MP PKR Batu Bahas RUU Buang Negeri (Pemansuhan) 2011

DR 5 Okt 2011 – Perbahasan RANG UNDANG-UNDANG BUANG NEGERI (PEMANSUHAN) 2011

Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua [Batu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya pertama sekali sangat bersyukur kerana Tuan Yang di-Pertua memberi peluang untuk saya menyertai perbahasan ini yang penuh dengan makna sejarah. Memang betul ini sebagai formaliti untuk kita menghapuskan satu undang-undang yang disifatkan sebagai satu undang-undang yang outdated tetapi saya juga ingin tambah bahawa saya anggap tidak kira tindakan ini datang daripada inspirasi atau datang daripada tekanan mana-mana pihak tetapi langkah yang berani, yang penuh dengan makna sejarah ini harus dipuji kerana hari ini semasa kita berbahas ini adalah masa kita membezakan Malaysia daripada zaman dahulu yang memegang kepada nilai yang berbeza kepada satu zaman baru yang disifatkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagai kita melangkah maju sebagai negara demokratik di dunia.

Saya anggap kita tidak boleh nafikan bahawa demokrasi adalah satu nilai yang lebih tinggi daripada apa yang kita lakukan di Parlimen. Undang-undang yang dibuat oleh manusia dan oleh wakil rakyat yang dipilih oleh manusia harus kita dibimbing oleh nilai yang lebih tinggi daripada apa yang boleh difikirkan oleh manusia.

Hak asasi manusia ini bagi saya dan ramai kawan dan saya harap Dewan keseluruhan bersetuju dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa hak asasi manusia ini adalah nilai-nilai murni yang lebih tinggi yang kalau kita percaya kepada agama masing-masing, ini adalah birth right, adalah sesuatu yang telah dikurnia oleh Tuhan. Saya anggap ini hanya sebagai satu langkah dan saya harap perbahasan ini bukan sahaja secara defensif, siapa yang betul atau siapa yang salah.

Kita mengakui undang-undang yang dahulu mungkin ada relevannya pada masa tertentu tetapi kita juga mengakui ada kelemahan, ada individu-individu yang telah dizalimi dan hilang bukan sahaja hak asasi manusia tetapi kesejahteraan hidupnya. Jadi, saya tidak mahu bezakan kesejahteraan seseorang itu dengan hak asasi manusia. Di sini saya harap kita terus menyambut selepas undang-undang ini dimansuhkan dan kita menanti-nantikan satu perubahan yang lebih besar, yang lebih komprehensif dalam perkara ini.

Saya ingin bawa beberapa lagi secara konsisten kalau kita mansuhkan undang-undang ini. Seterusnya, kita harap secara komprehensif kita menilai semula undang-undang seperti hasutan selain daripada ISA, juga kita harus meneliti ESKA, undang-undang pertubuhan dan juga AUKU. Banyak lagi undang-undang yang tidak konsisten dengan nilai hak asasi manusia.

Bagi pihak kami dalam Pakatan Rakyat, saya tidak segan silu kalau pemerintah telah melakukan sesuatu yang berani, yang betul kita sokong dan kita puji. Hanya kita anggap ini sebagai permulaan, jangan kita lambat dan kita juga harap kawan-kawan dari sebelah sana semasa kita bahas, kita fahami undang-undang pembasmian ini, this Banishing Act hanya beberapa negara yang represif sahaja seperti Ireland, seperti South Africa, seperti Vietnam satu ketika dahulu. Bila kita mansuhkan secara simbolik kita menyatakan kezaliman masa lampau ini harus ditamatkan dan bukan kita secara simbolik tetapi secara praktikal kita harus mengamalkan nilai hak asasi manusia ini.

Dengan itu saya sekali lagi ingin seru kerajaan supaya melanjutkan perubahan ini atau reformasi ini secepat mungkin dan pada masa yang sama mengiktiraf dan mengakui kepada mangsa-mangsa yang telah menghadapi penganiayaan dan kezaliman ini menyampaikan rasa untuk memohon maaf atau menyampaikan rasa kesal kepada mangsa-mangsa perlanggaran hak asasi manusia.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Mohon pencelahan Yang Berhormat, kalau boleh sikit.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua [Batu]: Ya, boleh.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Batu. Saya tadi mendengar hujah daripada pihak Barisan Nasional di mana ramai yang menyatakan kalaulah dimansuhkan undang-undang ini termasuk juga undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kita nanti-nantikan ada kemungkinan isu keselamatan awam tidak terjaga. Kita terlalu semberono, terlalu ghairah untuk mempertahankan hak asasi manusia.

Saya ingin bertanyakan kepada Yang Berhormat, adakah Yang Berhormat tahu bahawa banyak badan hak asasi manusia membawa maklum kepada pengetahuan orang ramai dan juga promosi-promosi kempen mereka bahawa dalam Malaysia dan Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada tahun 2006 termasuklah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003, bab baru yang merujuk kepada kesalahan yang berkaitan keganasan, Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006 untuk masukkan kuasa menyiasat sampingan dalam perhubungan untuk kesalahan keganasan.

Maksudnya sudah ada banyak undang-undang dalam negara untuk memastikan keselamatan awam itu terjaga. Adakah Yang Berhormat tahu dan bukankah ini sepatutnya dimaklumkan kepada semua?

Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua [Batu]: Saya agak kedua-dua belah pihak sedar akan negara ini. Negara ini negara yang paling aman. Tadi kita dengar banyak kali. Saya hanya sebut, begini, konsep macam ini, apa yang kita dahulu semasa zaman kolonial di bawah penjajah bahawa tanggungjawab keselamatan ini di tangan pemerintah. Ini kerana pada waktu itu pemerintah ini hanya melihat bumi ini sebagai tempat eksploitasi tempat untuk mendapatkan hasil. Kita tidak membentuk sebuah negara lagi. Apabila undang-undang ini dimaktubkan pada tahun 1959, kita baru lahir dua tahun. Belum lagi ada Malaysia. Kita tidak ada rasa sense of belonging, ini negara kita. Kita serah kepada autoriti untuk menjalankan tugas sekuriti untuk keselamatan.

Namun zaman sekarang di mana kita anggap ini sebagai dunia yang tidak bersempadan. Tanggungjawab keselamatan ini adalah tanggungjawab kolektif rakyat Malaysia. Kalau kita tidak membiarkan seseorang yang bersalah, kalau kita tidak berkongsi maklumat tentang ancaman keselamatan negara ini kepada orang awam, kita tidak akan alert, kita tidak akan menyedarkan rakyat supaya mereka sedar. Bagi saya, saya jelas. Kalau pengganas pun, kita harus membicarakan mereka. Membicarakan mereka ini bukannya menghalang penguat kuasa untuk menjalankan tugas. Bicara pengganas supaya rakyat keseluruhan faham pemikiran dan cara operasi pengganas ini supaya kita masing-masing cari puncanya dan kita mengatasi ini sebagai sebuah negara yang bersatu.

Jangan kita anggap ini kita serahkan kepada autoriti, serah kepada penguat kuasa dan kita tidak ambil tahu. Itu zaman yang lalu. Saya anggap saya amat bersetuju kalau kita menerima hak asasi manusia, ia datang dengan tanggungjawab. Kalau kita tidak diberi kebebasan, maksudnya kita juga tidak diberi tanggungjawab . Kedua-dua ini datang bersama.

Dengan itu saya tidak mahu berhujah dengan panjang lagi, saya hanya anggap ini hanya permulaan. Ini sebagai satu langkah yang simbolik yang lebih penting adalah dalam Akta ISA yang digantikan sama ada kita ganti dengan satu akta yang juga tetap mengekalkan penahanan tanpa bicara. Kalau itu berlaku, it fit the purpose. Maknanya tidak sia-sia berbahas di sini. Kita juga lihat, perubahan ini atau reformasi ini harus lebih komprehensif lagi termasuk AUKU, termasuk Akta Pertubuhan, termasuklah Akta Penerbitan dan Pencetakan dan lain-lain lagi. Hak Asasi ini harus merangkumi keseluruhan hidup di Malaysia ini baik pun dalam politik ataupun ekonomi. Sekian terima kasih.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: