MP PKR Batu: Ambil kesempatan krisis ekonomi dengan formula ‘urban renewal’

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang membenarkan saya untuk menyertai perbahasan dalam Anggaran Perbelanjaan Tambahan Kedua ini.

Pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa perbahasan ini dalam Anggaran Perbelanjaan Tambahan ini harus dilihat dalam konteks negara kita menghadapi krisis ekonomi global dan juga paradigm atau konteks formula lama untuk menguruskan ekonomi ini tidak lagi menunjukkan kecekapannya untuk menangani krisis demi krisis.

Ini juga harus dilihat dalam sebagai alat untuk mengatasi bersama-sama dengan stimulus package dan apa-apa lagi perbelanjaan tambahan yang akan dikemukakan oleh kerajaan sebagai alat yang lebih berkesan untuk mengatasi masalah ekonomi negara kita.

Dalam konteks ini, saya memang menyeru supaya kita harus memandang cara untuk mengatasi ini di luar kotak, thinking outside the box dan dengan untuk memastikan wang-wang yang kita tambah diluluskan dengan cara yang bertanggungjawab dan dana ini sampai kepada golongan-golongan yang memerlukan.
Teruskan membaca

MP PAS Padang Terap: Halal dan haram juga berkaitan dengan kezaliman dan juga keadilan

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Dewan Rakyat saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan perbelanjaan mengurus tambahan pertama dan kedua bagi 2008/2009. Saya mulakan perbahasan saya ini dengan satu firman Allah SAW. [Membaca sepotong ayat al-Quran]

Kenapa kamu tidak bersungguh-sungguh untuk berjuang di jalan Allah. Tidakkah kamu melihat di sana orang-orang Mustad’afin daripada golongan lelaki yang tua, perempuan yang tidak terdaya, anak-anak kecil yang mereka ini hanya mampu menadah tangan berdoa kepada Allah.

‘Ya Allah selamatkan kami, keluarkan kami daripada negara yang zalim penduduknya. Hantar kepada kami seorang pemimpin yang boleh memimpin mengendalikan urusan kami, hantar pada kami orang yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami’.

Tuan Yang di-Pertua, kita mendengar dua tiga hari ini keputusan SPM yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan kita telah mendapati bagaimana seorang pelajar ataupun adik Nor Madihah mendapat keputusan yang begitu baik menjadikan beliau adalah pelajar yang terbaik di negara kita.

Akan tetapi yang cukup menyedihkan kita ialah bagaimana rumah yang beliau duduk itu begitu menyedihkan sehingga rumah itu pun yang sampai berita kepada kita adalah rumah sewa dan bukanlah rumah yang dimiliki sendiri oleh ibu bapa beliau. Jadi sudah tentulah apabila kita melihat perkara ini berlaku timbul persoalan kepada kita. Adakah peruntukan-peruntukan yang sebelum ini dibahaskan dalam Dewan yang mulia ini sampai ke bawah ataupun tidak. Mereka yang Mustad’afin, golongan yang tertindas adalah keadaan yang cukup susah dan cukup sukar.

Apabila mereka mencapai kejayaan, barulah kerajaan prihatin dan menghulurkan bantuan demi bantuan kepada mereka. Apa yang saya hendak sebut dalam perbahasan ini ialah berkaitan dengan peruntukan yang begitu besar yang diperuntukkan di bawah Kepala B.11 dan 12 untuk Kementerian Kewangan iaitu satu program yang ditambah oleh kerajaan untuk membina rumah mesra rakyat.
Teruskan membaca

MP PAS Tumpat: Belanjawan mini RM60 bilion dibentang, esoknya Pasaran Saham Kuala Lumpur jatuh

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ingin turut terlibat dalam perbahasan Rang Undang-undang Belanjawan Tambahan iaitu bagi tahun 2008 yang belanjawan tambahan kedua untuk mengurus dan belanjawan pembangunan tambahan yang pertama untuk tahun 2008.

Sebagai mana yang disebut oleh rakan-rakan khususnya Yang Berhormat Ipoh Timur tadi, suasana politik banyak menyelubungi isu yang kita seharusnya juga memberikan tumpuan iaitu berkaitan dengan ekonomi negara.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur, Tuan Yang di-Pertua bahawa pada 10 Mac yang lalu, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri telah membentangkan apa yang dipanggil mini bajet ataupun rangsangan ekonomi dan sebagainya yang diumumkan berjumlah RM60 bilion.

Pada hari yang sama, Pengerusi Federal Reserve Board of the United State of the Amerika, Ben Bernanke telah memberi ucapan di The Council of Foreign Relations di Washington.

Di mana Mr. Bernanke telah memberikan satu penilaian masa depan ekonomi yang agak cerah dengan mengatakan dengan izin ‘I think that is a good chance the recession will end later this year and 2010 will be a period of growth’, kata .Mr. Bernanke, Pengerusi Bank Negara Amerika Syarikat.

Bayangkan Tuan Yang di-Pertua, belanjawan mini RM60 bilion, esoknya Pasaran Saham Kuala Lumpur jatuh. Bayangkan bandingannya ucapan begini sahaja oleh Pengerusi Bank Negara Amerika Ben Bernanke esoknya pasaran saham New York, Wall Street melambung tinggi.

Rekod kenaikan saham di pasaran saham New York. Ianya diikuti dengan pasaranpasaran saham yang lain seperti di Hong Kong, di Tokyo, di Eropah dan sebagainya di hari-hari yang kemudiannya.

Manakala sebaliknya pasaran saham Kuala Lumpur masih terus turun dan turun. Inilah yang bererti bahawa suasana negara kita sama ada dari segi politiknya sebagaimana Yang Berhormat Pasir Mas juga bayangkan tadi kekeliruannya, ketidakyakinannya, dan sebagainya.
Teruskan membaca

MP PAS Rantau Panjang: Sejauhmana keberkesanan projek KESEDAR kepada Pelatih dan bekas Pelatih

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.22 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang untuk saya membahaskan peringkat Jawatankuasa, Maksud P.22, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Menyentuh Butiran 00900 – Institut Kemajuan Desa (INFRA), saya ingin penjelasan, berapakah peruntukan untuk negeri Kelantan, khususnya dalam Parlimen Rantau Panjang dan sejauh mana penglibatan kerajaan negeri diambil kira di dalam melaksanakan projek ini dan apakah jenis-jenis projek yang telah dilaksanakan setakat ini, dan sejauh mana tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memastikan bahawa tidak ada desa yang tertinggal terutama yang berkaitan dengan kemudahan-kemudahan asas yang penting, yang mana ini adalah satu perkara yang cukup penting untuk membina pengupayaan komuniti dalam satu masyarakat di desa.

Saya juga ingin penjelasan mengenai Butiran 02300 – Jalan-jalan Luar Bandar, yang mana kita lihat sekarang ini masih banyak jalan di luar bandar yang keadaannya sangat sempit, yang tidak sesuai dengan suasana sekarang, kalau kita tengok banyak lagi jalan yang tidak boleh berselisih dua kereta.
Teruskan membaca

MP PAS Sik: Kementerian lambat memperbaiki kerosakan jambatan

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.22 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin meminta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri ataupun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Sebenarnya perkara ini telah ditimbulkan sejak sidang pertama Dewan dahulu dan sebenarnya perkara ini juga telah ditimbulkan oleh wakil rakyat yang terdahulu.

Iaitu masalahnya ialah kelambatan kementerian memperbaiki kerosakan-kerosakan di kawasan saya iaitu di kawasan Sik.

Untuk makluman Tuan Pengerusi, masalah jambatan runtuh di kawasan Dusun Pengapit ataupun Kampung Dusun Pengapit ini telah lima tahun berlaku. Soal ini telah beberapa kali disuarakan dan saya inginlah mendapat penjelasan jelas daripada pihak kementerian,
mengapakah lebih daripada lima tahun perkara ini masih belum dapat diperbaiki.

Saya lihat peruntukan diberi ini adalah cukup besar, RM75 juta, jadi saya mohonlah peruntukan ini dikhaskan untuk memperbaiki jambatan ini yang nilainya dibuat oleh JKR cuma RM300 ribu.

Ianya amat memberi kesan kepada petani-petani yang berulang-alik ke kebun-kebun mereka dan dalam masa yang sama jalan ini juga digunakan oleh anak-anak sekolah untuk ke sekolah.

Jadi saya rasa peruntukan yang banyak ini dapatlah menyelesaikan masalah yang telah bertahun-tahun berlaku ini kerana kita tidak minta benda-benda besar, cuma meminta perkara asas iaitu satu jambatan yang menghubungkan kawasan penting penduduk dengan kawasan mereka mencari makan dan juga kanak-kanak ke sekolah. Terima kasih Tuan Pengerusi.

MP PAS Kubang Kerian: Kita berikan tanah kepada rakyat jadi isu

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.22 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hanya bercadang untuk menyentuh dua butiran berhubung kait dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini.

Pertama Butiran 00900 mengenai Institut Kemajuan Desa ataupun singkatannya INFRA. Saya ingin penjelasan daripada pihak kementerian, apakah fokus ataupun aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan melalui INFRA ini. Sejauh manakah ianya berkesan dalam mencapai objektif iaitu untuk meningkatkan keupayaan komuniti dalam sesebuah masyarakat.

Di sini saya ingin juga penjelasan tentang adakah pelaksanaan pelan tindakan desa ini termasuklah memberikan nasihat dan tunjuk ajar terhadap dasar pengurniaan tanah.

Walaupun saya faham bahawa urusan membahagikan tanah ataupun pengurniaan tanah ini adalah di dalam bidang kuasa kerajaan negeri tetapi apakah kementerian Yang Berhormat berperanan dalam menentukan dasar penganugerahan tanah ini.

Sebagai contohnya isu kampung baru dan isu kampung tersusun yang menjadi mainan ataupun modal politik apabila dilaksanakan di negeri Perak sedikit masa dahulu.

Di mana kita memberikan tanah ini menjadi isu dan isunya pula dikaitkan dengan isu perkauman, Cina dan Melayu, Melayu dan Cina dan seumpamanya.
Teruskan membaca

MP PKR Sungai Petani: Sebelum pembayaran Kerajaan kena tengoklah kualiti jalan-jalan

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.22 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Dato’ Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana dilihat di kampung-kampung banyak jalan kecil, jalan kampung itu telah pun dibina di kampung-kampung.

Tidak kiralah kampung di kawasan Kerajaan Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional, memang cantik. Cumanya Tuan Pengerusi, saya mencadangkan supaya sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor-kontraktor ini, kena tengoklah kualiti jalan-jalan.

Ini kerana ada kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir pun tapi disebabkan oleh jalan-jalan kecil, jalan kampung ini dulunya air jalan laju masuk ke longkang besar. Akan tetapi kerana disebabkan oleh jalan-jalan kecil ini, ia jadi sangkut habis dalam kampung dan disebabkan oleh tidak ada saluran keluar air ini membuatkan kampung-kampung menjadi tenggelam.

Salah satu daripada sebab banjir yang berlaku khususnya banjir kilat disebabkan oleh jalan-jalan kecil ini. Saya mencadangkan supaya pihak kementerian mengkaji sedikit sahaja, bukan banyak bahawa mesti ada di antara jalan-jalan itu mesti ada longkang-longkang kecil supaya air boleh turun ikut bawah, keluaq. Air boleh keluar, tidak sangkut di jalan.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Keluar dengan ‘keluaq’ itu lain kah?
Dato’ Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Air boleh keluar merentasi jalan-jalan ini.
Teruskan membaca

MP PKR Lembah Pantai: Statistik jenayah bercanggah?

17 Mac 2009 – Mencelah Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya hanya mahu tekankan di sini bahawa statistik yang saya sebut adalah statistik rasmi. Bukan daripada sumber-sumber Pembangkang, sumber-sumber lain tetapi IPD Brickfields sendiri termasuklah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur kerana itu serius.

Ini kerana wujud percanggahan ini maksudnya kejituan pilihan di mana hendak dibangunkan balai-balai polis atau pun pondok polis itu dipersoalkan seperti mana kerisauan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat daripada Bintulu dan juga Yang Berhormat Putatan itu tadi.

Jadi, saya harap Yang Berhormat Timbalan Menteri dapat mengambil langkah yang serius untuk address this issue dengan izin, kerana isu kredibiliti bolehkah kita percaya indeks jenayah yang diuar-uarkan dalam media oleh pihak rasmi sendiri? Bagaimana kita boleh pastikan dalam masa depan rakyat boleh percaya dengan angka-angka ini dan ia boleh diguna pakai.

Jadi, berbalik kepada keperluan kajian seperti yang dipinta oleh Yang Berhormat Jempol kerana saya rasa banyak sangat persoalan yang tidak mungkin dijawab dalam sidang ini. Terima kasih.
Teruskan membaca

MP PAS Shah Alam: ..kita ini always reactive. Bila sudah ada kes jenayah dan orang sudah adu baru kita hendak fikir benda itu

17 Mac 2009 – Mencelah Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Yang Berhormat Timbalan Menteri, sebelum masuk yang spesifik itu, saya hendak sentuh baliklah…

Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hendak sentuh tentang pendekatan yang disebut tadi bergantung kepada keperluan dan bergantung kepada indeks jenayah. Benda ini pun ditimbulkan oleh Yang Berhormat Lembah Pantai. Saya rasa kaedah itu tidak berapa betul kerana apa yang kita perlukan ialah satu kaedah atau satu piawaian.

Di seluruh negara kita inginkan satu piawaian sama ada terdapat kes jenayah, kadar jenayah tinggi kah atau tidak tinggi kah, dari segi soal perkhidmatan keselamatan mesti diwujudkan.

Kalau tidak, maka kita ini always reactive. Bila sudah ada kes jenayah dan orang sudah adu baru kita hendak fikir benda itu. Sepatutnya kita kena ada satu pendekatan yang berbeza.

Seperti mana sekali lagi Yang Berhormat Lembah Pantai juga timbulkan, bagaimana kalau kita guna kaedah itu kalau dia punya indeks berbeza-beza. Kaedah pengiraannya. Lalu bolehkah kita adakan satu target seperti mana yang disebut satu anggota polis bagi setiap 250 orang penduduk.

Itu adalah piawaian antarabangsa. Kita mula berdasarkan kepada itu dan kita memberitahu kepada kerajaan keperluan bajet berdasarkan kepada itu daripada hendak tengok kaedahlah, keperluanlah dan sebagainya. Terima kasih.

Dato’ Chor Chee Heung: Yang Berhormat, pengambilan anggota polis dan pembangunan itu berlainan. Dua perkara yang asing. Apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat iaitu pengambilan anggota, memang kerajaan bersetuju.
Teruskan membaca

MP PAS Rantau Panjang: Balai Polis Rantau Panjang tenggelam tujoh kaki apabila banjir melanda Pekan Rantau Panjang

17 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana turut memberi peluang kepada saya membahaskan peringkat Jawatankuasa Maksud P.62 Kementerian Dalam Negeri Butiran 12000 berkaitan Balai-balai Polis dan Pondok-pondok Polis.

Kita lihat dalam peruntukan ini sebanyak RM81.23 juta telah diperuntukkan untuk membina balai polis. Persoalan saya ialah berapakah jumlah pondok polis yang akan dibina? Di manakah lokasinya?

Saya inginkan penjelasan adakah ini termasuk balai polis yang saya sebutkan dalam ucapan yang lalu bagaimana keperluan balai polis di Parlimen Rantau Panjang terutama di Sempadan Thailand. Setiap tahun kita terdedah dengan banjir yang lebih daripada tujuh hingga lapan kaki setiap tahun berhadapan dengan banjir. Ini adalah satu perkara yang sangat besar.
Teruskan membaca