MP PAS Kota Raja bersama Pewaris Tanah Kg Bharu menentang RUU Pembangunan Kg Bharu 2011

image

DR 5 Oktober 2011 – Perbahasan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk membahas Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011.

Saya ingin merakamkan di dalam Dewan yang mulia ini penghargaan kepada Allahyarhamah Yang Berhormat Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa kerana di atas usaha gigihnya semenjak dipilih menjadi wakil rakyat untuk membawa suara dan hasrat pemilik pewaris Kampong Bharu ke Parlimen ini berkali-kali.

Begitu juga dengan usahanya bersama dengan pemilik dan pewaris Kampong Bharu menerangkan dan menjelaskan hak mereka. [Tepuk] Tidak keterlaluan jika saya katakan di atas usahanya bersama ahli-ahli jemaah MAS, penduduk Kampong Bharu mengutarakan bantahan mereka kepada draf awal Rang Undang-undang PPKB 2010, Dewan Rakyat 45/2010 walaupun ditarik balik.

Akhirnya dikemukakan rang undang-undang PPKB 2011 pada hari ini, dibentangkan dengan dimasukkan pindaan-pindaan yang sebahagian daripadanya diminta oleh penduduk ataupun pemilik dan pewaris. Namun ini tidak bermakna rang undang-undang yang dibawa hari ini dapat melindungi hak-hak dan kehendak pemilik dan pewaris Kampong Bharu sepenuhnya dan masih banyak lagi kebimbangan mereka mengenai Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 ini yang akan dikemukakan oleh pihak kami.

Tuan Yang di-Pertua, tahun ini genap 111 tahun Kampong Bharu diwujudkan. Memahami sejarah pewujudan Kampong Bharu ini amat penting kerana ia adalah usaha semasa kita diperintah oleh British, usaha Sultan…
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Dinaungi? Dijajahi oleh British. Saya masih hendak mengguna dijajah British. Pada ketika itu usaha daripada Sultan Selangor pada ketika itu Almarhum Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Shah bin Raja Muda Musa dengan usaha beliau dan kehendak baginda, maka tanah ini diperuntukkan oleh orang-orang Melayu yang mendiami di sekeliling, di sepanjang sungai Gombak dan Sungai Klang.

Apabila pada ketika itu dalam kurun 1800. Pada ketika itu pembangunan yang pesat sedang berlaku di Kuala Lumpur. Atas ingatan baginda, maka baginda telah memastikan bahawa satu kawasan baru diperuntukkan di kawasan Kampong Bharu ini dan pada tahun 1899.

Kawasan Kampong Bharu ini digazet pada bulan Julai tahun 1900. Jadi, genap tahun 2011 ini, Kampong Bharu sudah berusia 111 tahun. Pada ketika itu, setelah digazetkan, satu enakmen iaitu Malay Agricultural Settlement Act telah digubal untuk menjadi pentadbir dan pembela kepada orang-orang Melayu yang dipindahkan ke kawasan itu. Setiap seorang mendapat kira-kira setengah ekar tanah di kawasan Kampong Bharu ini. Kampong Bharu ini sampai ke hari ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri warisan Melayu, masih mengamalkan tradisi dan tamadun Melayu.

Di situlah satu-satunya tempat yang orang Melayu boleh berasa bangga apabila mereka datang ke Kuala Lumpur, masih ada lagi tanah sebesar sekangkang kera ini masih lagi menjadi milik orang Melayu. Nanti kita akan lihat apabila Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu ini diwartakan, maka pada ketika itu, seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi sama ada orang-orang Melayu yang tinggal di situ masih lagi menjadi pemilik dan pewaris pada tanah ini.

Tuan Yang di-Pertua, rizab Melayu ini, di tengah-tengah metropolitan ini sebenarnya terdiri daripada tujuh buah kampung. Asas Malay Agricultural Settlement Act ini ataupun juga dikenali sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu ini ditubuhkan dan mengandungi tujuh jemaah atau ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada seorang wakil daripada setiap kampung.

Untuk rekod Hansard, tujuh buah kampung ini ialah Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Kesemua kampung ini hanya merangkumi lebih kurang 225.89 ekar tanah sahaja. Terdapat tiga jenis tanah di sini; tanah simpanan Melayu, tanah simpanan pertanian dan tanah Melayu diberi milik.

Untuk kita semua kenang kembali, MAS ini sebenarnya adalah satu badan yang ditubuhkan untuk mentadbir tanah Kampong Bharu ini. Sehingga kini, pembangunan di Kampong Bharu ditentukan oleh MAS walaupun ia terletak di bawah DBKL. Kalau hendak membuat pengubahsuaian, hendak membina rumah dan sebagainya, semuanya adalah di bawah pentadbiran MAS. Jadi, MAS ini sebenarnya adalah satu badan yang berkuasa mentadbir Kampong Bharu ini.

Tuan Yang di-Pertua, penduduk Kampong Bharu tidaklah menolak pembangunan. Memang mereka merasakan bahawa pembangunan di tempat mereka, di Kampong Bharu, adalah sangat terpinggir. Padahal di sekeliling Kampong Bharu sudah tumbuh pesat pembangunan ini dan mereka tidak menolak pemodenan. Mereka juga tidak menolak untuk mengangkat status dan diri mereka untuk bersama-sama bersaing dengan kaum lain dengan aset yang mereka ada. Namun, pengalaman mereka amat pahit kerana ada beberapa insiden yang menyebabkan mereka rasa tertipu. Oleh itu, sebenarnya apa yang mereka mahu adalah mereka perlu mengambil bahagian di dalam pembangunan Kampong Bharu dan they have a say.

They want to have a say dan mereka hendak meneruskan pemilikan itu. Di dalam rang undang-undang ini, kita tertanya-tanya juga bagaimanakah apabila perbadanan ini telah diluluskan kelak, maka hak pewaris-pewaris ini, hak pemilik-pemilik ini dapat dikekalkan? Sedangkan kuasa yang amat besar diberikan kepada menteri dan perbadanan ini untuk membeli, menjual, menggadai dan sebagainya. Semua kuasa ini terletak di dalam perbadanan. Walaupun kita ada penambahan daripada dua orang wakil MAS yang duduk di dalam jawatankuasa ini, sekarang menjadi lima orang wakil MAS dan timbalan pengerusinya juga wakil MAS tetapi kita tahu sebagai perbadanan, apabila ia telah membeli aset-aset ini, apakah yang tinggal lagi kepada wakil ataupun pewaris?

Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Laluan sedikit Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tertarik dengan apa yang dibincangkan oleh Yang Berhormat Kota Raja, bagaimana nilai sejarah yang begitu tinggi yang ada pada tanah penduduk di Kampong Bharu ini. Kalau kita melihat dalam sejarah negara kita bagaimana di Melaka ada Kampung Portugis. Kita lihat juga di bandar Kuala Lumpur ada Little India. Ada China Town. Jadi, di mana sebenarnya nilai sejarah?

Kalau nilai sejarah yang begitu tinggi hendak dihapuskan dengan diwujudkan perbadanan dan saya hendak minta pandangan Yang Berhormat, apakah perlunya? Kalau sudah ada lembaga MAS ini yang bertanggungjawab terhadap tanah di Kampong Bharu ini, mengapa perlu diwujudkan perbadanan? Mengapa mereka tidak diberikan ruang, diberikan bantuan kalau betul-betul kerajaan hendak memberikan hak kepada kaum Melayu? Minta pandangan Yang Berhormat.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Inilah yang menjadi persoalan kepada kita. Kalau kita serius hendak menjadikan Kampong Bharu sebagai satu warisan Melayu, mengapa tidak kita gazetkannya sebagai satu warisan sejarah dan apabila sudah menjadi warisan negara, maka kerajaan bolehlah turut membantu untuk mengembangkan kawasan ini sebagai kawasan warisan Melayu, tradisi yang seperti kita kehendaki.

Seperkara lagi adalah mengapa selama ini MAS tidak boleh membangunkan secara sendiri? Ini kerana pokoknya adalah soal modal kerana penduduk ataupun waris Kampong Bharu kita lihat, seorang diberikan setengah ekar. Adalah bukan satu tanah yang besar. Walaupun dikatakan nilai pasaran tanah di Kampong Bharu mencecah sehingga RM600 kaki persegi dan nilai tanah di Kampong Bharu itu sendiri mencecah lebih kurang empat bilion ke lima bilion. Saya tidak tahu sama ada ini adalah penilaian terkini tetapi dikatakan adalah satu jumlah yang besar.

Masalah mereka seperti masalah orang Melayu di tempat-tempat lain adalah ketiadaan modal untuk membangunkan perniagaan. Saya mendapat maklum balas daripada sesetengah penduduk daripada Kampong Bharu, pewaris yang tinggal di situ yang mengatakan mengapa tidak kerajaan lakukan apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham Dato’ Harun, Menteri Besar Selangor pada satu masa ketika dahulu, apabila Allahyarham telah membantu pewaris atau pemilik untuk mendapatkan pinjaman bank. Di situ mereka telah membangunkan tanah mereka.

Kalau kita lihat di Kampong Bharu, ramai ataupun banyak di antara tanah-tanah itu dibangunkan rumah bertingkat seperti apartment dan sebagainya dan pemiliknya boleh mendapat pendapatan daripada sewa. Ada seorang makcik mengatakan sekarang dia punya pendapatan sebulan hampir pada RM10,000 lebih kerana dia boleh menyewakan rumahnya hampir RM1,000 lebih. Jadi, kalau dia ada modal untuk membangunkan apartment ataupun rumah pangsa, maka di situ dia sudah ada guarantee, sudah ada jaminan, satu pendapatan yang hingga ke anak cucu boleh dipertahankan dan tanah itu tetap miliknya.

Akan tetapi, sekiranya perbadanan yang mengambil alih, maka perbadanan akan bergerak untuk membeli semua tanah orang-orang Melayu itu dan akhirnya menjadi aset. Pada ketika itu, orang yang tinggal di Kampong Bharu, di mana mereka akan pergi? Apabila dibangunkan tanah di situ, kondominium, apartment, rumah-rumah mewah ataupun sebagainya perniagaan, adakah orang-orang yang duduk di situ sekarang mampu membeli apartments ini.

Adakah mereka mampu untuk tinggal di tengah-tengah kota untuk bekerja di sekeliling persekitaran Golden Triangle itu? Sudah tidak mampu. Apabila ia dibangunkan, mereka terpaksa keluar. Mungkin mereka mendapat pampasan di atas tanah mereka. Mungkin mendapat setengah ekar itu ber milion mungkin. Akan tetapi, adakah dengan wang yang mereka ada ini, mereka mampu membeli satu kehidupan untuk keluarga mereka masa depan?

Saya lihat dan saya perhatikan. Tabiat kita kerajaan apabila membangunkan tanah-tanah Melayu, tidak pernah hendak menyelamatkan orang-orang Melayu untuk tinggal di tempat itu! [Tepuk]
Saya memberi satu contoh di Kepong, kita panggil Kepong Metro atau sebagainya. Satu kawasan yang dahulu diduduki oleh kita nampak seperti setinggan, slum. Akan tetapi apabila dibangunkan pusat-pusat perniagaan; Carrefour di situ, Jaya Jusco di situ. Ia membangunkan rumah pangsa di belakangnya yang mana-mana orang-orang yang biasa tinggal di situ tidak perlu berpindah dan mereka tinggal di situ dan mereka mencari rezeki di situ.

Di dalam pilihan raya kecil, saya ke Sibu dahulu, begitu juga pembangunan Sibu. Di Kampung Nangka itu misalnya. Di tepi-tepi sungai, orang-orang Melayu tinggal di situ. Kerajaan berusaha untuk membangunkan dan mereka hendak diberikan pampasan dan kemudian diminta untuk meninggalkan tanah itu untuk dibangunkan.

Kenapa ini perlu dilakukan. Kenapa tidak dibangunkan supaya orang-orang ini ada aset mereka, hak milik mereka di situ mereka tidak perlu disingkirkan daripada tanah asal mereka.

Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Minta laluan sedikit Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja. Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat. Apa yang kita lihat hari ini apabila kerajaan membangunkan sesuatu tanah, saya tertarik sebab perkara ini juga berlaku dalam Parlimen saya di Rantau Panjang. Walaupun isu ini isu yang berkaitan dengan Kampong Bharu tetapi ini adalah bagaimana cara pengurusan kerajaan apabila kerajaan membina tempat pusat pemeriksaan kastam dan imigresen di Rantau Panjang yang melibatkan tanah rakyat.

Sampai hari ini di pintu satu imigresen Rantau Panjang melibatkan tanah rakyat yang sudah lebih 20 tahun. Bumbung rumah kastam itu tempat pejabat kastam itu berada di atas bumbung kedai rumah rakyat. Hampir 20 tahun tidak ada satu sen pun pampasan yang diberi dan telah makan kawasan tanah rakyat termasuk lebih daripada 10 kaki. Ini kita lihat bagaimana kezaliman rakyat yang miskin ditindas, yang kaya raya adalah pemaju-pemaju dan kita melihat ini adalah isu yang sama dan sepatutnya wakil-wakil rakyat seluruhnya kita terutama Ahli-ahli Parlimen ini memikir untuk masa depan orang Melayu.

Seharusnya Rang Undang-undang Perbadanan ini ditolak. Ini adalah satu rang undang-undang yang kita lihat lagi satu untuk merampas hak orang Melayu. Apa pandangan Yang Berhormat.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Ya, saya bersetuju. Saya mahu apa yang diucapkan serta dibahaskan oleh Yang Berhormat Rantau Panjang dimasukkan juga sebagai sebahagian daripada ucapan saya.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak balik kepada Malay Agricultural Settlement Act (MAS).

Tuan Khalid Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, boleh saya mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Kota Raja. Daripada apa yang disampaikan faham saya ialah bahawa penentangan kepada pembentukan perbadanan ini dan rang undang-undang ini ialah bahawa sebahagian daripada tanah yang sekarang ini merupakan milik penduduk Kampong Bharu akan akhirnya diserahkan kepada orang lain.

Itulah sebabnya mengapa disebut tentang bakal-bakal pemilih. Istilah bakal pemilih itu sudah jelas menggambarkan niat kerajaan Barisan Nasional untuk menentukan bahawa sebahagian daripada tanah Kampong Bharu ini diserahkan miliknya kepada pihak yang lain.

Inilah yang menyebabkan penduduk Kampong Bharu itu menolak cadangan ini dan menentang cadangan ini. Saya tertarik dengan penjelasan tadi di mana dinyatakan begitu banyak pertemuan-pertemuan yang telah diadakan.
Saya rasa apabila banyak pertemuan-pertemuan ini mungkin ianya adalah oleh kerana penentangan terhadap konsep yang telah dikemukakan. Pihak kami ataupun pihak penduduk di Kampong Bharu, mereka inginkan satu kaedah di mana tanah itu boleh dibangunkan tanpa mereka hilang hak milik itu ya. Apabila mereka kekal sebagai pemilik tanah di Kampong Bharu maka pembangunan dapat dilakukan, hak milik mereka tidak hilang dan mereka tidak akan kerugian dalam jangka masa panjang. Bagi kita sebagai orang Islam dan orang Melayu kita hendak kekalkan tanah itu terus dimiliki oleh orang Melayu.

Inilah harapan daripada pihak Kampong Bharu. Kita merasakan amat aneh bagaimana kerajaan Barisan Nasional yang di terajui dan tulang belakangnya adalah UMNO yang katanya parti orang Melayu tidak boleh mencari satu idea dan satu mekanisme untuk membangunkan tanah ini tanpa diserahkan milik itu…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat…
Tuan Khalid Abd. Samad [Shah Alam]: Kepada pihak lain. Adakah itu benar Yang Berhormat.
Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Saya rasa huraian Yang Berhormat Shah Alam itu cukup jelas lagi terang, lagi bersuluh katanya. Jadi memanglah saya rasa dengan pembentukan perbadanan ini maka dengan sendirinya secara halus pemilik-pemilik asal, pewaris-pewaris asal akan hilang hak milik tanah itu kerana akan dipunyai oleh perbadanan.

Saya tidak tahu di sini sama ada diwujudkan seperti syer atau sebagainya untuk memastikan sama ada kepentingan di dalam perbadanan. Akan tetapi, daripada apa yang dibentangkan yang saya baca maka peluang ini tidak ada kepada mereka. Mereka hanya duduk di situ sebagai ahli perbadanan dan boleh dengan senang di overrule oleh Yang Berhormat Menteri. Kita tahu bahawa sekiranya mereka – tidak ada ruang untuk mereka tidak bersetuju selepas ini. Ya, mereka boleh bercakap di dalam Jawatankuasa ataupun badan lembaga pengarah ini tetapi mereka tidak ada – tidak boleh buat apa-apa, tidak boleh membangkang apa-apa sahaja rancangan perbadanan.

Perkara berikutnya saya hendak sebut adalah mengenai Malay Agricultural Settlement Act iaitu enakmen MAS yang ada sekarang yang menjadi pentadbir kepada Kampong Bharu. Sehingga sekarang kita tidak dapat apa-apa notis yang enakmen ini akan dimansuhkan. Setelah perbadanan ini diluluskan hal ini oleh ahli-ahli wakil rakyat daripada Barisan Nasional maka dengan sendirinya Kampong Bharu sekarang ada dua badan. Satu MAS, satu perbadanan. Yang mana satu berkuasa. Apa peranan MAS kalau MAS sudah tidak berperanan lagi kenapa ianya tidak dimansuhkan.

Adakah dengan adanya ahli-ahli, anggota-anggota jemaah MAS di dalam perbadanan ini maka kita tidak perlu melakukan sesuatu mengenai enakmen ini. Apakah kedudukan enakmen ini. Menteri di dalam perbahasan Dewan Negara 20 Julai 2010 menyebut bahawa di bawah Kanun Tanah Negara saya baca Hansard nya 1965. “Tanah-tanah yang tinggal juga hanya menunggu masa sebelum diberi milik. Justeru segala urusan hak milik tanah Kampong Bharu perlu dibuat mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 yang ditadbirkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan. Oleh itu tidak timbul persoalan untuk meminda enakmen MAS kerana ianya tidak lagi relevan”.

Bagaimana kita boleh mengatakan bahawa enakmen MAS ini yang diluluskan oleh Parlimen ini disenyapkan begitu sahaja. Bagaimana kita boleh menidakkan peranan Mas itu sendiri. Kalau ia sudah tidak perlu lagi kenapa tidak dimansuhkan. Ini adalah satu bagi saya adalah satu penidak atau penafian kepada apa yang telah sebenarnya ada di dalam pemikiran Almarhum Sultan Alauddin sebenarnya. Baginda telah melihat jurus ke hadapan bahawa sekiranya tanah ini tidak dirizabkan kepada orang Melayu, orang Melayu sudah tidak ada tempat lagi di Kuala Lumpur ini.

Akan tetapi kita selepas 111 tahun kita dengan mudah untuk mewujudkan perbadanan ini dan Yang Berhormat Menteri boleh terangkan kepada saya macam mana kepentingan mereka boleh dipertahankan. Ini kerana di dalam enakmen – dalam rang undang-undang ini kalau kita tengok fungsi perbadanan walaupun Yang Berhormat Menteri mengatakan bahawa ianya adalah badan penyelarasan. Akan tetapi sebenarnya enakmen rang undang-undang ini memberi kuasa yang amat besar, tiket yang amat besar kepada Menteri. Siapa hendak bagi projek kepada siapa, hendak jual tanah kepada siapa, harga berapa semuanya adalah final say atau kata putus daripada Menteri.

Kalau kita tengok di dalam enakmen ini kuasa perbadanan. Yang Berhormat Menteri mengatakan kita ada pelan perancangan bahawa kita akan membangunkan Kampong Bharu menjadi satu warisan Melayu, konsep-konsep papernya sudah ada dengan adanya tempat-tempat yang boleh dikenali sebagai untuk mempertahankan warisan Melayu di kampung itu.

Akan tetapi di dalam kuasa-kuasa perbadanan ada fasal 15(2) tidak satu pun klausa mandatori kepada perbadanan untuk memastikan bahawa pembangunannya mesti menepati atau mempertahankan ciri warisan kemelayuan ini. Tidak ada.

Sebagai perbadanan, ia mempunyai segala kuasa, ia entiti tersendiri. Dia boleh jual, dia boleh beli, dia boleh buat apa dia suka. Apakah yang akan memastikan 10 tahun, 15 tahun, 50 tahun yang akan datang tidak ada sekeping tanah pun di dalam Kampong Bharu itu yang mempunyai ciri kampung Melayu? Ini kerana tidak ada, perbadanan tidak ada. Jadi bila tidak mandatori, masa akan berubah, pemimpin akan berubah, Melayu cepat lupa, dan satu hari 50 tahun daripada sekarang, maka hak orang Melayu di Kampung Bharu sudah tidak ada lagi.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengatakan di sini bahawa kalau kita boleh menjadikan Brickfields seperti disebut Yang Berhormat Rantau Panjang sebagai warisan Little India untuk orang India dan banyak wang yang dituang di situ, diberi, dibantu untuk menjadikan ia Little India, begitu Sungai Ujong Melaka sebagai kampung Portugis, Petaling Street, China Town, kenapa kita tidak boleh menggazetkan Kampong Bharu sebagai warisan Melayu, mempertahankannya dan memberi peruntukan kepada Kampong Bharu ini sebagai warisan Melayu yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa sahaja yang memerintah negara ini? Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rujuk: http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-05102011.pdf

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: