MP PKR Ampang: Campurtangan PM dalam Pembinaan LRT Ampang kepada George Kent?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : PUAN HAJAH ZURAIDAH BINTI KAMARUDDIN [AMPANG]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 28 : Minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat campur tangan Perdana Menteri dalam penganugerahan projek pembinaan laluan tambahan LRT Ampang kepada Konsortium Gerge Kent.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Dalam penganugerahan projek tersebut semua proses perolehan dan penilaian kerajaan telah dipatuhi dan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Tender Kementerian Kewangan (MOF) secara konsensus tanpa campurtangan mana-mana pihak.

Justeru, tuduhan bahawa kononnya ada campurtangan YAB Perdana Menteri adalah tidak berasas dan soal penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak timbul.
Sekian terima kasih.

MP PKR Gombak: Petronas anugerahkan 3 Lapangan Minyak kepada Petrofac?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : TUAN MOHAMED AZMIN BIN ALI [GOMBAK]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 18 : Minta PERDANA MENTERI menyatakan keputusan Petronas menganugerahkan 3 lapangan minyak di Sepat , Berantai dan Cendor kepada consortium yang diketuai oleh Petrofac. Apakah kriteria pemilihan dan kelebihan Petrofac berbanding anak syarikat Petronas iaitu Petronas Carigali mahu pun syarikat minyak dan gas tempatan dan antaranbangsa yang lain.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman ahli yang berhormat, penganugerahan medan minyak dan gas ke Petrofac mahupun syarikat lain adalah berasaskan pembidaan kompetitif berdasarkan pelbagai faktor termasul kriteria rekabentuk yang diperlukan untuk mengusahakan medan minyak dan gas adalah unik mengikut keperluan medan minyak dan gas tersebut dan syarikat yang layak perlu memenuhi kriteria itu dan pemilihan akan melalui proses bidaan kompetitif.

Sebagai contoh dalam pembidaan untuk mengusahakan medan Berantai,antara syarikat yang telah melalui pembidaan kompetitif adalah Petrofac yang mempunyai pengalaman 31 tahun. Petrofac telah dipilih untuk mengusaha medan tersebut kerana mendapat bidaan tertinggi serta memenuhi kriteria rekabentuk unik untuk medan minyak dan gas bersaiz kecil (marginal oil and gas fields).

Semasa kontrak medan ini ditawarkan, PETRONAS Carigali belum lagi emmbina kapabiliti dan kemarihan spesifik yang diperlukan untuk memperusahakan medan minyak dan gas yang bersaiz kecil. Petrofac yang mempunyai kepakaran dalam mengusahakan medan minyak dan gas bersaiz kecil melalui pengalaman mendalam mereka di Laut Utara adalah syarikat yang sesuai juga untuk dijadikan rujukan bagi membina kepakaran dan kapabiliti dalam bidang ini.

MP PAS Kuala Terengganu: Isu Tuntutan Royalti Petroleum terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA: TUAN MOHD ABDUL WAHID BIN ENDUT [KUALA TERENGGANU]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 16 : Minta PERDANA MENTERI menyatakan status terkini tuntutan Royalti Petroleum terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat setelah saman ditarik balik oleh Kerajaan Terengganu.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman ahli yang berhormat, Kerajaan Negeri Terengganu telah menarik balik saman tuntutan Royalti Petroleum terhadap PETRONAS dan Kerajaan Malaysia pada 23 Mac 2012. Tindakan menarik balik saman tersebut adalah prerogative Kerajaan Negeri Terengganu.

Mulai 1 Disember 2000 bayaran tunai yang diterima dari PETRONAS dimasukkan dalam Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Perkara ini kekal sehingga hari ini.

Dalam hal ini, bagi mencari penyelesaian secara objektif mengenai isu pembayaran tunai, Kerajaan Persekutuan telah pada 4 Ogos 2012 yang lalu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, termasuklah Negeri Terengganu.

Jawatankuasa Khas ini dianggotai ahli bebas/pakar yang akan menjalankan kajian terperinci secara neutral, adil dan telus berhubung perkara-perkara yang berikut:
a) mengenal pasti jika ada negeri-negeri yang wajar menerima Bayaran Tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
b) Menentukan kaedah serta jumlah pembayaran Bayaran Tunai tersebut kepada negeri-negeri yang wajar.

MP PAS Bukit Gantang: Kos Perbelanjaan Rumah Terbuka Aidilfitri 16 Sept 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : DATO SERI MOHAMMAD NIZAR BIN JAMALUDDIN [BUKIT GANTANG]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 14: Minta MENTERI PENERANGAN ,KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan berapakah semua perbelanjaan bagi majlis rumah terbuka sempena perayaan aidilfitri baru-baru ini yang diunjurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kos perbelanjaan keseluruhan bagi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Semperna Sambutan Hari Malaysia yang telah diadakan di Bintulu, Sarawak pada 16 September 2012 ialah RM 412,500.00.

Kos ini adalah untuk membiayai perbelanjaan-perbelanjaan seperti persiapan tempat, teknikal, jamuan rakyat, persembahan, sumbangan, keurusetiaan, pengangkutan dan keselamatan.

Majlis tersebut telah mendapat sambutan yang amat baik oleh segenap lapisan masyarakat dan telah dihadiri kira-kira 15,000 orang khalayak.