Tubuhkan Suruhanjaya DiRaja Siasat Kematian Mendiang Teoh Beng Hock

KEMASKINI:

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor. Mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, pihak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Sebelum ini telah terdapat banyak kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azzan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan. Kematian mendiang Teoh Beng Hock merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat, sedangkan laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa para pemimpin Barisan Nasional tidak diendahkan. Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadikan alat oleh Barisan Nasional dan UMNO untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan Perdana Menteri yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan UMNO, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Badan seperti SPRM seharusnya bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan ke atas laporan terhadap para pimpinan Barisan Nasional yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah. SPRM juga seharusnya memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka. Dalam kes Mendiang Teoh, SPRM perlu mengenalpasti pegawai terlibat seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.

Kami percaya bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM dan institusi lain yang dtubuhkan oleh kerajaan. Pakatan Rakyat akan terus menerus menentang kezaliman dan salahguna kuasa institusi ini dengan mengadakan kempen di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mendesak dan bertegas agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS
Lim Kit Siang, Ketua Ahli Parlimen DAP

Kenyataan Rasmi 17 Julai 2009

Kematian Teoh Beng Hock: Kenyataan Media MP PAS Pokok Sena

PAS memandang serius isu kematian Teng Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Kerajaaan Negeri Selangor semalam. PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kematian Teong.

Ini berasaskan Teong dipanggil untuk disoalsiasat oleh SPRM. Kedua siasatan tersebut berlangsung dari jam 5 petang hingga jam 3.45 pagi. Siasatan yang berlangsung selama 10 jam dan berlangsung hingga ke pagi adalah sesuatu yang tak boleh diterima. Persoalannya perlukah siasatan dibuat selama 10 jam dan hingga 3.45 pagi melainkan ia bertujuan memberi tekanan psikologi keatas Teong dan mana mana orang yang disiasat oleh SPRM.

Tindakkan SPRM menyoal siasat dalam tempoh waktu yang panjang dan hingga keawal pagi adalah satu penderaan mental yang membawa kesan pada fizikal menjadi lemah. Tindakan ini menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia.

Sebelum ini beberapa orang penyokong Datuk Norza Zakaria calon Majlis Tertinggi Umno telah membuat laporan Polis bahawa mereka telah didera dan diseksa oleh SPRM semasa disoalsiasat dilakukan ke atas mereka berkaitan kes Datuk Norza. Dengan kes kematian Teong telah menimbul banyak persoalan intigriti SPRM apatah lagi siasatan itu dibuat dalam kes yang berkaitan dengan politik.

Perkara kedua yang PAS persoalkan ialah setiap orang yang berada dalam tahanan atau dipanggil untuk soalsiasat perlu diberi jaminan keselamatan dan perlindungan oleh SPRM. Kematian Teong menunjukkan SPRM tidak memberikan perlindungan keselamatan keatas mendiang . Oleh itu satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan secara bebas.

PAS menuntut beberapa perkara mesti disegerakan:-

1.Satu sidang khas Parlimen mesti diadakan segera untuk membincangkan intigriti SPRM yang terlalu buruk dan menjijikkan. Ini kerana ianya adalah satu keperluan yang mendesak disebabkan belum sampai setahun rang undang-undang SPRM berjalan dengan harapan imej Negara kita akan pulih. Ini juga menunjukkan amalan rasuah amat meluas oleh kerana BPR ketika itu telah dilihat ditunggangi oleh parti pemerintah. Dakwaan tidak berasas dikenakan apabila melibatkan ahli politik dari pembangkang, tetapi kes seperti Datuk Seri Mohd Khir Toyo dilihat SPRM tidak langsung menyiasat. Dengan apa yang berlaku telah memalukan Yang DiPertua Agong dan juga Parlimen yang telah meluluskan bidang kuasa baru SPRM. Oleh sebab itu sidang khas parlimen perlu diadakan segera dan Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu juga segera balik untuk membuat keputusan terhadap sidang khas tersebut.

2. Penubuhan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat kes kematian mendiang Teong Beng Hock yang berada dalam siasatan dan jagaan SPRM mesti dibuat. Siasatan ini perlu di buat oleh Suruhanjaya Bebas dan bukannya Polis kerana banyak kes kematian didalam longkap polis yang masih belum terjawab dan antaranya kes Kugan. SPRM perlu disiasat oleh Suruhanjaya Bebas ini dan penyiasatan yang meliputi seluruh aspek mesti dilakukan.

3. Menuntut pengantungan tugas Ketua Pengarah, Pengarah siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas dalam siasatan keatas mendiang Teong sepanjang siasatan Suruhanjaya Bebas.

DATO’ MAHFUZ OMAR
Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena