mana tempat ini disediakan. Sama ada mesra kepada OKU itu sendiri supaya sebagaimana yang disebut oleh rakan-rakan yang lain supaya kita dapat memanfaatkan semua tenaga yang ada untuk mencapai matlamat kita.

Seterusnya, saya juga ingin penjelasan berkaitan dengan kemudahan yang disediakan iaitu tentang 02006 Peralatan/Perabot dan Alat Permainan. Jadi, sejauh mana perkara ini diambil perhatian terutama di kawasan yang terlibat dengan masalah banjir contohnya. Sudah tentulah setiap tahun, perkara ini akan berdepan dengan kerosakan sebab setiap tahun tenggelam dengan banjir.

Jadi, sejauh mana perkara ini diberi perhatian dan apakah pemantauan dibuat oleh pihak kementerian untuk memastikan supaya tempat-tempat yang berisiko tinggi ini mendapat perhatian yang serius dan ia dapat dikendalikan operasinya dengan baik.
Teruskan membaca

MP PKR Sungai Petani: Peranan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara perlu dipertingkatkan

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) Peringkat Jawatankuasa Kepala B.48 (RM6,332,600) dan P.48 (RM10) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dato’ Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin mengambil bahagian dalam Butiran 00300 Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Saya rasa dengan tajuk jabatan ini pun iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara ini, kita dapat lihat bahawa niat dan tujuan asas penubuhan pun suatu yang amat besar. Cumanya saya ingin menyarankan kepada kementerian, sementara kita memperbaiki dan menaikkan taraf premis baru klinik, kita juga harus melihat bagaimana peranan lembaga ini dapat dikembangkan.

Saya mencadangkan agar lembaga melalui mass media. Pernah suatu masa dahulu pada tahun awal dan pertengahan 80-an, a success story kepada keluarga ini khususnya rakyat Malaysia yang membaca tiap-tiap hujung minggu dalam akhbarakhbar, dia ingin melihat success story keluarga-keluarga.

Jadi, saya mencadangkan supaya lembaga lebih proaktif mencari success story keluarga yang bahagia iaitu bapa dan ibu yang mithali dan bagaimana keluarga ini dapat dibina. Anak sepuluh orang, lima menjadi doktor dan lima lagi menjadi engineer. Ini akan memberikan inspirasi di samping kita memberikan physical development, tetapi juga daripada psy war atau minda rakyat supaya melihat bahawa dalam keadaan apa juga kemiskinan di belakang mereka, tetapi ada ruang di situ untuk keluarga dibangunkan. Saya rasa perhatian yang lebih diberikan kepada angle ini.

Jadi saya mencadangkan supaya lebih peruntukan diberikan untuk tujuan ini. Terima kasih Tuan Pengerusi.

MP PAS Pendang: Kementerian perlu memantau Pusat Pemulihan OKU di Setiap Parlimen

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) Peringkat Jawatankuasa Kepala B.48 (RM6,332,600) dan P.48 (RM10) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Hanya dua perkara sahaja iaitu 00704 Pembesaran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti.

Saya harap pihak kementerian dapat memerhati pusat pemulihan dalam komuniti ini terutama di setiap kawasan Parlimen kerana sekarang ini, Orang Kurang Upaya yang menjadi pelatih di situ bertambah tetapi pusat itu tidak bertambah.

Maknanya kesesakan di dalam pusat-pusat pemulihan dalam komuniti ini menjadi begitu kronik sekarang ini.

Yang keduanya tentang peralatan yang ada. Saya dapati banyak di antara pelatih-pelatih di sini mereka merupakan pelatih daripada pesakit cerebral palsy dan juga mikro kapilari.

Maknanya mereka mempunyai masalah pihak anggota. Jadi, peralatan untuk melakukan fisioterapi tidak ada langsung di pusat pemulihan di dalam komuniti ini. Saya harap pihak
kementerian dapat memerhati perkara ini supaya diletakkan sekurang-kurangnya satu ataupun dua alat untuk digunakan oleh pelatih-pelatih yang mempunyai masalah anggota iaitu cerebral palsy atau anggota tidak dapat bergerak seperti biasa.

Jadi, saya harap ini dua perkara yang perlu diberi perhatian oleh kementerian. Terima kasih.

MP PAS Titiwangsa: Kementerian perlu bersedia menyerapkan pekerja OKU yang dibuang kerja

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) Peringkat Jawatankuasa Kepala B.48 (RM6,332,600) dan P.48 (RM10) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin membangkitkan beberapa isu daripada Butiran 02006 dan Butiran 00704. Sebelum itu saya ingin menyatakan persamaan saya dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuantan tadi iaitu tidak ada satu peruntukan yang langsung untuk membantu mereka golongan yang memerlukan dalam keadaan krisis ekonomi, dalam keadaan kita dikatakan bajet ini adalah untuk merangsangkan ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu juga saya ingin bertanya adakah kementerian bersedia untuk menyerapkan pekerja-pekerja yang dibuang kerja yang terdiri daripada OKU dan ibu-ibu tunggal dalam organisasi kementerian sendiri termasuk di peringkat negeri dan juga peringkat daerah.

Adakah polisi ini ada diguna pakai atau pun ada dalam perancangan pihak Yang Berhormat Menteri sendiri.

Kemudian yang keduanya saya ingin bertanya dari segi pendaftaran OKU ini saya perlu mendapat penjelasan mungkin telah dijalankan iaitu adakah pendaftaran OKU terutama bayi yang baru lahir terus didaftarkan kepada kementerian daripada hospital-hospital kerajaan yang menyambut ataupun daripada data Kementerian Kesihatan. Sebab ini sangat penting.

Saya dapati ramai OKU yang tidak didaftarkan kerana, satu antaranya adalah kerana mungkin tidak ada maklumat yang jelas, ibu bapa tidak tahu ataupun mereka rasa itu satu kesusahan di situ, kesukaran di situ.

Terutama kalau kita menyatakan Sabah dan Sarawak misalnya, tentulah jauh lebih susah untuk mereka untuk pergi ke jabatan kebajikan daerah untuk melaporkan tentang anak-anak mereka yang lahir sebagai seorang bayi yang cacat. Jadi saya mahu tahu sama ada sistem itu telah wujud ataupun tidak. Seterusnya saya ingin bertanya..
Teruskan membaca