Dewan Rakyat tangguh 10 minit, MP Pakatan Rakyat marahkan Menteri guna perkataan “kera dalam sarkas” dan “anjing menyalak bukit”

Persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit selepas timbul kekecohan apabila wakil pembangkang marahkan pengunaan perkataan “kera dalam sarkas” dan peribahasa “seperti anjing menyalak bukit” oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.

Keputusan itu diambil Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selepas berlaku pertikaman lidah antara Noh dan Ahli Parlimen pembangkang berhubung borang permohonan baucer program subsidi beras untuk rakyat (Subur) ketika menteri itu sedang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat dasar hari ini.

Kekecohan bermula apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan terdapat ruang pada borang permohonan baucer itu untuk mendapatkan tanda tangan Ketua Umno Bahagian sebagai satu daripada syarat kelulusan, seperti yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina.

Dr Lo’Lo Mohd Ghazali (Pas-Titiwangsa) yang membangkitkan isu itu mempersoalkan keperluan mendapatkan kelulusan daripada Umno sedangkan Subur adalah program kerajaan.

“Saya mahu tanya ini duit Umno ke duit kerajaan sebab kalau duit kerajaan ia adalah daripada duit rakyat, kenapa perlu dapatkan tandatangan Ketua Bahagian Umno?” soal beliau.

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) pula bangun menunjukkan borang dan mendakwa di kawasan Taiping, permohonan baucer Subur hanya akan diluluskan kepada orang Umno sahaja.

Menjawab soalan itu, Noh meminta mereka menunjukkan borang yang dimaksudkan.

“Sila tunjuk borang… borang yang kita keluarkan tidak ada ruang ini (ruang untuk mendapatkan tanda tangan Ketua Umno Bahagian). Borang yang kita iklankan dalam surat khabar Melayu pun tidak ada… macam mana surat khabar Cina boleh ada, kita akan ambil tindakan surat khabar ini, kita akan saman.

“Kalau tidak percaya boleh buka laman web kita tengok. Dalam borang ini lambang MOA pun tidak ada… ini mungkin DAP sabotaj ini,” katanya.

Dakwaan Noh menyebabkan persidangan semakin kecoh dan Ahli Parlimen pembangkang khasnya DAP bangun membantah sehingga Noh berkata “macam kera dalam sarkas… sama seperti anjing…” sebelum percakapannya dipotong Ahli Parlimen pembangkang yang marah kerana mendakwa menteri itu menyamakan mereka seperti anjing.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor), Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong), Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) dan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) menyelar kenyataan Noh sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.


Noh kemudian menjelaskan beliau hanya mahu memberi peribahasa “seperti anjing menyalak bukit” dan bukannya untuk menyamakan mereka dengan anjing.

Pertikaman lidah antara Noh yang disokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen pembangkang berterusan kira-kira 10 minit sebelum Dr Wan Junaidi mengambil keputusan menangguhkan persidangan untuk meredakan keadaan.

Ketika ditemui di luar Dewan, Noh berkata beliau sedia menarik balik ungkapan “seperti anjing menyalak bukit” jika ia disahkan oleh pakar bahasa bahawa peribahasa itu tidak boleh digunakan bagi menjaga sensitiviti masyarakat.

“Saya boleh tarik balik kalau ada pakar bahasa kata bahawa peribahasa seperti anjing menyalak bukit itu tidak boleh digunakan, sensitif dan sebagainya… Okay, saya akan tariklah.

“Apa yang sensitifnya? Sensitifnya apabila mereka tidak mahu tunggu sampai saya habis cakap,” katanya.

Mengenai borang Subur yang dimaksudkan Ahli Parlimen pembangkang, Noh berkata ia bukan seperti borang yang dikeluarkan oleh kementerian kerana borang asal yang dapat diperoleh menerusi laman web kementerian itu mengandungi logo serta alamat kementerian dan tidak ada ruangan untuk tandatangan Ketua Umno Bahagian seperti yang didakwa mereka.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: