Penjualan Pos Malaysia beri Kesan Kepada Rakyat – MP PAS Padang Terap

image

DR 6 Okt 2011 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pos 2011

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Assalamualaikum warahmatullaahi ta’ala wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk membahaskan satu akta yang akan menggantikan Akta Perkhidmatan Pos 1991.

Ada beberapa soalan yang saya ingin bangkitkan dalam satu industri perkhidmatan pos yang cukup dekat di hati rakyat dan membabitkan bagi saya satu industri yang lebih menawarkan satu bentuk tanggungjawab sosial sebenarnya kepada rakyat terutamanya di peringkat pedalaman.

Kita meneliti dan juga kita mengikuti perkembangan pos ini daripada Jabatan Pos sampailah kepada penubuhan ataupun kewujudan POS Malaysia sampailah kepada kerugian ratusan juta yang disebutkan dalam Dewan Parlimen ini sesi-sesi lepas dan juga sampai kepada negara kehilangan pegangan yang sangat strategik dengan penjualan Khazanah kepada DRB Hicom, yang bagi saya ini suatu isu yang cukup besar dan perlu diberikan perhatian.

Saya ingin membangkitkan apakah sebenarnya yang terjadi kepada golden share, saham emas yang dimiliki oleh kerajaan dalam perkhidmatan pos terutamanya dalam POS Malaysia. Selepas daripada kewujudan ataupun akta ini yang akan diluluskan oleh Dewan pada petang ini, saya ingin bertanya adakah dalam konteks POS Malaysia kita sudah kehilangan satu pegangan yang strategik dengan 21% sudah dimiliki oleh DRB Hicom.

Apa yang bakal terjadi kepada tanah-tanah yang sebelum ini, hartanah yang nilainya bagi saya besar nilainya, yang berada di tengah-tengah bandar yang sebelum ini diluluskan oleh kerajaan melalui akta-akta yang kita wujudkan sebelum ini. Adakah ia akan menjadi milik kepada korporat, milik kepada pihak swasta ataupun dikembalikan semula kepada rakyat. Kalau kita hilang tanah-tanah yang strategik yang bernilai tinggi ini bagaimana lagi mungkin ia akan kembali semula kepada kerajaan kecuali membelinya mungkin pada masa-masa yang akan datang dengan harga yang lebih mahal dan bukan lagi seperti yang baru sahaja berlaku transaksi pada bulan April 2011 kalau tidak silap saya apabila Khazanah sudah pun memberikan laluan kepada swasta untuk menguasai POS Malaysia.

Soalan yang kedua Tuan Yang di-Pertua yang saya hendak bangkitkan, ini yang berkaitan dengan adakah akta ini dengan penubuhan suruhanjaya yang kita hendak bincang selepas daripada ini, yang disebutkan oleh Yang Berhormat Indera Mahkota yang membabitkan juga implikasi kewangan, apabila ditubuhkan suruhanjaya ada pegawai-pegawai, ada kewangan yang perlu diperuntukkan di dalam bajet-bajet perbekalan kita selepas daripada ini, adakah ini salah satu daripada apa yang disebutkan sebagai liberalisasi yang berlaku di dalam perkhidmatan pos itu sendiri yang selepas daripada ini kalau kita lihat akta yang bernama suatu akta untuk mengadakan peruntukan mengenai pelesenan dan pengawalseliaan industri perkhidmatan pos ini.

Adakah maksudnya selepas daripada ini syarikat POS Malaysia ini akan bersaing dengan syarikat-syarikat yang lain yang akan dikeluarkan lesen baru pula, yang sudah tentulah bagi saya akan membabitkan persoalan persaingan, yang akan membabitkan mungkin persoalan kadar cukai, kadar setem, kadar fi yang baru yang akan membebankan rakyat selepas daripada ini. Jadi saya memohon daripada pihak Menteri untuk memberikan penjelasan persoalan ini.

Liberalisasi yang akan berlaku di dalam perkhidmatan pos ini, yang akhirnya akan membabitkan atau memberikan kesan kepada rakyat kebanyakan. Jadi itu yang kedua yang saya hendak bangkitkan berkaitan dengan adakah kementerian sudah ataupun mempunyai bayangan-bayangan syarikat-syarikat baru yang akan diberikan lesen-lesen yang berkaitan dengan perkhidmatan pos tadi, yang bukan sahaja melibatkan syarikat-syarikat yang ada di dalam negara kita bahkan dengan tujuan yang disebutkan tadi dengan huraian, yang disebutkan dalam ‘C’ kalau tidak silap saya tadi.

Ruangan ‘C’ tadi, dalam huraian pertama menggalakkan objektif dasar kebangsaan industri ini, menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan pos. Adakah ini juga maksud akan Member ruang kepada syarikat-syarikat luar negara menguasai kepentingan strategik ini, yang sudah tentulah yang dibahaskan oleh sahabat-sahabat daripada pembangkang baik daripada kerajaan yang melibatkan soal keselamatan negara kita.

Seterusnya saya ingin membangkitkan juga dalam industri yang semakin bersaing ini tentang ada satu yang disebut di dalam akta ini bagaimana ia akan melibatkan tentang pos elektronik, sekarang kita menggunakan email percuma.

Adakah selepas semua ini akan berlaku email-email seperti yang didedahkan oleh kementerian sebelum ini kewujudan My Email yang pernah disebut oleh POS Malaysia keuntungan mereka, perolehan mereka lebih kurang RM20 juta datang daripada penghantaran dalam bentuk fizikal baik, dalam bentuk surat baik yang melibatkan kerajaan yang akhirnya ditubuhkan diberikan kepada satu syarikat, 3Q kalau tidak silap saya, yang nilainya pun puluhan juta. Adakah email-email ini juga akan dikawal selia oleh suruhanjaya ini dan akhirnya kita kena bayaran setiap kali kita menghantar email maka akan dikawal oleh suruhanjaya, kena bayar lima duit kah, sekupang kah. Jadi ini satu benda yang sangat…

Dalam industri yang bersaing ini saya lihat sudah tentu mungkin setem-setem sudah tidak lagi menjadi keutamaan, terutama setem-setem yang melibatkan surat, melibatkan poskad dan sebagainya dan mungkin bentuk baru yang akan keluar selepas daripada ini. Adakah itu juga memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mengawal perkhidmatan pos ini dan akhirnya juga bebannya kepada rakyat.

Seterusnya saya ingin membangkitkan tentang pekerja-pekerja yang berada di dalam industri ini, saya prihatin terhadap apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Kuala Kedah, oleh kawan-kawan kita daripada Yang Berhormat Padang Besar, yang apabila syarikat swasta menguasai mereka akan memaksimumkan profit, memaksimumkan untung dan pada masa yang sama meminimumkan kos yang sudah tentu industri ini boleh dibuka bila-bila masa kepada pekerja-pekerja asing yang sekarang pun apabila pekerja ini dipindahkan daripada Jabatan Pos kepada POS Malaysia yang dikorporatkan, diswastakan akhirnya apabila mereka pencen mereka yang ada dapat RM150, RM300 duit pencen, RM450 di bawah paras kemiskinan yang ditetapkan oleh negara kita, oleh kerajaan kita. Jadi ini perlu dilihat juga, saya lihat…

Tuan Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Yang Berhormat Padang Terap minta penjelasan sedikit Tuan Yang di-Pertua. Isu gaji pekerja pos ini saya ada tanya soalan di dalam Parlimen dalam sesi mesyuarat yang lalu yang sebelum inilah tentang kadar perbandingan di antara gaji posmen yang paling rendah di dalam perkhidmatan pos dengan gaji pihak pengurusan yang paling atas berbanding dengan kakitangan kerajaan PAR, pekerja am rendah dengan ketua setiausaha kementerian. Jadi perbandingan itu jauh, yang CEO dalam syarikat pos ini jauh lebih tinggi daripada KSU kementerian.

Akan tetapi, kakitangan pos ini jauh rendah gajinya berbanding dengan pekerja am rendah. Jadi, adakah Yang Berhormat Padang Terap merasai ini beban yang ditanggung oleh pekerja-pekerja bawahan di pihak Pos Malaysia. Beri penjelasan.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Saya sebut tadi apabila dipindahkan dijadikan jabatan yang kuasai penuh oleh kerajaan dan berpindah kepada Pos Malaysia yang masih lagi dikuasai oleh kerajaan melalui golden shares kemudian yang akhirnya dikuasai oleh pihak swasta. Ini sudah tentulah masalah isu gaji dan elaun yang timbul ini. Apa jadi selepas daripada ini? Adakah wujud lagi skim pencen ini atau pun yang sudah dipotong separuh, apa yang berlaku sebenarnya? Jadi, saya mohon penjelasan daripada pihak kementerian. Begitu juga apabila membicarakan. Ramai sahabat-sahabat daripada Yang Berhormat Tuaran dan Yang Berhormat Lipis sebut tadi tentang industri ini apabila berada di pedalaman, untungnya mungkin tidak seberapa.

Kawan-kawan kita bangkitkan tentang persoalan tanggungjawab sosial. Kalau duduk mungkin memang tidak untung pun kadang-kadang. Ia tidak banyak transaksi yang berlaku apabila di pedalaman ini, bukan? Adakah pihak kerajaan melalui suruhanjaya yang ditubuhkan ini mempunyai kuasa sebagai misalnya, untuk memberikan subsidi? Ada subsidi. Kita boleh beri subsidi dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang lain, dan adakah juga boleh berlaku subsidi kepada Pejabat Pos ini yang berada di pedalaman yang tidak mencatatkan keuntungan? Adakah boleh berlaku demikian dengan penubuhan suruhanjaya ini? Jadi, itu isu yang seterusnya.

Saya juga hendak bangkitkan tentang bila kita- saya masih lagi berurusan dengan Pos Malaysia. Masih lagi, di mini baik, di pejabat Pos Malaysia baik dan di Pejabat Pos Kuala Nerang. Saya lihat beratur panjang dengan stafnya, kakitangannya yang sedikit. Tiga atau pun dua orang tidak silap saya. Adakah kita lihat? Ini kesusahan yang ditanggung oleh rakyat bawahan. Adakah suruhanjaya boleh memberikan nasihat melalui public inquiries sebagai misalnya, memberikan ruang kepada rakyat untuk memberikan pandangan-pandangan, cadangan balas dan sebagainya.

Akhirnya, meningkatkan keberkesanan tanggungjawab sosial yang kita sebut yang utamanya di peringkat luar bandar tadi. Jadi, perkara-perkara lain sudah dibangkitkan oleh saudara-saudara saya tentang surat-surat yang tidak sampai dan sebagainya. Jadi, kita mengharapkan dengan adanya suruhanjaya ini akan meningkatkan lagi sistem penyampaian atau pun boleh meningkatkan lagi perkhidmatan dalam perkhidmatan Pos Malaysia. Akan tetapi yang pentingnya ialah apabila kerajaan sudah kehilangan pegangan yang strategik dalam Pos Malaysia itu sendiri dan apa yang dinamakan tadi liberalisasi yang berlaku dalam perkhidmatan ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Rujuk: http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-06102011.pdf

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: