Dewan Rakyat: 28 April 2008 Dalam Sejarah Memilih Speaker dan Dua Orang Timbalan Speaker

28 April 2008 Dalam Sejarah Memilih Yang Di Pertua dan Dua Orang Timbalan Yang Dipertua

MEMILIH TUAN YANG DI-PERTUA
Setiausaha Dewan Rakyat: Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dan mengikut aturan yang dinyatakan di dalam Peraturan Mesyuarat 1, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat akan menjalankan urusan memilih Yang diPertua.

Saya telah menerima hanya satu cadangan untuk pemilihan Yang di-Pertua. Cadangan itu datangnya daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam suratnya bertarikh 10 April 2008. Oleh yang demikian saya dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan memilih Yang di-Pertua.

Perdana Menteri [Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi]: Tuan Setiausaha, saya mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih.

Timbalan Perdana Menteri [Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abd. Razak]: Tuan Setiausaha, saya menyokong usul itu.
Setiausaha Dewan Rakyat: Ahli-ahli Yang Berhormat, oleh kerana seorang sahaja yang dicadangkan dan disokong menjadi Tuan Yang di-Pertua, maka menurut peruntukan Peraturan Mesyuarat 4(3), saya dengan ini memasyhurkan bahawa Yang Berbahagia Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, dipilih sebagai Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. [Tepuk]

[Yang Berbahagia Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia masuk ke dalam Dewan dan dipakaikan jubah oleh Setiausaha Dewan Rakyat, kemudian menuju ke Kerusi]

Setiausaha Dewan Rakyat: Ahli-ahli Yang Berhormat, sila bangun.

TUAN YANG DI-PERTUA MENGANGKAT SUMPAH
Tuan Yang di-Pertua: Saya, Pandikar Amin Haji Mulia, setelah dipilih memegang jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah dengan ini berikrar dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu
dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindung serta mempertahankan Perlembagaannya.

[Tuan Yang di-Pertua menurunkan tandatangan pada Buku Sumpah dan Ikrar]

MEMILIH DUA ORANG TIMBALAN YANG DI-PERTUA
Perdana Menteri [Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi]: Tuan Yang diPertua, saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berhormat Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Ahli dari Santubong dan Yang Berhormat Datuk Ronald Kiandee ahli dari Beluran dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri [Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak]:
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan iaitu Yang Berhormat Dr. Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen kawasan Kepong dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua. [Tepuk]
Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Sudah, sudah, saya dengar sudah. Bukit Gelugor yang sokong. Ahli-ahli Yang Berhormat, oleh sebab ada tiga orang Ahli Yang Berhormat telah dicadangkan dan disokong untuk menjadi Timbalan Yang di-Pertua dan oleh kerana Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hanya dua orang Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dipilih di kalangan Ahli Dewan Rakyat, maka mengikut Peraturan Mesyuarat 6(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Majlis Mesyuarat akan membuat pemilihan dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan undi bersurat.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tuan Yang di-Pertua, tidak jelas tadi, Ipoh Timur mencadangkan, dia kata wakil rakyat Ipoh. Kalau Yang Berhormat Tan Seng Giaw, dia dari Kepong, bukan dari Ipoh.
Tuan Yang di-Pertua: Tidak, yang menyokong.
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Siapa kata Ipoh?
Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Tuan Yang di-Pertua: Sila, sila duduk.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, tolong senyap sekejap. Saya belum habis bercakap. Bagi maksud pemilihan dengan undi bersurat, pegawai-pegawai Dewan akan mengedarkan kertas-kertas undi kepada Yang Berhormat Ahli-ahli. Ahli-ahli Yang Berhormat diharap dapat mengisikan kertas itu dengan sempurna dengan menulis hanya dua nama sahaja nama calon yang dipilih dan menandatangani kertas undi itu.

Selepas itu lipatkan kertas itu dan serahkan kepada Setiausaha untuk dikira dan saya akan mengumumkan keputusan undi itu sebaik sahaja ianya dikira. Pegawai-pegawai Dewan yang berkenaan sila datang ke meja Setiausaha dan ambil kertas-kertas undi dan
diedarkan kepada Yang Berhormat Ahli-ahli di blok masing-masing.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Tuan Speaker, kita ingin tahu kalau undi kita hanya satu sahaja valid atau tidak.
Tuan Yang di-Pertua: Yang itu boleh.
[Undian dijalankan]

Tuan Yang di-Pertua: Keputusan undi. Ahli-ahli Yang Berhormat, keputusan undi ialah Yang Berhormat Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar mendapat 157 undi, [Tepuk] Yang Berhormat Datuk Ronald Kiandee mendapat 140 undi, [Tepuk] Yang Berhormat Dr. Tan Seng Giaw mendapat 81 undi. [Tepuk] Dengan itu saya mengisytiharkan iaitu Yang Berhormat Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Yang
Berhormat Santubong dan Yang Berhormat Datuk Ronald Kiandee, Yang Berhormat Beluran dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. [Tepuk] Dengan itu juga saya mempersilakan kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua mengambil tempat yang telah disediakan. Sila.
[Timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengambil tempat duduk yang disediakan]

Baca lanjut di sini

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: