MP PAS tegur Ucapan Ustaz MP BN Tasek Gelugor Bahas Titah Diraja 2013

Dewan Rakyat 3 Julai 2013

MP PAS tegur Ucapan Ustaz MP BN Tasek Gelugor Bahas Titah Diraja 2013

MP PAS Sepang Bahas Titah Diraja 2013

Dewan Rakyat 1 Julai 2013

MP PAS Sepang Bahas Titah Diraja 2013

MP PAS Sepang Kemuka Usul Bahas Isu Pendakwaan Terpilih Di Bawah Akta Hasutan

27 Jun 2013 – USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18 (1) dan (2) jika dibenarkan Speaker Dewan Rakyat.

Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2). Dengan ini diberi notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

PENERUSAN PENDAKWAAN TERPILIH DI BAWAH AKTA HASUTAN 1948 YANG DIJANJIKAN UNTUK DIGANTI DENGAN AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

Bahawa saya, Mohamed Hanipa bin Maidin, Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Sepang mohon mencadangkan bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18(1), Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merunding isu Pendakwaan Terpilih di Bawah Akta Hasutan 1948 yang dikenakan kepada pihak Pembangkang khususnya Pakatan Rakyat.

Tan Sri Yang Di-pertua
Isu ini adalah perkara tertentu kerana mutakhir ini Pemimpin dan mereka yang pro Pakatan Rakyat ditangkap, disiasat dan didakwa dibawah Akta Hasutan 1948, antaranya terbaru Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS, Dato’ Tamrin Ghaffar, Aktivis NGO Haris Ibrahim, Aktivis Mahasiswa Adam Adli, Safwan Anang yang kritikal kepada BN ditangkap dan didakwa, telah menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan rakyat Malaysia tentang niat dan kesungguhan Kerajaan mengotakan Janji Ditepati untuk memansuhkan Akta tersebut diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

Lebih malang lagi bila pemimpin Umno/BN dan mereka yang pro kepada BN seperti PERKASA yang membuat kenyataan berkecenderungan menghasut melibatkan isu-isu perkauman dan sensitiviti agama (seperti Kenyataan Presiden Perkasa yang ingin membakar Bible, Kenyataan Zulkifli Nordin memperlekehkan kepercayaan Penganut Agama Hindu, Kenyataan Tun Dr Mahathir yang mendakwa YB Lim Kit Siang Rasis) di bawah akta ini tidak ditangkap, disiasat, jauh sekali didakwa di mahkamah.

Perkara ini melibatkan kepentingan ramai kerana meskipun kerajaan BN telah berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan yang merupakan undang-undang warisan penjajah, tetapi masih ramai lagi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa kaum dan agama terdedah kepada pendakwaan di bawah akta ini sekaligus meranapkan ‘legitimate expectation’ mereka untuk tidak didakwa di bawah akta ini.

Perkara ini perlu disegerakan kerana sehingga kini tidak Nampak akta ini akan dihapuskan sepertimana janji yang dibuat oleh Kerajaan BN sedangkan dalam masa yang sama banyak pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat yang kritikal kepada Kerajaan BN terus menerus didakwa di bawah akta ini.

Sekian,

Yang benar,

Mohamed Hanipa Maidin
Ahli Dewan Rakyat, Sepang

MP Sepang: Soalan Dewan Rakyat 26 Jun – 18 Julai 2013

MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL PERTAMA, DEWAN RAKYAT KE 13 PADA 24 JUN HINGGA 18 JULAI 2013

Pertanyaan Jawab Lisan
1. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Kesihatan menyatakan tapak bagi pembinaan Hospital Sepang telah diluluskan di Bandar Baru Salak Tinggi, kenapakah sehingga kini pembinaannya masih belum dilakukan.

2. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah kerajaan bersedia mengkaji semula pemberian pampasan kepada para peneroka awal seraiami 24 orang di Rancangan Tanah Belia (RTB) Kampung Labu, Lanjut, Sepang yang hanya diberikan pampasan RM20,000.00 seekar apabila hartanah yang mereka teroka dari hutan belantara sejak 1975 diambil untuk projek KLIA pada tahun 1995?

3. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan:
a. bilakah kerajaan akan menubuhkan sebuah Kementerian khusus untuk Petroleum dan Mineral Negara bagi mengekang kuasa yang terlalu luas diberikan kepada Perdana Menteri di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144).
b. Adakah peruntukkan dalam Aktar 144 masih relevan dengan persekitaran ekonomi dan ekosistem dunia perniagaan antarabagnsa masa kini.

4. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan:
a. Mengapakah pendakwaan politik terus dilakukan ke atas musuh politik Barisan Nasional di bawah Akta Hasun 1948 dalam keadaan Perdana Menteri telah berjanji akan menghapuskan Akta warisan penjajah tersebut.
b. Adakah kerajaan bersedia menarik balik semula semua pendakwaan ke atas mana-mana individu di bawah akta tersebut.

5. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
a. Berapakah kos keseluruhan yang dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan dakwat yang digunakan ke atas jari pengundi dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu.
b. Syarikat manakah yang diberi kontrak untuk menyediakan dakwat tersebut.

6. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan Adakah Kerajaan sedia mempertimbangkan 13 haribulan Mei setiap tahun dijadikan sebagai Hari Perpaduan supaya tragedi 13 Mei tidak terus menerus dipermainkan secara tidak bertanggungjawab oleh Barisan Nasional bagi mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat.

7. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan:
a. Berapa banyak projek yang telah diumumkan dan diluluskan oleh Perdana Menteri Kerajaan Sementara selepas Parlimen dibubarkan.
b. Berapa banyak kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan bagi menyediakan pengiklanan 1Malaysia melalui ‘billboard’ di semua lebuhraya.

8. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah pihak Polis telah menyaiasat pendedahan Peguam Americk Singh Sidhu pada 16 Mac 2013 di Mesyuarat Agung Majlis Peguam yang menyatakan Peguam Cecil Abraham mengakui kepada Americk bahawa Perdana Menteri telah meminta beliau menyediakan Akuan Bersumpah palsu mendiang P. Balasubramaniam.

9. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah SPRM telah menyiasat pendedahan Nielsen Media Research bahawa Barisan Nasional dan Pejabat Perdana Menteri telah belanjakan RM 73 juta hanya untuk pengiklanan bagi kempen pilihanraya umum ke 13 yang lalu.

10. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan
a. berapa jumlah saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah dikeluarkan sejak ia mula dikuatkuasakan.
b. Berapa jumlah bayaran yang telah dibayar kepada syarikat pengendali saman AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd dari kutipan saman AES tersebut.

PERTANYAAN JAWAB BERTULIS
11. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan
a. berapa jumlah akhbar Harakah yang telah dirampas oleh pihak KDN pada sekitar akhir bulan Mei 2013 lalu.
b. Mengapa pihak KDN masih terus merampas akhbar Harakah meskipun akhbar tersebut diberikan permit penerbitan oleh Kementerian.

12. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Kewangan menyatakan:
a. berapa jumlah Hasil (Wang) yang diperolehi oleh Kerajaan setiap tahun daripada pelesenan dan cukai dari perniagaan perjudian di negara ini.
b. adakah Kerajaan menubuhkan mana-mana badan bagi memantau hasil perjudian tersebut tidak dibelanjakan bagi kegunaan orang-orang ataua institusi Islam.

13. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah kerajaan pernah bercadang atau meminta Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menghentikan hidangan arak kepada para penumpang bagi menghormati para pramugara dan pramugari beragama Islam yang dipaksa melakukan perkara tersebut.

14. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Perdana Menteri menyatakan Adakah Kerajaan bersedia untuk mentakwimkan tarikh Pilihanraya Umum seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju seperti Australia bagi memberi peluang sama rata parti-parti yang bertanding membuat persiapan dengan sempurna.

15. Tuan Mohamed Hanipa Maidin [ Sepang ] minta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menyatakan mengapa sehingga kini Pantai Batu Laut dan persekitarannya masih daif dan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik dan lengkap sedangkan setiap tahun, dua atau tiga kali Pantai Batu Laut menjadi tuan rumah kepada Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa.