Azmin Ali [ PKR Gombak ] Bahas RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2013

Dewan Rakyat 15 Julai 2013: Bahas RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2013

PKR Gombak Bahas RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2013

Noh Omar kena titik

(D.R. 4/2013) Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 [ Menteri Kewangan ] DAN Menteri Kewangan akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan bahawa jumlah wang tambahan sebanyak lima ratus tiga belas juta empat ratus enam puluh sembilan ribu lima ratus enam puluh ringgit (RM513,469,560) diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun kewangan 2012 bagi Maksud dan Butiran (Projek) seperti yang dinyatakan dalam ruang pertama dan kedua penyata Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama, 2012 yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 18 Tahun 2013 dan yang disenaraikan di sebelah Maksud dan Butiran (Projek) dalam ruang sembilan dan sepuluh penyata tersebut.”

MP PKR Gombak: Petronas anugerahkan 3 Lapangan Minyak kepada Petrofac?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : TUAN MOHAMED AZMIN BIN ALI [GOMBAK]
TARIKH : 08.10.2012 (ISNIN)
SOALAN 18 : Minta PERDANA MENTERI menyatakan keputusan Petronas menganugerahkan 3 lapangan minyak di Sepat , Berantai dan Cendor kepada consortium yang diketuai oleh Petrofac. Apakah kriteria pemilihan dan kelebihan Petrofac berbanding anak syarikat Petronas iaitu Petronas Carigali mahu pun syarikat minyak dan gas tempatan dan antaranbangsa yang lain.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman ahli yang berhormat, penganugerahan medan minyak dan gas ke Petrofac mahupun syarikat lain adalah berasaskan pembidaan kompetitif berdasarkan pelbagai faktor termasul kriteria rekabentuk yang diperlukan untuk mengusahakan medan minyak dan gas adalah unik mengikut keperluan medan minyak dan gas tersebut dan syarikat yang layak perlu memenuhi kriteria itu dan pemilihan akan melalui proses bidaan kompetitif.

Sebagai contoh dalam pembidaan untuk mengusahakan medan Berantai,antara syarikat yang telah melalui pembidaan kompetitif adalah Petrofac yang mempunyai pengalaman 31 tahun. Petrofac telah dipilih untuk mengusaha medan tersebut kerana mendapat bidaan tertinggi serta memenuhi kriteria rekabentuk unik untuk medan minyak dan gas bersaiz kecil (marginal oil and gas fields).

Semasa kontrak medan ini ditawarkan, PETRONAS Carigali belum lagi emmbina kapabiliti dan kemarihan spesifik yang diperlukan untuk memperusahakan medan minyak dan gas yang bersaiz kecil. Petrofac yang mempunyai kepakaran dalam mengusahakan medan minyak dan gas bersaiz kecil melalui pengalaman mendalam mereka di Laut Utara adalah syarikat yang sesuai juga untuk dijadikan rujukan bagi membina kepakaran dan kapabiliti dalam bidang ini.

MP PKR Gombak: Kebimbangan amalan rasuah dan salahguna kuasa atas penjualan aset kerajaan

Sesi Pertanyaan Jawab Lisan, 2 November 2009

Soalan tambahan MP PKR Gombak dan soalan asal No. 2. Tuan Mohamed Azmin bin Ali [ Gombak ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah perancangan Kerajaan terhadap tanah-tanah milikan Kerajaan di Jalan Cochrane, Jalan Ampang Hilir dan RRI Sungai Buloh. [2 November 2009]

Kerajaan bertanggungjawab menjaga Kebajikan Tentera

Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang

MP PKR Gombak, Mohamad Azmin Ali membahaskan Rang Undang-undang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (Elaun Kenangan) (Pindaan) 2009. [21 Oktober 2009]

PPSMI: Kenapa Kerajaan perlu tunggu sehingga tahun 2012

Sesi Pertanyaan jawab Lisan 20 Oktober 2009

Soalan tambahan MP PKR Gombak kepada soalan asal No. 1 – Tuan Haji Mohd Nor bin Othman [ Hulu Terengganu ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah rasionalnya Kerajaan menunggu sehingga tahun 2012 untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda. [20 Okt. 2009]

MP PKR Gombak: Rundingan Bekalan air Kerajaan Pusat-Selangor diselesai segera

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jawatankuasa bagi Kepala Pembangunan P.29 di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin merujuk kepada Maksud P.29, Butiran 09100 berhubung Rancangan Bekalan Air Negeri Selangor.

Tuan Pengerusi, pada 10 Mac yang lalu dalam titah Tuanku Sultan Selangor ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor telah bertitah supaya rundingan di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat disegerakan supaya masalah bekalan air bersih kepada rakyat negeri Selangor ini dapat diselesaikan dengan segera dan tidak dibebankan
kepada rakyat negeri Selangor.

Seperti kita sedia maklum pada 31 Mac 2009 ini, sekiranya rundingan di atas Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak dapat diselesaikan, tarif kadar air di negeri Selangor akan dinaikkan kepada 37% sehingga mencecah harga RM1.90 sen satu liter padu di negeri Selangor. Lebih mahal daripada harga petrol, Tuan Pengerusi. Sebab itu Kerajaan Negeri Selangor telah
mengambil ketetapan bahawa rundingan ini perlulah disegerakan dalam semangat prinsip federalism yang telah saya nyatakan pada pagi ini.

Malangnya pada 4 Mac 2009, Yang Berhormat Menteri telah tampil dalam Dewan Rakyat dan mengatakan pada muka surat 49 Hansard yang telah diedarkan, bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor telah menulis surat kepada beliau dan menyerahkan rundingan ini kepada pihak SPAN ataupun Syarikat…
Teruskan membaca

MP PKR Gombak: Umum peruntukan tambahan RM60 juta, tetapi saya tidak nampak butiran tersebut disenaraikan

18 Mac 2009 – Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jawatankuasa bagi Kepala Bekalan B.27 dan kepala Pembangunan P.27 di bawah Kementerian Kerja Raya.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Merujuk kepada P.27 Kementerian Kerja Raya. Baru-baru ini kementerian ada mengumumkan satu peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta untuk menyelenggara kerja-kerja membaik pulih cerun dan kawasan lereng bukit di Bukit Antarabangsa ekoran tragedi tanah runtuh pada 6 Disember 2008 yang lalu.

Akan tetapi saya tidak nampak butiran tersebut disenaraikan di dalam Kementerian Kerja Raya dalam perbahasan pada petang ini. Yang keduanya dalam konteks yang sama Kepala P.27 – Kementerian Kerja Raya. Ekoran tragedi tanah runtuh, saya telah
bangkitkan beberapa hari yang lalu di mana kementerian telah menjanjikan supaya satu laporan yang komprehensif akan dikemukakan kepada penduduk-penduduk dan pemilik hartanah di Bukit Antarabangsa.

Oleh kerana mereka agak bimbang tentang keselamatan penduduk-penduduk dan pemilik di kawasan yang berkenaan khususnya berkenaan dengan struktur tanah yang telah mengalami tragedi tanah runtuh baru-baru ini. Dalam jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri dua hari yang lepas, dikatakan Yang Berhormat Menteri akan dimaklumkan akan perkara
ini.

Akan tetapi saya masih belum menerima jawapan daripada kementerian. Ini satu perkara yang cukup mendesak kerana tempoh yang diberikan selama tiga bulan telah pun luput pada awal Mac yang lalu. Akan tetapi pemilik hartanah di Bukit Antarabangsa masih belum menerima jawapan yang dapat memberikan jaminan kepada mereka tentang masa depan keselamatan penduduk dan pemilik hartanah yang berkenaan.

Yang keduanya, sekiranya laporan ini tidak diberikan dengan segera dalam keadaan kegawatan ekonomi pada hari ini harga hartanah di kawasan tersebut terus merudum dengan lebih teruk lagi. Justeru itu saya berharap kementerian dapat menggunakan kesempatan ini untuk memperincikan di manakah butiran RM60 juta yang telah dijanjikan untuk membaik pulih ceruncerun dan lereng bukit di Bukit Antarabangsa. Apakah kedudukan laporan yang telah dijanjikan oleh pihak kementerian. Terima kasih Tuan Pengerusi.

MP PKR Gombak: Dalam Prinsip federalism … tanggungjawab kerajaan Pusat mengagihkan cukai kepada seluruh rakyat

18 Mac 2009 – Mencelah Jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009 peringkat Jabatan Perdana Menteri

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri dan juga Tuan Pengerusi. Saya agak terkejut bila mendengar jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri sebentar tadi mengatakan sebelum ini tidak ada masalah kerana kedua-dua kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat adalah daripada parti yang sama tetapi sekarang ada masalah.

Ini satu kenyataan yang bagi saya tidak bertanggungjawab Tuan Pengerusi sebab ia bercanggah dengan semangat dan prinsip federalism. Dalam semangat dan prinsip federalism, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, kedaulatannya sama. Tolak ke tepi ideologi politik kerana itu adalah keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Dalam semangat dan prinsip federalism juga, sistem pembayaran cukai itu rakyat bayar kepada Kerajaan Pusat dan tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk mengagihkan cukai itu secara adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira ideologi politik
mereka. Akan tetapi kalau Yang Berhormat Menteri mengambil pendekatan sebegini, inilah yang menyebabkan berpecahnya rakyat di peringkat negeri dan juga di peringkat Persekutuan.

Mengapa dibebankan dengan pegawai kerajaan? Loyalty mereka bukan kepada parti. Loyalty mereka kepada kerajaan.
Kalau Kerajaan Persekutuan itu dipimpin oleh Barisan Nasional, Yang Berhormat Permatang Pauh telah menegaskan kita tidak ada masalah. Akan tetapi kalau kerajaan negeri di peringkat negeri Selangor, di Kedah, di Pulau Pinang dan di Kelantan itu adalah Kerajaan Pakatan Rakyat, maka mengapa dibebankan dan dihukum pegawai kerajaan untuk menyatakan kesetiaan mereka kepada kerajaan yang memerintah?

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Cukuplah Yang Berhormat.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Maka saya ingin mendapat penjelasan kerana kalau itulah pendekatan yang diambil oleh Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab soal ICU, ini yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh pagi tadi yang ada hubungan secara langsung dengan saya sebagai ADUN di negeri Selangor juga di mana peruntukan ICU yang berjumlah ratusan juta ringgit bukan ditujukan dan dihalakan untuk membangunkan negeri Selangor melalui projek pembangunan tetapi digunakan ratusan juta ringgit ini untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Cukup Yang Berhormat.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Ini Menteri mesti jawab mengapa perkara ini berlaku. Terima kasih.
Teruskan membaca

MP PKR Gombak: Contohi MPSJ Wujudkan Pusat Panggilan Telefon Bersepadu

18 Mac 2009 – Sesi soalan jawab lisan

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Berhubung Pusat Panggilan Kecemasan 999 ini. Kita ada rancangan di negeri Selangor untuk mengadakan Pusat Panggilan Telefon Bersepadu yang telah pun dilaksanakan di MPSJ.

Namun, masalah kita hadapi ialah Pusat Panggilan Telefon Bersepadu ini setakat hari ini hanya melibatkan PBT dan pihak polis.

Apakah kementerian bersetuju untuk memasukkan Pusat Panggilan Kecemasan termasuk 999 ini ke dalam Pusat Panggilan Bersepadu supaya ia dapat diselaraskan sekiranya berlaku kecemasan?

Dato’ Joseph Salang anak Gandum: Terima kasih Yang Berhormat Gombak. Tuan Yang di-Pertua, Pusat Panggilan Bersepadu yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, saya pun tidak berapa tahu berkenaan dengan projek tersebut. Sekiranya ia akan menguntungkan negara, saya fikir kita boleh bincangkan dan boleh runding bagaimana ia boleh disepadukan dengan MERS 999 yang telah saya katakan tadi.
Teruskan membaca

MP PKR Gombak:Bilakah kementerian akan kemuka laporan Tragedi Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa

16 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerjaraya)

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan juga Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sahabat saya daripada Balik Pulau tadi ada menyentuh Butiran 08280 yang juga membicarakan soal tanah-tanah cerun.

Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Tuan Pengerusi, pada awal Disember yang lalu menuntut kementerian untuk mengemukakan satu pelan tindakan yang komprehensif supaya perkara seumpama ini tidak berulang dan Yang Berhormat Menteri telah berjanji supaya satu laporan yang komprehensif akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan berhubung kes Bukit Antarabangsa.

Tempoh itu telah pun luput tetapi laporan masih belum dikemukakan oleh kementerian. Masalah yang timbul hari ini ialah Tuan Pengerusi, apabila laporan ini tidak dikemukakan secara detail maka keselamatan penduduk dan juga pemilik di kawasan yang berkenaan tidak terjamin. Yang keduanya, nilai hartanah di Bukit Antarabangsa kini sedang jatuh merudum.

Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, apakah Yang Berhormat Timbalan Menteri sedar bahawa Yang Berhormat Menteri telah menjanjikan bahawa dalam tempoh tiga bulan daripada 6 Disember yang lalu, satu laporan akan dikemukakan.

Oleh kerana tarikh ini telah pun luput saya ingin bertanya bilakah kementerian akan mengemukakan laporan ini untuk dimaklumkan kepada penduduk-penduduk dan khususnya pemilik hartanah di Bukit Antarabangsa.

Dato’ Yong Khoon Seng: Terima kasih Tuan Pengerusi. Yang Berhormat Gombak, saya akan bagi tahu Yang Berhormat Menteri supaya kalau laporan itu sudah siap, umumkan laporan tersebut supaya hartanah, harga tanah itu tidak…
Teruskan membaca