Filem luar menimbulkan masalah sosial yg parah kepada rakyat – Dr hayati

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita tahu di Kementerian Penerangan mengawal RTM1 dan RTM2, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) mengawal stesen-stesen swasta tetapi yang menerima bahan adalah rakyat ramai.

Soalan yang ingin saya tanyakan, apakah KTAK dengan Kementerian Penerangan ini sentiasa duduk semeja dan berbincang apakah bahan-bahan yang didedahkan kepada rakyat, kerana kalau kita lihat banyak filem-filem daripada luar negara yang dihidangkan kepada rakyat menggambarkan bahawasanya masalah sosial yang begitu parah, misalnya filem daripada Brazil umpamanya, dari Filipina.

Maknanya kalau rakyat yang ramai terutamanya anak-anak sekolah yang melihat filem ini tentulah memberi kesan kepada bentuk sosial mereka di masa akan datang.

Soalan tambahan saya ialah apakah kementerian sentiasa dan akan terus memberikan kerjasama antara kedua-dua ini, kerana kita takut KTAK kata Kementerian Penerangan punya masalah, Kementerian Penerangan mengatakan KTAK punya masalah. Itulah soalan saya, terima kasih

Dato’ Shaziman bin Abu Mansor: Terima kasih Yang Berhormat. Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat. Suka juga saya maklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, hubungan antara kementerian ini dan Kementerian Penerangan dan juga kementerian-kementerian lain amat baik.

Berhubung dengan siaran TV swasta ataupun radio swasta, memang ada suatu jawatankuasa yang kita panggil Jawatankuasa Penyiaran Radio dan TV Awam dan Swasta yang mana dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian ini dan kita sering bermesyuarat di antara kementerian.

Hasilnya dalam satu peringkat hari ini, ini peringkat terakhir yang mana satu garis panduan menyeluruh untuk semua siaran TV sama ada awam dan swasta termasuk juga radio, dalam peringkat akhir.

Pada hari ini berada di meja Pegawai Perundangan di kementerian ini untuk dihalusi, kerana apabila garis panduan ini diketengahkan lagi ia akan melibatkan aspek-aspek akta yang ada dalam Akta Komunikasi 1998 sebagaimana yang kita ketahui.

Maka kita yakin apabila garis panduan ini dapat dihalusi dan dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara, maka garis panduan ini dapat diterima pakai sama ada oleh radio ataupun TV swasta termasuklah TV iaitu RTM1 dan RTM2 dan sebagainya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
(29 Ogos 2007)

Kerugian terkumpul TNB sehingga Ogos 2006 RM50.7 juta

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, dari bulan September tahun 2004 sehingga bulan Ogos tahun 2006, jumlah kerugian terkumpul yang terpaksa ditanggung oleh TNB disebabkan kecurian pepasangan atau peralatan elektrik ialah RM50.7 juta.

“Kerugian tersebut hanyalah meliputi kos langsung penggantian peralatan yang telah dicuri dan tidak temasuk kos-kos tidak langsung lain seperti kehilangan hasil,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Mumtaz binti Md Nawi di Dewan Negara semalam.

Kata Dr Lim, Kerugian lain yang perlu juga diambil kira ialah kerugian yang dialami oleh pengguna disebabkan gangguan bekalan elektrik akibat gejala kecurian logam tersebut, kehilangan keyakinan oleh pelabur-pelabur asing akan tahap keselamatan dalam negara dan kerugian kepada sumber dan produktiviti negara.

Masalah kecurian kabel merupakan masalah yang bukan sahaja melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Beliau berkata, turut terlibat dengan kecurian kabel adalah semua utiliti lain temasuk Indah Water Konsortium (IWK), Telekom Malaysia (TM) dan SYABAS.

TNB juga turut mengalami kerugian disebabkan kecurian yang melibatkan pepasangan dan peralatan lain seperti transformer, switchgear, serta bahan-bahan logam dan juga minyak yang digunakan dalam pepasangan-pepasangan tersebut.

Dalam soalan asalnya, Senator Mumtaz minta MENTERI TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI menyatakan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatasi masalah kecurian kabel elektrik dan berapakah jumlah kerugian yang dialami; dan nilaian tuntutan ganti rugi yang kena dibayar oleh TNB kepada pihak yang menyamannya berhubung dengan kecuaian yang membabitkan TNB dalam masa 5 tahun kebelakangan ini.

“Nilai ganti rugi atau pampasan yang dibayar oleh TNB dalam tempoh 5 tahun kebelakangan kepada pihak yang menyamannya berkaitan dengan kecuaian yang membabitkan TNB ialah RM2.34 juta,” katanya.
Teruskan membaca