Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Terima kasih. Saya jangka SPR akan merombak keseluruhan kerana Pengerusi SPR sendiri pun tidak puas hati dengan kedudukan SPR terutamanya sekali tentang undang-undang dan peraturan pilihan raya.
Rupa-rupanya ada dua, tiga bab sahaja yang dipinda. Itu termasuk kepada pindaan pada nama iaitu daripada “tempat mengundi” kepada “pusat mengundi” dan tambah beberapa jawatan di dalam SPR itu.
Walau bagaimanapun, saya bersetuju tentang penambahan pegawai-pegawai dan kakitangan di SPR sebagai orang yang bertanggungjawab tentang pendaftaran pengundi-pengundi baru khususnya. Akan tetapi, kita mesti ingat juga saranan atau pun hasrat Pengerusi SPR ini walaupun kadangkala fungsi SPR ini seolah-olah sebagai penasihat kepada UMNO, dalam hendak buat sesuatu pilihan raya ini…
Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Tuan Yang di-Pertua, sangka buruk. Sangka buruk. Yang Berhormat tidak boleh kata begitu. Dalam pilihan raya dia bukan bertanding atas UMNO, dia bertanding atas Barisan Nasional.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: …Waktu pilihan raya baru-baru ini. Fungsi SPR dua, tiga empat perkara. Di antaranya ialah Pengerusi SPR mengatakan, parti dirombak semula kerana sudah 50 tahun undang-undang ini. Undang-undang dan peraturan pilihan raya yang sudah berusia 50 tahun ketika negara mengalami ancaman komunis dahulu terlalu usang dan perlu dirombak. Pengerusi SPR juga mengatakan, undang-undang itu perlu dirombak secara drastik…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, pindaan ini semata-mata untuk kita bincangkan perkara berkaitan dengan pusat mengundi dan perkara-perkara yang lain.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Ya, ya. Okey. Saya hendak tarik perhatian oleh kerana terlalu sedikit perkara ini dirombak atau dipinda sepatutnya lebih banyak lagi kerana hasrat Pengerusi SPR sendiri pun memang sepatutnya dirombak di beberapa tempat lain.
Walau bagaimanapun oleh sebab pihak kerajaan merasakan memadailah ditokok tambah maka tidak apalah, saya bahas hal-hal ini.
Pertama, saya tidak percaya dengan penambahan pegawai ini walaupun saya setuju, gerak daftar pemilih secara gerak gempur khususnya tidak akan berjaya juga kerana saya yakin, saya percaya perkara ini berlaku kerana pemuda-pemuda atau pun mereka-mereka yang berumur 21 tahun ke atas ini sudah tidak percaya lagi kepada demokrasi yang ada di Malaysia ini. Kalau mereka daftar sekali pun sudah tentu berlaku penipuan seperti mana penipuan yang berlaku di beberapa pilihan raya yang lalu.
Sebab itu anak-anak muda kita tidak berminat untuk mendaftarkan diri walaupun pihak SPR telah berusaha bermacam-macam-macam cara untuk mendapatkan pendaftaran pengundi baru ini tetapi usaha ini gagal kerana saya katakan tadi ialah pengundi-pengundi itu sendiri atau baka
pengundi itu sendiri telah hilang keyakinan kepada kerajaan khususnya kepada SPR ini.
Saya minta supaya kerajaan juga melihat bagaimana cara kita hendak mengendalikan mereka-mereka yang telah pun mendaftar tetapi diberi peluang untuk tuntutan dan bantahan itu terlalu pendek masanya.
Masa hanya diberi seminggu sahaja. Sepatutnya masa tuntutan bantahan ini diberi panjang sedikit untuk memberi peluang kepada mereka yang akan memerhatikan, takut-takut berlaku pengundi-pengundi yang diimport dari tempat lain ke tempat yang lain.
Sekarang ini, musim ini ialah musim perbicaraan. Hak yang kita daftar baru-baru ini. Contohnya di Kelantan, UMNO memang tidak banyak membuat bantahan tuntutan ini kerana mereka yakin dan percaya PAS tidak ada mengimport pengundi-pengundi baru dari tempat lain tetapi PAS sendiri di Kelantan sekarang ini telah buat tuntutan bantahan dalam perbicaraan sekarang ini dan sudah lebih daripada 1,000 orang yang kita bantah dalam perbicaraan dan sudah lebih daripada 90% apa yang kita bantah itu dimenangi oleh pihak PAS kerana PAS bantah perkara yang betul-betul berlaku di mana UMNO cuba memindahkan pengundi-pengundi daripada kawasan lain ke kawasan yang mereka ingin tawan.
Apa yang mereka sebut baru-baru ini mengatakan bahawa pihak PAS akan memindah pengundi, rupa-rupanya tidak ada satu pun pemindahan berlaku, sebab itulah mereka tidak membantah pengundi-pengundi yang didaftar oleh PAS di Kelantan ini.
Saya cadangkan supaya meringankan lagi beban SPR ini daripada melantik pegawai sebagai pegawai pendaftaran, lebih baik menerima cadangan oleh sahabat-sahabat saya yang dahulu daripada ini dalam Parlimen ini supaya berlaku pendaftaran secara automatik kepada mereka yang sudah cukup umur 21 tahun, tetapi nampaknya pihak kerajaan masih lagi berdegil dan tidak mahu menerima cadangan ini walaupun mereka ini yakin apa yang diusahakan selama ini ialah tidak berjaya untuk mendaftar lebih ramai lagi pengundi-pengundi yang tidak mendaftar walaupun mereka sudah cukup umur.
Teruskan membaca →
Filed under: SPR, Ucapan | Leave a comment »