Debat RTM: Salahuddin berjaya benamkan hujah Khir Toyo

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata keberjayaan DEB hendaklah diukur dengan kayu ukur berdasarkan pelaksanaan DEB yang telah dicemari dengan faktor rasuah dan ketirisan dalam projek sementara pencapaian 30 peratus ekuiti bumiputera yang masih samar.

Salahuddin tidak menolak pelaksanaan DEB malah DEB perlu dikekalkan kerana sewaktu dicanangkan pelan dasar DEB oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin, DEB adalah penyelesai kepada kisah buntu ekonomi orang Melayu dan bumiputera di samping tidak meninggalkan ekonomi kaum lain.

Katanya, hakikat kini, DEB ternyata hanya memperkayakan segelintir elit Melayu Umno dan Barisan Nasional (BN) serta taikun-taikun korporat Cina yang berupaya membeli projek dari faktor ketirisan sedangkan belenggu kemiskinan terutamanya di Sabah dan Sarawak masih berpanjangan.

Debat Perdana anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) 24 Julai lalu kelolaan Dato’ Johan Jaafar sebagai Perantara membincangkan soal sejauh mana DEB menjana semangat perpaduan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan

Rungutan Ungku Aziz perlu dipandang berat
Hujah Salahuddin, rungutan di kalangan tokoh-tokoh besar seperti Profesor Diraja Ungku Aziz tentang kebimbangannya dengan faktor ketidakberjayaan DEB, jurang pendapatan yang masih jauh dan monopoli ekonomi oleh golongan tertentu ini perlu dilihat dengan serius.

Benar pelaksanaannya sedikit memberi manfaat kepada generasi DEB seperti beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan membuka peluang pekerjaan, rintisan pendidikan yang berkesinambungan membuka laluan menara gading yang lebih luas kepada anak Malaysia untuk berjaya dan korporatisasi yang mampu menerima graduan terdahulu berkhidmat untuk membangunkan negara.

Namun masih terdapat golongan tertinggal kerana adanya amalan rasuah, kronisme dan ketirisan dalam pelaksanaan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, kemiskinan dan ketinggalan ini adalah dasar utama dalam pelaksanaan DEB.

Kata Salahuddin yang juga Ketua Dewan pemuda PAS, bahawa dari kajian ilmiah yang dilakukan UKM dalam meneliti pencapaian DEB tidak boleh diketepikan kerana ia adalah faktor yang menyumbang kepada ‘kegagalan’ DEB itu sendiri.
Teruskan membaca