KEMATIAN PELATIH PLKN: MENGKAJI SEMULA ATAU MENANGGUHKAN ATAU MEMBATALKAN PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA ( PLKN ) – MP PAS Sepang

Dewan Rakyat 1 Oktober 2013

YB Hanipa Maidin [ Sepang ] mengemukakan Usul 18 (1) pada 27 September lalu untuk membincangkan isu mengenai KEMATIAN PELATIH PLKN: MENGKAJI SEMULA ATAU MENANGGUHKAN ATAU MEMBATALKAN PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA ( PLKN ).agaimanapun telah ditolak dalam Kamar Speaker.

Tarikh: 27 September 2013

Assalamu’alaikum Wrt. Wbt.

Kepada

YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin bin Haji Mulia
Yang DiPertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur,

YB Tan Sri,
USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18 (1) dan (2)

Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2). Dengan ini diberi notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

KEMATIAN PELATIH PLKN: MENGKAJI SEMULA ATAU MENANGGUHKAN ATAU MEMBATALKAN PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA ( PLKN )

Bahawa saya, Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Sepang mohon mencadangkan bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18(1), Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merunding isu Kematian Pelatih PLKN: Mengkaji semula atau menangguhkan atau membatalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Isu ini adalah perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Tan Sri Yang Dipertua
Kes kematian para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) masih terus berlaku dan ianya amat membimbangkan rakyat Malaysia secara amnya dan secara khususnya para ibu bapa yang mempunyai anak-anak di Kem PLKN di seluruh Negara.
Baru-baru ini kita didedahkan dengan kematian seorang pelatih PLKN di Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah iaitu adik Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, dari Kerdau, Temerloh yang dijumpai seorang rakannya dalam keadaan terbaring di bilik air kem berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah sejam kemudian.
Laporan awal bedah siasat mendapati punca kematian Muhammad Suhaimi disebabkan pendarahan dalam kepala akibat hentakan objek tumpul dan mangsa dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan,

Sebelum ini kita juga mendengar antara lain kematian-kematian berikut

a. Mohamad Zulhaili Noraihan, pelatih PLKN di Kem Wawasan Wawasan Papar, Sabah, pada 15 Februari di Hospital Queen Elizabeth,

b. Pelatih perempuan, Prema Elenchelian, 18, dari Kem Kisana Beach Resort yang mati selepas tergelincir di dalam tandas ketika menjalani latihan di Hutan Lipur Jeram Linang.

c. Mendiang Teng Siau Shen, 18, yang mengikuti program di Kem PDS Pasir Panjang, Port Dickson meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas pada Januari lalu.

d. Ili Ameera Azlan dari Taman Tuanku Jaafar, Seremban meninggal dunia secara mengejut ketika mengikuti kem latihan PLKN di Melaka.

e. Theresa Pauline Sarimuthu, yang menyertai acara kembara halangan di Kem Khidmat Negara Kuala Pilah, Negeri Sembilan kejang dan rebah secara tiba-tiba dan meninggal dunia.

f. kematian R.Vinoth di Kem Terkok di Sungai Siput, Perak.

g. Sebelum ini pada tahun 2005, sekurang-kurangnya lima kes kematian berlaku dalam kem PLKN iaitu dua kes kematian lemas berlaku di Sarawak dan Kelantan, dan dua kes kematian sakit tenat di Johor dan Sabah manakala pada tahun 2006, didapati seorang peserta dipukul mati di Kem Padang Hijau, Johor.

Tan Sri Yang Dipertua,
Kita percaya bahawa kelemahan dan kecuaian dari aspek keselamatan PLKN menjadi salah satu punca kematian yang tidak terduga ini semakin bertambah dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mesti memandang serius isu tersebut dan tidak boleh lepas tangan dalam menanganinya.

Disamping kes kematian di kem-kem PLKN juga diketahui umum berlakunya kes-kes rogol , pencabulan dan salah guna kuasa para Jurulatih PLKN yang kesemuanya ini menghilangkan keyakinan rakyat Negara ini khususnya para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke program PLKN.

Dengan kematian baru ini maka sudah sampai masanya program PLKN dikaji semula atau ditangguhkan atau ditamatkan terus kerana secara jelas pihak yang bertanggungjawab ke atas program PLKN telah gagal dalam tangungjawab mereka memastikan keselamatan para pelatih benar-benar terjamin.

Tan Sri Yang Dipertua
Isu ini memenuhi ketiga-tiga syarat iaitu ianya isu yang spesifik iaitu melibatkan kes kematian pelatih PLKN, berkepentingan ramai kerana ramai ibu bapa yang terlibat dalam menghantar anak-anak mereka ke program tersebut dan perlu disegerakan kerana kes kematian bukan suatu yang remeh dan badan yang paling sesuai untuk membincangkan isu ini adalah dewan yang mulia ini.

Saya memohon untuk mencadangkan.

Sekian,

Yang benar,

Mohamed Hanipa Maidin
Ahli Dewan Rakyat, Sepang

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: