MP PKR Batu: Kerajaan belum muktamad swastakan KTMB?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : YB TUAN CHUA TIAN CHANG [BATU]
TARIKH : 04.10.2012 (KHAMIS)
SOALAN 38 : Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan :-
a)sama ada Kerajaan telah menerima cadangan daripada MMC untuk menswastakan KTMB dan apakah pendirian Kerajaan
b)sama ada Kerajaan sedar bahawa penswastaan ini boleh menyebabkan kehakisan peluang pekerjaan dan hak-hak pekerja KTMB.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman ahli yang berhormat, Kerajaan telah menerima cadangan daripada MMC Corporation Berhad (MMC) untuk melaksanakan kajian due diligence bagi tujuan menswastakan KTMB .

Sehubungan itu,selaras dengan hasrat Kerajaan agar KTMB ditranformasikan supaya menjadikan lebih berdaya maju dan cekap terutamanya dari aspek kewangan, Kerajaan telah membenarkan MMC untuk melaksanakan kajian berkenaan dan seterusnya mencadangkan kepada Kerajaan Model Perniagaan baru KTMB yang commercially viable and feasible.

Walaubagaimanapun, pada masa ini Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai cadangan penswastaan KTMB kerana pihak MMC masih dalam peringkat memuktamadkan kajian berkenaan. Dalam hubungan ini, perlu saya naytakan bahawa secara prinsipnya sebarang cadangan penswastaan yang dikemukakan kepada kerajaan perlu diperhalusi dengan lebih terperinci agar ia benar-benar memberi peluang terbaik kepada kerajaan dan manfaat kepada rakyat.

Kerajaan juga tidak menolak kemungkinan bahawa sebarang keputusan untuk menswastakan KTMB akan menimbulkan kerisauan di kalangan pekerja KTMB khususnya melibatkan kehilangan pekerjaan dan kebajikan pekerja sedia ada di bawah pengurusan baru. Sebagai salah satu organisasi tertua di negara ini, Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan pekerja KTMB yang selama ini memastikan Perkhidmatan kereta api terus beroperasi untuk rakyat.

Oleh itu, bagi menghargai sumbangan mereka serta memelihara keharmonian organisasi, Kerajaan komited dalam memastikan kebajikan dan hak pekerja KTMB sentiasa dilindungi seadilnya.

Justeru, masalah kehakisan peluang pekerjaan tidak timbul dan tambahan lagi operasi kereta api memerlukan skil dan kompetensi khusus di mana pekerja KTMB telah pun memiliki pengalaman dan kemahiran berkaitan.

MP PAS Padang Terap: Anggaran Jumlah Pekerja Seks?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : YB TUAN MOHD NASIR BIN ZAKARIA [PADANG TERAP]
TARIKH : 04.10.2012 (KHAMIS)
SOALAN 34 : Minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan anggaran pekerja seks di Malaysia dari tahun 2007 hingga 2011.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Dewan yang mulia ini,Kementerian Sumber manusia tidak mempunyai data mengenai pekerja seks di Malaysia. Kajian Penyata Gunatenaga Kebangsaan yang dibuat hanya meliputi institusi-institusi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan menjalankan aktiviti-aktiviti urusniaga yang sah di sisi undang-undang sahaja.

2. Di dalam laman Web JobsMalaysia terdapat 9 kategori pekerjaan yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia bekerja. Kategori pekerjaan ini adalah berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (1998) dan daripada 9 kategori berkenaan terdapat sebanyak 808 jenis pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja dan jawatan pekerja seks tiada di dalam jenis-jenis pekerjaan ini.

MP PAS Hulu Langat: Sejauhmana penyelesaian masalah Air di Selangor?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : YB DR.CHE ROSLI BIN CHE MAT [HULU LANGAT]
TARIKH : 04.10.2012 (KHAMIS)
SOALAN 22 : Minta MENTERI TENAGA,TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan sejauh mana langkah penyelesaian masalah air Selangor-KL-Putrajaya yang dikatakan meruncing diaturkan oleh Kementerian.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Rizab bekalan air di Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini berada pada tahap yang rendah iaitu 78 JLH sahaja disebabkan kapasiti bekalan air yang boleh diagihkan adalah sebanyak 4,436 juta liter sehari (JLH) berbanding dengan permintaan air secara purata setakat 14 september 2012 sebanyak 4,358 JLH. Berdasarkan unjuran terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, kedudukan ini akan bertambah meruncing dengan rizab bekalan air mengalami defisit mulai tahun 2013 sekiranya tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.

2. Berdasarkan perancangan yang dibuat pelaksanaan Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor merupakan opsyen terbaik dari segi ekonomi,teknikal dan sosial bagi memenuhi permintaan bekalan aie di Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025. Walau bagaimanapun, pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang merupakan sebahagian daripada Skim tersebut tidak dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2014,disebabkan penangguhan kelulusan-kelulusan yang diperlukan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Bagi mengelakkan rakyat di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadapi masalah bekalan air menjelang tahun tersebut, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 606 juta bagi melaksanakan projek-projek mitiogasi yang dijangka akan dapat memenuhi permintaan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2016.

3. Bagi memenuhi permintaan air bermula pada tahun 2017,Projek Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dilaksanakan segera supaya ia dapat disiapkan pada tahun tersebut. Atas dasar inilah Pengurusan Aset Air Berhad telah mengeluarkan tender bagi pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 pada 4 september 2012 supaya dapat disiapkan bagi memenuhi permintaan bekalan air di negeri Selangor,wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang tahun 2017.

Jika tidak, Kerajaan Persekutuan terpaksa menimbangkan pelaksanaan projek-projek mitigasi tambahan yang sudah tentu akan menyebabkan pembaziran wang rakyat sedangkan jawapan mudah kepada masalah ini ialah pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 memandangkan pembinaan terowong untuk menyalurkan air mentah dari Pahang ke Selangor sedang berjalan lancar dan dijangka siap pada tahun 2014.

4. Oleh itu, saya menyeru supaya Kerajaan Negeri Selangor memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapatkan bekalan air yang mencukupi dan berterusan.

MP PKR Ketereh: Jumlah Kes Kecederaan dan Pampasan oleh Polis?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA: TUAN HAJI AB AZIZ BIN AB KADIR [KERETEH]
TARIKH: 04.10.2012 (KHAMIS)
SOALAN 14: Minta MENTERI DALAN NEGERI menyatakan berapakah kes-kes kecederaan yang dialami oleh orang awam dalam operasi polis mengikut kategori kecederaan.Apakah ada sebarang pampasan yang dibayar kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk maklumat ahli yang berhormat,berdasarkan rekod dari Jabatan Peguam Negara,pada masa ini terdapat 8 kes sivil yang masih aktif yang melibatkan tuntutan oleh orang awam terhadap kerajaan yang berkaitan dengan kecederaan yang dialami semasa operasi yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, terdapat 7 kes yang telah selesai dan pampasan telah dibayar kepada pihak yang menuntut manakala 2 kes lagi berakhir dengan tuntutan dibatalkan oleh mahkamah. Kes-kes yang telah selesai ini melibatkan tuntutan yang telah diselesaikan antara tahun 2010 hingga 2012 manakala tarikh pemfailannya pula adalah pada tahun 1985 ( 1 kes), 2007 ( 2 kes), 2008 (2 kes), 2010 (1 Kes) dan 2011 (2 Kes).

Antara kecederaan yang didakwa telah dialami ialah kederaan atau kematian akibat tembakan polis (9 kes),kecederaan fizikal bukan atas tembakan (3 kes), kecederaan kerana dilanggar kenderaan polis (2 kes) dan kecederaan akibat kemalangan sendiri semasa operasi ( 1 kes). Pampasan yang telah dibayar adalah seperti berikut:

i. kecederaan di kaki akibat tembakan (RM 33,000.00)
ii. kecederaan di lengan akibat tembakan (RM 25,000.00)
iii. kecederaan di peha dan punggung akibat tembakan (RM 50,000.00)
iv. kecederaan akibat tembakan semasa melarikan diri daripada sekatan polis (RM 130,000.00)
v. mati akibat dilanggar kenderaan polis (RM 25,000.00)

MP PAS Kota Raja: Pas Lawatan disalahguna?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : DR SITI MARIAH BINTI MAHMUD [KOTA RAJA]
TARIKH: 04.10.2012 (KHAMIS)
SOALAN 06 : Minta MENTERI DALAN NEGERI menyatakan jumlah serbuan atau tindakan ke atas pusat-pusat hiburan termasuk rumah urut,spa dan sebagainya. Dari jumlah yang ditahan pihak berkuasa, beberapa peratus dari pekerja di pusat-pusat ini yang mempunyai permit kerja dan berapa pula yang dikategorikan sebagai PATI atau yang menyalahguna visa atau permit kerja.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk maklumat ahli yang berhormat, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak mengeluarkan sebarang pas pekerja di pusat-pusat hiburan termasuk rumah urut malainkan untuk kategori spa sahaja.Mengikut rekod Bahagian Pengurusan Pekerja Asing Kementerian Dalan Negeri ,mulai Januari sehingga ogos 2012,sebanyak 148 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dikeluarkan untuk kategori spa kepada pekerja asing yang melibatkan 12 orang majikan.

Tuan Yang di-Pertua,
Sehubungan dengan jumlah serbuan yang dibuat ke atas pusat-pusat hiburan ini sebanyak 287 serbuan telah dijalankan yang melibatkan tangkapan seramai 1,427 atas kesalahan menyalahgunaan pas. Bagi tahun 2012 (Januari hingga Jun), sebanyak 191 serbuan telah dijalankan yang mana melibatkan tangkapan sebanyak 1,150 orang atas kesalahan yang sama.
Kategori kesalahan menyalahgunakan pas adalah melibatkan:-

Bil Kategori Pas Jumlah Kes pada Tahun
1. Pas Lawatan Sosial 1324 kes 2011
1038 kes 2012

2. Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (isteri/suami warganegara)
75 kes 2011
48 kes 2012

3. Pas Pelajar 28 kes 2011
64 kes 2012

Tuan yang di-Pertua,
Selain daripada JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat operasi bagi tujuan memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat lesen yang lehan ditetapkan dan juga bagi memastikan aktiviti-aktivi yang dilakukan dalam –pusat-pusat hiburan termasuk rumah urut,spa dan sebagainya bersih daripada kegiatan yang melanggar undang-undang.