Pakatan Rakyat mendakwa jurang tempoh menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi dipengaruhi Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Kedua-dua komponen Pakatan Rakyat, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan pandangan sedemikian ketika dihubungi mStar Online, sebentar tadi.
“Kita tidak nampak mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mengadakan pilihan raya kecil ini. Ini kes langsung…ada kekosongan, SPR harus adakan pilihan raya (awal),” kata Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa.
Tambah Nasaruddin, Umno memerlukan masa yang banyak kerana berhadapan dengan masalah dalaman termasuk soal pemilihan.
“Ini babitkan dua isu iaitu pilihan raya Umno dan pilihan raya parti. Kita lihat pilihan raya rakyat, Umno lihat pemilihan Umno,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, keputusan SPR mengadakan dua pilihan raya kecil itu serentak dalam masa dua bulan lagi mempunyai kaitan dengan penyerahan kuasa yang akan berlaku dalam Umno.
Beliau berkata, tarikh 7 April depan dipilih untuk mengadakan pilihan raya adalah untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijadualkan selepas Perhimpunan Agung Umno 26 Mac ini.
“Sebenarnya, ia mahu diadakan (selepas hampir dua bulan) kerana mahu memberi peluang kepada (Datuk Seri) Najib menjadi Presiden (Umno) dan pada masa yang sama, perhimpunan agung (umno) dapat ‘diselamatkan’,” katanya.
Dr Syed Husin berkata, jika pilihan raya kecil diadakan sebelum perhimpunan agung dan kemungkinan Barisan Nasional (BN) kalah bagi kedua-dua kawasan itu, imej Najib sebagai bakal Perdana Menteri akan terjejas.
“Tidak ada banyak beza jika BN kalah (dalam dua pilihan raya itu) semasa Abdullah masih menjadi Perdana Menteri tetapi sokongan kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri akan menjadi goyah.
“Bagi mereka yang tidak mahu Najib menjadi Perdana Menteri, mereka akan membantah dengan lebih kuat lagi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah kedua-dua kerusi tersebut dibiarkan kosong selama hampir dua bulan kerana ia akan memberi peluang kepada Pakatan untuk lebih bersedia.
“Kita akan lebih fokus dan membuat kerja pada setiap masa sedangkan Umno perlu menghadapi banyak perkara,” katanya.
PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau serentak pada 7 AprilSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bukit Selambau, V. Arumugam sebagai sah, sekali gus mengadakan dua pilihan raya kecil serentak awal April ini.
Teruskan membaca
Filed under: Pilihanraya | Leave a comment »