3 Senator Pakatan Rakyat angkat sumpah

Tiga orang, masing-masing daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Mereka ialah Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim, 75, dan Setiausaha PKR Pulau Pinang, Mustafa Kamal Mohd Yusuff, 56, kedua-duanya dilantik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang serta Naib Ketua, Dewan Muslimat PAS Kelantan Mumtaz Md Nawi, 37.

Tunku Abdul Aziz dan Mustafa dilantik kali pertama manakala Mumtaz dilantik bagi penggal kedua.

Tunku Abdul Aziz, yang merupakan Senator pertama daripada DAP berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepadanya dan akan berusaha untuk menyuarakan kepentingan rakyat dan kerajaan negeri itu di Dewan Negara.

Beliau berkata, pengalaman luasnya dalam sektor perbankan dan perniagaan akan dimanfaatkan bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai Senator.

“Saya masih baru (dalam persidangan dewan) dan masih perlu banyak belajar dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaaan negeri Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepada saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah itu.

Tunku Abdul Aziz pernah memegang jawatan tinggi di pelbagai organisasi swasta dan awam di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom selain pernah menjadi Presiden Persatuan Transparensi dan Integriti Malaysia, Pengarah Kumpulan Sime Darby Bhd dan kini sebagai penulis kolum mingguan untuk akhbar Cina, Sin Chew Daily.BERNAMA

Penglibatan Senator PAS di Dewan Negara, 15 Dis. 2008

Penglibatan Ahli Dewan Negeri (PAS) negeri Kelantan dan Kedah pada Sesi soalan jawab lisan Dewan Negara 15 Disember 2008

Senator Mumtaz cadang Ketua Pembangkang Dewan Negara diwujudkan

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz binti Md Nawi dalam satu kenyataannya berkata Pakatan Rakyat yang menerajui lima buah kerajaan negeri akan melantik Ketua Pembangkang di dalam Dewan Negara pada sidang parlimen yang akan berlangsung pada Mei akan datang.

Katanya, hal tersebut telah dibincangkan di peringkat ketiga-tiga parti.

“Namun kesemua ini masih tertakluk kepada tempoh perkhidmatan seseorang senator tersebut kerana mereka tidak terpengaruh dengan perubahan tampuk pemerintahan sesebuah kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, perjalanan Dewan Negara pada kali ini tetap akan memperlihatkan perbezaan selepas beberapa negeri yang dikuasai BN telah dirampas Pakatan Rakyat.

“Kita juga akan mengadakan pre-council sebelum sidang parlimen dimulakan bagi memantapkan lagi perbahasan ahli-ahli dewan untuk menambah keberkesanan peranan para senator,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan pihak ahli-ahli dewan negara pada sesi akan datang, Mumtaz berkata ianya akan diperhalusi bersama senator pakatan rakyat yang lain dalam jangka masa terdekat.

“Selama ini kita telah menjalankan tugas yang diberikan dengan baik meskipun tidak mendapat liputan tentang keberkesanannya.

“Namun, kita akan meneruskannya berdasarkan pertambahan tugas untuk menyuarakan hasrat rakyat untuk diambil perhatian oleh kerajaan,” demikian ujarnya.

Mumtaz merupakan satu-satunya wakil PAS yang masih berkhidmat di Dewan Negara selepas seorang lagi senator yang dilantik kerajaan PAS Kelantan, Wan Ubaidah Wan Omar dilantik sebagai exco Kerajaan negeri itu.