MP PAS Kuala Krai Bahas RUU Kerja (Pindaan) 2011

DR 6 Oktober 2011 – Perbahasan RUU Kerja (Pindaan) 2011

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh Tuan Yang di-Pertua. Kami menyokong pandangan dari wakil Kuala Langat tadi yang menyebut tentang keraguan-keraguan kita dan reservation kita dengan izin terhadap beberapa peruntukan di dalam rang undang-undang ini yang diminta dirujukkan kepada suatu Select Committee Parlimen untuk disemak dan diperhalusi serta diperbaiki untuk memberikan suatu jawapan yang bukan sekadar yang memuaskan hati pihak-pihak yang berkaitan ataupun stakeholders, tetapi untuk mencari keadilan kepada pihak pekerja kita.

Kita tadi telah mendengar bahawa rang undang-undang ini dahulu pun telah dibentangkan, dikaji semula, dirujuk semula dan beberapa siri konsultasi – 18 kali katanya – yang telah dibaca oleh Yang Berhormat Kinabatangan tadi nama-nama pihak-pihak yang telah dipanggil termasuk MTUC, MEF, MAPA yang merupakan badan-badan yang mewakili majikanmajikan dan juga pekerja. Yang disebut ialah pra kepada penarikan balik rang undang-undang ini pada Oktober tahun lepas iaitu disebut bulan Januari 2010. Semua ini sebelum. Ertinya ada beberapa perkara yang apabila di bawa konsultasi menyebabkan rang undang-undang di tangguh dahulu kemudian dibawa semula.

Akan tetapi dalam proses membawa semula inilah yang dipertikaikan kerana suara MTUC tidak diambil kira walaupun mungkin hadir, mungkin dijemput, sedangkan MTUC ialah satu badan yang diwakili ramai pekerja. Komponen MTUC ini pun ramai dan kalau pun National Union of Plantation Workers (NUPW) berbeza pandangan dalam konteks ini, kalau satu organisasi tidak bersetuju dan majoriti yang setuju, takkan kita hendak nafikan suara majoriti?

Semalam kita berbahas panjang mengenai Rang Undang-Undang Pembangunan Kampong Bharu, kita bercakap mengenai majoriti rakyat Kampong Bharu katanya walaupun research hanya menunjukkan 35% yang menyokong tetapi dianggap majoriti, maka majoriti prevail. Dalam hal ini, majoriti pekerja menolak tidak pula diambil kira majoriti tetapi sebut pula kerajaan pun bertanggungjawab. Kita tidak menafikan kerajaan bertanggungjawab. Akan tetapi dalam hal ini, pihak yang sangat berkepentingan ialah para pekerja. Jadi seharusnyalah hasrat daripada MTUC yang datang kepada kita enyampaikan pandangan mereka harus diambil kira.

Ada pihak tadi cuba untuk menidakkan hujah daripada pihak sebelah sini mengenai isu contractor of labour ini seolah-olah kita tidak sepatutnya mengambil perbahasan seolah-olah kita hendak membandingkan antara dua sistem penggajian yang antara pekerja kontrak dan pekerja tetap ini.

Saya rasa bukan ini isunya. Kita telah membuka satu flood gate dengan izin, kalau rang undang-undang ini diluluskan, sehingga menjadikan urusan pengambilan pekerja kontrak ini akan menjadi dominan dan disebut juga pihak ILO sudah mempunyai reservation dan memberikan cadangan-cadangan bagaimana menangani isu ini kerana diketahui akan berlaku salah guna kuasa dalam urusan penyediaan contract labour ini oleh syarikat-syarikat yang mengambil tanggungjawab ini.

Jadi kita tidak boleh memandang ringan seolah-olah isu ini tidak sebenarnya termasuk di dalam rang undang-undang ini. Memang disebut tentang pindaan kepada perkara 73(1) undang-undang induknya tentang terminologi, dan inilah yang menarik perhatian pihak pekerja, kerana sekarang ini sudah ada lima juta pekerja kontrak.

Apabila ini menjadikan suatu perkara yang disahkan melalui undang-undang, maka akan menjadi suatu permulaan pihak-pihak majikan akan menggunakan lebih ramai pekerja kontrak ini yang sudah pasti masalah yang sekarang kita hadapi dengan masalah pekerja kontrak ini akan amplify, melipat kali ganda apabila rang undang-undang ini diluluskan. Jadi perhatian besar dan berat harus diambil ke atas isu ini dan tidak diambil mudah bahawa sebenarnya kita bukan hendak membandingkan model. Ia tidak begitu. Saya rasa ini satu benda yang sangat penting.

Dari segi kelangsungan pekerjaan mereka, imbuhan-imbuhan mereka. Kalau pun ada cadangan mengatakan bahawa oleh kerana tidak ada undang-undang yang hendak dipinda, maka inilah berlakunya segala penyelewengan, segala salah laku pihakpihak yang mengambil pekerja-pekerja kontrak ini, jawapannya bukan dengan melakukan satu lagi pindaan rang undang-undang kerana terlalu banyak sudah undang-undang yang mana disebut oleh rakan-rakan di sebelah sini tadi, bukan dengan menambah lagi undang-undang tetapi menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Yang dipertikaikan tadi ialah kelemahan penguatkuasaan di pihak yang bertanggungjawab, di pihak kerajaan.

Ertinya di sana kalau persoalannya ialah kekurangan tenaga untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan, bukan dengan menyelesaikannya melalui satu lagi pindaan undang-undang tetapi menambah pihak penguat kuasa, memberikan kuasa kepada lebih ramai penguat kuasa untuk mencari dan juga untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu.

Mengubah atau meminda dan membuat undang-undang yang baru akan hanya memberikan ruang pula untuk salah laku yang lebih banyak. Kalau isu utamanya ialah masalah penguatkuasaan tidak diselesaikan, apa undang-undang baru boleh membantu dalam hal ini?

Jadi kita bersetuju bahawa kita ini hendak mencari kebaikan untuk kaum pekerja. Kita bukan hendak membawa kemusnahan seperti yang didakwa. Amat sedihlah kalau ada pihak yang mengatakan hujah daripada pihak pembangkang ini hendak meruntuhkan masa hadapan pekerja, generasi kita akan datang. Saya rasa ini totally absurd contention.

Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Ya, sila.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sedikit penjelasan. Tadi sebut pasal masalah penguatkuasaan. Yang Berhormat sedar tidak hari ini ada satu syarikat dari Pahang, Gemilang Makmur, syarikat berkaitan dengan perhutanan balak ini, dia sudah mendapat perintah mahkamah untuk Kerajaan Negeri Pahang kena bayar kepada di RM30 juta dan faedah dia sudah naik sampai RM71 juta, tetapi sehingga sekarang, Kerajaan Negeri Pahang yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pernah jadi Menteri Besar, tidak bayar duit itu kepada Syarikat Gemilang Makmur.

Maknanya undang-undang sudah ada, sudah diputuskan oleh mahkamah. Maknanya ada, bukannya syarikat ini, tetapi kerajaan sendiri yang ingkar kepada keputusan mahkamah. Jadi, suatu perkara yang sangat memalukan dan menunjukkan pembuktian bahawa bagaimana bahawa penyalahgunaan kuasa itu bebas berlaku bukan sahaja pada syarikat, sampai ke peringkat kerajaan sendiri yang di bawah Barisan Nasional. Bukan Kerajaan Pakatan Rakyat ini, Kerajaan Barisan Nasional Negeri Pahang. Maknanya kalau dia itu bukan kerajaan, dia hanya syarikat, boleh sita itu. Maknanya bankruptcy.

Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih. Suatu analogi walaupun tidak menggambarkan situasi antara majikan dengan pekerja, tetapi menggambarkan bahawa undangundang sudah ada, tetapi penguatkuasaannya. Ini pihak kerajaan, siapa hendak ambil tindakan kepada pihak kerajaan. Minta syarikat yang berkenaan saman, tetapi itulah suasananya.

Jadi, saya berpandangan bahawa memang yang penting hari ini ialah penguatkuasaan. Banyak masalah yang berlaku kepada kaum pekerja kita seperti yang dibawa contoh oleh Yang Berhormat Kuala Langat tadi, Dawama di tempat di mana saya tinggal memang suatu perkara yang pathetic, dengan izin. Masa hadapan pekerja kalau diambil ataupun dibiarkan sedemikian, sudah pasti ia akan menjejaskan masa hadapan bukan hanya kelompok pekerja ini, tetapi menggambarkan suasana yang boleh berlaku kepada banyak industri.

Industri di Malaysia ini bukan hanya Tuan Yang di-Pertua terhad kepada industri perladangan. Memang, kalau dalam perladangan seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Pasir Salak tadi, memang tidak cukup memanjang pekerja-pekerjanya. Kalau disebutkan tadi FELCRA, disebut juga Sime Darby dan disebut juga ladang-ladang Tabung Haji, semua GLC ini.

Adakah rang undang-undang ini dirangka untuk menggambarkan desakan-desakan daripada GLC-GLC ini? Itu hanya persoalan yang boleh diperjelaskan oleh Menteri. Akan tetapi memang ada masalah di situ, cumanya ada sektor-sektor lain seperti sektor pembuatan, kilang-kilang elektronik dan sebagainya. Bagaimana kalau pekerja-pekerja kontrak ini seperti yang disebutkan oleh rakan-rakan saya tadi berada dalam industri ini, mereka tidak dapat berhubung dengan majikan secara direct melainkan dengan pembekal-pembekal mereka.

Jadi, sudah tentulah kebajikan mereka bukan bergantung kepada empunya syarikat pengeluaran tersebut, tetapi pihak yang lain. Walaupun mungkin di sektor-sektor ladang mungkin ini satu perkara yang normal, tetapi dalam industri pembuatan seperti begini ianya akan menyebabkan masa hadapan pekerja-pekerja ini tidak terjamin dan mereka boleh ditukartukarkan ke industri lain. Bila mereka hendak membina suatu kebijaksanaan dan kepakaran dalam mana-mana bidang yang mereka sertai?

Kemudian mungkin dalam satu syarikat, dua tiga pembekal pekerja kontrak dalam suatu tempat bekerja, kerana mungkin suatu syarikat tidak dapat menyempurnakan keperluan 500 orang misalnya, dia boleh bagi 100 dan yang lainnya ada lima syarikat yang lain untuk menyempurnakannya. Jadi, ini menambahkan lagi kelemahan pihak pekerja itu sendiri. Mereka
tidak dapat organize themselves dengan izin.

Mereka tidak ada dapat suatu suara yang kuat di kalangan 500 mereka itu untuk menyampaikan pandangan mereka kepada kilang ataupun kepada majikan. Jadi mereka ini sudah semacam di pecah perintah. Ini yang dikhuatiri oleh MTUC. Jangan pula kita kata so what, dengan izin. Kenapa kita harus berpihak dan bersimpati dengan masalah MTUC.

Tuan Yang di-Pertua: Dua minit lagi Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Ya, terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, MTUC mewakili kaum pekerja untuk kebajikan mereka. Saya tidak pernah dengar lagi MTUC ini memperjuangkan sesuatu yang boleh meruntuh dan merugikan kaum pekerja. Jadi, ini merupakan suatu usaha yang perlu disokong oleh kita semua dalam Dewan ini supaya bahagian yang dituntut tadi ditangguhkan kelulusannya sehingga suatu keputusan yang baru, yang disemak semula dan diperbaiki supaya memuaskan kumpulan yang sangat terkesan iaitu kumpulan pekerja dengan menyerahkan perkara ini kepada suatu Select Committee Parlimen.

Saya menyokong Yang Berhormat Kuala Langat. Terima kasih.

Rujukan: http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-06102011.pdf mukasurat 141-145

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: