Misteri MH 370: Rakyat dan Masyarakat Antarabangsa Ragu Negara Tangani Tragedi

Perbahasan Titah Diraja 2014 pada 12 Mac 2014

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Bismillahi Rahmani Rahim, Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen Wassalatu Wassalamu Ala Sayidna Muhammad Wa ‘ala Aalihi Wasahbihi Ajma’een. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua yang membenarkan saya untuk turut serta di dalam perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong yang mana telah banyak mengandungi nasihat dan teguran. Saya turut juga ingin merakamkan perasaan sedih, dukacita dan kecewa terhadap Kerajaan Barisan Nasional yang secara jelas telah gagal menangani apa yang dinamakan sebagai tragedi negara, yang telah diangkat tarafnya dan dijadikan tragedi antarabangsa iaitu yang berhubung dengan penerbangan MAS MH370. Sama-sama kita doakan semoga semua yang terlibat iaitu penumpang dan krew termasuk dua orang pilot dan co-pilot itu akan dijumpai dengan selamatnya, insya-Allah.

Walaupun sebagai seorang bekas kakitangan Petronas yang telah berkali-kali hadir di dalam seminar dan latihan search and rescue, kita semua memahami dengan berlalunya hari demi hari, maka kemungkinan untuk mereka dijumpai dalam keadaan yang selamat semakin menipis. Ada yang mengatakan dengan izin, the chances of survival reduces by 15% with each passing day.

Maknanya, dengan setiap hari, peluang untuk menjumpai mereka dalam keadaan yang masih hidup dan selamat, semakin mengurang sehingga 50% kerana makanan tidak ada, kerana kalau ada yang tercedera, doktor dan jururawat tidak ada, perubatan tidak ada. So maknanya, the longer it takes, the smaller the chances of survival.

Saya hanya ingin menonjolkan beberapa peristiwa berhubung MH370 yang menambahkan keraguan rakyat dan masyarakat antarabangsa mengenai kemampuan negara Malaysia dan Kerajaan Malaysia untuk menangani krisis yang seperti ini, seperti mana juga dalam krisis berhubung dengan Lahad Datu, banyak kelemahan yang telah terzahir.

Sebagai contoh, saya rujuk kepada laporan di Malaysiakini yang bertarikh 8 Mac di mana Director. Saya baca di sini. “Director Department of Civil Reaction, Azharuddin Abdul Rahman clarified that the Subang Air Control Traffic lost radar contact with the Boeing 777 – 200 Aircraft at 1.30 am and not 2.40 am.”

Boleh keluar kenyataan yang mengatakan sebenarnya telah hilang hubungan dengan MH370 pada 1.30 pagi dan bukan 2.40 pagi. Selepas itu, kenyataan ini disanggah pula dan akhirnya dipersetujui bahawa hubungan komunikasi dan radar telah hilang pada 2.40 pagi. Bagaimana keadaan yang seperti ini boleh berlaku? Takkanlah waktu yang sebenar terputusnya hubungan dan hilangnya daripada radar, Jabatan Penerbangan Awam dan MAS tidak boleh bersetuju pada asalnya? Kenyataan-kenyataan yang seperti ini menyayat hati keluarga-keluarga yang terlibat. Ini nombor satu.

Nombor dua, saya ingin Menteri menjelaskan apa tindakan selepas 2.40 pagi yang telah diambil oleh kakitangan Jabatan Penerbangan Awam dan MAS setelah mengetahui bahawa kapal terbang itu telah terputus hubungan dan hilang di radar. Setakat yang kita tahu, kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak MAS pada 7.25 pagi iaitu hampir lima jam. Lima jam selepas hubungan dan kesan radar MH370 itu telah hilang. Lima jam. Sesiapa yang terlibat di dalam aspek search and rescue akan memahami bahawa lima jam ini ialah soal life and death. Saya ingin Menteri menjelaskan kenapa mengambil masa yang begitu lama.

Takkanlah hendak tunggu Pengarah DCA dan Pengarah MAS bangun tidur baru hendak beritahu. Kenapa 7.25 pagi sedangkan kita kata ia tragedi nasional? Tidakkah sepatutnya pada 2.42 pagi semua pihak dihubungi kerana apabila sebuah kapal terbang hilang di atas kawasan lautan, dengan adanya arus air, apa yang dikatakan sebagai ocean currents yang membawa ke kiri dan ke kanan, ke utara dan ke selatan. Lima jam boleh meletakkan kapal terbang itu di luar kawasan yang biasa akan diberikan tumpuan untuk carian. Time is off the ascent. Kenapa bertindak dengan begitu lambat?

MAS selepas itu telah pun melancarkan gerakan pasukan penyelamat tetapi mengikut kronologinya, apa yang dinyatakan di sini adalah pasukan penyelamat dalaman MAS dan pada pukul 10.00 pagi baru diadakan mesyuarat bersama dengan agensi-agensi yang lain dan pada pukul 10.40 pagi, Tentera Udara Diraja Malaysia pula menghantar pasukannya. Ini sudah hampir lapan jam dan yang amat menyedihkan bagi saya ialah hakikat bahawa Perdana Menteri sendiri hanya membuat kenyataan rasmi dan mengarahkan semua agensi penyelamat melakukan segala yang terdaya hanya pada pukul 1.15 tengah hari. Ini sudah hampir 12 jam daripada saat berlakunya hilangnya kapal terbang MH370 di skrin radar dan terputusnya hubungan kapal terbang. Tower dengan kapal terbang.

Inilah yang dipertikaikan oleh masyarakat antarabangsa. Sepatutnya 3.00 pagi kejut Perdana Menteri, 3.00 pagi, kejut Perdana Menteri. Biar Perdana Menteri mengarahkan semua agensi untuk mengambil tindakan dan berhubung dengan jabatan-jabatan yang berkenaan di negara-negara jiran. Bukan pada pukul 1.15 tengah hari. Inilah masalahnya. Inilah yang dipertikaikan. Kalau kita tidak mahu menanggung tanggungjawab yang berat seperti ini, maka janganlah jadi kerajaan.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau sudah ditegur kelemahan dan kekurangan, muhasabah. Terimalah dengan baik dan tawaduk.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Seremban bangun ya.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Janganlah hendak spin kata tidak hormat keluarga, tidak hormat sensitiviti ahli keluarga dan sebagainya. Oleh kerana menghormati sensitiviti ahli keluargalah yang kita timbulkan persoalan ini. Kita kena akui dunia antarabangsa sudah tegur kita lemah. Perbaiki. Sila, Yang Berhormat Seremban.

Tuan Loke Siew Fook [Seremban]: Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya cuma hendak mencelah sedikit. Bukannya kita hendak menuding jari kepada sesiapa tetapi dalam insiden ini memang terdapat banyak persoalan. Seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Shah Alam tadi, Perdana Menteri setelah 12 jam baru buat kenyataan. Akan tetapi apa yang lebih pelik ialah mengikut satu laporan akhbar, orang yang pertama untuk menghubungi ataupun memberitahu perkara ini kepada Perdana Menteri ialah isteri Perdana Menteri dan bukannya Ketua Pengarah DCA. Ini merupakan satu perkara yang sangat pelik. Saya tidak faham mengapa Ketua Pengarah DCA tidak inform kepada Perdana Menteri. Terima kasih.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Seremban. Saya tidak mahu membuat andaian dan spekulasi tetapi sekiranya itu merupakan satu berita dan maklumat yang tepat dan benar, maka amat malang sekalilah. Saya juga ingin menyebut tentang persoalan pasport curi.

Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih rakan saya daripada Shah Alam. Saya ingat Tuan Yang di-Pertua, kalau wakil Barisan Nasional iaitu Yang Berhormat Johor Bahru yang berucap sampai tiga jam, terpaksa berhenti ke bilik air, ini adik dia, Yang Berhormat Shah Alam. Saya ingat boleh bagi tiga jam. Kita tengok siapa yang tahan. Siapa yang tahan. Adik atau abang.

Baik, saya terus minta penjelasan daripada Yang Berhormat Shah Alam. Adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa keadaan yang berlaku dari segi pengendalian isu ini yang dibuat oleh pihak kerajaan ini dengan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain menunjukkan bahawa macam kerajaan tidak centralize dari segi cara pengendalian. Macam tidak ada satu committee, satu jawatankuasa khas siapa yang harus dipertanggungjawabkan untuk menjadi jurucakap. Sekejap Menteri cakap macam ini, Ketua Pengarah DCA cakap macam ini. Semua menafikan antara– membatalkan kenyataan antara satu sama lain. Jadi, adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa perlu kepada satu pembentukan pasukan pengendali yang khas dan khusus yang membabitkan semua kementerian dan juga membabitkan anggota Kabinet.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, saya setuju dengan apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pokok Sena. Kita perlu tentukan bahawa imej negara kita dalam menangani tragedi yang seperti ini perlu diperbaiki dan perlu ditingkatkan. Kenyataan-kenyataan yang bercanggah termasuklah kenyataan daripada Panglima Tentera Udara Malaysia perlu sepatutnya tidak didedahkan dengan begitu sahaja yang menimbulkan– jadi orang semua naik bingung. Betulkah kapal terbang itu boleh tukar arah ikut sesuka hati dan sebagainya.

Pada masa yang sama, saya hendak sebut juga tentang soal penggunaan…
Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bersetuju bahawa kenyataan-kenyataan bercanggah itulah sebenarnya yang mengguris hati keluarga?

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya betul, semestinya kerana ia menunjukkan seolah-olah tidak ada satu usaha yang tersusun dan berkesan sehingga berlaga di antara satu sama lain sentiasa.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat]

Berhubung dengan penggunaan pasport curi ini pun ada juga kenyataan yang bercanggah. Sekejap kata empat, lepas itu dua, sekarang ini sudah confirm dua dan sebagainyalah. Tidak payahlah saya hendak cerita panjang, semua sudah tahu. Hanya saya hendak tegur kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak imigresen. Apabila sudah berlaku kebocoran yang seperti ini ataupun sudah terbolos dua pasport yang dicuri, bagi pihak imigresen menyatakan bahawa kakitangannya tidak melakukan apa-apa kesilapan dan telah mengikut SOP (standard operating procedure), maka apa yang kita hendak sampaikan kepada dunia antarabangsa? What is the message? SOP kita telah gagal tetapi kita berpuas hati.

Alhamdulillah, kita ikut SOP, dua orang sudah bolos, tidak apalah kita ikut SOP.
Tidak ada satu kenyataan daripada pihak imigresen yang mengakui kegagalan dan kelemahan dalam SOP itu. Apa gunanya Interpol ataupun mana-mana agensi antarabangsa memberikan maklumat tentang pasport sudah hilang, lepas itu bila bolos kita kata, ”Ada 40 juta pasport hilang, macam mana kita hendak kawal?” I mean what kind of attitude is this? Dengan izin. Apa masalahnya dalam zaman sains dan teknologi kita masukkan segala maklumat pasport, nombor-nombor pasport itu di dalam komputer? Apabila dimasukkan sahaja nombor pasport yang datangnya penumpang kita masukkan nombor pasport, tiba-tiba nombor pasport itu sama dengan senarai yang ada dalam komputer kita yang telah dilaporkan hilang, maka dengan sendirinya akan timbul amaran, maklumat bahawa pasport ini telah dilaporkan hilang di negara sekian-sekian di tarikh sekian-sekian dan sebagainya.
Akan tetapi apabila kita lepas tangan dan kata, “Oh! Kita sudah ikut SOP sudah.” What is the message? Apa yang kita hendak nyatakan? Adakah dengan kenyataan yang seperti itu menambahkan keyakinan ataupun menghilangkan keyakinan dengan seluruhnya oleh masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional? Tidak ada kerajaan lain, Kerajaan Barisan Nasional sahaja.

Tuan Julian Tan Kok Ping [Stampin]: Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terakhir berhubung dengan MH370 ini. Saya dapat maklumat…
Tuan Julian Tan Kok Ping [Stampin]: Yang Berhormat Shah Alam, minta mencelah. Minta mencelah sedikit. Terima kasih ya Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Setujukah Yang Berhormat Shah Alam bahawa kenapakah kalau Google boleh buat search berbilion-bilion search dalam masa satu saat, apa masalahnya kalau kita buat search 40 million dalam beberapa saat sahaja? Terima kasih Yang Berhormat.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, betul. Saya setuju dengan Yang Berhormat Stampin. Ini kita bukan hidup dalam zaman batu dan sekolah kayu dan papan seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Sipitang. Kita hidup dalam zaman teknologi. Saya pun hairan dengan Yang Berhormat Sipitang ini. Dia mengeluh, mengeluh, mengeluh tetapi dia sokong juga. [Ketawa] Mengeluh, mengeluh, mengeluh tetapi dia sokong juga. Tadi hendak komen tetapi dia tidak beri laluan. [Disampuk] Tetap sokong. Sepatutnya tukarlah.

Saya hendak baca Whatsapp yang saya terima daripada seorang rakan yang bekerja dengan WestStar. Dia kata, the initial searching area ataupun kawasan hendak cari kesan-kesan kemalangan di belah Timur Kelantan dan Terengganu iaitu Area A diterbangi oleh lebih 10 kapal terbang dan helikopter WestStar dengan 10 penerbangan setiap hari untuk hantar pekerja-pekerja ke off-shore. WestStar bercadang untuk terlibat dalam kerja-kerja search and rescue dan meletakkan dua kakitangan mereka bagi setiap penerbangan untuk membantu. Akan tetapi hingga sekarang tidak ada respons daripada Jabatan Penerbangan Awam.

Kawasan di situ ada banyak pelantar minyak. Pekerja-pekerja pelantar minyak dihantar melalui helikopter WestStar di antara operatornya dan mereka sudah tawarkan khidmat mereka. Adakah benar Jabatan Penerbangan Awam hingga hari ini tidak respons?
Tamat tentang MH370. Saya hendak tegur Yang Berhormat Johor Bahru. [Ketawa]
Seorang Ahli: Sudah lari.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dia ada, dia ada dekat luar. Dia sebut dia kecewa kerana Ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat…
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Shah Alam ada dengar ucapan Yang Berhormat Johor Bahru?
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ada dilaporkan.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Dilaporkan ya.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sekarang ini zaman sains dan teknologi.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, setuju.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ucapannya ada dalam rakaman. Kita duduk di Kajang pun kita boleh dengar kalau kita hendak. Walaupun mungkin…

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Saya harap Yang Berhormat Johor Bahru pun dengar ucapan Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sekarang ini pun dia dengar, tidak apalah. Lalu dia tegur tentang soal ketidakhadiran Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat di dalam Dewan pada hari semalam. Dia sebut bahawa dalam soal sistem Demokrasi Berparlimen, adanya pemisahan kuasa. Pihak legislatif dalam Parlimen, pihak eksekutif dan pihak kehakiman ataupun judiciary, ia terpisah dan tidak ada mana satu pihak mempengaruhi yang lain. Maka kenapa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak hadir semalam dalam keadaan membantah keputusan mahkamah terhadap Ketua Pembangkang dan juga Yang Berhormat Bukit Jelutong…
Seorang Ahli: Yang Berhormat Bukit Gelugor.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Yang Berhormat Bukit Gelugor …
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Kawan, kawan.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sedangkan institusi hakim dan institusi eksekutif telah pun…
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Kawan.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ini my floor, please. Biar saya habiskan point saya dahulu.
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Sedikit sahaja. Hendak tanya sedikit sahaja.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dengarlah dahulu. Hendak bangun buat apa? Dengar dahulu ya. Kenapa kita tidak hadir? Ini kerana keputusan kehakiman itu tidak ada kena mengena dengan eksekutif dan legislatif. Kita tidak hadir oleh kerana jelas terbukti ada kena mengena… [Tepuk] Dan kita membantah. Ini bukan benda baru. Saya ingatkan Yang Berhormat Johor Bahru, dia sendiri pada tahun 1987 apabila terbentuknya team A dan team B, dia letak jawatan, dia bantah. [Tepuk] Yang Berhormat Gua Musang masih ada di sini. Bagaimana pihak eksekutif telah terlibat dan campur tangan dalam institusi kehakiman… [Tepuk] Hendak harapkan Ahli Parlimen Barisan Nasional hendak bantah? Minta maaf. [Yang Berhormat Johor Bahru masuk dalam Dewan]

Kalau Yang Berhormat Johor Bahru hendak minta laluan saya beri. Akan tetapi saya hendak beritahu, kita tidak hadir atas sebab kita membantah campur tangan pihak eksekutif dalam persoalan pihak judiciary, kerana apa? Ia kerana kes itu telah dibawa ke depan semasa kes itu dibincangkan, kes management dilakukan, ianya telah disebut 7 hingga 10 April. Tiba-tiba apabila berlakunya Kajang Move, secara mengejut kes management dilakukan sekali lagi dan bukan sekadar pihak peguam yang hadir dan bukan sekadar pegawai mahkamah yang hadir tetapi hakim itu sendiri yang hadir dan mengubah tarikh perbicaraan sehingga apabila disebut bahawa…

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat Johor Bahru bangun.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Yang Berhormat Bukit Gelugor ada kes yang lain, hakim kata tidak apa, kita akan tundakan tarikh kes yang lain, kita hendak ianya dibicarakan pada 7 Mac itu juga. [Tepuk] Ini jelas menunjukkan adanya campur tangan oleh pihak eksekutif.

Dato’ Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [Lenggong]: Bagilah jalan.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya hendak ingatkan Yang Berhormat Johor Bahru, apa yang telah disebut [Dewan riuh] hendak bagi, hendak bagi. Nanti sekejap, biar saya habiskan. [Dewan riuh] Okey, saya bagi dulu, okey.

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya tertarik dengan sebutan atau kata-kata yang jelas menunjukkan. Ini jelas menunjukkan apa buktinya. Kalaulah adanya tarikh yang bertembung dengan Kajang Move, mengapa ianya berlaku? Bukan kerana eksekutif yang menentukan tarikh. Yang sebenarnya kes bagi Ketua Pembangkang sudah ditangguhkan berapa kali. [Disampuk] Sudah ditangguhkan sendiri, hendak tolak daripada peguam cara, hendak tolak daripada beberapa kali yang ditangguhkan sehingga ia bertemu tarikh. Di mana ada penglibatan…

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya minta tiga jam ya.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Tidak layak minta tiga jam, minta maaf. Tidak layak, minta maaflah, bukan saya, minta dengan Tuan Yang di-Pertua tetapi pada saya Tuan Yang di-Pertua, tidak layak tiga jam. Mungkin sepuluh minit lagi bolehlah, ini cadangan saya, bukan saya yang menjadi Tuan Yang di-Pertua. Akan tetapi dari segi tarikh, mengapa tarikh perbicaraan bertemu dengan pembukaan Parlimen, bertemu dalam masa beberapa hari dengan penamaan calon, adakah ia ada kena mengena dengan tindakan pihak eksekutif?

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Johor Bahru.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Dia cakapkan mesti ada…
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Johor Bahru. Tuan Yang di-Pertua…

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Akan tetapi sebenarnya bila dia cakap tentang ada bukti jelas, bawalah bukti itu.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sudah terbukti.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Terbukti dalam hati mereka dan pemikiran mereka yang memang songsang…
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Benda ini pernah berlaku, ianya bukan kali pertama. Saya minta maaf Yang Berhormat Johor Bahru. Masa saya setengah jam sahaja, saya minta tiga jam tidak dibenarkan. Maka biar saya jawab terus. [Dewan riuh]
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Tuan Yang di-Pertua, mengapa apabila disebutkan tentang saya meletakkan jawatan, apa kena mengena dengan eksekutif?

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Itu sebagai bukti.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Apa buktinya?
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Peristiwa campur tangan eksekutif dalam judiciary. [Dewan riuh]
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Apa buktinya? [Ketawa]
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sehingga pihak Ketua Hakim Negara telah dipecat, Ketua Audit Negara telah dipecat…
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Tidak ada kena mengena.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …Dan saya rasa apa yang telah berlaku, Yang Berhormat Gua Musang pun boleh mengesahkan.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Masa itu Yang Berhormat Shah Alam masih terlalu muda untuk memahami keadaan yang sebenarnya.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Semua pengkaji sejarah politik negara pun boleh mengesahkan, ianya…

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Shah Alam. [Dewan riuh]
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Yang Berhormat Shah Alam terlalu muda kerana sekarang Yang Berhormat terlalu tua. [Dewan riuh] Lupa…
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, lupa. [Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Shah Alam dan Yang Berhormat Johor Bahru.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Tuan Yang di-Pertua.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Dari segi sindiran itu…
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tuan Yang di-Pertua, minta maaf, saya punya floor.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Saya diberikan tadi, saya boleh.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya punya floor.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: My time is running out, kecuali Tuan Yang di-Pertua beri peluang tambah…
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Saya diberikan peluang untuk menambah.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Masa Yang Berhormat Johor Bahru ambil, ditambah balik pada ucapan saya. Boleh?
Seorang Ahli: Mana boleh.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau Yang Berhormat Johor Bahru ambil sepuluh minit, tambah sepuluh minit lagi.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Shah Alam dan Yang Berhormat Johor Bahru.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya ada banyak point lagi, saya hendak jawab dia punya point.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Saya bangun ini kerana soal saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru ketika itu.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kerana Yang Berhormat Johor Bahru tanya kenapa kita tidak hadir dan kita menjelaskan. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat bukan macam Ahli Parlimen Barisan Nasional. [Dewan riuh] Bila berlakunya penyelewengan, Ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional mendiamkan diri, bukan sekali, dua kali. Ini sudah jadi kali yang ketiga. [Dewan riuh]

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Apa yang…
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Biar saya sampaikan hujah saya Tuan Yang di-Pertua.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Sebenarnya hujah bercakap dengan kuat kononnya jelaslah tetapi kalau kita teriak dengan suara yang keras pun…
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tidak apa, itu cara saya. Masing-masing ada cara masing-masing.

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Kalau tidak betul, memang tidak betul. Ini hanya menolak fakta yang sebenarnya.
Seorang Ahli: Duduk, duduk, duduk.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Minta semua duduk, biar saya habiskan hujah.
Beberapa Ahli: [Bangun]
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Biar saya habiskan, masing-masing ada point mungkin.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Shah Alam duduk, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Sepang, sekejap sahaja.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Yang Berhormat Sepang, sekejap sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Shah Alam sekejap. Sebenarnya masa Yang Berhormat Shah Alam sudah habis.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Yang Berhormat Sepang, biar saya habiskan point saya kerana sudah habis masa.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Sepang, tidak payah kerana masa Yang Berhormat Shah Alam sudah habis.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Sedikit sahaja, sedikit.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Pointnya ialah justice must not only be done but must be seen to be done. Dalam kes ini telah timbul kecacatan dalam proses. Mitigation diminta dilakukan dalam masa hanya satu jam dan ianya memang tidak pernah berlaku. Matlamat di sebaliknya ialah untuk menjatuhkan hukum pada 7 hari bulan, hari Jumaat itu juga dengan tujuan tidak membenarkan Ketua Pembangkang turun sebagai ADUN…
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Permintaan, atas permintaan daripada yang tertuduh.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …Untuk Kajang. Saya hendak ingatkan Yang Berhormat Johor Bahru, apa yang dikatakan oleh Tun Musa Hitam. Saya hendak sebut apa yang Tun Musa Hitam sebut pada saya di rumah bapa saudara kami berdua. [Dewan riuh] Bila saya tanya pada Tun Musa, “Mengapa Tun tidak lawan Mahathir seperti mana yang dilakukan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh?” Tun Musa sebut “Kalau saya lawan, apa yang berlaku terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh akan berlaku pada diri saya”. [Dewan riuh][Tepuk]

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ini mentor.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Saya boleh jawab bagi pihak mentor saya.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ini mentor, tok guru, sifu bagi Yang Berhormat Johor Bahru.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Saya boleh jawab, betul, mentor Johor Bahru. Saya boleh jawab. [Dewan riuh]
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya hendak ingatkan dia…

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Fasal sebenarnya Ahli Parlimen daripada Shah Alam atau cakap orang putih, tidak ada sense of humor. Bila orang melawak, dia mengambil perkara itu sebagai satu yang serius.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Biarlah rakyat melihat bahawa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat jauh lebih bertanggungjawab dan lebih… [Dewan riuh]
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Dahsyat!
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional.

Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Dia sebenarnya tidak tahu, tidak tahu sebenarnya. Ini bermakna keadaan bila kita bawa cerita yang datangnya daripada seorang yang memang menganggapkan dia sebagai Ahli Parlimen yang boleh berfikir bahawa di antara apa yang lawak dan apa yang serius, inilah masalahnya.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tuan Yang di-Pertua, saya dengan segala hormatnya meminta Tuan Yang di-Pertua, mintalah Yang Berhormat Johor Bahru beri ruang pada saya walaupun dia abang. [Ketawa]
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Fasal saya bercakap dengan Tun Musa, inilah masalahnya bila seorang itu terlalu… dikatakan dalam cara melawak, dia menyatakan sebagai benda bukti.

Tuan Laksamana Pertama (B) Haji Mohamad Imran bin Abd. Hamid [Lumut]: Yang Berhormat Johor Bahru duduk, duduk. [Dewan riuh]
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Cukuplah.
Tuan Manivannan a/l Gowindasamy [Kapar]: Tiga jam tidak cukup…
Tuan Laksamana Pertama (B) Haji Mohamad Imran bin Abd. Hamid [Lumut]: Yang Berhormat Johor Bahru duduk.
Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad [Johor Bahru]: Kalau orang yang matang, dia tahu membezakan di antara perbualan dan bukan kenyataan. [Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, seminit lagi.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat-Yang Berhormat, saya mengakui bahawa sukar saya mengawal dua orang ini.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Memang sukar. Jadi, saya bagi satu minit lagi.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya baik, terima kasih. Saya hendak ingatkan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional. [Dewan riuh] Ini sudah dua kali perbalahan dalaman yang berlaku di dalam UMNO melibatkan sistem kehakiman rosak dan campur tangan eksekutif dalam judiciary, it’s happened twice.

Pada tahun 1987 yang melibatkan Yang Berhormat Gua Musang, Yang Berhormat Johor Bahru dan juga Tun Musa Hitam. Pada tahun 1998 yang melibatkan Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya hendak berikan peringatan kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, tuan-tuan bertanggungjawab untuk mempertahankan the independence of the judiciary. [Tepuk]

Rakyat ingin melihat Ahli-ahli Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional berdiri dan membantah setiap kali executive campur tangan dalam tindakan judiciary. [Tepuk] Kalau tuan-tuan tidak melakukannya, maka sekiranya tuan-tuan tidak lakukannya, maka ini merupakan pengkhianatan yang besar terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat kepada tuan-tuan.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dengan itu, saya ucapkan terima kasih. [Tepuk]

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: