Perbincangan Pembangkang Malaysia-Indonesia dapat jernihkan Hubungan Sejati

Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata pihaknya menghargai usaha baik dilakukan anggota parlimen Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Indonesia, Rieke Dyah Pitaloka yang dilihat sebagai memperbaiki hubungan dua hala kedua-dua negara.

Dengan pelbagai insiden yang tecetus kebelakangan ini katanya, perbincangan ini dapat menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia.

“Segala yang pemimpin lakukan baik cuma kita mahu menuju ke satu tahap untuk memperbaiki dan menjernihkan hubungan dua negara ini memalui usaha-usaha ahli Parlimen.

“Selain itu, kita juga bersetuju supaya perlu pastikan wujudnya keadilan dalam proses perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perbincangan dua hala bersama Anggota DPR Indonesia di bangunan parlimen di sini hari ini.

Wakil PAS dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Di pihak Indonesia, selain Rieke, hadir sama ialah wakil Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) iaitu Migrant Care, Kontras dan Infit.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata isu berkaitan pelanggaran undang-undang perlu dititikberatkan dan dihormati.

“Dalam isu berkaitan hak asasi manusia PAS konsisten dalam membela dan memberi pandangan.

“Kita juga konsisten dalam membawa isu rakyat Indonesi dan rakyat negara lain yang berhadapan dengan undang-undang negara ini.

“Ini kerana undang-undang perlu dihormati tetapi sesiapa yang melakukan pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan,” katanya.

Teruskan membaca