Di Mana Laporan Audit?

image

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar berkata, sudah empat hari Dewan Rakyat membahaskan  belanjawan 2012 tanpa merujuk Laporan Audit Negara yang biasanya dibentang bersama untuk dibahaskan Ahli Dewan.

Kita cadang untuk bangkitkan isu ini atau akan kemukakan usul kepada Dewan Rakyat kerana sidang dah masuk hari keempat, tetapi laporan audit belum dikemukakan lagi, kata Dato’ Mahfuz di lobi Parlimen semasa sidang berehat tengahari tadi.

Beliau mempersoalkan ketiadaan laporan audit tersebut sedangkan sesetengah negeri termasuk Kelantan telahpun menerima laporan audit negeri masing-masing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin jaffar akan meminta Pengerusi PAC, Datuk  Seri Azmi Khalid menjelaskan perkara tersebut.

“Kita minta Pengerusi PAC jelaskan perkara ini kerana ini dangat memalukan dah masuk hari keempat, masih belum ada laporan audit,” katanya yang juga anggota PAC.

Manakala Ahli Parlimen Sg Petani, Dato’ Johari Abdul berkata Jabata Ketua Audit  Negara terkejut apabila memaklumkan bahawa Ahli parlimen belum lagi menerima laporan audit tersebut.

“Pegawai jabatan terkejut dan menyatakan Ketua Pengarah sendiri berpuashat kerana laporan berkenaan telah siap leboh awal berbanding tahun lalu dan lengkap.

“Ini yang kita hairan, di mana, Parlimen atau masih berada dengan Menteri tertentu,” soal Dato Johari sinis.

Penjualan Pos Malaysia beri Kesan Kepada Rakyat – MP PAS Padang Terap

image

DR 6 Okt 2011 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pos 2011

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Assalamualaikum warahmatullaahi ta’ala wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk membahaskan satu akta yang akan menggantikan Akta Perkhidmatan Pos 1991.

Ada beberapa soalan yang saya ingin bangkitkan dalam satu industri perkhidmatan pos yang cukup dekat di hati rakyat dan membabitkan bagi saya satu industri yang lebih menawarkan satu bentuk tanggungjawab sosial sebenarnya kepada rakyat terutamanya di peringkat pedalaman.

Kita meneliti dan juga kita mengikuti perkembangan pos ini daripada Jabatan Pos sampailah kepada penubuhan ataupun kewujudan POS Malaysia sampailah kepada kerugian ratusan juta yang disebutkan dalam Dewan Parlimen ini sesi-sesi lepas dan juga sampai kepada negara kehilangan pegangan yang sangat strategik dengan penjualan Khazanah kepada DRB Hicom, yang bagi saya ini suatu isu yang cukup besar dan perlu diberikan perhatian.

Saya ingin membangkitkan apakah sebenarnya yang terjadi kepada golden share, saham emas yang dimiliki oleh kerajaan dalam perkhidmatan pos terutamanya dalam POS Malaysia. Selepas daripada kewujudan ataupun akta ini yang akan diluluskan oleh Dewan pada petang ini, saya ingin bertanya adakah dalam konteks POS Malaysia kita sudah kehilangan satu pegangan yang strategik dengan 21% sudah dimiliki oleh DRB Hicom.

Apa yang bakal terjadi kepada tanah-tanah yang sebelum ini, hartanah yang nilainya bagi saya besar nilainya, yang berada di tengah-tengah bandar yang sebelum ini diluluskan oleh kerajaan melalui akta-akta yang kita wujudkan sebelum ini. Adakah ia akan menjadi milik kepada korporat, milik kepada pihak swasta ataupun dikembalikan semula kepada rakyat. Kalau kita hilang tanah-tanah yang strategik yang bernilai tinggi ini bagaimana lagi mungkin ia akan kembali semula kepada kerajaan kecuali membelinya mungkin pada masa-masa yang akan datang dengan harga yang lebih mahal dan bukan lagi seperti yang baru sahaja berlaku transaksi pada bulan April 2011 kalau tidak silap saya apabila Khazanah sudah pun memberikan laluan kepada swasta untuk menguasai POS Malaysia.

Soalan yang kedua Tuan Yang di-Pertua yang saya hendak bangkitkan, ini yang berkaitan dengan adakah akta ini dengan penubuhan suruhanjaya yang kita hendak bincang selepas daripada ini, yang disebutkan oleh Yang Berhormat Indera Mahkota yang membabitkan juga implikasi kewangan, apabila ditubuhkan suruhanjaya ada pegawai-pegawai, ada kewangan yang perlu diperuntukkan di dalam bajet-bajet perbekalan kita selepas daripada ini, adakah ini salah satu daripada apa yang disebutkan sebagai liberalisasi yang berlaku di dalam perkhidmatan pos itu sendiri yang selepas daripada ini kalau kita lihat akta yang bernama suatu akta untuk mengadakan peruntukan mengenai pelesenan dan pengawalseliaan industri perkhidmatan pos ini.

Adakah maksudnya selepas daripada ini syarikat POS Malaysia ini akan bersaing dengan syarikat-syarikat yang lain yang akan dikeluarkan lesen baru pula, yang sudah tentulah bagi saya akan membabitkan persoalan persaingan, yang akan membabitkan mungkin persoalan kadar cukai, kadar setem, kadar fi yang baru yang akan membebankan rakyat selepas daripada ini. Jadi saya memohon daripada pihak Menteri untuk memberikan penjelasan persoalan ini.

Liberalisasi yang akan berlaku di dalam perkhidmatan pos ini, yang akhirnya akan membabitkan atau memberikan kesan kepada rakyat kebanyakan. Jadi itu yang kedua yang saya hendak bangkitkan berkaitan dengan adakah kementerian sudah ataupun mempunyai bayangan-bayangan syarikat-syarikat baru yang akan diberikan lesen-lesen yang berkaitan dengan perkhidmatan pos tadi, yang bukan sahaja melibatkan syarikat-syarikat yang ada di dalam negara kita bahkan dengan tujuan yang disebutkan tadi dengan huraian, yang disebutkan dalam ‘C’ kalau tidak silap saya tadi.
Teruskan membaca

Ustaz Taib Azamudden minta Kebajikan Kakitangan Pos dapat kemudahan sewajarnya

DR 6 Okt 2011 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pos 2011 (Ahli Parlimen PAS Baling dan PKR Kuala Langat mencelah Ucapan BN Ledang)

Tuan Haji Taib Azamudden Md. Taib [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Ledang. Memperkatakan mengenai dengan insentif dan kemudahan-kemudahan yang diberi oleh perkhidmatan pos. Apakah Yang Berhormat Ledang setuju, elaun rumah contohnya yang diterima oleh posmen saya difahamkan setakat ini baru seorang posmen masih di tahap lama, menerima RM110 elaun rumah. Bagi kerani pos RM127.

Melihat dengan keadaan semasa elaun yang sebanyak itu adalah jauh daripada kemampuan untuk menampung kehidupan mereka walaupun di pedalaman. Begitu juga saya rasa, apakah Yang Berhormat Ledang setuju untuk dilihat semula cuti posmen misalnya, setidak-tidaknya biar sama dengan cuti kakitangan kerajaan yang lain.

Ini yang kita tahu bahawa posmen hanya dapat cuti hari Jumaat, Sabtu minggu awal bulan bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu sementara negeri-negeri lain hari Sabtu dan Ahad. Jadi bermakna, berbanding dengan akitangan kerajaan yang lain mereka nampaknya tidak mendapat kemudahan-kemudahan yang sewajarnya.

Jadi apakah Yang Berhormat Ledang bersetuju supaya rang undang-undang ini juga mengambil kira tentang kedudukan-kedudukan ini. Terima kasih.

Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Yang Berhormat Ledang, satu minit, satu minit. Tuan Yang di-Pertua, melihat daripada hujahan teman-teman Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini banyak berkonsepkan kepada peningkatan dan juga pengurusan pos itu sendiri. Saya jangan miscommunication di sini. Jangan kita apabila sebut tentang produktiviti itu kita menyalahkan ataupun dalam kepala kita pekerja menjadi beban.

Kita tidak mahu melihat seperti mana MAS yang dikeluarkan KPI. Merudumnya MAS itu kerana masalah pekerja yang tidak efisien. Ini tidak boleh berada dalam minda Ahli-ahli Yang Berhormat. Apa yang hendak kita tekankan di sini ialah motivasi untuk meningkatkan produktiviti. Jelasnya ialah itu kena seimbang. Pengurusan harus menggalas sepenuhnya, pekerja harus memikul tanggung jawab untuk memartabatkan pos, itu pokoknya. Yang Berhormat Sri Gading perlu akur hujah ini… [Ketawa] Apa pun yang penting ialah tidak ada imbuhan yang sesuai atau seimbang, maka produktiviti itu akan lenyap. Yang Berhormat Ledang bersetujukah dengan saya bahawa main power atau pekerja itu wajib diambil kira ataupun agenda utama. Sekian.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Yang Berhormat Baling, terima kasih Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Lipis dan Yang Berhormat Kuala Langat. Saya merumuskan, apa-apa yang berkaitan dengan kebajikan pekerja, staf pos, patut disokong dan dibantu.

Saya yakin suruhanjaya ini ada fungsinya. Oleh sebab itulah daripada awal tadi saya menyokong rang undang-undang ini dan saya yakin perkara ini akan turut diteliti. Tuan Yang di-Pertua, saya sebut tadi Pos Malaysia Berhad perlu lebih kreatif, perlu lebih inovatif. Saya yakin umpamanya kalau perkhidmatan kaunter lebih selesa, lebih cekap, tidak lagi suasana dahulu seperti di Beluran hatta di Ledang walaupun moden sedikit tetapi macam post office zaman dahulu jugalah.

Jadi ini yang menyebabkan mungkin kekurangan pelanggan. Maka sebab itulah pos tidak menjadi pilihan terbaik. Oleh yang demikian, saya juga tadi menggalakkan supaya wujud satu persaingan yang sihat agar semua dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Kes Simbah Asid: Daripada 58, 4 Sahaja selesai ??

Dewan Rakyat 6 Okt 2011 – Sesi Pertanyaan Jawab Lisan

Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dalam isu simbah asid ini kita melihat di antara mangsa yang ramai adalah di kalangan golongan wanita. Isu ini adalah amat serius sebab dia menyebabkan kecacatan seumur hidup.

Jadi, setakat ini saya ingin penjelasan berapa ramaikah yang telah diambil tindakan yang telah ditangkap terhadap penjenayah ini dan dengan undang-undang yang sedia ada sekarang ini, apakah denda ataupun hukuman yang dikenakan kepada mereka? Setakat ini, apakah tindakan yang dibuat untuk mangsa-mangsa ini terutama dari sudut perlindungan dan sebagainya untuk memastikan kes-kes ini tidak berulang dengan lebih serius dalam negara kita. Minta penjelasan.

Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop [ Timbalan Menteri Dalam Negeri ]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mengenai undang-undang saya telah nyatakan tadi bahawa daripada segi hukuman yang diambil di bawah Penal Code sama ada seksyen 324 atau seksyen 326. Jadi daripada segi hukuman penjara itu, saya perlu memberi jawapan secara bertulislah sebab ini saya rasa berat hukumannya.

Sehubungan dengan mangsa yang menerima kecacatan ini, jadi program bantuan yang dibuat oleh pihak kementerian di mana kita merujuk kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terutamanya untuk memberi kaunseling kepada mereka. Jadi, ini penting Tuan Yang di-Pertua kerana apa yang kita lihat mangsa ini menghadapi bukan sahaja
kecacatan muka ataupun lain-lain badan, tetapi trauma yang mana kita merasakan sedih apabila kejadian seperti ini berlaku. Inilah yang kita merujuk kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mereka dapat diberi kaunseling kepada mereka.

Sehubungan dengan kes-kes tidak dapat diselesaikan, cuma empat kes sahaja daripada 58 kes [Nota: dari tahun 2009 (3), 2010 (10), Oktober 2011 (45 – 25 di KL)], 54 kes tidak dapat diselesaikan. Oleh kerana apa yang kita lihat bahawa di antara faktor yang menyebabkan siasatan kes ini belum dapat diselesaikan oleh kerana mangsa tidak dapat mengecam suspek semasa kejadian berlaku dan juga tiada saksi yang tampil ke hadapan untuk membuat siasatan dan mengecam penyerang walaupun gambar-gambar lakaran atau photofit telah disiarkan di media massa dan televisyen. Itu masalah yang besar. Sehubungan dengan kes yang dapat diselesaikan, hanya empat kes sahaja yang mana kes-kes ini yang didapati bermotifkan pertamanya kerana cemburu atau niat balas dendam. Ada satu kes itu kerana wanita tidak dapat melaksanakan tanggungjawab beliau kepada suaminya. Itu kes-kes yang menyebabkan mengapa berlaku berkaitan penyimbahan asid ini.

Soalan asal No. 5. Tuan Teng Boon Soon [Tebrau] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah kerajaan telah mengkaji kriminologi penyerang asid dan bercadang mengawal penjualan asid di pasaran terbuka, memandangkan jenayah menyerang mangsa rompakan dengan asid tanpa alasan membalas dendam kerap berlaku.

Siti Zailah Minta SPAD atasi Pencerobohan Teksi Luar Negara di Rantau Panjang

Dewan Rakyat 6 Oktober 2011 – Sesi Pertanyaan Jawab Lisan

Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Saya berdiri sudah banyak kali, sudah dua, tiga kali sebab itu saya malas berdiri. [Ketawa] Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya iaitu pertama kali saya ingin penjelasan apabila Yang Berhormat Timbalan Menteri menyatakan ingin melaksanakan program ini di seluruh negara, saya ingin penjelasan. Apakah kajian yang telah dibuat terutamanya perkhidmatan teksi di kawasan sempadan?

Saya sudah banyak kali mengemukakan isu ini di Parlimen iaitu bagaimana pencerobohan teksi luar ke dalam negara kita yang mana menjejaskan pendapatan di dalam negara. Jadi sejauh mana peranan yang dimainkan oleh pihak kementerian untuk memastikan bagaimana kebajikan pemandu-pemandu teksi tempatan dapat dijaga dalam isu berkaitan dengan teksi di sempadan ini. Sejauh mana dari segi penambahan hasil apabila SPAD ini dilaksanakan kepada pemandu-pemandu teksi. Adakah akan meningkatkan lagi pendapatan mereka? Minta penjelasan.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan [ Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Rantau Panjang kerana menyatakan perkara itu dan saya akan pastikan bahawa apa yang disebut oleh Yang Berhormat Rantau Panjang itu dimasukkan dalam rangka kerja nasional pengangkutan awam darat yang sedang dimuktamadkan. Terima kasih di atas cadangan bagus daripada pihak pembangkang.

Soalan asal No. 3. Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Baru] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada beliau melihat sebarang kebaikan dengan campur tangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan pelaksanaan sistem kaunter teksi berkupon ke Johor Bahru sedangkan sistem ini mewujudkan keadaan orang tengah dan menaikkan kos kepada penumpang teksi. Jika ya, sila nyatakan kebaikan itu.