PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT, MALAYSIA
PERTANYAAN LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA: YB. TUAN MOHD FIRDAUS BIN JAAFAR [ JERAI ]
TARIKH : 29.10.2012
NO. SOALAN: 12 Minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan apakah tindakan awal yang diambil terhadap setiap skim jualan langsung atau MLM (multi level marketing) yang baru diperkenalkan bagi memastikan perniagaan mereka tidak mempunyai unsur-unsur penipuan.
Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Bagi memastikan perniaga jualan langsung atau MLM (multi level marketing) tidak mempunyai unsur-unsur penipuan, Kementerian telah menetapkan syarat-syarat tertentu seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dan semua syarat-syarat berkenaan perlu dipatuhi oleh setiap syarikat yang diberi lesen jualan langsung. Permohonan daripada syarikat untuk mendapat lessen jualan langsung hanya dipertimbangkan oleh Kementerian sekiranya syarikat berkenaan mematuhi garis panduan permohonan lesen perniagaan jualan langsung termasuklah mengemukakan pelan pemasaran yang tidak mempunyai unsur atau cirri-ciri penipuan atau skim piramid.
Kementerian juga menetapkan bahawa pemegang lesen jualan langsung tidak dibenarkan untuk meminda mana-mana bahagian dalam pelan pemasaran yang telah diluluskan untuk tempoh selama dua (2) tahun selepas beroperasi. Ini bertujuan memastikan syarikat jualan langsung tidak memanipulasi pelan pemasaran dan diluluskan oleh pihak Kementerian dan juga melindungi pengedar dan pengguna daripada unsur penipuan. Pindaan terhadap pelan pemasaran syarikat-syarikat jualan langsung selepas tempoh dua (2) tahun perlu mendapat persetujuan dan kelulusan pihak Kementerian terlebih dahulu.
Kementerian juga melakukan pemantauan berterusan dengan menjalankan naziran ke atas premis pemegang lesen jualan langsung selepas enam (6) bulan lessen dikeluarkan bagi memastikan pemegang lesen mematuhi Akta Jualan Langsung dan Skim anti Piramid 1993 dan Peraturan-peraturan semasa yang ditetapkan oleh Kementerian.
Pengguna juga boleh menyemak senarai syarikat jualan langsung di laman sesawang Kementerian atau menghubungi hotline 1-800-886-800 bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan syarikat-syarikat yang diberi lessen jualan langsung oleh Kementerian.
Filed under: ADR Jerai | Leave a comment »