MP PAS Rantau Panjang: Saran Kerajaan naik taraf Pusat-Pusat Pemindahan Banjir

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jabatan Perdana Menteri

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima kasih. Saya ingin menyentuh dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa ini iaitu maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri.

Saya ingin yang pertama menyentuh tentang peruntukan RM52 juta yang diperuntukkan untuk membiayai projek-projek khas di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Saya ingin penjelasan sebab daripada jawapan soalan Dewan dimaklumkan kepada saya bagaimana setiap kawasan Parlimen mendapat RM1 juta peruntukan. Jadi, saya ingin penjelasan di bawah Parlimen saya, Rantau Panjang, apakah butiran-butiran program untuk projek yang telah dilaksanakan pada tahun 2008 dan begitu juga Parlimen-Parlimen yang lain.

Kami semua Ahli Parlimen dari Pembangkang tidak mendapat sesen pun hak daripada peruntukan ini. Minta penjelasan.

Yang kedua, iaitu tentang kos sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk bantuan banjir. Untuk menaikkan taraf pusat-pusat pemindahan banjir. Kawasan Rantau Panjang adalah kawasan yang memang setiap tahun mengalami banjir. Kebanyakan pusat pemindahan adalah menggunakan madrasah, ada juga sekolah dan sebagainya.

Di antara masalah yang paling besar ialah apabila tempat ini adalah tempat yang tidak selamat. Sebagai contohnya ialah madrasah-madrasah. Walaupun dari segi air dia tinggi tetapi dari segi bangunan itu agak uzur, contohnya madrasah yang ada di Kampung Lubok Stor, di kampung kaki bukit yang saya lihat madrasah itu dari segi jangka panjangnya amat tidak selamat sekiranya tidak ada peruntukan khas untuk pembaikan.

Jadi, saya ingin penjelasan sejauh mana prihatin pihak kerajaan untuk menaik taraf pusat-pusat pemindahan ini dan saya ingin tahu berapakah peruntukan untuk menaik taraf pusatpusat pemindahan banjir ini dalam Parlimen saya dan juga Parlimen lain di seluruh negara yang terlibat dengan banjir.
Teruskan membaca

MP PKR Machang: Ingin tahu status siasatan tuduhan fitnah

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jabatan Perdana Menteri

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tuan Pengerusi terima kasih. Satu perkara sahaja yang saya hendak bangkitkan di bawah Butiran B.6 – Jabatan Perdana Menteri peruntukan RM6 juta untuk membiayai penyusunan semula Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Tuan Pengerusi, pada 9 Julai 2008 Permatang Pauh telah membuat satu aduan kepada JAWI berkenaan dengan satu fitnah yang dibuat oleh Saiful Bahari ke atasnya. Saya tidak berbicara berkenaan siasatan Mahkamah Sivil sebab kita juga ada Mahkamah Syariah yang kita minta tindakan diambil di bawah Undang-undang Syariah.

Tuan Pengerusi, menuduh seseorang yang diketahui secara darurinya kebaikan dengan mengatakan si polan si polan telah melakukan zina dan liwat.

Mengikut Al-Quran dan juga mengikut Undang-undang Akta Kesalahan Jenayah Syariah yang diamalkan di Wilayah Persekutuan, seksyen 41, Yang tertuduh hendaklah mengemukakan empat orang saksi.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, saya tidak hendak bagi amaran bahawa Yang Berhormat boleh menyentuh perkara yang sub judice dalam hal ni…

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya ingin bertanya tentang status siasatan.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Saya bagi amaran Yang Berhormat, ya teruskan.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Kalau Civil Court Tuan Pengerusi, dia telah pun tetap tarikh 1 Julai. Itu Civil Court, saya tidak hendak campur.

Yang ini saya hendak bercakap di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan ini JAWI, di bawah JAWI. Seksyen pun jelas, seksyen 41, kuat kuasa oleh JAWI. Oleh kerana ianya akta, Parlimen yang memberi kuasa kepada JAWI untuk menguatkuasakan.

Sekarang kita berbahas tentang peruntukan RM6 juta untuk JAWI. Tentulah saya fikir munasabah untuk saya mengambil peluang Parlimen ini supaya Menteri …

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Saya tidak katakan Yang Berhormat tidak boleh tetapi saya caution kan Yang Berhormat agar ia tidak jatuh kepada perkara yang boleh dianggap sebagai sub judice.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya teruskan kepada butiran yang saya perlukan penerangan tentangnya: pertama, apakah status siasatan telah dibuat oleh Pegawai Penyiasat JAWI tentang kes ini; dan kedua, saya juga mahu melihat supaya Mahkamah Syariah tidak dilihat sebagai inefficient kerana lambat, lengah dan lebih teruk jika sekiranya kes itu telah diputuskan Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah masih belum lagi berbuat apa-apa tentang kes ini.
Teruskan membaca

MP PAS Shah Alam: Ingin lihat JAKIM bersuara dalam kes penderaan dan penyeksaan orang dalam tahanan

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jabatan Perdana Menteri

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk kepada maksud B.6, Jabatan Perdana Menteri – 050000 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Pengurusan Am dan Keurusetiaan, di mana saya merasakan bahawa dalam persoalan peranan Jabatan Kemajuan Islam ini.

Kita ingin melihat satu peranan yang lebih bermakna memandangkan banyak perkara yang berlaku, yang bercanggah dengan prinsip-prinsip keadilan, dan seperti mana yang kita tahu bahawa mengikut Al-Quran, tujuan di sebalik mana Islam itu diturunkan ataupun untuk diutus ialah untuk menentukan keadilan itu tertegak.

Kita juga mahu melihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini, bersuara dalam kes-kes seperti penderaan dan penyeksaan orang dalam tahanan, seperti kes Kugan yang menyebabkan tahanan itu terbunuh di dalam tahanan.

Kita mahu satu teguran dan satu pendirian yang jelas, yang boleh menyelamatkan umat Islam daripada menerima dan reda dengan keadaan seperti ini, memandangkan ia nya merupakan satu perkara yang berlaku, yang melibatkan kemungkinan orang Islam sendiri daripada 11 pegawai polis.

Begitu juga dengan soal campur tangan pihak eksekutif di dalam judiciary dan sebagainya di mana kita inginkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersuara untuk melarang dan mengeluarkan satu sikap dan pendirian yang jelas berhubung dengan prinsip-prinsip keadilan yang semestinya dibela.

Tidak boleh setelah mendapat bajet yang begitu besar mereka hanya mendiamkan diri dan tidak bersuara.

MP PKR Lembah Pantai: Pembatalan pengambilalihan Ramunia Berhad akibatkan Tabung Haji rugi

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jabatan Perdana Menteri

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya turut serta dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa. Saya tidak akan bercakap panjang hanya merujuk kepada Maksud B.6 Jabatan Perdana Menteri, Butiran 01000 di bawah pentadbiran.

Saya pergi kepada Tabung Haji, salah satu institusi di bawah kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan mereka yang hendak menunaikan Rukun Keempat Islam.

Saya ingin bertanya kerana saya mendapat tahu bahawa Tabung Haji telah melibatkan diri dalam isu pembelian saham Ramunia Berhad pada pertengahan tahun 2008.

Saya difahamkan bahawa Tabung Haji telah membeli lebih daripada 167 juta saham atau 29% dalam Ramunia Berhad pada harga purata RM1.44 sesaham berjumlah lebih daripada RM240 juta. Yang penting di sini harga saham Ramunia Berhad telah jatuh merudum sehingga 0.25 sen apabila MISC Berhad iaitu Malaysia International Shipping Cooperation, anak syarikat Petronas Carigali Malaysia telah membatalkan pengambilan alih syarikat Ramunia dan akibatnya Tabung Haji mengalami kerugian lebih daripada RM198 juta.

Saya mempersoalkan kepada pihak kementerian, Jabatan Perdana Menteri kenapa Tabung Haji dibiarkan membeli sehingga 29% daripada saham Ramunia Berhad. Bagaimanakah pengawalan pelaburan yang begitu longgar dibuat dalam pembelian saham ini dan bagaimanakah Lembaga Tabung Haji bersama dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dapat menyelamatkan tabungan ahli Tabung Haji daripada kerugian yang besar ini?

Saya sedar bahawa Lembaga Tabung Haji melakukan segala usaha yang terdaya dan kenyataan CEOnya menyatakan mereka mahu menjaga kepentingan pemilik saham, tambahan lagi dana yang dijana oleh lembaga tersebut digunakan untuk menghantar tahun lepas sahaja, jemaah haji ke Tanah Suci sebanyak 26 ribu orang, kerana kos untuk seorang jemaah itu adalah sebanyak RM11,500 seorang.

Lembaga Tabung Haji membantu untuk mengurangkannya kepada RM8900,73, justeru mengapa dibiarkan pembeli saham Ramunia ini yang akhirnya melibatkan kerugian yang begitu besar. Saya harap dapat dijelaskan, kerana ini melibatkan kepentingan ramai umat Islam, jemaah haji yang ada hubung kait dengan Tabung Haji. Terima kasih.

MP PAS Kubang Kerian: Tidak mahu isu murtad dijadikan satu agenda untuk menempelak Islam

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jabatan Perdana Menteri

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya….
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kubang Kerian, saya ingin mengehadkan masa perbahasan Jawatankuasa bagi setiap Ahli Parlimen tidak melebihi 10 minit Yang Berhormat.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya untuk bersama-sama membahaskan bajet tambahan ini bagi peringkat Jawatankuasa dan bermula dengan Butiran 050000 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana ingin saya mendapat beberapa penjelasan tentang apa yang pernah saya bangkitkan dalam perbahasan yang terdahulu dan saya membuat penelitian yang mendalam bahawa ada jawapan-jawapan yang masih lagi tidak dapat memuaskan hasrat yang telah saya sebut.

Dalam sesi yang lepas iaitu tentang bagaimana Jabatan Kemajuan Islam ataupun JAKIM ini berperanan dalam memperkayakan atau memperkasa peranan pegawai-pegawainya bagi menghadapi cabaran-cabaran terbaru.

Saya ingin menyebut di sini bahawa perkembangan terkini mengenai kes yang berlaku di Pulau Pinang minggu lepas, mengenai kes seorang yang telah berkahwin kemudian bercerai dan kembali kepada agama asalnya yang mana kita melihat Mahkamah Syariah Pulau Pinang telah membuat satu keputusan dan saya juga merujuk kes ini tentang apa yang berlaku kepada Nyonya Tahir dalam kes yang pernah berlaku dua tahun yang lalu di Negeri Sembilan dan keputusannya hampir sama.

Di sinilah saya melihat bagaimana kaedah-kaedah ataupun pendekatan-pendekatan yang lebih bersifat dengan izin, pendekatan sahsiah syariah perlu untuk diperjelaskan kepada masyarakat dalam isu-isu yang berkaitan dengan murtad.

Saya ingin menyatakan dalam sekian kalinya dalam Dewan yang mulia ini bahawa saya tidak mahu isu murtad ini dijadikan satu agenda untuk menempelak Islam. Jangan sesekali isu murtad ini dijadikan satu senjata di mana kita melihat orang-orang bukan Islam akan membuat satu judgment, dengan izin, satu penghakiman bahawa Islam agama yang ada toleransi, yang tidak memberikan hak dan kebebasan, memberikan remedy terhadap saksi-saksi dan pembuktian di mahkamah.

Oleh itu kita harus membezakan di sini tentang isu murtad. Pada zaman Natrah dahulu, pada zaman awal 50an dahulu iaitu isu Natrah ini adalah suatu kes ini mana seorang anak kecil yang dibela dan dipelihara oleh keluarga Islam telah menganut Islam komited dengan ajaran Islam, berkahwin dengan Mansor Adabi dan kemudiannya melalui sistem yang ada pada waktu itu satu perbicaraan yang diadakan di Singapura dengan undang-undang yang ada pada waktu itu, maka dia telah diambil secara paksa dan dimurtadkan dengan cara yang sedemikian.
Teruskan membaca