Ucapan YB Datin Seri Dr Wan Azizah bin Wan Ismail (Keadilan – Permatang Pauh) membahaskan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2007 pada 28 Ogos 2007
Baca juga kenyataan MTUC akan cabar pindaan Rang Undang-Undang ini ke mahkamah.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, sekejap saja, saya mengambil masa yang pendek.
Sumbangan kaum pekerja dan kesatuan sekerja terhadap perkembangan ekonomi yang pesat dan pembangunan negara termasuk kerjasama dalam pengekalan keharmonian, perusahaan seharusnya menerima penghargaan dari kerajaan dan rakyat. Tanpa titik peluh pekerja yang bekerja di kilang, di ladang dan di pejabat, ekonomi Malaysia terutamanya dalam sektor perusahaan dan pertanian tidak akan berkembang dan berjaya menawan perhatian pelabur-pelabur asing.
Kita seharusnya mengiktiraf sumbangan kaum pekerja dan kesatuan sekerja yang telah mengorbankan segalanya bagi menjayakan projek perindustrian Malaysia sehingga negara kita pada satu masa telah digelar sebagai Asian Tiger dengan izin.
Maka apabila rang undang-undang semalam yang bertujuan meminda Akta Perhubungan Perusahaan dan rang undang-undang ini, Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja Pindaan 2007 ini, dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini, saya berasa sedih. Saya sedih kerana pekerja-pekerja yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek Malaysia tidak dihargai. Malah, hak-hak asasi pekerja semakin merosot.
Saya sedih kerana kebanyakan daripada pekerja-pekerja di negara ini masih menerima gaji pada kadar yang rendah sehingga mereka tidak berupaya menikmati keperluan asas untuk kehidupan seharian. Saya sedih kerana walaupun Kesatuan Sekerja Kebangsaan iaitu MTUC yang mewakili para pekerja telah mendesak kerajaan supaya rundingan diadakan dan pendapat mereka diambil kira.
Sebelum rang undang-undang ini dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini, namun seruan para pekerja tidak dipedulikan. Saya sedih kerana selepas hari ini hak berpersatuan dengan izin right to association, para pekerja akan merosot. Hak berpersatuan merupakan satu hak asasi manusia yang mustahak sehingga ia disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dengan izin, Universal Declaration of Human Rights. Ia merupakan satu daripada lapan konvensyen asas dengan izin core convention. Organisasi Pekerja Antarabangsa dengan izin International Labour Organization atau ILO.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun majikan-majikan di negara kita dapat memperoleh keuntungan besar, namun gaji asas pekerja-pekerja seperti di sektor perladangan masih dibayar kurang daripada RM400 sebulan. Pekerja-pekerja dalam sektor tekstil dan pakaian yang diwakili oleh kesatuan sekerja, gaji bulanan yang diterima adalah seperti berikut, saya beri contoh.
Di Kangar dan Kulai hanya RM366 sebulan. Di Zon Dagangan Bebas Bayan Lepas hanya RM364 ke RM426 sebulan. Di Kluang RM353 sebulan dan di Johor Bahru RM286 ke RM450 sebulan.
Hak untuk berpersatuan secara bebas merupakan hak yang paling asas untuk seorang pekerja yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi ini dihadkan oleh Akta Kesatuan Sekerja.
Pada 22 Februari 2005, ada satu aduan telah diterima oleh Organisasi Pekerja Antarabangsa (ILO) tentang pencabulan hak dan kebebasan berpersatuan. Aduan tersebut telah menyebut bahawa Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang hendak dipinda ini menafikan kebebasan pekerja untuk membentuk sebuah kesatuan pekerja di mana kuasa mutlak adalah berada di dalam tangan Director General Kesatuan Sekerja (DGTU) untuk mendaftar ataupun membatalkan sebuah permohonan sebuah kesatuan pekerja.
Dengan izin saya ingin memetik perenggan yang berkaitan dengan kuasa mutlak DGTU “The power of the DGTU in deciding on the issue of similarity under section 2(2) of the Trade Union Act 1959 can be exercised by him not only in registering a new union but also in determining who is competent to be recognize as the representative union”.
Selama 30 tahun lebih kuasa DGTU telah digunakan untuk menafikan sesebuah kesatuan industri kebangsaan yang dituntut lebih daripada 100,000 pekerja di sektor industri elektronik. Selain daripada itu Malaysia sebagai ahli ILO harus menghormati deklarasi prinsip asas dan hak kerja dengan izin ILO Declaration of Fundamental Principles and Rights at Work yang telah dipersetujui secara sebulat suara dalam conference pekerja internasional dalam menyatakan dengan izin, saya hanya ingin mengingatkan yang berada di sebelah sana
“declare that all members even if they have not ratified the conventions in question, have an obligation arising for the very fact of membership in the organization to respect, to promote and to realize, in good faith and in accordance with the constitution, the principles concerning the fundamental rights which are the subject of those convention. Namely; freedom of association and the effective recognition of the right to collective bargaining.”
Filed under: ADR Permatang Pauh, MTUC, Ucapan | Leave a comment »