DR 5 Oktober 2011 – Perbahasan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011
Tuan Salahuddin Haji Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Sekadar untuk berkongsi beberapa idea dan maklumat dalam Rang Undang-undang Kampong Bharu ini. Saya sebagaimana rakan-rakan yang lain juga ingin memperingatkan bukan dengan niat mala fide ataupun dengan niat yang jahat kerana saya rasa semua orang bersetuju bahawa satu-satunya lagi kampung tradisi di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur ini perlu dikekalkan dan segala identitinya tidak akan terhakis. Saya rasa itu asas kepada semua perbahasan yang walaupun mungkin bercampur baur dengan usaha politik, itu biasalah. Kita orang politik, kita bercakap dalam bahasa orang politik.
Akan tetapi saya yakin dan percaya bahawa kepada mereka yang inginkan melihat suatu pandangan jauh, kita punya way forward terhadap masa depan Kampong Bharu ini dan di belakang sana saya rasa ada wakil emas yang telah begitu berpengalaman dan telah pun masuk dalam usia emas – warga emas yang sudah tentu dalam hati mereka ingin melihat bahawa Kampong Bharu ini akan diwarisi oleh anak-anak cucu akan datang yang mana tidak tergadai sedikit pun apa yang mahu kita pertahankan pada hari ini.
Adapun kebimbangan-kebimbangan yang kami lahirkan hanya sekadar satu unjuran pemikiran, suatu pandangan jauh ke hadapan supaya kesilapan masa lalu tidak akan berulang. Saya rasa itu konsep dan falsafahnya. Seorang cendekiawan China iaitu Ai Cheng pernah mengatakan bahawa sejarah adalah cerminan masa depan. Sejauh mana pun kita mahu pantas berlari ke hadapan, jangan lupa pada sejarah, kepada pengalaman masa lampau.
Kereta yang paling mahal di dunia pun pada hari ini dengan teknologi yang paling canggih pun ada cermin pandang belakang. Walaupun kereta ini memacu ke hadapan yang mungkin 500 kilometer satu jam, pemandu terbaik, pemenang grandprix, pemandu yang baik ini mesti memandang cermin belakang sebelum membuat pintasan memotong dan kereta akan terus maju ke hadapan.
Jadi saya rasa dalam konteks kita membicarakan tentang Kampong Bharu ini ialah pengalaman masa lalu harus diambil kira. Isu hilangnya satu per satu kampung-kampung Melayu ini bukan satu mitos. Ia bukan macam cerita Laksamana Hang Tuah. Dia bukan cerita macam Hikayat Panji Semerang ataupun Hikayat Malim Deman. Itu cerita mitos. Akan tetapi hilangnya nama-nama kampung-kampung tradisi Melayu ini adalah satu kenyataan dan satu persatu hilang daripada peta Kuala Lumpur ini.
Saya rasa kalau Allahyarham Tun Razak masih ingat dan dia hadir bersama-sama kita pada hari ini, kita jangan lupa untuk mengimbang suatu kuasa ataupun dominasi politik pada masa itu, Tun Razak mempelawa orang-orang kampung datang ke Kuala Lumpur ini. Datang untuk apa? Untuk mengimbangkan suatu dominan politik dan menstabilkan politik pada waktu itu.
Orang kampung yang berhijrah pada waktu itu bertanya; “Tun, mana tanah kami hendak duduk?”
Tun jawab; “Duduklah ini tanah kerajaan. Ini kerajaan kita. Esok kerajaan akan berkira kepada anda semua kita sama-sama orang Melayu”. Itu kata Tun Razak beberapa dekad yang lalu. Hari ini apa jaminannya?
Walaupun nama-nama kampung tadi Abdullah Hukum, pejuang tanah bagi orang Melayu, Kampung Kerinchi, Kampung Chubadak, Kampung Dalaman di Sentul hari ini. Di mana mereka? Ini bukan mitos. Ini bukan suatu cerita dongeng ataupun saya bercakap hari ini dengan suatu fakta yang tidak boleh saya bertanggungjawab. Kalau itu pun hilang pada hari ini, apa jaminannya? Hari ini orang Melayu macam alergi hendak sebut kampung mereka. Kalau ada korporat Melayu pun kalau hendak bangunkan tanah-tanah, gemar menggunakan nama-nama Duta Vista, Valencia, Kerinchi pun letak Link, Danga pun letak Bay, Heritage dan seumpamanya. Hilang bahasa Melayu. Apa jaminannya? Adakah ini juga cerita dongeng?
Teruskan membaca
Filed under: Ucapan | Leave a comment »