MP PKR Gombak: Rundingan Bekalan air Kerajaan Pusat-Selangor diselesai segera

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jawatankuasa bagi Kepala Pembangunan P.29 di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin merujuk kepada Maksud P.29, Butiran 09100 berhubung Rancangan Bekalan Air Negeri Selangor.

Tuan Pengerusi, pada 10 Mac yang lalu dalam titah Tuanku Sultan Selangor ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor telah bertitah supaya rundingan di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat disegerakan supaya masalah bekalan air bersih kepada rakyat negeri Selangor ini dapat diselesaikan dengan segera dan tidak dibebankan
kepada rakyat negeri Selangor.

Seperti kita sedia maklum pada 31 Mac 2009 ini, sekiranya rundingan di atas Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak dapat diselesaikan, tarif kadar air di negeri Selangor akan dinaikkan kepada 37% sehingga mencecah harga RM1.90 sen satu liter padu di negeri Selangor. Lebih mahal daripada harga petrol, Tuan Pengerusi. Sebab itu Kerajaan Negeri Selangor telah
mengambil ketetapan bahawa rundingan ini perlulah disegerakan dalam semangat prinsip federalism yang telah saya nyatakan pada pagi ini.

Malangnya pada 4 Mac 2009, Yang Berhormat Menteri telah tampil dalam Dewan Rakyat dan mengatakan pada muka surat 49 Hansard yang telah diedarkan, bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor telah menulis surat kepada beliau dan menyerahkan rundingan ini kepada pihak SPAN ataupun Syarikat…

Tuan Hee Loy Sian [Petaling Jaya Selatan]: Minta penjelasan. Saya mahu buat sedikit pembetulan, Yang Berhormat Gombak. Satu liter dan satu meter kubik padu ini tidak sama. So, minta pembetulan ini.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat PJS.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Gombak, ada tercatat bahawa peruntukan hanya RM10 dan kebiasaannya token kita tidak bahas, Yang Berhormat.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tidak boleh bahas?
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak boleh dibahaskan, Yang Berhormat. Untuk perbahasan kali ini, ia tidak boleh dibahas kerana ia RM10 dan RM10 adalah token. Yang Berhormat boleh membahaskan Perkara 10(2) dan 10(3).

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Bahas yang mana?
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Jabatan Panggilan Kecemasan dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, boleh.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Ini tidak ada kena mengena dengan air Selangor, Tuan Pengerusi.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, tetapi Selangor RM10, Yang Berhormat.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Ya, tetapi ini satu isu yang besar yang belum diselesaikan dan kita hanya mempunyai tempoh dua minggu sahaja lagi sebelum kadar tarif air dinaikkan.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Kalau saya izinkan pun Yang Berhormat Menteri tidak akan menjawab kerana ia adalah token, Yang Berhormat. Ia untuk keperluan peraturan mesyuarat. Ia tidak perlu dibahas kerana cuma diperuntukkan RM10 sebagai token.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Kalau tidak dapat dibahaskan Tuan Pengerusi, saya berharap Yang Berhormat Timbalan Menteri yang hadir dapat menyampaikan kepada Menteri yang berkenaan supaya rundingan ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat dan harga yang telah ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada keempat-empat konsesi itu
adalah harga yang cukup berpatutan sebanyak RM5.7 bilion sedangkan Kerajaan Pusat cuba mengasak kerajaan negeri supaya membayar RM9 bilion. Yang ini tidak dapat kita terima kerana ia akan membebankan rakyat negeri Selangor dengan satu tarif yang cukup tinggi dan sudah tentulah rakyat Selangor tidak dapat membayarnya.

Oleh itu Tuan Pengerusi, saya akur dengan arahan Tuan Pengerusi. Walau bagaimanapun, saya berharap kementerian dapat mengambil inisiatif atas semangat federalism yang telah kita bahaskan supaya perkara ini memberikan manfaat kepada rakyat negeri Selangor keseluruhannya tanpa memikirkan pertimbangan politik yang sering dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: