MP PAS Bachok: JKSM gagal kendali kes yang simple

Dewan Rakyat 5 Okt 2011 – Sesi Pertanyaan Jawab Lisan
2. Tuan Haji Nasharuddin Mat Isa [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah berperanan di dalam memudahkan urusan perbicaraan di Mahkamah Syariah dan apakah usaha yang dilakukan oleh JKSM dari sudut penggubalan kaedah, arahan amalan dan pekeliling bagi mempercepatkan perbicaraan di
Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharum]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bachok, Ahli-ahli Yang Berhormat, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa melaksanakan pelbagai langkah dalam memudahkan urusan perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Antara langkah-langkah tersebut ialah:
(i) menetapkan KPI Menteri bagi pengurusan kes perceraian yang tertunggak selama tiga tahun di Wilayah Persekutuan dapat diselesaikan 100% pada 2011. Menetapkan KPI yang dipersetujui di seluruh Mahkamah Syariah negeri bagi pengurusan kes mal dan juga jenayah;
(ii) seterusnya, kes mal diuruskan bagi tempoh permohonan kes diterima sehingga diselesaikan dalam tempoh 180 hari. Bagi kes jenayah diuruskan dari tarikh permohonan kes diterima sehingga diselesaikan
dalam tempoh 180 hari dan kitaran masa kes faraid diuruskan bagi tarikh pendaftaran sehingga faraid dikeluarkan dalam tempoh 30 hari. Kitaran masa kes rayuan diuruskan dalam notis rayuan difailkan sehingga keputusan rayuan disampaikan pada mahkamah yang kesnya dirayu dalam tempoh 180 hari;
(iii) seterusnya, ke arah untuk menyegerakan juga proses mahkamah penyelesaian kes melalui majlis sulh;
(iv) pemakaian aplikasi e-Syariah dalam pengurusan kes;
(v) pelancaran buku panduan proses perceraian di Mahkamah Syariah;
(vi) khidmat nasihat perbicaraan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK);
(vii) BSK transit;
(viii) latihan kepada hakim dan pegawai mahkamah untuk menambahkan kemahiran dan kecekapan mengurus kes sebelum perbicaraan dan semasa perbicaraan; dan DR 5.10.2011
(ix) pelantikan hakim wanita.

Sesungguhnya kerajaan percaya usaha mempercepatkan perbicaraan suatu kes tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada usaha pihak mahkamah sahaja, kerana proses perbicaraan tidak sama dengan proses permohonan sesuatu dokumen seperti lesen. Oleh itu, perbicaraan mahkamah maklum penyebaran maklumat berkaitan proses di mahkamah memerlukan kerjasama semua pihak iaitu para peguam, pihak yang terlibat dalam sesuatu kes,
saluran media dan pihak NGO.

Mengenai usaha oleh JKSM dari sudut penggubalan kaedah, arahan amalan dan pekeliling bagi mempercepatkan perbicaraan di Mahkamah Syariah, sukacita saya maklumkan sejak tahun 2000 sehingga tahun 2010, JKSM bersama dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri telah merangka dan meluluskan sebanyak 125 arahan amalan dari pelbagai sudut pengurusan bermula daripada pendaftaran kes, pengurusan fail dan tatacara pengendalian kes oleh hakim-hakim, pengurusan rekod serta perbicaraan termasuk juga etika hakim dan peguam syarie.

Keseluruhan arahan amalan tersebut telah disahkan oleh ketua hakim syarie negeri-negeri sebagai arahan amalan negeri-negeri yang wajib dipatuhi oleh semua pengamal undang-undang. Sebanyak enam arahan amalan yang terkini yang dikeluarkan pada tahun 2010. Bagi menjamin keberkesanan arahan amalan yang dikeluarkan dan mencapai objektifnya, pihak JKSM telah melaksanakan audit pemantauan amalan arahan pada setiap tahun bermula pada tahun 2009 sehingga kini.

Laporan tersebut dibincangkan dan diambil perhatian dalam mesyuarat ketua hakim syarie pada setiap empat bulan sekali.
Pihak JKSM juga sentiasa mengenal pasti kekurangan, panduan dan peruntukan undang-undang yang terlalu umum. Bagi tujuan tersebut, lapan kaedah telah diluluskan oleh jawatankuasa induk, kaedah Mahkamah Syariah seluruh Malaysia pada tahun 2010 untuk melancarkan perjalanan perbicaraan dan seterusnya menjadi panduan kepada hakim-hakim syarie bagi menjamin perkhidmatan yang diberikan sentiasa efisien dan berkesan.

Kaedah-kaedah tersebut ialah:
(i) kaedah hakam;
(ii) perceraian khuluk;
(iii) perceraian fasakh;
(iv) perceraian taklik;
(v) sumpah syarie;
(vi) pengesahan nikah yang berlawanan undang-undang;
(vii) pengesahan lafaz cerai; dan
(viii) sebat Mahkamah Syariah.

Sekiranya terdapat apa-apa persoalan dan kelonggaran pengurusan, pihak JKSM juga akan mengeluarkan pekeliling ataupun surat pekeliling ketua pengarah kepada ketua hakim syarie negeri bagi tujuan pengesahan di negeri-negeri. Sekian.
Beberapa Ahli: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Silakan Yang Berhormat Bachok.

Tuan Haji Nasharuddin Mat Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri yang sudah membuat penjelasan tentang KPI dan tindakan-tindakan yang telah diambil untuk memastikan Mahkamah Syariah berada di tahap yang boleh kita banggakan. Cuma Yang Berhormat Menteri, saya ingin bertanya adakah Yang
Berhormat Menteri sedar bahawa di sebalik KPI dan perkara yang telah disebutkan tadi, masih terdapat perkara-perkara kontroversi antara pihak berkuasa agama negeri (MAIN) dan juga pihak JKSM yang berpunca daripada kelemahan kepimpinan JKSM termasuk tadi yang telah disebut oleh Yang Berhormat Menteri tentang BSK, insiden yang berlaku di Perak. Pegawai BSK yang disuruh balik semula merujuk kepada Peguam Negara yang menimbulkan satu isu yang bagi saya amat memalukan JKSM itu sendiri.

Terdapat juga maklumat yang saya terima, banyak negeri yang enggan memberikan tauliah kepada panel hakim rayuan di JKSM kerana kebanyakan hakim-hakim rayuan ini adalah mereka yang disambung kontraknya walaupun ada di antara mereka itu yang tidak fit daripada segi kesihatannya sehingga berlaku beberapa kes, hakim tidur ketika membicarakan sesuatu
kes…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Apakah soalannya Yang Berhormat?
Tuan Haji Nasharuddin Mat Isa [Bachok]: Dan juga ingin mendapat penjelasan terakhirnya tentang bagaimana JKSM bagi saya telah gagal untuk mengenal pasti beberapa langkah positif dalam pengendalian kes-kes yang simple? Tadi telah disebutkan. Maklumat yang saya terima, termasuk kes-kes lafaz talak dan cerai ini masih menimbulkan satu isu yang besar dalam kalangan masyarakat Islam yang sepatutnya boleh kita gunakan kaedah dengan menjalankan siasatan inquisitorial, dengan izin bagi mempercepatkan proses penghakiman sesuatu kes yang dibawa ke mahkamah. Terima kasih.

Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharum: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bachok terima kasih pada soalan yang telah diberikan tadi. Beberapa perkara yang ditimbulkan di antaranya ialah masalah hubungan antara JKSM dan juga pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) terutamanya dalam konteks BSK (Badan Sokongan Keluarga).
Saya suka ingin hendak menambah kefahaman bahawa kita sedia maklum, bahawa mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Negara, agama adalah di bawah negeri. Dalam pengertian yang lebih tepat ialah agama di bawah Raja dan juga Sultan masing-masing kecuali bagi Wilayah Persekutuan bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak ia terletak di bawah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong.

Jadi, dalam kedudukan yang pasti yang disebutkan dalam peruntukan Jadual Kesembilan Perlembagaan Negara, ia memberikan kekuatan untuk Sultan dan Raja masing-masing. Oleh sebab itu, pandangan yang diberikan terutamanya dalam kes Perak, MAIN dan juga pihak JKSM, proses penempatan dan juga proses untuk pengambilan wang daripada BSK untuk diberikan kepada pihak yang terlibat yang sewajarnya terutamanya isteri dan juga anak-
anak yang tidak mendapat peruntukan daripada keluarga ataupun suami ataupun bekas suami dan juga ayah. Jadi, masalahnya ialah apabila berlaku perceraian Tuan Yang di-Pertua dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat, biasanya suami tadi sudah bertukar, apabila berlaku perceraian, dia menjadi bekas suami.

Akan tetapi anak, dia tidak menjadi bekas anak. Dia menjadi kekal sebagai anak. Jadi apabila dia jadi kekal sebagai anak, ayah ini kadang-kadang dia tidak bayar untuk bayaran nafkah dan sebagainya, Badan Sokongan Keluarga (BSK) memainkan peranan untuk membayar sehinggalah mahkamah memutuskan. Apa yang berlaku di Perak di antaranya termasuk ialah penempatan BSK itu mengikut pandangan Perak ialah mestilah diberikan kuasa kepada MAIAMP
untuk tujuan pembayaran tadi. Ini pandangan-pandangan yang diberikan dan memang JKSM juga mematuhi keputusan yang sedia ada.

Selain daripada itu juga ialah tentang panel hakim dan sebagainya, kita sedia maklum bahawa hal-hal sebagaimana Yang Berhormat sebutkan tadi, diambil perhatian oleh JKSM. Ada yang dilihat hakim-hakim yang sedang disambung dan sebagainya dan dalam keperluan pelantikan hakim-hakim baru. Walau bagaimanapun, untuk mengurangkan kes-kes terutamanya tentang penceraian ini, pihak kerajaan telah pun melantik tiga orang hakim wanita buat masa sekarang dengan harapan bahawa rasa keprihatinan dan juga rasa tanggungjawab pihak wanita yang merasakan yang kena cerai itu ialah di kalangan wanita, maka dengan tiga hakim ini, yang dua di Wilayah Persekutuan kita tempatkan dan satu di Melaka, dengan harapan ianya akan mempercepatkan membantu mahkamah lebih prihatin kepada perkara tersebut.

Dalam masa yang sama juga kalau dapat saya tambahkan, perbicaraan pada waktu malam juga dibuat terutamanya bagi pihak mahkamah di Pahang, mahkamah di Wilayah Persekutuan yang kita mengadakan perbicaraan pada waktu malam berdasarkan penawaran daripada mahkamah, persetujuan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam kes dan juga termasuk kadang-kadang permohonan daripada peguam-peguam. Jadi perbicaraan pada waktu malam pun juga dalam proses untuk mempercepatkan bagi membantu kes-kes yang berada di mahkamah syariah.

Begitu juga tentang lafaz-lafaz yang telah disebutkan. Oleh sebab itu penjelasan kepada lafaz-lafaz yang saya sebutkan tadi, bahawa ianya begitu luas. Pihak JKSM mengambil tindakan untuk memperincikan penjelasan kepada lafaz-lafaz yang kadang-kadang boleh mengelirukan masyarakat dan juga untuk menambahbaikkan lagi proses penceraian yang berlaku di mahkamah syariah. Terima kasih.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: