MP PAS Baling: Silibus dan Pencapaian STAM?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : YB DATO TAIB AZAMUDDEN BIN MD TAIB [BALING]
TARIKH : 11.10.2012(KHAMIS)
SOALAN 10 : Minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah Kementerian berpuas hati dengan silibus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang dilaksanakan serta pencapaian oleh para calon dan apakah rasional bagi calon yang gagal satu daripada 10 subjek keseluruhan dikira gagal dan tidak layak mendapat Sijil STAM.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kurikulum yang merangkumi Sukatan Pelajaran atau Silibus Sijil Tinggi agama Malaysia (STAM) seperti yang dinyatakan adalah kurikulum maahad biith al azhar yang ditetapkan oleh pihak al Azhar dan terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia dengan Mesir.

Buat masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) berpuas hati dan kukuh kepada penguasaan Bahasa Arab dan ilmu agama untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Berhubung dengan pencapaian calon dalam pemeriksaan STAM pada 2011 menunjukkan jumlah calon yang lulus meningkat iaitu 9% mumtaz (cemerlang), 12% jayyid jiddan (kepujian), 32% jayyid (baik), dan 17% maqbul (lulus).

Namun begitu, KPM belum berpuas hati dengan penguasaan bahasa arab pelajar jika berdasarkan kepada keputusan ujian kelayakan bahasa arab (UKBA) yang telah dilaksanakan oleh Universiti Al Azhar kepada semua pelajar asing untuk kemasukan tahun pertama university tersebut. Sehubungan dengan itu, KPM akan melaksanakan UKBA di Malaysia serta mengadakan kursus Persediaan UKBA kepada calon-calon STAM.

Untuk makluman ahli yang berhormat,seorang pelajar tidak layak mendapatkan Sijil STAM dan tidak layak memasuki Universiti Al-Azhar sekiranya gagal dalam satu daripada keseluruhan (10) subjek dalam pemeriksaan tersebut. Ini merupakan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Al-Azhar dan terkandung dalam MoU STAM (perkara 5.11). Walau bagaimanapun, calon berkenaan boleh membaiki keputusan STAM mereka dalam pemeriksaan ulangan yang dilaksanakan dalam masa tidak melebihi tiga tahun seperti dalam perkara 5.8 (c) MoU STAM menggunakan sistem Patching dan mereka boleh mendapatkan sijil STAM sekiranya mereka lulus dalam peperiksaan tersebut.

MP PKR Tanah Merah: Kutipan Cukai Jalan/ Pendapatan Negeri kelantan 2007-2011

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : Y.B. TUAN AMRAN BIN AB GHANI [ KAWASAN TANAH MERAH ]
TARIKH : 10.10.2012
NO. SOALAN : 35 Y.B TUAN AMRAN BIN AB GHANI minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah kutipan cukai jalan dan cukai pendapatan yang dibayar oleh rakyat kelahiran Kelantan bagi tempoh lima tahun.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk maklumat Ahli-ahli Yang Berhormat, prinsip yang dipakai dalam mengenai cukai pendapatan individu adalah prinsip kesaksamaan (equitable) bagi setiap individU tanpa mengambil kita Negara asal kelahiran, tempat tinggal atau lain-lain faktor lokasi. Asas yang penting adalah berkenaan memperolehi pendapatan daripada Malaysia sama ada pendapatan pengajian, perniagaan atau lain-lain punca pendapata.

Di samping itu, taraf sama ada individu berkenaan bermastautin di Malaysia atau sebaliknya juga adalah penting untuk menentukan individu berkenaan layak menuntut pelepasan cukai individu yang dihadkan kepada pemastautin di Malaysia sahaja dan dikenakan kadar cukai progresif antara 0 peratus dan 26 peratus. Manakala bukan pemastautin dikenakan kadar tetap 26 peratus.

Dari segi jumlah kutipan pula, cukai pendapatan individu yang dikutip di negeri Kelantan dari tahun 2007 hingga 2011 adalah berjumlah RM 630 juta, sementara kutipan cukai jalan atau lesen kenderaan bermotor pula berjumlah RM 335 juta.

MP PAS Kuala Krai: Kaji semula Cukai Eksais Kereta Impot?

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : YB. DR. MOHD HATTA BIN MD RAMLI [ KAWASAN KUALA KRAI ]
TARIKH : 10.10.2012
NO. SOALAN : 16 Y.B. DR MOHD HATTA BIN MD RAMLI minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula cukai eksais bagi kereta-kereta import dan jika ya bila akan bermula dan berapa peratusan penurunannya.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk maklumat ahli Yang Berhormat, Kerajaan sentiasa mengenalpasti pendekatan terbaik dalam mengkaji semula duti dan cukai termasuklah duti eksais ke atas kereta CBU import bagi maksud mengurangkan tanggungan kepada pengguna. Proses tersebut memerlukan satu kajian yang komprehensif dan teliti. Ini bagi memastikan hasil kajian semula tersebut dalam memberi manfaat kepada golongan yang disasarkan sahaja. Tambahan pula jumlah kutipan duti eksais kereta CBU import memberi sumbangan yang besar kepada hasil Negara iaitu RM 2.8 bilion pada tahun 2011.

2. Kementerian Kewangan juga mengambil perhatian bahawa harga kereta juga dipengaruhi dan tentukan oleh beberapa faktor seperti kos pengeluaran, pengangkutan, pengiklanan, pengedaran dan juga keuntungan syarikat pengeluar dan pengedar, selain daripada komponen duti dan cukai. Dengan itu, pendekatan untuk menurunkan kadar duti dan cukai semata-mata tidak semestinya menjamin harga kereta akan berkurangan sekiranya faktor-faktor yang disebutkan tadi tidak mengalami penurunan.

3. Mengambil kira kedudukan industri pengeluaran kereta tempatan pada masa ini, tumpuan perlu diberi ke arah menggalakkan pemasangan kereta dalam Negara dan mematapkan lagi pembangunan industri kereta tempatan supaya dapat mengekalkan daya saing dalam jangka panjang. Ini kerana kemajuan industri pengeluaran kereta tempatan dapat menjana hasil Negara, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, mewujudkan kilang pengeluaran komponen kereta tempatan, menggalakkan penggunaan perkhidmatan tempatan, meningkatkan tahap penguasaan teknologi, mewujudkan rantaian industri dan seterusnya dapat melonjakkan kemajuan bagi menembusi pasaran eksport.

Justeru itu, kajian kesan pengurangan duti dan cukai kereta CBU import ke atas kemajuaan industri pengeluaran kereta tempatan juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

MP PAS Kuala Selangor: Aliran Keluar Pelaburan vs Kemasukan Pelaburan Asing 2012?

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN JAWABBERTULIS
DARIPADA : YB. DR. HAJI DZULKEFLY AHMAD [ KAWASAN KUALA SELANGOR ]
TARIKH : 10.10.2012
NO. SOALAN : 12 Y.B. DR HAJI DZULKEFLY AHMAD minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan tentang aliran keluar pelaburan Malaysia (Malaysia investment outflow) dalam suku pertama 2012 yang berjumlah RM 16.91 bilion berbanding kemasukan pelaburan asing (FDI) yang berjumlah RM 9.43 bilion. Apakah langkah-langkah konkrit yang perlu disusun untuk mengelakkan Situasi ini (negative inflow) berterusan khususnya kerana ia membabitkan 7.3% dari 3 bidang NKEA termasuk sektor minyak, gas, kewangan, dan wholesale and retail dalam kes suku pertama tahun ini.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Peningkatan pelaburan langsung ke luar Negara mencerminkan kematangan ekonomi dan daya saing syarikat di Malaysia dan bukanlah suatu perkembangan yang negatif. Sebagaimana syarikat-syarikat global yang lain, faktor-faktor yang mendorong syarikat Malaysia untuk melabur di luar Negara, antaranya, adalah untuk memperluas pasaran bagi barangan mereka mencari lokasi perniagaan yang strategik, mendapatkan bekalan tenaga buruh yang lebih kos kompetitif, mengembangkan perniaga dalam industry yang sedang berkembang pesat serta memperoleh jenama dan teknologi asing.

Memandangkan saiz pasaran dalam Negara adalah terhad, perkembangan serantau dan global membolehkan syarikaT Malaysia mencapai ekonomi ikut bidangan (economies of scale) dengan memasuki pasaran baru yang berpotensi dan pasaran lebih besar.

Secara keseluruhan, pelaburan ke luar Negara oleh syarikat Malaysia akan memanfaatkan Negara, terutama dari segi menjadikan industri Malaysia ke arah lebih matang serta berdaya saing, menghasilkan dividen untuk pemegang saham, dan meningkatkan aliran masuk yang lebih tinggi daripada pendapatan pelaburan yang dibawa pulang.

Oleh yang demikian, dasar ekonomi yang memupuk syarikat Malaysia yang lebih berdaya saing dan bertaraf antarabangsa perlu dikekalkan, memandangkan ianya tidak bercanggah dengan program tranformasi ekonomi Negara.

MP PKR Batu: Tunggakan Bil Utiliti DBKL?

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : Y.B. TUAN CHUA TIAN CHANG [ KAWASAN BATU ]
TARIKH : 09.10.2012
NO. SOALAN : 37 Y.B TUAN CHUA TIAN CHANG minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan:-
a) Berapakh jumlah tunggakan bil utility mengikut kawasan perumahan awam dan lampu jalan DBKL; dan
b) Apakah kaedah penyelesaian supaya tidak menjejaskan kehidupan penduduk.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat dari Batu, Perumahan yang diselia oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh dipecahkan kepada dua (2) kategori iaitu Perumahan Awam/PPR DBKL dan Perumahan Jual.

Bagi Perumahan Awam/PPR DBKL, DBKL membuat pembayaran bil air secara pukal kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Selepas itu, DBKL akan membuat bacaan meter secara individu ke atas setiap unit rumah sewa dan bil air ini perlu dijelaskan oleh penyewa kepada DBKL.

Bagi bil elektrik Perumahan Awam/PPR DBKL pula, DBKL turut membuat pembayaran secara pukal kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi bil-bil guna sama tersebut termasuk bil lampu jalan. Seterusnya TNB akan membuat bacaan meter dan mengunakan caj bil elektrik terus kepada penyewa perumahan.

Sehubungan dengan itu, bagi Perumahan Awam/PPR DBKL, DBKL tidak mempunyai tunggakan bil air dan elektrik kepada SYABAS dan TNB kerana bil-bil tersebut dibayar secara pukal kepada agensi tersebut.

Manakala Perumahan Awam yang dijual oleh DBKL bagi 8 (lapan) kawasan yang masih diurus oleh DBKL pula, sehingga 1 September 2012 terdapat tunggakan bil utility iaitu bil air sebanyak RM 156,207.91 dan bil elektrik RM 279,043.60.

Tunggakan ini berlaku adalah kerana pihak Jabatan hanya mampu membayar bil-bil semasa sahaja dan tunggakan hanya akan dijelaskan sedikit demi sedikit apabila kutipan yuran perkhidmatan mempunyai lebihan.

Buat masa ini, kutipan daripda yuran perkhidamtan dalah sangat kurang dan tidak mencukupi untuk membayar tunggakan-tunggakan tersebut. Bagi tidak menjejaskan kehidupan penduduk, DBKL telah mengambil pendekatan berhemah dengan mendapatkan kerjasama dan budi bicara daripada SYABAS dan TNB supaya tunggakan ini dapat dijelaskan apabila ada lebihan daripada kutipan yuran perkhidmatan.

Sementara itu, DBKL terus berusaha untuk menyelesaikan tunggakan-tunggakan utility ini secepat yang mungkin dengan cara mendapatkan kerjasama penduduk supaya membayar yuran perkhidmatan pada masa yang ditetapkan.

MP PAS Jerai: Keberkesanan Tindakan AADK kawal penyalahgunaan dadah

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : Y.B. TUAN MOHD FIRDAUS BIN JAAFAR [ KAWASAN JERAI ]
TARIKH : 09.10.2012
NO. SOALAN : 30 Y.B TUAN MOHD FIRDAUS BIN JAAFAR minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan sejauh mana keberkesanan tindakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam mengawal penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Jerai yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, keberkesanan tindakan AADK dalam mengawal penyalahgunaan dadah Malaysia dapat dilihat kepada jumlah penagih dadah yang dikesan pada tahun 2010 dan 2011 di seluruh Negara. Mengikut Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) pada tahun 2011 jumlah penagih dadah yang dikesan adalah seramai 11,194 orang berbanding dengan 23,642 orang pada tahun 2010. Ini menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 47 peratus penagih dadah yang dikesan pada tahun 2011 berbanding dengan tahun 2010.

Disamping itu satu kajian keberkesanan mengenai program rawatan dan pemulihan Klinik Care & Cure (C&C) Sg. Besi telah dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2011 – 2012. Antara dapatan kajian ini ialah; 94.9% responden bersetuju bahawa perkhidmatan yang ditawarkan telah Berjaya membantu mereka mengurangkan kebergantungan terhadap dadah, 77.6% responden Berjaya menjalankan hubungan baik dengan keluarga, 76.7% responden mendapat rawatan perubahan sewajarnya dan 65.4% responden dapat menggunakan latihan kemahiran dipelajari dalam pekerjaan yang diceburi.

Dari segi jumlah klien yang mendapatkan perkhidmatan di AADK statistik dari bulan Januari sehingga Mei 2012 seramai 5,762 orang telah mendapatkan perkhidmatan di Klinik C&C, 1Malaysia seramai 85,650 orang mendapat perkhidmatan di Cure& Care Service Centre (CCSC) dan seramai 24,2358 orang telah mendapatkan perkhidmatan di Community Caring House (CCH).

Latihan kemahiran Vakasional juga dilakukan di Cure & Care Vacational Centre (CCVC) dan Cure & Care (CCRC) sehingga tahun 2012 seramai 2,500 klien telah diberi latihan kemahiran seperti kemahiran pendawaian elektrik, jahitan, memproses makanan ringan, kraftangan, canting batik, perikanan dan pertanian.

Sekian, terima kasih.

MP PAS Baling: Projek TEKIH perlu Kontraktor Penyelamat?

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : Y.B. DATO’ TAIB AZAMUDDEN BIN MD TAIB [ KAWASAN BALING ]
TARIKH : 09.10.2012
NO. SOALAN : 26 Y.B DATO’ TAIB AZAMUDDEN BIN MAD TAIB minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan projek TEKIH terutama pakej B dengan segmen C dan D dari Pedu ke Sungai Chapar dan Sungai Sok ke Weng Baling, Apakah tempoh 18 bulan yang dijanjikan Kementerian benar-benar dapat dilaksanakan.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Projek membina Jalan durian Burung/Pedu/Gubir/Kupang atau Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) sepanjang 115 kilometer telah dilaksanakan secara berperingkat mulai dari tahun 2005. Projek ini dibahagikan kepada 2 pakej, iaitu pakej A sepanjang 75 kilometer dari durian Burung ke Pedu; dan Pakej B yang terbahagi pula kepada 5 segmen sepanjang 40 kilometer.

Sehingga kini seluruhan pelaksanaan projek tersebut telah disiapkan, kecuali untuk Pakej B. segmen C dan D, iaitu dari Pedu ke Sungai Chapar dan Sungai sok ke Weng sepanjang 16.6 kilometer yang tepaksa ditamat kan dan ditender semula berikutan kegalan kontraktor asal.

Untuk malumat Ahli Yang Berhormat, pada masa kini Jabatan Kerja Raya (JKR) telah selesai melantik kontraktor penyerlamat untuk melaksanakan baki kerja-kerja yang tertinggal untUk kedua-dua segmEn tersebut. Untuk segmen C sepanjang 7.2 kilometer, pihak kontrakor baru sahaja memasuki tapak, iaitu pada 12 September 2012.

Projek dengan harga kontrak semasa sebayak RM 29 juta itu dijangka akan siap pada bulan Mac 2013. Manakala untuk Segman D pula – iaitu sepanjang 9.4 kilometer pihak kontraktor pun telah memasuki tapak mula dari bulan Februari 2012 yang lalu. Projek dengan harga kontrak semasa sebanyak RM36.3 juta itu dijangka akan siap pada bulan Ogos 2013.

Oleh itu berdasarkan kemajuan semasa dia tapak kedua-dua pakej berkenaan dijangka akan dapat disiapkan sebagimana mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh JKR.

Sekian, terima kasih.

MP PAS Marang: Kenapa PM tidak hadir Sidang kemuncak Bumi?

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN jawab bertulis
DARIPADA : Y.B. DATO’ SERI ABDUL HADI BIN AWANG [ KAWASAN MARANG ]
TARIKH : 09.10.2012
SOALAN : 16 Y.B DATO’ SERI ABDUL HADI BIN AWANG minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapa beliau tidak menghadiri Sidang Kemuncak Bumi (RIO + 20) yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil, pada 20 hingga 22 Jun 2012 yang lalu, sedangkan sepatutnya Malaysia diwakili oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perana Menteri sebagaimana dua sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992 dan tahun 2002 sebelum ini.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Di Persidangan Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau lebih dikenali sebagai Sidang Kemuncak Rio + 20 yang telah berlangsung pada 20-22 Jun 2012 di Rio de Janeiro, Brazil, delegasi Malaysia diketua oleh YB Dato’ Sri Douglas Uggh Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri.

Sidang Kemuncak Rio + 20 baru-baru ini tidak dihadiri oleh semua ketua Negara/kerajaan. Sebaliknya, banyajk delegasi hanya diketuai oleh Naib Presiden, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri Masing-masing.

Walupun Malaysia diwakili di peringkat Menteri di Sidang Kemuncak tersebut, ia tidak memperlihatkan atau menceminkan bahawa Malaysia memberi kurang perhatian atau penekanan ke atas isu Pembangunan Mampan. Malah Malaysia telah menunjukkan kesungguhnya apabila berperanan secar aktif semasa mesyuarat-mesyuarat persediaan yang telah diadakan sebelum Sidang Kemuncak tersebut, dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai salah satu negara yang berdaya saing, progresif, moden dan Berjaya mengimbangi untutan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

MP PKR Merbok: Tindakan Jangkapanjang Rawatan Haemodialisis?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : DATO RASHID BIN DIN [MERBOK]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 38 : Minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah tindakan jangka panjang Kementerian untuk mengurangkan pesakit yang memerlukan rawatan haemodialisis, memandangkan penyakit buah pinggang kini makin meningkatkan tahun demi tahun. Senaraikan peningkatan keperluan haemodialisis dari tahun ke tahun untuk 5 tahun kebelakangan ini.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Di Malaysia,bilangan pesakit baru kegagalan ginjal atau pesakit baru End Stage Renal Disease dianggarkan sebanyak 3,000 orang setahun. Punca utama penyakit kegagalan ginjal ialah penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak dikawal. Keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi di beberapa organ termasuk buah pinggang.

Pada tahun 2011, penyakit kencing manis merupakan punca kegagalan ginjal bagi 56% pesakit baru, darah tinggi 6% pesakit baru dan untuk 31 % kes punca tidak diketahui.

Rawatan dialysis terbahagi kepada rawatan hemodialisis dan rawatan peritoneal dialysis (PD),di mana rawatan hemodialisis lebih meluas dipraktikan di negara ini. Pada tahun 2007,seramai 15,823 orang pesakit telah menjalani rawatan hemodialisis, pada tahun 2009 seramai 19,607 orang pesakit dan pada tahun 2011 seramai 24,105 orang pesakit.

Jumlah keserluruhan pesakit bagi kedua-dua kaedah rawatan dialysis (hemodialisis dan peritoneal dialysis) adalah seramai 17,366 orang pesakit pada tahun 2007, manakala seramai 21,543 orang pesakit pada tahun 2009 dan seramai 26,159 orang pesakit pada tahun 2011.

Sebagaimana yang telah diterangkan,punca utama penyakit kegagalan ginjal ialah diabetes yang tidak dikawal.Kegagalan ginjal akibat diabetes boleh digejah dengan pengesanan awal penyakit diabetes, serta rawatanyang optimum. Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit diabetes adalah merangkumi lima peringkat yang utama:
i.promosi kesihatan
ii. pengesanan awal penyakit
iii. rawatan yang optimum
iv. mencegah komplikasi
v. rehabilitasi

Bagi memperkukuhkan lagi kempen gaya hidup sihat di Malaysia yang telah dimulakan dari tahun 1990an lagi, pada bulan Disember 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperluaskan penggunaan program COMBI, kini merangkumi penyakit tidak berjangkit atau NCD termasuklah diabetes yang sebelum ini telah digunakan dengan jayanya untuk pencegahan dan kawalan penyakit denggi. Beberapa program promosi kesihatan di sekolah juga diperkenalkan, iaitu Program Doktor Muda di peringkat sekolah rendah dan Program Sihat Untuk Remaja PROSTAR di peringkat sekolah menengah.

Di peringkat komuniti pula,satu program khusus yang telah dilaksanakan adalah program NCD Prevention 1Malaysia atau NCDP-1M. Objektif utama program ini adalah untuk memperkasakan ahli-ahli komuniti untuk melaksanakan saringan dan intervensi faktar risiko NCD secara kendiri.

Bagi pengesanan penyakit pada peringkat awal, KKM terus menasihati semua rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas untuk menjalani ujian saringan kesihatan asas setahun sekali. Perkhidmatan saringan bagi faktor risiko NCD untuk individu-individu yang sihat terdapat di semua klinik-klinik Kesihatan Kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia, termasuklah klinik 1Malaysia dan juga perkhidmatan klinik bergerak 1malaysia. Saringan kesihatan juga dilaksanakan melalui program-program promosi kesihatan anjuran KKM.Antara program tersebut ialah program Kesihatan Bersama Pemimpin, Kem Kesihatan, Karnival Jelajah Bersama Komuniti dan Perkhidmatan Pusat Promosi Kesihatan Komuniti.

Data dari survey Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan bahawa kira-kira 80% pesakit yang menghidap diabetes hadir mendapatkan rawatan di fasaliti-fasaliti kesihatan KKM.Rawatan diabetes kini boleh didapati di semua klinik kesihatan dan hospital KKM,dan rawatan pakar turut disediakan di 150 buah klinik kesihatan yang mempunyai pakar perubatan keluarga bagi kes-kes yang kompleks.

Rawatan yang disediakan adalah menyeluruh dan pelbagai jenis pilihan ubat-ubatan bagi merawat diabetes dan komplikasi bukan sahaja oleh Pegawai Perubatan, tetapi juga melibatkan Jururawat,Penolong Pegawai Perubatan,Pegawai Dietetik dan juga Pegawai Zat Makanan.

MP PKR Batu: Tiada Tindakan kepada Musa Aman dan Michael Chia?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : TUAN CHUA TIAN CHANG [BATU]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 33 : Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah sebab pendakwa raya sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan terhadap Musa Aman dan Michael Chia selepas siasatan telah selesai oleh SPRM dan kes turut difailkan di Mahkamah Switzerland.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman dewan yang mulia ini, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mempertimbangkan keterangan yang dikemukakakn oleh SPRM dan memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan. Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri.

2. Pada masa yang sama, kes tersebut telah turut disiasat oleh Indepent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC). Berdasarkan siasatan ICAC berkaitan kes ini dan keputusan siasatan SPRM yang tersebut di atas ICAC juga tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut.

3. Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland, ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama. Permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama yang dinyatakan di atas.