MP PKR Kuala Langat Bahas RUU Kerja (Pindaan) 2011

DR 6 Oktober 2011 – Perbahasan RUU Kerja (Pindaan) 2011

Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi ruang kepada saya menyertai perbahasan rang undang-undang satu akta yang dipinda yang dinamakan Akta Kerja 1955. Mukadimah saya ialah mengimbau kembali sejarah pindaan dibuat.

Sebelum bulan Februari 2007, satu rang undang-undang yang dibawa oleh Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini diberikan ketetapan daripada tempoh pampasan yang diberikan kepada mereka yang dibuang kerja daripada tanpa batas waktu kepada 24 bulan. Yang Berhormat Menteri terlupa di waktu itu di mahkamah industri rupanya ada lagi Mahkamah Tinggi. Selepas Mahkamah Tinggi ada lagi Mahkamah Rayuan. Amat malang ada lagi Mahkamah Persekutuan. Maka 24 bulan tidak pernah tercapai.

Akhirnya bilamana di bahas soal ini, Yang Berhormat Menteri menyatakan bahawa 24 bulan itu sebagai satu tempoh yang sewajarnya di pihak win-win situation dengan izin. Maka rang undang-undang itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Mangsanya adalah pekerja. Tahun 2002 bilamana penurunan daripada pampasan 30,000 yang diberikan kepada pencarum KWSP dikurangkan kepada 2,500 ketika itu untuk mengawal tabung KWSP. Akhirnya, apa sahaja bentuk kebaikan yang dibuat oleh pemerintah sebelum ini maka terabai begitu sahaja.

Hari ini telah pun dibentangkan satu rang undang-undang yang dikatakan untuk menyelamatkan pekerja yang didefinisikan diskriminasi pekerja yang berada dalam negara ini.

Sebelum pemerintahan dalam negara ini dibuat sebagai satu rang undang-undang, pemerintahan terdahulu Tuan Yang di-Pertua, pemerintahan terdahulu yang dipanggil pemerintahan penjajah telah pun mengharamkan konteks penjualan manusia secara dulu. Maka demikian, maka sub-contractor labour dibuat untuk mempertahankan penjualan perhambaan manusia tidak berlaku. Saya akui bahawa Menteri berniat baik untuk menjaga kepentingan segolongan mereka dalam kelompok yang kecil, tetapi percayalah hari ini saya hendak isytiharkan kalau diteruskan juga rang undang-undang ini, maka hari ini berperanglah kaum pekerja dengan pemerintah yang ada pada hari ini.

Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pokok Sena bangun.

Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Sikit sahaja pasal Yang Berhormat sebut tadi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat sebut tadi merujuk bahawa kerajaan dulu, kerajaan penjajah maknanya di negara kitakah? Saya pun keliru ini, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri kata memang kita kena jajah.

Hari ini Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim dalam internet paper ini mengatakan, dia tetap mempertahankan pendirian bahawa Malaysia tidak pernah dijajah sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri semalam seperti orang kebanyakan yang tidak faham undangundang.

Saya pun tidak tahu, lagi pening bab-bab penjajah ni, dia kata macam orang tidak faham undang-undang. Ini Profesor Khoo Kay Kim kata ini, saya pun tidak tahulah macam mana hendak hujah undang-undang ini macam penjajah atau tidak. Wallahualam.

Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Tuan Yang di-Pertua, pengetahuan saya terbatas, bukan seorang pengkaji sejarah tetapi buktinya ialah akta ini dibuat pada tahun 1955. Di kala 1957 diisytiharkan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, maka yang bercakap tadi dalam konteks tidak kira tahap mana mereka, tolong jangan buta sejarah.

Tuan Yang di-Pertua, bila mana saya bercakap demikian, ini bukan ugutan tetapi barang diingat Februari 2007, bila mana kerajaan pemerintah meminda Akta Perusahaan 1967, mengecilkan pampasan daripada tanpa batas kepada 24 bulan, apa jadinya? Di mana kawasankawasan Parlimen yang ada pekerja lebih daripada paras 62%, maka kecundanglah pemerintah.

Ini terbukti sekali lagi akta ini diangkat yang memohonkan supaya Dewan yang mulia ini memastikan bahawa lima juta pekerja walaupun sub-contractor labour telah diwartakan pada tahun 1955 lagi, namun apabila dipinda kepada membenarkan contractor labour ini disalurjalurkan di semua peringkat, saya terkagum dengan anak muda daripada Rembau, Yang Berhormat Rembau, bicaranya sungguh menyayat hati, maknanya peka dengan keadaan persekitaran.

Tuan Yang di-Pertua, maklumat yang kita terima, lima juta pekerja yang dikategorikan kontrak ini kalau kita bandingkan dengan pekerja plantation ini yang lebih 71% mereka pekerjapekerja dari luar negara, itu yang kita hendak fokus dan kita membuka ruang yang luas kepada setiap majikan-majikan yang keparat ini akan mengambil ruang untuk memastikan majikan ketiga akan wujud. Benar, kita ada penguatkuasaan kuasa Menteri di bawah seksyen 2, saya akui.

Namun apa yang berlaku pada hari ini Tuan Yang di-Pertua, syarikat mana yang tidak mengambil pekerja kontrak? Syarikat mana yang tidak menggunakan agensi majikan kedua? Baru-baru ini saya mengambil satu kes yang melibatkan pekerja-pekerja Bangladesh. Tujuh bulan lebih tidak mendapat gaji, akhirnya majikan cabut lari. Apa terjadi kepada pekerja itu, bertaburanlah mereka.

Ini tidak boleh berlaku kepada anak warganegara Malaysia, tidak boleh juga berlaku kepada pekerja-pekerja asing kerana mereka juga manusiawi, mereka bukan haiwan. Ini kita kena pegang pada asasnya.

Tuan Yang di-Pertua, bicara saya, di mana syarikat yang tidak menggunakan kuasa agensi majikan ketiga. Contoh yang saya buat, syarikat RM2 mempunyai pekerja dua ribu orang. Kumpul wang mengambil keuntungan daripada hasil pembayaran oleh majikan utama dan majikan agensi ini bila sudah terkumpul kemewahan duit atau wang dia cabut lari. Akhirnya pekerja di bawah agensi itu siapa yang hendak bertanggungjawab? Saya bagi contoh, sebelum Ramadhan Dewan Bahasa dan Pustaka telah pun memprivatasikan satu anak syarikat yang dipanggil Dawama dan ketika itu tidak melalui perbadanan terus kepada penswastaan, apa berlaku? Sebelum Ramadhan, hampir 400 pekerja telah dibuang oleh majikan yang tidak berhati perut, untung ambil dan hasilnya pekerja telah pun diheret dan dimangsakan, dibuang kerja.

Siapa hendak bertanggungjawab? Ya, saya dengar Menteri kata, salah di segi undang-undang tetapi apakah penguatkuasaan itu berdirinya di mana, ini persoalan pokoknya. Ruang yang diberikan di bawah seksyen 31 ini terlalu luas. Saya akui semua rakyat perlu dibela Tuan Yang di-Pertua tetapi pembelaan itu harus menjurus kepada mengetatkan, jangan melonggarkan. Sekarang ini kalau dibenarkan rang undang-undang ini dipinda di bawah seksyen 31 Tuan Yang di-Pertua…, ”Ooohhho…!” Yang Berhormat Sri Gading, tidak ada.

Ini akan menjurus kepada malapetaka yang amat besar berlaku dalam gelombang pemerintahan negara, sejarah akan berulang. Saya beri contoh lagi, kesatuan mana yang bersetuju selain daripada plantation, namakan kepada saya. Satu kesatuan mana yang membenarkan seksyen ini dibuat dan saya tidak nampak Tuan Yang di-Pertua. Saya akui saya telah berjumpa dengan Menteri sebentar tadi dalam perbincangan terakhir secara abang adik.

Minta tolong berikan balik kepada Select Committee untuk dikenal pasti. Panggil balik MTUC, duduk panggil MEF, duduk berbincang, ini melibatkan 42% pekerja-pekerja yang terlibat, bukan perkara yang remeh-temeh, bukan perkara yang dianggap enteng, ini perkara nasional, perkara masa depan generasi kita.

Jangan ada kebongkakan daripada kalangan kita Yang Berhormat. Hari ini kita Yang Berhormat, mungkin esok kita menjadi manusia biasa. Anak cucu kita, jangan mereka tempelak kita dan amat memilukan apabila mereka meludah ke kubur kita dan mengatakan bahawa inilah yang datuk atau bapa aku laksanakan – macam mana mereka mempunyai kuasa. Ini dinamakan kalau bahasa utara, “Celaka! Haram jadah.” Itu yang boleh saya katakan sebab atas pembelaan yang tidak langsung ada ke perikemanusiaannya. Memang benar, sub-contractor labour, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Rembau, sub-contractor labour – “sub” itu maknanya kerja yang specialist. Specialist maksudnya kalau siling ini tidak boleh dibuat oleh orang tertentu, maka specialist dipanggil. Habis kontrak siling ini, baliklah dia macam Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri cakap, siap kerja, baliklah, tunggu apa lagi. Dia pun cakap, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, yang kita dok tagih mereka jadi majikan ini kenapa, yang akan membebankan esok.

Syarikat RM2 Tuan Yang di-Pertua, boleh cakaplah hari ini macam-macam tetapi esok syarikat RM2 ini akan menjadi majikan kepada ribuan pekerja dan akan lari malam, apa akan berlaku? Nikko contohnya lari malam, apa akan berlaku? Empat ribu lebih orang pekerja menjadi papa kedana, hidup melarat yang bekerja berpuluh tahun macam Dawama, 25 tahun Tuan Yang di-Pertua, akhirnya dibuang begitu sahaja, masya-Allah. Hendak bayar pampasan pun Menteri terpaksa kejar, Menteri terpaksa kejar untuk mendapatkan pampasan pekerja-pekerja Dawama.

Sebelum Ramadhan, menyambut Syawal, “Masya-Allah” P. Ramlee kata. Ini yang berlaku Tuan Yang di-Pertua, apakah penguatkuasaan yang kita ada pada hari ini boleh memastikan bahawa keselamatan, penghidupan rakyatnya ini diberikan keutamaan.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selalu mengatakan bahawa “Rakyat Didahulukan”, saya cabar Menteri tanpa berlengah waktu dan segan silu tarik balik, serahkan balik kepada committee. Bukan masalah maruah, masalah definisi yang akan diabusekan oleh majikan, itu yang saya khuatir. Rakan saya MTUC di belakang sana itu, tengok macam mana bekas MTUC berbahas dalam Dewan, tengok betul-betul. Ini yang kita tegaskan tidak mungkin kita akan layan dan kita tidak akan benarkan akta ini diteruskan dalam konteks seksyen 31…

Tuan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: [Bangun]
Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Ini Tuan Yang di-Pertua, bicara saya bukan untuk ke Kuala Langat sahaja, bicara saya 11.3 juta, 6.1 juta pengundi di seluruh negara, barang diingat, Yang Berhormat Sri Gading pun tidak masuk lagi ini, barang diingat Yang Berhormat Padang Besar, 61% pengundi datang daripada kuasa keramat, kuasa pekerja. Yang Berhormat Balik Pulau ya.

Yang Berhormat Kuala Langat, pada masa yang sama bulan Ramadhan yang lalu, seorang anak muda menelefon saya katanya YB, saya sekarang ini tengah disiasat oleh polis kerana disyaki kononnya terlibat dalam kes curi barang di kilang Osram. Kilang Osram ini ialah kaitan dengan syarikat Siemens di Zon Bayan Lepas, Pulau Pinang tetapi dipendekkan ceritanya ialah beliau didapati tidak bersalah tetapi apa akibat kaitannya dengan pekerja kontrak ini, beliau bukan diambil kerja direct oleh Osram tetapi diambil kerja oleh ejen yang dikatakan majikan sub tadi. Majikan sub secara kononnya nak jaga hubungan dengan majikan utama ini mengambil keputusan mudah walaupun anak ini polis mengatakan tidak bersalah, dia dianiayai tetapi dia cara mudah, dia nak jaga hati syarikat utamanya ini, dibuang anak muda ini. Anak muda ini bila datang, saya kontrak, boleh dibuang sebegitu sahaja.
Jadi, kita mengandaikan bukan perkara begitu dan banyak lagi berlaku di zon-zon bebas pekerja kilang kebanyakan semua pekerja kontrak, hired and fired. Jadi, saya mengatakan perkara ini penting kerana ini ia bukan sahaja ada kaitan dengan hak asasi pekerja itu tetapi telah mengubah corak cara hidup orang-orang kampung yang mana sekarang ini nak mengambil cuti kenduri kendara pun dah takut sebab kerja kontrak. Jadi, mengakibatkan amalan gotong-royong dan mengubah karakter suasana masyarakat. Bebanan tekanan ekonomi yang mengakibatkan mereka tidak punya pilihan. Mohon penjelasan.

Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Itulah daripada hasil yang akan diperkenalkan oleh menteri yang dinamakan subcontractor labor ditukarkan kepada contractor labor. Itu baru cebisan cerita tangisan insan dinamakan pekerja. Saya nak bawa balik ke Dawama ini sebab saya discuss dengan Yang Berhormat Sri Gading tadi panjang lebar.

Dalam konteks Dawama ini, kalau kita bayangkan Yang Berhormat sekalian, kalaulah pekerja- saya nak bagi tahu Ahli-ahli Yang Berhormat. Ini bukan pasal Melayu, Cina, pasal semua pekerja Dawama
yang terlibat itu Melayu saya nak pertahankan, tidak. Yang saya nak pertahankan rakyat Malaysia dan akhir pada pencetus cerita ini ialah siapa nak membela mereka ini? Hanya mendapat RM500 hasil duit raya ini, RM500 duit raya ini. Bayangkan, sebulan Ramadhan nak menyambut hari raya, RM500 nak makan apa Tuan Yang di-Pertua?

Anak enam orang, kerja 25 tahun, dah beruban. Rambut pun dah tak nampak dah macam Yang Berhormat Subang. Begitulah pemikiran jauh dia tetapi akhirnya siapa nak bela dia orang ini, Menteri boleh kata, saya tak setuju tetapi apa akan berlaku? Ini salah satu daripada privatisation atau kontrak yang ternama. Yang tak ternama, 277 ejen ini Tuan Yang di-Pertua.

“Ho” kata Yang Berhormat Sri Gading. Ini akan membunuh 42% bersamaan hampir lima juta pekerja. Contohnya, anak saya keluar universiti, baru keluar universiti. Kerja apa? Pegawai Telekom. Alhamdulillah, belajar belas tahun, keluaran diploma, degree. Gaji berapa? RM1,300.

Anak aku gaji RM1,300, cukuplah. Tengok appointment letter, tiga tahun kontrak. Dengan siapa? Agensi. Kalau syarikat sebesar gajah begitu pun mengambil agensi, inikan pula syarikat yang remeh temeh, yang kecil sebiji buah saga atau sebagainya. Ini tidak boleh kita galakkan… [Menggoyangkan jari telunjuk] Oh minta maaf, tarik balik. Ini tidak boleh kita galakkan Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh. Kalau kita benarkan, apa akan kita jawab pada generasi akan datang? Ini cukup luar biasa cadangannya. Tidak memalukan kalau ditarik balik dan diserahkan kepada Selected Committee. Tak memalukan, malah berbangga Yang Berhormat Menteri seorang tokoh hebat. Saya kata tokoh hebat ini kerana satu kes dengan Menteri yang dipanggil satu anak syarikat di bawah Menteri Sumber Manusia. Saya bagi tahu, “Datuk, there is a problem..” Dia kata, dengan izin, “Oh tak apa, dalam masa 48 jam setel”. Itulah kehebatan Datuk Yang Berhormat Segamat.

Namun demikian, tak cukup dengan itu kalaulah sekiranya diteruskan juga rang undangundang di bawah seksyen 31 yang mengejutkan saya dan amat-amat mengerikan kita. Ini, Tuan Yang di-Pertua. Ya, bila mana dikatakan satu longgokan rang undang-undang pindaan ini yang dicerminkan oleh Yang Berhormat Rembau tadi, big issue seksyen 37, dalam konteks 90 hari wanita. Saya setuju wanita itu perlu diberikan penghargaan. Seorang bayi, saya dah beritahu dalam Dewan yang mulia ini, usianya 30 hari masuk ICU kerana gegaran jantung dibuat oleh penjaganya dan amatlah malangnya sekiranya anak ini sepatutnya dapat diselamatkan, tak dapat diselamatkan. Kalau kita bagi 90 hari Tuan Yang di-Pertua, selamat bayi ini.

Sebab itu cadangan dari Yang Berhormat Rembau berbandingkan dengan Thailand 90 hari, di Indonesia 90 hari dengan Singapura 112 hari, saya amat menghargai Yang Berhormat Rembau kerana dia memahami sebagai seorang suami yang prihatin dan mithali, Alhamdulillah Apa bicara seterusnya? Tentang kelayakan di bawah seksyen yang telah pun dicadangkan 69B iaitu daripada RM1,500 dengan RM2,000. Saya ingin mengulas bahawa tidak ada perlulah Tuan Yang di-Pertua. Sabah dan Sarawak undang-undangnya lain, Semenanjung undang-undang lain. Kalau Sabah dan Sarawak RM2,500, bagilah RM2,500. Nak susah, berat sangat nak bagi RM2,500 itu pasal apa sedangkan itu adalah keperluan hak di waktu ini dan saya menganggap bahawa peningkatan penghidupan itu perlu dilaksanakan dengan berhemat dan saya yakin tidak ada diskriminasi antara daerah-daerah, wilayah-wilayah.

Saya punya prinsip kalau kata gaji minimum RM1,100, RM1,100 pada semua. Kalau kita kata RM900 oleh MTUC, kita bagi kepada semua. Dia tak kata Sabah dan Sarawak lain sedangkan harga barang gula, tepung, susu sama lebih kurang. Mahal lagi Sabah dan Sarawak tetapi dalam masa konteks yang sama tidak ada diskriminasi tentang wilayah, itu penting. Bicara saya seterusnya Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan beberapa isu semasa yang melibatkan Akta Kerja ini yang dirungkaikan. Satu contoh yang paling baik ialah ketika saya duduk di kedai mamak, saya didatangi oleh seorang pekerja dan dia kata dengan saya, “Saya kerja 16 jam”.

“Huh, 16 jam”, “Berapa gaji?”, “RM600”. RM600 gaji, kerjanya 16 jam. Saya kata, “You tak mengantuk kah?” Dia kata, “Apa nak buat”. Makannya apa? Makannya nasi, kuah, sayur. Ambil
ayam kena potong gaji.

Tuan Yang di-Pertua, ini menunjukkan satu fenomena yang tak positif kalau kita benarkan sub contractor labor ini dipinda kepada contractor labor akan menjadi satu peradaban yang mana syarikat besar-besar, syarikat kecil-kecil boleh melaksanakan demikian. Yang berlaku itu mereka yang bekerja di luar negara, kembali ke dalam negara. Apa akan berlaku kalau ini dilaksanakan, anak kita diwatakkan demikian. Hanya boleh makan nasi, kuah kari, lencun nasi itu kemudian sayur. Sayur pun macam sayur bagi makan itik, sayur kubis. Ini yang berlaku dan kalau kita benarkan. Kita mungkin kata kita nak menyelamatkan. Okey, sekarang rekodnya, rekod. Saya nak cakap pasal rekod ini Tuan Yang di-Pertua. Kita ada pegawai-pegawai, kita ada Datuk Syeikh contohnya, dia Ketua Pengarah labor. Kita ada Tuan Haji Ismail contohnya, sebagai Pengarah Ir, Menteri ada timbalan, menteri ada pegawai-pegawai kanan yang hebathebat.

Kita ada Asri, contoh sahajalah. Pegawai-pegawainya saya kenal. Hebat mereka ini. Tak bolehkah dipantaukan di semua ladang-ladang dalam negara ini? Selesailah masalah. Rekod kata tak boleh dapat, buatlah rekod sebab dia kena melaporkan kepada Ketua Pengarah dan juga kepada Menteri. Ini masalah apa? Masalah adakah disebabkan yang sekecil ini kita nak bebankan kepada keseluruhannya? Jadi, kita nak benarkan pintu itu dibuka seluas-luasnya?

Saya tahu menteri ada jawapan tetapi persoalan sekarang, apakah kita boleh benarkan berlakunya perhambaan secara moden dalam zaman moden ini? Ini tidak boleh berlaku.

Tuan R.Sivarasa [Subang]: [Bangun]
Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Ya, Yang Berhormat Sivarasa.
Tuan R.Sivarasa [Subang]: Yang Berhormat Kuala Langat. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kuala Langat kerana memberi ruang. Saya minta penjelasan sedikit. Tadi Yang Berhormat Menteri kata dia bagi lebih kurang dua alasanlah untuk pindaan ataupun pemansuhan definisi sub-kontraktor dan perluasan itu. Satu alasan dia kata adalah permintaan NUPW. Tadi Yang Berhormat Kuala Langat sudah komen lah dekat situ tetapi alasan yang kedua, dia kata ini selaras dengan saranan ILO bahawa kita perlu selaraskan, ada kesamarataan di antara pekerja-pekerja kekal dan pekerja-pekerja kontrak, itu dikemukakan sebagai alasan.

Saya ingin Yang Berhormat Kuala Langat jelaskan sedikit. Apakah keadaan sebenarnya pekerja-pekerja kontrak dan pekerja-pekerja kekal. Adakah kita bagi manfaat kepada pekerjapekerja kekal dengan pindaan ini? Fahaman saya, kedudukan di estet itu jauh beza. Katakan dalam Sime Darby, dia nak gajikan orang untuk siram racun, dia bagi subkontraktor, dia ada 50 orang, hari ini dia siram sini mungkin dalam bulan depan dia pergi estet lain. Itu kedudukan yang lain.

Akan tetapi di dalam kilang, sekarang sudah macam hampir lima juta orang pekerja dalam kedudukan itu. Ramai di dalam sektor pembinaan, ramai dalam sektor pembuatan (manufacturing) dan service sector juga. Mereka pergi kepada kilang. Duduk dalam kilang untuk bekerja. Akan tetapi majikan dia bukan pemilik kilang itu. Majikan dia lain. Majikan dia adalah kontraktor yang bawa dia kerja di sana. Ini yang keadaan sekarang. Cukup pelik di mana dan bukan satu kilang, tetapi ribuan kilang di seluruh negara.

Betul. Akan tetapi isu pokoknya ialah Yang Berhormat Menteri berhujah, dengan pindaan ini dia akan bantu pekerja kekal. Ini yang logiknya. So, saya hendak minta penjelasan daripada Yang Berhormat Kuala Langat dari segi pandangan Yang Berhormat Kuala Langat,adakah ini membantu pekerja yang kekal atau seperti yang dikatakan tadi ini cukup menjejaskan hak-hak pekerja kekal yang ada sekarang. Minta penjelasan.

Tuan Abdullah Sani Abdul Hamid [Kuala Langat]: Saya memang bersetuju sangat dengan pandangan Yang Berhormat Subang. Isunya sekarang ialah adakah dengan terwujudnya pindaan tentang rang undang-undang ini, manfaat kepada pekerja tempatan. Jawapannya tidak.

Kesan buruknya ialah Tuan Yang di-Pertua, dalam negara kita ini, 11.3 juta termasuk pekerjapekerja luar negara, 11.3 juta lingkaran itu. Ahli-ahli kesatuan yang ada ini 9% sahaja. Hendak tubuh kesatuan, kena pecat macam electrical tengah barat. Salah sahaja, komen kata majikan ada pekerja asing, dibuang kerja. NEC punya syarikat,hapak punya syarikat, buang. Begitu juga berlaku di syarikat yang akan berlaku iaitu AirAsia dengan MAS ini, Tuan Yang di-Pertua. Jangan terlepas pandang. Ia akan dibebankan akhirnya kepada pekerja.

Contohnya KPI yang dibuat oleh seorang Menteri. Beliau kata penurunan pendapatan MAS itu berpunca daripada pekerja. Kesan daripada itu, pekerja disalahkan ke atas penurunan pendapatan itu. Itu cerita tidak benar. Inilah masalahnya kalau kita bebankan semua kepada pekerja. Penyelesaian hendak cari pada pekerja, sedangkan pekerja ini pengikut arah,akur dengan perintah tanpa bantahan, tidak derhaka, tidak mengkhianati syarikat. Akan tetapi persoalan sekarang ini, mengapa kita hendak buka pintu luas sangat kepada yang berlaku begitu? Dalam kesatuan, Menteri boleh cakap persatuan itu ada. Persatuan ini 9% sahaja.

Persoalannya kita perlu faham dulu dia punya kerangka susahnya ini,sendat ini, tidak boleh bergerak ini.

Keduanya, apabila berlaku perjanjian bersama, ia bergantung kepada majikan Tuan Yang di-Pertua. Majikan kata tidak mahu, tidak mahu. Dia main buat sardin sahaja, buat bodoh. Pergi mahkamah industri dia buat bodoh, mahkamah tinggi dia buat bodoh. Akhirnya yang menjadi mangsa dan juga terseksa adalah pekerja juga. Jadi kalau dikatakan ambil convention LO, saya setuju. Ambil convention LO. Kenapa tidak diambil convention LO 87 yang mana mewajibkan apabila ada pekerja mohon tidak kira majoriti, iktiraf persatuan. Begitu, alhamdulillah.

Boleh dikatakan seluruh pekerja 11.3 juta itu dalam kelompok ataupun dalam kumpulan mereka yang terbela. Akan tetapi hari ini tidak berlaku begitu. Dalam satu syarikat Tuan Yang diPertua, pekerja yang sama, deskripsi kerja yang sama, spesifikasi kerja yang sama, gajinya berbeza, tuan punya syarikat pun berbeza. Jangan kata besar. Telekom pun samalah. Tenaga Nasional Berhad pun samalah. Guthrie pun samalah. Sime Darby pun sama. Ini yang berlaku.

Akan tetapi kenapa dibenarkan perkara itu berlaku, mana penguatkuasaannya? Mana inisiatif daripada kementerian untuk memastikan bahawa mereka ini terbela, mana? Ini persoalannya. Buatlah apa-apa pun tetapi atas dasar penguatkuasaan, tidak akan timbul keadilan dan kebenaran dan juga keyakinan pekerja untuk dibela atau diberikan keselamatan.

Tuan Yang di-Pertua, lanjutan dari itu, saya cadangkanlah supaya contractor of label ini discuss di bawah select committee ataupun bawa kepada Private Employments Agencies Act 1981 supaya benda ini tidak mengecut dan memberikan kesan buruk kepada pekerja-pekerja.

Saya mohon ketepikanlah soal pemerintah dasar, pergilah kepada kemahuan pekerja. Tidak akan semua pekerja kesatuan membantah. Ada manfaatnya daripada implementasi yang dibuat ini. Kalau semua menentang, tidak betullah itu. Jadi perkara ini saya mohon direnung kembali, ditangguhkan supaya benda ini, perkara ini boleh diselesaikan dengan semaksimum dan pastikan bahawa 6.1 juta pengundi pekerja itu dia ada pertimbangan. Jangan esok, habis semua esok dua per tigalah kami jawabnya.

Apa pun Tuan Yang di-Pertua, berbalik kepada soal yang dikatakan sebagai pelibatan syarikat-syarikat yang mana secara langsung tidak diambil tindakan dan diberikan peluang banyak kepada mereka secara konsisten luar negara. Saya cadangkan kepada Yang Berhormat Menteri supaya buat pemantauan. Banyak sangat beliau kata penerimaan pekerja-pekerja daripada profesional luar itu diberikan kepada mereka yang bukan anak tempatan. Ini harus diberi dasar jelas bahawa peluang itu perlu diberikan kepada anak tempatan tidak kira daripada lapisan mana mereka, yang penting mestilah diberikan peluang. Kalau qualification mereka itu sama taraf, diberikan pertimbangan supaya pemantauan ini dapat dilaksanakan. Maka, tidak adalah berlaku riuh pekik ataupun ketidakselesaan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini berulang kali termasuk Yang Berhormat Pasir Salak tidak puas hati dengan apa yang berlaku pada hari ini, perbetulkan.

Saya percaya dengan kedudukan Sumber Manusia yang berhubung kait dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan duduk semeja dan bincang supaya jangan terlampau banyak sangat memberikan kebenaran, kemasukan berhujan tali arus pekerja asing ini sehingga menenggelamkan dan menidakkan hak pekerja-pekerja tempatan.

Walaupun dalam seksyen 60(m) Tuan Yang di-Pertua, ada termeterai bahawa diharamkan mengambil pekerja asing dan terminate ataupun membuang pekerja tempatan. Memang sudah ada, tetapi penguatkuasaan itu nampaknya kurang jelas. Maka yang demikian, saya kira memendekkan bicara, merumus segala bentuk apa sahaja yang saya katakan tadi,saya merayu sebagai Ahli Parlimen Kuala Langat, Yang Berhormat Menteri, tolonglah tarik balik ataupun berbincang kembalilah seksyen 31 ini untuk memenangi ataupun memastikan bahawa generasi akan datang dapat dipelihara termasuklah mereka-mereka yang terlibat secara langsung dalam konteks pekerja kontrak ini. Saya harap Yang Berhormat Kinabatangan tidak menentang isu ini. Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan kerana mengangguk. Setujulah itu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rujukan: http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-06102011.pdf mukasurat 92-102

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: