KPI dan NKRA: Perkara lama Jenama baru – MP PAS Tumpat

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri berkenaan pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Prestasi Utama (KPI) hanyalah perkara lama yang diberi penjenamaan semula.

Katanya, apa yang dimahukan rakyat adalah kesan akhir yang bakal mereka terima kelak. Kita perlu tunggu dan lihat persembahan bentuk baru dari Najib samada ia berjaya atau tidak.

Enam menteri kanan terajui NKRA
Enam menteri kanan dilantik menerajui enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara lebih berkesan lagi.

Mengumumkan demikian hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap minggu beliau akan berjumpa dengan setiap menteri berkenaan bagi menilai pencapaian KPI yang telah ditentukan.

Ini bermakna, kata Perdana Menteri, dalam setiap enam minggu beliau akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang dirancangkan.

”Bagi NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; NKRA mengurangi kadar jenayah, menterinya adalah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan NKRA memerangi rasuah, menterinya adalah Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

”NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula, menterinya adalah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, menterinya adalah Datuk Seri Shafie Apdal dan NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya adalah Datuk Seri Ong Tee Keat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Pegawai Kerajaan di sini.

Enam NKRA itu diumumkan sempena 100 hari beliau sebagai Perdana Menteri pada 11 Julai lalu dan hari ini beliau memperincikan keenam-enamnya.

Dato’ Kamarudin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengulas pengumuman Najib mengenai KPI dan enam teras NKRA termasuk membabitkan usaha mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan berkualiti, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luarbandar dan pendalaman dan menambahbaik pengangkutan awam dalam jangkamasa sederhana.

Dato’ Kamarudin berkata, perkara itu sebagai mainan politik yang masih gagal meyakinkan rakyat untuk menerima Barisan Nasional dan Umno.

“Najib dilihat sebagai Perdana Menteri yang gemar membuat pengumuman demi pengumuman, namun tindakan tidaklah sehebat pengumuman yang dibuat.

“Contoh paling dekat, dulu tukar nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah BPR dan selepas itu kerajaan tukar nama, tukar jawatan, tukar organisasi.

“Alih-alih yang terbaru tidak berjaya selesaikan kes kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor baru-baru ini. Perkara sebeginilah kita tidak amhu terjadi pada penjenamaan yang baru diumumkan,” katanya.

Mengenai senarai Menteri yang dilantik sebagai ‘lead Minister’ menerajui NKRA, Dato’ Kamarudin berkata, perlantikan Menteri itu hanya buang masa.

“Najib hanya ulang balik tugas-tugas Menteri itu,” ujarnya.

Laporan pencapaian kerajaan untuk sedapkan hati Menteri – PAC

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata terdapat jabatan dan agensi tertentu yang menyediakan laporan pencapaian program hanya untuk menyedapkan hati menteri sedangkan prestasinya tidak seberapa.

Menurutnya laporan yang disediakan memang menarik dan membanggakan menteri tetapi jika tinjauan sebenar dibuat, ia jelas menampakkan pelbagai kelemahan.

Kena baca Laporan Audit 2007.
1. Penyata Akaun Awam Kerajaan Persekutuan
2. Pengurusan & Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan
3, Laporan Ketua Audit negara bagi Kerajaan Negeri.
4. Laporan Ketua Audit Negara bagi badan Berkanun Persekutuan.

Tuduhan terhadap Anwar menjijikkan – Dato’ Kamarudin

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar menyifatkan tuduhan liwat yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi jahat dan jijik.

Sambil mengharapkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenakan tindakan kepada pihak yang terbabit mendakangi konspirasi ini beliau juga mahu isu ini dihentikan serta merta.

Malah atas nama Islam beliau menyeru kepada kelompok yang berkemungkinan mencetus konspirasi ini agar memikirkan implikasinya terhadap tuduhan ini yang mengaibkan seseorang.

Tuduhan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjejaskan hubungan dan pakatan antara Pas dan PKR, kata beliau yang juga Setiausaha Agung PAS.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata pemimpin pembangkang tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan seumpama itu dan sebaliknya percaya ia adalah satu lagi konspirasi untuk menjatuhkan Anwar selaku pemimpin pembangkang.

Pada 28 Jun lepas, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan di balai Polis Travers, di sini dengan mendakwa diliwat oleh Anwar pada 26 Jun lepas di sebuah tempat di ibu negara.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula berkata kenyataan bekas setiausaha politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd. Nor, yang meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya berlaku konspirasi bagi menjatuhkan Anwar, hanyalah pandangan peribadi Mohamad Ezam.

Mohamad Ezam semalam meminta orang ramai tidak termakan dengan cerita Anwar kononnya wujud konspirasi untuk menjatuhkannya.

Kamarudin juga memaklumkan bahawa petang tadi satu taklimat dan penerangan telah dibuat Anwar kepada pemimpin PAS antaranya, beliau sendiri, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS< Salahuddin Ayub dan AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad di Pejabat KeADILan di Damansara.

Taklimat itu dibuat sejurus selepas Anwar mengadakan sidang media dan laporan polis di Ibu Pejabat Kontinjen Shah Alam.

Berita dan gambar lihat.

Kenaikan Harga minyak: Kerajaan menipu rakyat, kata Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar berkata pengumuman kenaikan harga minyak (diesel RM1,00 dan Petrol RM0.78 sen) yang dibuat kerajaan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai hadiah dari kerajaan ‘PM terlampau’ kepada rakyat.

Mahfuz hari ini, berkata, selepas pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat kerajaan sebentar tadi.

Sambil menyatakan ia sebagai satu tindakan yang terlampau, Mahfuz berkata kerajaan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tanpa sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi.

Sedangkan sebelum ini kenaikan dikatakan akan dikaji dan berkemungkinan akan berlaku pada Ogos ini, ujar Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Namun tanpa sebarang ‘signal’ awal kepada rakyat, kerajaan terus memperbodohkan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan rakyat.

“Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga rm1.00. Ini satu kenaikan yang tertinggi yang pernah dicatatkan,” ujarnya.

“Dengan tindakan ini, rakyat dihumban kerajaan Umno/BN kepada satu kehidupan yang lebih teruk tanpa sebarang belas kasihan,” ujar Mahfuz.

Baginya tindakan ini sekali lagi satu penipuan dimana sebelum ini semasa pilihan raya umum yang lalu, kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak.

Sebaliknya selepas tiga bulan pilihan raya umum berlalu dengan rakyat hampir menolak kerajaan yang ada, kerajaan BN membalas dendam dengan menaikkan harga kepada tahap yang melampau.

“Kita akan berbincang dengan NGO dan Pakatan Rakyat untuk membuat tindakan bantahan.

“Saya bimbang jika pilihan raya lalu rakyat telah memberi signal yang jelas kepada kerajaan agar jangan mempermainkan rakyat, kali ini rakyat bakal memberi signal kepada kerajaan untuk berundur dengan kenaikan harga minyak ini,” ujarnya.

Bekas SU Perhubungan Umno Kelantan akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim dicalonkan sebagai anggota Dewan Negara bagi mewakili Kelantan.

Pengumuman perkara itu dibuat Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di pekan Kok Lanas malam tadi, sempena program ceramah isu semasa.

Menteri Besar berkata, Rusli telah melakukan pengorbanan besar kepada perjuangan gerakan Islam di Kelantan sejak menyertai PAS lebih dua tahun lalu.

“Sebelum ini kita melantiknya sebagai Penyelia di Dun Kok Lanas biar pun jawatan itu tidak sepadan dengan kewibawaan yang ada padanya.

“Dan pada pilihan raya umum lalu beliau dicalonkan mewakili PAS di Dun Kok Lanas. Kepetahannya bercakap membuatkan orang kampung mudah faham apa yang disampaikan,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, dengan mengambil kira segala kelebihan tersebut maka wajar sekali beliau dicalonkan sebagai Senator bagi mewakili Kelantan ke Dewan Negara.

Malah katanya beliau lebih mudah untuk bergerak ke mana sahaja di negara ini bagi menyampaikan mesej dakwah dan penerangan isu-isu semasa.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, Rusli mempunyai kedudukan tinggi dalam Umno sebelum menyertai PAS.

Kata beliau selepas menyertai PAS beliau sanggup pergi ke mana sahaja untuk berceramah bagi memberi penerangan mengenai isu-isu semasa kepada masyarakat.

“Tiada benda lain yang dapat kita balas melainkan jawatan Senator yang saya sendiri akan cadangkan pada persidangan Dun Ogos depan.

“Kalau tuan-tuan hendak panggil Dato’ Rusli sebagai YB mungkin sudah boleh agaknya,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Sementara itu, Rusli merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan Menteri Besar dan kerajaan negeri yang bakal mencalonkan namanya bagi mewakili Kelantan ke Dewan Negara.

Pada persidangan Dun Kelantan pada 28 hingga 30 April lalu, agenda ke-11 dicatat sebagai pemilihan Ahli Dewan Negara pada susunan urusan persidangan.

Bagaimanapun Speaker, Ustaz Nasuruddin Daud mengumumkan agenda pelantikan itu ditangguhkan.

Kuota bagi jawatan Senator mewakili Kelantan kosong satu kerusi berikutan Wan Ubaidah Omar bertanding di Dun Kijang dan memenangi kawasan itu.

Seorang lagi penyandang jawatan itu, Mumtaz Mohd Nawi dijangka disambung perkhidmatan bagi penggal kedua. Setiap penggal selama tiga tahun.

Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan hanya melantik wakil muslimat sebagai Senator mewakili negeri ini.