Usul 18 – ISU PENYUSUTAN TANAH REZAB MELAYU YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Tarikh : 6 November 2014

Assalamu’alaikum Wrt. Wbt.

Kepada
YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Bin Haji Mulia
Yang Dipertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur

YB Tan Sri,
USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN
MESYUARAT 18 (1) DAN (2)

Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2) . Dengan ini diberi notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

ISU PENYUSUTAN TANAH REZAB MELAYU YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN
Bahawa saya, Dato’ Mahfuz Omar, Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pokok Sena, mohon mencadangkan bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18(1), Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merunding isu berkenaan Penyusutan Tanah Rezab Melayu yang kini semakin membimbangkan.

Tan Sri Yang Dipertua,
Isu ini adalah perkara tertentu kerana penyusutan Tanah-tanah Rezab Melayu yang semakin mengecil keluasannya hari ini sangatlah membimbangkan. Berdasarkan kepada kajian yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati jumlah keluasan Tanah Rezab Melayu yang direkodkan setakat tahun 2009 telah menyusut kepada hanya kira-kira 12% iaitu seluas 1.6 juta hektar sahaja daripada keseluruhan 12.9 juta hektar keluasan tanah di Semenanjung Malaysia (tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang). Jumlah ini diyakini semakin berkurang pada ketika ini disebabkan hilangnya kawalan pihak berkuasa dalam memantau keluasan dan status Tanah-tanah Rezab Melayu yang sedia ada.

Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dalam mempertahankan saki-baki Tanah Rezab Melayu yang masih tinggal kini. Tambahan pula kedudukannya telah dijamin di bawah Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Enekmen Tanah Rizab Melayu. Peruntukan undang-undang yang ada seharusnya melindungi dan mengawalselia Tanah-tanah Rezab Melayu ini dan bukannya digunakan sebagai mekanisme untuk mengurangkan jumlahnya terutama melalui penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pada asasnya, Tanah Rezab Melayu tidak sepatutnya berkurang atau dikurangkan atas apa juga alasan sekalipun kerana undang-undang telah memperuntukkan dengan tegas bahawa mana-mana Tanah Rezab Melayu yang diambil atau dibatalkan statusnya, hendaklah diganti dengan tanah lain yang sama jenis kegunaan tanahnya, nilai dan keluasan tanah tersebut.

Tan Sri Yang Dipertua,
Perkara ini melibatkan kepentingan ramai. Lanjutan dari proses pembangunan yang tidak terkawal yang menyebabkan penyusutan ketara Tanah-tanah Rezab Melayu, banyak kampung-kampung tradisi/warisan yang didirikan di atas Tanah-tanah Rezab Melayu tersebut telah diambil untuk dibuat projek-projek tertentu, di mana penduduk-penduduk kampung tersebut dipaksa keluar dari penempatan asal mereka dalam keadaan yang tidak sepatutnya sebagai rakyat negara ini dengan pampasan yang setimpal.

Tan Sri Yang Dipertua,
Perkara ini perlu disegerakan dan Kerajaan perlu mengawal dan bertindak tegas di atas penyusutan Tanah-tanah Rezab Melayu yang berlaku secara berleluasa pada masa ini. Jika tidak ada pemantauan khusus, maka lama-kelamaan tanah-tanah yang diperuntukkan kepada orang-orang Melayu akan lambat-laun hilang dan terhapus dari peta negara dan kepentingan orang Melayu tidak dapat dipertahankan lagi.

Kerajaan juga perlu merangka polisi-polisi khusus atau mewujudkan undang-undang yang dapat mengawal dan melindungi kampung-kampung tradisi/warisan dan kebajikan peneroka-peneroka bandar. Kampung-kampung tradisi/warisan ini perlu dipelihara, disusun semula dan diwartakan di sisi undang-undang.

Oleh itu, Dewan yang mulia ini perlu membuat pendirian tegas mewujudkan polisi khusus dengan menubuhkan satu Lembaga Amanah Tanah Rezab Melayu berdasarkan Perkara 89 (5) Perlembagaan Persekutuan bagi mengawalselia jumlah Tanah-tanah Rezab Melayu yang masih ada dalam negara di samping mempertahankan entiti perkampungan tradisi/warisan yang sedia ada serta menjaga kebajikan peneroka-peneroka Bandar.

Sekian.

Yang benar,

Dato’ Mahfuz Omar
Ahli Dewan Rakyat, Pokok Sena

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: