Sidang Dewan Rakyat akan dilanjutkan sehingga 2 Julai 2009

Persidangan Parlimen Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Ke-12 yang sepatutnya tamat pada 30 Jun ini dilanjutkan dua hari lagi memandangkan masih ada urusan yang belum selesai.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan kepada Parlimen agar persidangan itu ditambah dua hari lagi.

“Ini perlu bagi membolehkan rang undang-undang dan urusan kerja diselesaikan selaras dengan peruntukan mesyuarat 11(2) peraturan Dewan Rakyat,” katanya sebelum memulakan sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengikut takwim persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, mesyuarat kedua penggal kedua itu adalah dari 15 Jun hingga 30 Jun.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak Idea Penubuhan Kerajaan Perpaduan

Sidang Media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang, Tingkat 14, Blok Menara Parlimen Malaysia pada 22 Jun 2009.

Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut:

1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.

Kenyataan ditandatangan DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG DAN LIM KIT SIANG.

Para Wakil media menunggu sidang media yang akan diadakan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

Pra Mesyuarat:

Pra Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada jam 1.00 tengahari 22 Jun 2009.

Kenyataan media Pakatan Rakyat akan menyusul.