PERTANYAAN JAWAB LISAN DIJAWAB BERTULIS SOALAN NO: 12
DARIPADA: Y.B. TUAN HAJI NASHARUDIN BIN MAT ISA
TARIKH: 19 OKTOBER 2009
Y.B. Tuan Haji Nasharudin bin Mat Isa [ Bachok ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan punca dan implikasi akibat dari kelewatan keputusan antara Malaysia dan Indonesia mengenai isu pembekuan amah dan kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
JAWAPAN: Tuan Yang di-Pertua,
Pada 25 Jun 2009 Kerajaan Indonesia melalui Kedutaannya di Kuala Lumpur telah membuat pengumuman untuk membekukan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia berkuatkuasa serta merta. Tindakan ini diambil ekoran daripada laporan akhbar tempatan mengenai penderaan ke atas seorang pembantu rumah warga negara Indonesia oleh majikan Malaysia.
Susulan daripada itu, satu pertemuan di antara Menteri Sumber Manusia dengan rakan sejawatnya dari Indonesia telah diadakan pada 6 Julai 2009 di Putrajaya bagi membincangkan dan menyelesaikan isu berkaitan. Telah dipersetujui bahawa mesyuarat 1 Jawatankuasa Kerja antara dua negara perlu diadakan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan.
Kementerian ini berharap isu ini dapat diselesaikan dalam suasana yang kondusif. Di samping itu delegasi Malaysia akan memastikan kepentingan negara tidak akan dikompromi dalam mencapai sebarang keputusan.
Sehubungan itu, adalah ditegaskan bahawa proses perbincangan ini akan mengambil kira kebajikan dan keperluan majikan tempatan supaya mereka tidak dibebankan dengan kos yang berlebihan dikenakan oleh agen di Malaysia dan juga di Indonesia.
Di samping itu, sebagai tindakan alternatif, Kerajaan akan memberi penumpuan kepada negara sumber lain untuk mendapatkan pembantu rumah. Pada masa kini, negara sedang mendapatkan pembantu rumah daripada negara-negara seperti Indonesia, Filipina, India, Thailand, Sri Langka, Kambodia dan Laos.
Filed under: ADR Bachok, Soalan Jawab Bertulis |
Tinggalkan Jawapan