DR 6 Oktober 2011 – Perbahasan RUU Kerja (Pindaan) 2011
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh Tuan Yang di-Pertua. Kami menyokong pandangan dari wakil Kuala Langat tadi yang menyebut tentang keraguan-keraguan kita dan reservation kita dengan izin terhadap beberapa peruntukan di dalam rang undang-undang ini yang diminta dirujukkan kepada suatu Select Committee Parlimen untuk disemak dan diperhalusi serta diperbaiki untuk memberikan suatu jawapan yang bukan sekadar yang memuaskan hati pihak-pihak yang berkaitan ataupun stakeholders, tetapi untuk mencari keadilan kepada pihak pekerja kita.
Kita tadi telah mendengar bahawa rang undang-undang ini dahulu pun telah dibentangkan, dikaji semula, dirujuk semula dan beberapa siri konsultasi – 18 kali katanya – yang telah dibaca oleh Yang Berhormat Kinabatangan tadi nama-nama pihak-pihak yang telah dipanggil termasuk MTUC, MEF, MAPA yang merupakan badan-badan yang mewakili majikanmajikan dan juga pekerja. Yang disebut ialah pra kepada penarikan balik rang undang-undang ini pada Oktober tahun lepas iaitu disebut bulan Januari 2010. Semua ini sebelum. Ertinya ada beberapa perkara yang apabila di bawa konsultasi menyebabkan rang undang-undang di tangguh dahulu kemudian dibawa semula.
Akan tetapi dalam proses membawa semula inilah yang dipertikaikan kerana suara MTUC tidak diambil kira walaupun mungkin hadir, mungkin dijemput, sedangkan MTUC ialah satu badan yang diwakili ramai pekerja. Komponen MTUC ini pun ramai dan kalau pun National Union of Plantation Workers (NUPW) berbeza pandangan dalam konteks ini, kalau satu organisasi tidak bersetuju dan majoriti yang setuju, takkan kita hendak nafikan suara majoriti?
Semalam kita berbahas panjang mengenai Rang Undang-Undang Pembangunan Kampong Bharu, kita bercakap mengenai majoriti rakyat Kampong Bharu katanya walaupun research hanya menunjukkan 35% yang menyokong tetapi dianggap majoriti, maka majoriti prevail. Dalam hal ini, majoriti pekerja menolak tidak pula diambil kira majoriti tetapi sebut pula kerajaan pun bertanggungjawab. Kita tidak menafikan kerajaan bertanggungjawab. Akan tetapi dalam hal ini, pihak yang sangat berkepentingan ialah para pekerja. Jadi seharusnyalah hasrat daripada MTUC yang datang kepada kita enyampaikan pandangan mereka harus diambil kira.
Ada pihak tadi cuba untuk menidakkan hujah daripada pihak sebelah sini mengenai isu contractor of labour ini seolah-olah kita tidak sepatutnya mengambil perbahasan seolah-olah kita hendak membandingkan antara dua sistem penggajian yang antara pekerja kontrak dan pekerja tetap ini.
Saya rasa bukan ini isunya. Kita telah membuka satu flood gate dengan izin, kalau rang undang-undang ini diluluskan, sehingga menjadikan urusan pengambilan pekerja kontrak ini akan menjadi dominan dan disebut juga pihak ILO sudah mempunyai reservation dan memberikan cadangan-cadangan bagaimana menangani isu ini kerana diketahui akan berlaku salah guna kuasa dalam urusan penyediaan contract labour ini oleh syarikat-syarikat yang mengambil tanggungjawab ini.
Jadi kita tidak boleh memandang ringan seolah-olah isu ini tidak sebenarnya termasuk di dalam rang undang-undang ini. Memang disebut tentang pindaan kepada perkara 73(1) undang-undang induknya tentang terminologi, dan inilah yang menarik perhatian pihak pekerja, kerana sekarang ini sudah ada lima juta pekerja kontrak.
Apabila ini menjadikan suatu perkara yang disahkan melalui undang-undang, maka akan menjadi suatu permulaan pihak-pihak majikan akan menggunakan lebih ramai pekerja kontrak ini yang sudah pasti masalah yang sekarang kita hadapi dengan masalah pekerja kontrak ini akan amplify, melipat kali ganda apabila rang undang-undang ini diluluskan. Jadi perhatian besar dan berat harus diambil ke atas isu ini dan tidak diambil mudah bahawa sebenarnya kita bukan hendak membandingkan model. Ia tidak begitu. Saya rasa ini satu benda yang sangat penting.
Teruskan membaca
Filed under: Ucapan | Leave a comment »