Tubuhkan Suruhanjaya DiRaja Siasat Kematian Mendiang Teoh Beng Hock

KEMASKINI:

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor. Mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, pihak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Sebelum ini telah terdapat banyak kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azzan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan. Kematian mendiang Teoh Beng Hock merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat, sedangkan laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa para pemimpin Barisan Nasional tidak diendahkan. Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadikan alat oleh Barisan Nasional dan UMNO untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan Perdana Menteri yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan UMNO, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Badan seperti SPRM seharusnya bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan ke atas laporan terhadap para pimpinan Barisan Nasional yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah. SPRM juga seharusnya memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka. Dalam kes Mendiang Teoh, SPRM perlu mengenalpasti pegawai terlibat seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.

Kami percaya bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM dan institusi lain yang dtubuhkan oleh kerajaan. Pakatan Rakyat akan terus menerus menentang kezaliman dan salahguna kuasa institusi ini dengan mengadakan kempen di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mendesak dan bertegas agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS
Lim Kit Siang, Ketua Ahli Parlimen DAP

Kenyataan Rasmi 17 Julai 2009

Advertisements

Kematian Teoh Beng Hock: Kenyataan Media MP PAS Pokok Sena

PAS memandang serius isu kematian Teng Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Kerajaaan Negeri Selangor semalam. PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kematian Teong.

Ini berasaskan Teong dipanggil untuk disoalsiasat oleh SPRM. Kedua siasatan tersebut berlangsung dari jam 5 petang hingga jam 3.45 pagi. Siasatan yang berlangsung selama 10 jam dan berlangsung hingga ke pagi adalah sesuatu yang tak boleh diterima. Persoalannya perlukah siasatan dibuat selama 10 jam dan hingga 3.45 pagi melainkan ia bertujuan memberi tekanan psikologi keatas Teong dan mana mana orang yang disiasat oleh SPRM.

Tindakkan SPRM menyoal siasat dalam tempoh waktu yang panjang dan hingga keawal pagi adalah satu penderaan mental yang membawa kesan pada fizikal menjadi lemah. Tindakan ini menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia.

Sebelum ini beberapa orang penyokong Datuk Norza Zakaria calon Majlis Tertinggi Umno telah membuat laporan Polis bahawa mereka telah didera dan diseksa oleh SPRM semasa disoalsiasat dilakukan ke atas mereka berkaitan kes Datuk Norza. Dengan kes kematian Teong telah menimbul banyak persoalan intigriti SPRM apatah lagi siasatan itu dibuat dalam kes yang berkaitan dengan politik.

Perkara kedua yang PAS persoalkan ialah setiap orang yang berada dalam tahanan atau dipanggil untuk soalsiasat perlu diberi jaminan keselamatan dan perlindungan oleh SPRM. Kematian Teong menunjukkan SPRM tidak memberikan perlindungan keselamatan keatas mendiang . Oleh itu satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan secara bebas.

PAS menuntut beberapa perkara mesti disegerakan:-

1.Satu sidang khas Parlimen mesti diadakan segera untuk membincangkan intigriti SPRM yang terlalu buruk dan menjijikkan. Ini kerana ianya adalah satu keperluan yang mendesak disebabkan belum sampai setahun rang undang-undang SPRM berjalan dengan harapan imej Negara kita akan pulih. Ini juga menunjukkan amalan rasuah amat meluas oleh kerana BPR ketika itu telah dilihat ditunggangi oleh parti pemerintah. Dakwaan tidak berasas dikenakan apabila melibatkan ahli politik dari pembangkang, tetapi kes seperti Datuk Seri Mohd Khir Toyo dilihat SPRM tidak langsung menyiasat. Dengan apa yang berlaku telah memalukan Yang DiPertua Agong dan juga Parlimen yang telah meluluskan bidang kuasa baru SPRM. Oleh sebab itu sidang khas parlimen perlu diadakan segera dan Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu juga segera balik untuk membuat keputusan terhadap sidang khas tersebut.

2. Penubuhan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat kes kematian mendiang Teong Beng Hock yang berada dalam siasatan dan jagaan SPRM mesti dibuat. Siasatan ini perlu di buat oleh Suruhanjaya Bebas dan bukannya Polis kerana banyak kes kematian didalam longkap polis yang masih belum terjawab dan antaranya kes Kugan. SPRM perlu disiasat oleh Suruhanjaya Bebas ini dan penyiasatan yang meliputi seluruh aspek mesti dilakukan.

3. Menuntut pengantungan tugas Ketua Pengarah, Pengarah siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas dalam siasatan keatas mendiang Teong sepanjang siasatan Suruhanjaya Bebas.

DATO’ MAHFUZ OMAR
Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena

MP Muslimat PAS turut Memperkukuhkan Pakatan Rakyat

Muslimat dan MP Muslimat PAS menolak sebarang Kerjasama dengan Umno/BN

Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ahli Parlimen Muslimat PAS menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno dan Barisan Nasional.

Sebaliknya sayap parti PAS itu membuat ketetapan mahu PAS bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP di dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Penegasan tersebut kata, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahamud dibuat sebagaimana keputusan muktamar PAS ke-55 pada 5 hingga 7 Jun yang lalu yang sebulat suara mahu PAS bersama Pakatan Rakat.

Beliau yang bercakap dalam satu sidang media di Lobi Parlimen berkata, mereka faham dengan kecelaruan yang berlaku di kalangan ahli-ahli akar Umno serta pimpinan peringkat bawah serta di kalangan penyokong dan pengundi PAS.

“Kami menyeru supaya ahli-ahli PAS, Kelab Penyokong PAS dan penyokong PAS bertenang dan tidak cemas dengan usaha-usaha pihak tertentu untuk memecah belah Pakatan Rakyat dan perpaduan dalam PAS,” katanya yang turut ditemani, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Ahli Perlimen Rantau Panjang yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusuf dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.
Teruskan membaca

Kami Berpegang Teguh Memperkukuh Pakatan Rakyat – MP PAS

KEMASKINI:

Kami Ahli Parlimen PAS ingin menyatakan kami berpegang teguh dengan keputusan Muktamar PAS yang sebulat suara mahu PAS memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno/BN, termasuklah konsep ‘Unity Government (UG)’.

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, kami ingin menegaskan bahawa persoalan UG tidak pernah merupakan agenda PAS seperti yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato Abdul Halim Abdul Rahman semasa berucap di Dewan Rakyat semalam (17 Jun 2009) sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2008.

Kami juga menyokong penuh ketegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menangani persoalan ini.

Kenyataan media ini diedarkan kepada media cetak dan elektronik pada jam 4.30 petang 18 Jun 2009.

PM terkejut Dr M mohon masuk Umno semula

Oleh Salahuddin Ayub
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan krisis terbaru yang melanda Umno apabila presidennya, Abdullah Badawi melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak peralihan kuasa pada 2010.

DPP Pusat percaya kenyataan Muhyiddin ini mempunyai kaitan dengan kejayaan beliau membawa semula Tun Dr Mahathir menyertai Umno setelah bekas Perdana Menteri itu keluar parti kerana menolak kepemimpinan Abdullah Badawi. Berkemungkinan besar Dr Mahathir telah memberi syarat kepada Muhyiddin supaya mendesak Abdullah Badawi berhenti sebagai syarat penyertaan semula beliau dalam Umno.

Umno sekarang ini amat terdesak kerana tersepit oleh dua keadaan. Pertama, kerana gerakan pembangkang yang begitu agresif ke arah pembentukan kerajaan baru menjelang 16 September ini. Kedua, pergolakan dalaman BN yang begitu ketara sehingga percakaran antara parti berlaku secara terbuka dan beberapa parti sudah mula mengugut untuk meninggalkan pakatan perkauman itu.

Lebih-lebih lagi keadaan politik dalaman Umno hari ini yang amat bercelaru apabila persaingan kuasa telah berlaku dalam mesyuarat agung peringkat cawangan. Beberapa keadaan ini telah mendorong Umno bertindak apa sahaja termasuk menggantung keahlian Ketua Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail dan berusaha membawa semula Dr Mahathir ke dalam parti itu sebagai langkah pengukuhan.

DPP Pusat sangat percaya bahawa Muhyiddin sebagai proksi Dr Mahathir dalam perebutan jawatan tertinggi Umno Disember ini akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa tersebut. Rata-rata ahli Umno telah meluat dengan Abdullah Badawi dan mereka juga melihat Najib Razak sebagai terlalu penakut. Ditambah lagi dengan isu Altantuya.

Setelah Umno kalah teruk di Permatang Pauh, mereka tidak ada pilihan melainkan memerlukan seorang pemimpin yang berani dan mampu membuat perubahan. Muhyiddin dilihat lebih vokal dalam soal ini berbanding Najib Razak yang ’malu-malu’ kerana telah terpalit oleh isu wanita Mongolia itu.

Apabila Dr Mahathir menyokong Muhyiddin secara terbuka, bermakna pelan peralihan 2010 yang dipersetujui oleh Abdullah Badawi dan Najib Razak telah tergugat.

Ternyata kemasukan semula Dr Mahathir bukannya untuk memperkukuhkan Umno, tetapi untuk memperkukuhkan cengkaman Muhyiddin dalam power game ini. Dr Mahathir sejak awal-awal lagi mengkritik dan menolak kepemimpinan Abdullah Badawi yang dikatakan dikuasai oleh Tingkat Empat JPM.

Dan ini adalah peluang terbaik bagi Muhyiddin jika beliau berminat untuk menjadi orang nombor satu. Dr Mahathir telah berjaya dipujuk oleh beliau, tetapi Dr Mahathir berjaya pula memaksa beliau mendesak Abdullah Badawi berhenti lebih awal. Nampaknya strategi Dr Mahathir kali ini lebih berkesan daripada strategi beliau memberi tekanan dengan cara keluar parti.

Kini Abdullah Badawi hanya mempunyai dua pilihan, menerima Dr Mahathir semula tetapi akan menggugat kedudukannya, atau membiarkan Dr Mahathir mati di luar Umno tetapi mungkin Umno mati lebih dahulu daripada Dr Mahathir!

Tak semena-mena Tentera campur…

Oleh Salahuddin Ayub
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang mengatakan isu perkauman yang dibangkitkan sekarang ini boleh mencetuskan huru-hara.

DPP Pusat tidak menafikan bahawa isu ini boleh membawa kepada pergolakan politik bagi sebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tetapi DPP Pusat menolak sebarang campur tangan tentera dalam soal ini. Kenyataan Jeneral Abdul Aziz jelas menunjukkan bahawa pihak tentera sedang memantau keadaan yang ada, namun ini tidak bermakna tentera patut terlibat sama secara terbuka.

Pergolakan politik perkauman yang sedang berlaku sekarang ini bukan melibatkan pemimpin atau penyokong Pakatan Rakyat. Seluruh penyokong Pakatan Rakyat telah mengambil sikap untuk merobohkan semua tembok perkauman yang ada sehingga orang Cina dan India tidak lagi kekok menyokong PAS yang selama ini dilabelkan sebagai ekstrimis Islam.

Begitu juga orang-orang Melayu yang bersedia menerima DAP walaupun mereka sering dimomokan sebagai chauvenis Cina. Inilah satu pendekatan politik baru yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan persoalan perpaduan, keadilan dan kesamarataan daripada perbezaan warna kulit, bahasa dan kepercayaan. Inilah asas perpaduan yang dibina oleh Pakatan Rakyat.

Keadaan ini amat berbeza dengan parti-parti perkauman yang bergabung secara rapuh dalam BN. Mereka bersatu kerana kuasa tetapi masing-masing bersikap chauvenis terhadap kaum masing-masing. Umno cuba menjuarai isu Melayu termasuk dan meminggirkan kepentingan bangsa lain. Orang-orang Cina dalam MCA, Gerakan dan parti-parti Cina yang lain pula mendesak untuk kepentingan bangsa mereka. Orang India dalam MIC dan PPP pula bercakap soal hak kaum mereka.

Sekarang ini anasir yang sama sudah menular ke Sabah dan Sarawak. Akibatnya mereka bercakaran semasa sendiri untuk menjadi jaguh kepada kaum masing-masing. Inilah realiti politik perkauman BN yang kononnya membentuk kerjasama antara kaum, tetapi hakikatnya mereka tidak memperjuangkan kepentingan bersama, melainkan kaum sendiri.

Hari ini apabila Umno terdesak mereka membangkitkan semula isu perkauman sehingga mendesak parti komponen BN yang lain keluar pakatan itu. Parti-parti lain pula mengambil kesempatan menyalahkan Umno kerana perkauman mereka. Keadaan ini yang menyebabkan krisis perkauman di negara kita. Ketika rusuhan kaum berlaku pada 1960-an juga, Umnolah yang membakar api perkauman ini. Begitu juga pada 1987 dan isu Kampung Medan.

Pakatan Rakyat telah menyedari keadaan ini dan kita menolak pendekatan perkauman. PAS sendiri menganggap setiap kaum adalah bersaudara kerana semuanya berasal dari bapa yang satu, Adam.

Atas asas ini DPP Pusat melihat bahawa tentera tidak perlu mencampuri pergolakan perkauman ini kerana Umno dijangka akan memperalatkan pasukan pertahanan untuk mempertahankan survival politik sempit mereka. Desas-desus bahawa tentera akan campur tangan sekiranya berlaku peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat sudah banyak tersebar. Dan Umno seolah-olah sengaja mewujudkan suasana perkauman yang keras seperti 1987 untuk dijadikan alasan bagi penahanan pemimpin pembangkang. Dalam keadaan perkauman yang tegang seperti ini, tentera sepatutnya berkecuali, bukannya bersuara seolah-olah membenarkan rumus yang mengatakan tentera akan mengambil negara ini jika BN tersungkur.

DPP Pusat berharap demokrasi dapat dipertahankan kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di Thailand berulang di sini.

MP PAS tolak Konspirasi jahat menjatuhkan imej, maruah dan kredibiliti Anwar

Kami, ahli-ahli Parlimen dari Parti Islam SeMalaysia, PAS merakamkan perasaan amat dukacita dan sedih berkaitan perbuatan konspirasi jahat terhadap peribadi Pimpinan Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan nama baik. maruah dan kredibiliti beliau.

Ternyata konspirasi jahat ini bertujuan untuk mengalih pandangan umum dan perhatian rakyat dari pelbagai macam krisis yang sedang melanda negara yang membebani rakyat dengan kos kenaikan saraan hidup akibat penarikan semula subsidi sebanyak RM13.7 bilion tentang bahan bakar; petrol dan diesel yang mencetuskan kesan berantai paling parah dalam krisis ekonomi negara.

Rakyat juga nampak jelas bagaimana kepimpinan kerajaan BN yang sedang dilanda pelbagai tekanan dalaman sesama sendiri mahupun akibat dari kegagalan kepimpinan mereka mengurustadbir negara ini dengan baik, mahu mengalih perhatian rakyat supaya menumpu kepada isu-isu sensasi seperti ini.

Tidak kurang juga tekanan yang terpaksa mereka depani terhadap isu pengambilalihan kerajaan Pusat olih Pakatan Rakyat yang semakin kencang bertiup dalam pelbagai media baru termasuk media perdana.

Kami, ahli-ahli Parlimen PAS dengan ini menolak sebarang tuduhan jahat yang sekaligus membawa erti tuduhan ”Qazaf” terhadap seorang peribadi Muslim yang diketahui umum sebagai seorang pemimpin di dalam negara ini, yang tertakluk kepada undang-undang jenayah Islam yang berat di segi hukuman seandainya tidak dibawa bersama bukti-bulti yang kukuh seperti yang dituntut Syari’at.

Kami juga sedar dan faham bahawa matlamat disebalik keberanian melakukan dosa seperti ini adalah juga bertujuan untuk menghakis kepercayaan dan wibawa kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Kami, ahli-ahli Parlimen PAS yakin bahawa rakyat tidak akan mudah dipengaruhi dengan mainan ’skrip lama’ dan akan menolak sebarang cubaan ini, meskipun dengan pelakon-pelakon baru dengan jalan-cerita yang dikitar-semula secara sensasi dan diperkukuh dengan kononnya bukti-bukti.

Justeru ketidakpercayaan rakyat terhadap pihak Polis Di Raja Malaysia, PDRM dalam mempertahankan hak dan keselamatan rakyat secara profesional seperti yang pernah menimpa peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka kami ahli-ahli Parlimen PAS, menuntut supaya sebuah Badan Bebas Siatan Awam ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap dakwaan jahat dan berat ini.

Kenyataan media tersebut dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa merangkap Ahli Parlimen Bachok di Lobi Parlimen pada 30 Jun 2008