MP PAS Pokok Sena: Projek2 di bawah TERAJU?

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN: LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA: YB. DATO’ HAJI MAHFUZ BIN OMAR [ POKOK SENA ]
TARIKH: 29.10.2012

NO. SOALAN: 16 Minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah bilangan dan nilai projek-projek yang telah diagihkan kepada kontraktor-kontraktor dan firma bumiputera melalui usaha yang dijalankan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sejak penubuhan TERAJU pada 2011. Namakan projek serta kontraktor dan firma Bumiputra yang diberikan projek berkenaan.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Pada dasarnya, TERAJU tidak mengurnia atau mengagihkan kontrak dan projek kepada kontraktor-kontraktor serta syarikat-syarikat Bumiputra. Namun begitu, melalui intervensi strategik dan usaha-usaha yang dijalankan oleh TERAJU bagi memperkasa ekonomi Bumiputra seperti insiatif carve out (dengan izin) yang mengagihkan sebanyak 47% kos projek MyMRT atau nilai benar sebanyak RM 9.3 bilion kepada kontraktor dan syarikat Bumiputra. Inisiatif carve out (dengan izin) setakat ini telah memberi manfaat kepada 23 syarikat Bumiputra yang terpilih untuk melaksanakan projek MyMRT melalui proses pemilihan yang telus.

Selain itu, dalam usaha menyediakan platform kolaborasi Syarikat Bumiputra yang telah Berjaya (BCC) dengan Syarikat TERAS sebagai usaha untuk menyediakan pekuang perniagaan untuk syarikat-syarikat TERAS, BCC telah digalakkan untuk mengadakan kolaborasi bersama syarikat-syarikat TERAS untuk membantu syarikat-syarikat ini mencapai peningkatan perniagaan dan mengembangkan perniagaan di peringkat serantau tanpa bergantung kepada kontrak Kerajaan. Kolaborasi tersebut melibatkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 21 tahun. Manakala, satu rangkaian bekalan bernilai RM500 juta dalam industri pembinaan and kontrak bekalan akan diwujudkan bagi Bumiputra untuk tempoh 2 tahun.

MP PAS Parit Buntar: Isu Duti Eksais Kereta

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA: YB. DR MUJAHID YUSOF RAWA [ PARIT BUNTAR ]
TARIKH: 29.10.2012

NO. SOALAN: 14 Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan cadangan untuk mengurangkan duti eksais kereta bagi meringankan beban pengguna.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk maklumat Yang Berhormat, harga kereta ditentukan oleh beberapa faktar dan bukan hanya kadar cukai. Faktor-faktor lain adalah seperti kos pengeluaran, pengangkutan, pengiklanan, pengedaran dan juga keuntunagan syarikat dan pengedar yang merupakan elemen diluar kawalah kerajaam.

2. Oleh yang demikian, sebarang cadangan untuk mengurangkan harga kereta hendklah dikaji dengan teliti supaya hasilnya benar-benar dapat memanfaatkan rakyat di samping dapat membantu neningkatkan daya saing sector automotif tempatan dakam jangka panjang.

MP PAS Jerai: Isu Syarikat Juala langsung

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA: YB. TUAN MOHD FIRDAUS BIN JAAFAR [ JERAI ]
TARIKH : 29.10.2012

NO. SOALAN: 12 Minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan apakah tindakan awal yang diambil terhadap setiap skim jualan langsung atau MLM (multi level marketing) yang baru diperkenalkan bagi memastikan perniagaan mereka tidak mempunyai unsur-unsur penipuan.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Bagi memastikan perniaga jualan langsung atau MLM (multi level marketing) tidak mempunyai unsur-unsur penipuan, Kementerian telah menetapkan syarat-syarat tertentu seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dan semua syarat-syarat berkenaan perlu dipatuhi oleh setiap syarikat yang diberi lesen jualan langsung. Permohonan daripada syarikat untuk mendapat lessen jualan langsung hanya dipertimbangkan oleh Kementerian sekiranya syarikat berkenaan mematuhi garis panduan permohonan lesen perniagaan jualan langsung termasuklah mengemukakan pelan pemasaran yang tidak mempunyai unsur atau cirri-ciri penipuan atau skim piramid.

Kementerian juga menetapkan bahawa pemegang lesen jualan langsung tidak dibenarkan untuk meminda mana-mana bahagian dalam pelan pemasaran yang telah diluluskan untuk tempoh selama dua (2) tahun selepas beroperasi. Ini bertujuan memastikan syarikat jualan langsung tidak memanipulasi pelan pemasaran dan diluluskan oleh pihak Kementerian dan juga melindungi pengedar dan pengguna daripada unsur penipuan. Pindaan terhadap pelan pemasaran syarikat-syarikat jualan langsung selepas tempoh dua (2) tahun perlu mendapat persetujuan dan kelulusan pihak Kementerian terlebih dahulu.

Kementerian juga melakukan pemantauan berterusan dengan menjalankan naziran ke atas premis pemegang lesen jualan langsung selepas enam (6) bulan lessen dikeluarkan bagi memastikan pemegang lesen mematuhi Akta Jualan Langsung dan Skim anti Piramid 1993 dan Peraturan-peraturan semasa yang ditetapkan oleh Kementerian.

Pengguna juga boleh menyemak senarai syarikat jualan langsung di laman sesawang Kementerian atau menghubungi hotline 1-800-886-800 bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan syarikat-syarikat yang diberi lessen jualan langsung oleh Kementerian.