TANGGUHKAN KELULUSAN DAN PERLAKSANAAN AKTA PENGANGKUTAN JALAN (PINDAAN) 2010.

Pada 15/12/2010 Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 setelah melalui proses undian belah bahagi di mana seramai 71 Ahli Dewan Rakyat (ADR) menyokong manakala 40 orang ADR membantah.

Bimbang kelulusan RUU ini akan memberikan kesan negatif kepada rakyat terbanyak maka Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) bersama Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat merafak sembah ke bawah Duli Tuanku pada hari ini memohon Tuanku menggunakan kuasa Baginda sebagai Ketua Parlimen Malaysia menimbangkan kelulusan RUU ini.

Dalam kenyataan Kementerian Pengangkutan dinyatakan bahawa pindaan RUU ini ekoran peningkatan kadar kemalangan dan mengawal budaya tidak mematuhi undang-undang oleh pengguna jalanraya. Walaubagaimanapun setelah dibahaskan di Dewan Rakyat pada 14/12/2010 dan 15/12/2010 adalah jelas bahawa tiada sebarang pindaan yang menunjukkan pendekatan untuk tujuan tersebut.

Pindaan-pindaan yang dibuat terhadap Akta ini hanyalah bersifat teknikal dengan tujuan utamanya adalah untuk memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan automatik (Automated Enforcement System – AES). “Sistem Penguatkuasaan Automatik – AES” ini melibatkan penggunaan kamera yang mengambil gambar kenderaan melakukan kesalahan yang akan diproses oleh suatu pusat pemprosesan maklumat dan kemudiannya mengeluarkan dan menghantar saman kepada pesalah trafik.

Dalam jawapannya Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa Kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa peruntukkan kewangan sebaliknya segala kos ditanggung oleh syarikat pengendali yang akan diawardkan kontrak pengendalian. Persoalan timbul apabila pengendalian sistem ini diberikan kepada dua (2) syarikat yang disebut iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Commercial Circle (M) Sdn. Bhd.

Bagaimana dua syarikat ini mendapat kontrak pengendalian sedangkan pindaan RUU ini belum diluluskan. Timbalan Menteri menyatakan bahawa letter of award belum dikeluarkan tetapi letter of intent telah diberikan sedangkan pindaan RUU belum diluluskan. Nampaknya Kementerian telah mendahului Parlimen di dalam hal ini.

Selain itu cara pengendalian sistem AES ini juga adalah bersifat menindas dan akan membebankan rakyat dan pengguna jalanraya bukannya bertujuan untuk mendidik pengguna jalanraya. Bagi tujuan perlaksanaan sistem ini syarikat Beta Tegap Sdn. Bhd. dikatakan memperolehi 18.7%, Commercial Circle (M) Sdn Bhd mendapat 18.6% manakala Kerajaan memperolehi 65.7% hasil dari jumlah 6 juta saman yang dikeluarkan. Angka ini berdasarkan Modul Simulasi Kewangan yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan.

Walaubagaimanapun Modul Simulasi Kewangan tersebut tidak pernah diedarkan kepada ADR-ADR sebelum dibahaskan RUU ini. Berdasarkan kenyataan tersebut dapat disimpulkan bahawa perlaksanaan sistem AES ini adalah untuk mengumpul saman dan bukan mendidik pengguna jalanraya. Ini kerana syarikat pengendali sistem AES ini semestinya akan cuba mengeluarkan sebanyak mungkin saman supaya mereka mendapat pulangan daripada pelaburan mereka. Mustahil kedua-dua syarikat ini hendak menanggung rugi sedangkan mereka telah mengeluarkan modal yang tinggi bagi menyediakan sistem, peralatan kamera dan peralatan komputer.

Justeru mereka akan menetapkan sasaran untuk pengeluaran saman supaya mereka mendapat pulangan modal. Bagaimana pula jika semua pengguna jalanraya selepas perlaksanaan sistem ini memandu secara berhemah. Tiada saman dikeluarkan, maka semestinya syarikat ini tidak memperolehi pendapatan. Jika dalam keadaan begini bagaimana pula keadaan syarikat? Adakah Kerajaan menyediakan apa-apa pakej pampasan? Ini perlu diperjelaskan oleh Kerajaan yang mana tidak dijawab di Dewan Rakyat.

Seterusnya pindaan ini juga tidak menyelesaikan masalah saman ekor yang berleluasa. Pindaan ini memasukkan takrifan “imej yang dirakam” bagi membolehkan penggunaan rakaman kamera diterima pakai sebagai keterangan di Mahkamah. Persoalannya bagaimana kedudukan saman-saman ekor yang dikuatkuasakan sebelum pindaan ini kerana imej yang dirakam yang digunakan sebelum pindaan tidak boleh digunapakai di Mahkamah. Sepatutnya Kerajaan menghapuskira saman ekor yang dilaksanakan sebelum pindaan ini kerana imej yang dirakam semasa penguatkuasaan saman ekor sebelum ini tidak terpakai.

Selain itu RUU ini tidak menyelesaikan masalah-masalah yang sering berbangkit seperti masalah kemalangan maut yang semakin meningkat, masalah senarai hitam pemilik kenderaan dan juga masalah saman ekor.

Semasa perbahasan telah dibangkitkan mengenai keputusan kes di Mahkamah Tinggi Kuching yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenaraihitam kenderaan adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Kes tersebut adalah kes LEONARD LIM YAW CHIANG vs DIRECTOR OF JABATAN PENGANGKUTAN JALAN NEGERI SARAWAK & ANOR [2009] 6 CLJ 280.

Timbalan Menteri dalam jawapannya menyatakan bahawa kes itu tidak terpakai sedangkan dengan jelas telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching yang mentafsirkan peruntukkan Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang digunapakai JPJ dalam menyenaraihitam kenderaan.

Pindaan hukuman di dalam RUU ini tidak akan menyelesaikan masalah kemalangan yang semakin meningkat kerana pindaan hanya melibatkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan teknikal seperti kegagalan memaklumkan pertukaran alamat dan kegagalan memberikan maklumat. Hukuman terhadap kesalahan memandu secara merbahaya hingga mengakibatkan kemalangan maut contohnya tidak disentuh langsung.

Justeru KASE dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan rakyat merafak sembah ke bawah Duli Tuanku menolak kelulusan RUU ini dan seterusnya memerintahkan RUU ini dibahaskan semula di Parlimen.

YB DATO’ HAJI MAHFUZ BIN HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor(KASE)

Kenyataan dikeluarkan selepas MENYEMBAH MAKLUM MEMORANDUM MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PENGANGKUTAN JALAN (PINDAAN) 2010 YANG AKAN DISAMPAIKAN KEPADA SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG pada 23/12/2010 jam 10.30 pagi.

Advertisements

Satu Respons

  1. […] Pada 15/12/2010 Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 setelah melalui proses undian belah bahagi di mana seramai 71 Ahli Dewan Rakyat (ADR) menyokong manakala 40 orang ADR membantah. Bimbang kelulusan RUU ini akan memberikan kesan negatif kepada rakyat terbanyak maka Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) bersama Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat […] Ahli Parlimen PAS […]

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: