Usul bincang Royalti Petroleum ditolak Speaker

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad menghantar usul di bawah perkara 18(1) mencadangkan Dewan Rakyat merundingkan semula status pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Negeri Kelantan.

Ini berikutan tindakan kerajaan Pusat dan Petronas yang telah melanggari terma-terma kontrak sekaligus mengingkari ‘sanctity of contact’ untuk membayar 5 peratus wang tunai dari hasil minyak di luar pesisir Kelantan seperti termaktub dalam Fasal 4 dalam Akta 144 Keajuan Petroleum (PDA) 1974.

Bagaimanapun usul tersebut telah ditolak dalam kamar oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi.

Dzulkifli yang kesal dengan penolakan itu berkata, isu itu jelas melibatkan kepentingan rakyat, bukannya melibatkan kepentingan mana-mana parti politik.

“Kami akan terus mengangkat isu ini kerana Pakatan Rakyat mahukan isu ini terus dibawa supaya seluruh rakyat mengetahui perkara sebenar yang terkandung dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya yang juga bekas Pengarah Pusat penyelidikan PAS.

Perkara itu juga ujarnya disokong oleh pimpinan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parimen Gua Musang.

“Tengu Razaleigh sendiri dalam kenyataanya menegaskan bahawa isu ini merupakan bipartisan, tidak melibatkan kepentingan mana-mana parti politik,” ujarnya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub tetap akan mengemukakan satu lagi usul kepada Speaker Dewan Rakyat esok bagi mencadangkan satu jawatankuasa khas di bawah parlimen dibentuk bagi mengkaji terma-terma perjanjian petroleum di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Dalam sidang medianya hari ini, Salahuddin berkata, tindakan tersebut dibuat ekoran usul pertama membincangkan isu royalti Kelantan yang dihantar kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia Isnin lalu ditolak dalam kamar pagi tadi.

“Sudah sampai masanya satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh parlimen bagi mengkaji terma-terma perjanjian di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Bila kita guna seluruh ruang dalam parlimen berbahas tentang isu ini, Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri tetap dengan keputusan bahawa kelantan tak ada hak (royalti),” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Usul tersebut juga akan dibawa ke mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat petang ini untuk dibincangkan

Usul 18 Ipoh Timur mengenai Corruption Perceptions Index, Transparency International 2009 ditolak dalam Kamar Speaker

Perabahasan Usul-Usul, 19 November 2009

Usul 18 membincangkan Indeks Rasuah 2009 ditolak – Usul 18 Ipoh Timur mengenai Corruption Perceptions Index, Transparency International 2009 ditolak dalam Kamar Speaker pada 19 November 2009.

MP DAP Kuching cadang Gaji Menteri JPM dipotong RM10.00

Sesi Perbahasan Usul, 16 November 2009

MP DAP Kuching cadang Usul Potong Gaji Menteri (1)

– YB Tuan Chong chieng Jen [ DAP Bandar Kuching ] akan mencadangkan “Bahawa perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurang sebanyak RM10.00 daripada perkara Maksud Bekalan/Pembangunan 6 – Jabatan Perdana Menteri Kod 10000 Emolumen iaitu dengan memotong gaji Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, sebanyak RM10.00.”

Perbahasan:

MP PAS Kuala Selangor cadang bawa PM ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Cubaan anggota Parlimen pembangkang Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) untuk merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen kerana didakwa membuat kenyataan menyeleweng dewan gagal setelah Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya.

Dr Dzulkefly yang sebelum itu tidak berpuas hati dengan jawapan Najib berhubung isu pembayaran royalti minyak kepada Kelantan mendakwa perdana menteri memberi fakta salah berhubung syarat pemberian royalti kepada negeri-negeri berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Di dalam Akta Kemajuan Petroleum tidak ada syarat yang menyatakan untuk membolehkan negeri-negeri mendapat lima peratus royalti minyak, petroleum itu mesti diperolehi dalam lingkungan tiga meter nautika daripada pesisir pantai.

“Malah berdasarkan Laporan Kewangan Petronas, duit yang diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu dipanggil royalti dan bukannya wang ihsan,” kata Dr Dzulkefly yang membangkitkan perkara itu sebaik sesi soal jawab lisan berakhir.

Bagaimanapun, cubaannya dipatahkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menjelaskan bahawa terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang anggota Parlimen boleh dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan.

“Dalam sesi soal jawab apapun, jawapan yang diberi oleh sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri boleh dikatakan menyeleweng kalau memenuhi tiga syarat iaitu fakta memang tak betul, yang menjawab tahu fakta itu tidak betul dan meneruskan hujah dan ketiga ada niat hendak menyelewengkan.

“Jawapan tadi daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi saya tidak melanggar mana-mana peraturan mesyuarat,” katanya yang terus disanggah anggota Parlimen pembangkang termasuk Dr Dzulkefly, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Untuk itu, Pandikar Amin berkata sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan beliau, mereka seharusnya mengikut peraturan dewan dengan mengemukakan usul terlebih dahulu sebelum membangkitkan perkara itu dalam persidangan.

Pandikar Amin kemudian menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad sebelum memberi laluan kepada Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) untuk memulakan perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2010.

Usul Kematian Pembantu rumah asing di tolak Speaker

Pada 28 Oktober 2009 lalu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Bt Mohd Yusoff telah mengemukakan Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bagi membincangkan isu hak dan kondisi pekerja asing, terutamanya pembantu rumah ekoran kematian Pembantu rumah yang telah ditemui oleh pihak polis di dalam tandas yang berkunci dalam keadaan separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka diseluruh badan, serta tidak diberi makan berhari-hari lamanya, selain kepalanya dicukur hampir botak.

Bagaimanapun pada 2 November lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia menolak Usul tersebut dalam Kamarnya dengan alasan Isu tersebut dalam siasatan Polis.

Teks Usul adalah seperti berikut:
USUL MENAGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT PERKARA 18 (1)

Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2). Dengan ini diberi notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Saya, Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Ahli Dewan Rakyat bagi Kawasan Rantau Panjang mohon mencadangkan :

Bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan dewan yang mulia ini membincangkan dalam menjamin hak dan kondisi pekerja asing, terutamanya pembantu rumah.

Isu ini adalah perkara tertentu kerana telah mengakibatkan tragedi kematian Mantik Hani, pembantu rumah dari Indonesia yang merupakan kemuncak kepada kegagalan kerajaan Malaysia dalam menjamin hak dan kondisi pekerja asing.

Pembantu rumah itu telah ditemui oleh pihak polis di dalam tandas yang berkunci dalam keadaan separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka diseluruh badan, serta tidak diberi makan berhari-hari lamanya, selain kepalanya dicukur hampir botak.

Tuan Yang DiPertua,
Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana melibatkan nama baik negara di persada antarabangsa dan hubungan baik antara negara serumpun, Malaysia-Indonesia. Dengan terjadinya perkara seumpama ini, mengakibatkan maruah 1Malaysia dan nama negara tercemar dan juga menggoncang nilai kemanusiaan itu sendiri.
Teruskan membaca

MP PAS Marang kemuka Usul Kutuk Regim Zionis Israel

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang [PAS Marang] telah mengemukakan Usul di Bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) bagi membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan. Bagaimanapun Usul tersebut di tolak dalam kamar oleh Speaker Dewan Rakyat. Teks Usul adalah seperti berikut:-

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18(1)

Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) dengan ini saya ingin mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan

Saya Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang adalah dengan ini memberi notis mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) mohon mencadangkan :

“Bahawa Majlis Mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Ahli Dewan Rakyat Kawasan Marang bagi untuk membawa satu usul mengenai perkara tertentu berkenaan kepentingan orangramai yang berkehendak disegerakan, iaitu tentang keperluan kerajaan untuk mengutuk regim zionis Israel dan kumpulan pelampaunya yang terus menerus melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin dalam tragedi terbaru pencerobohan dan kepungan Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan seterusnya membawa kes ini ke pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.

Usul ini adalah perkara tertentu, kerana ianya melibatkan keganasan terhadap orang awam dan kepungan di Masjidil Aqsa. Ianya perlu juga disegerakan kerana penduduk awam sedang dan masih dikepung serta kekurangan bahan makanan, serta berhadapan dengan krisis terbaru yang boleh membuka ruang kepada keganasan zionis haram yang berterusan.

Tan Sri yang di-Pertua,
Sekali lagi dunia menyaksikan keganasan yang dilakukan oleh regim haram Israel terhadap penduduk Palestin. Keganasan yang dilakukan pada kali ini adalah terhadap Masjidil Aqsa yang merupakan tempat ibadat yang suci bagi umat Islam. Keganasan oleh regim Israel dan kumpulan pelampau ini di kawasan Haram al-Sharif ini bukanlah kali pertama. Ianya pernah di kutuk menerusi Resolusi 672 (1990) pada 12 Oktober 1990 oleh Majlis Keselamatan, serta telah diperkuatkan dengan Resolusi 1073 (1996), dan sebelumnya menerusi Resolusi 476(1980) dan 478(1980).

Hasil dari keganasan yang dicetuskan oleh kumpulan pelampau Yahudi yang mengisytiharkan pada 4 Oktober 2009 untuk menggempur Masjidil Aqsa dan seterusnya kepungan oleh anggota keselamatan regim Zionis ini menyebabkan lebih kurang 200 orang terkepung di kawasan Haram al-Sharif serta menghalang bekalan makanan di bawa individu yang berada di dalam tersebut.

Oleh yang demikian saya juga menyeru agar satu Sidang tergempar OIC diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang berlarutan dan tidak berkesudahan ini.

Usul ini menyentuh kepentingan orang ramai kerana keharmonian di kawasan konflik menyebabkan kesan yang buruk bukan sahaja di Asia Barat tetapi kesan berantai terhadap kesejahteraan masyarakat dunia apabila ianya akan menyebabkan ketidakstabilan baru dan kesan ekonomi kepada dunia secara umumnya dan Malaysia secara khususnya.

Sekian, terima kasih,

Usul membincangkan Isu Royalti Petroleum kepada Kelantan ditolak

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar pada 20 Oktober lalu mengemukakan Usul tergempar bagi membincangkan Isu mengenai Royalti Petroleum yang sepatutnya dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun Usul tersebut ditolak dalam Kamar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.

Teks Usul adalah seperti berikut:
USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT PERKARA 18 (1)

Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2). Dengan ini diberi notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Saya, Dato’ Kamarudin Jaffar, Ahli Dewan Rakyat bagi Kawasan Tumpat mohon mencadangkan :

“Bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan.

Isu ini adalah perkara tertentu kerana pembayaran tersebut gagal dilaksanakan walaupun telah termaktub perjanjian antara kerajaan negeri Kelantan dan Petronas pada 1975.

Pembayaran royalti tersebut terus diabaikan sedangkan pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005. Berbanding dengan Sabah yang kini menerima royalti yang menjadi haknya, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah, berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas wajib melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Tuan Yang DiPertua,
Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana rakyat Kelantan terus menanggung kerugian akibat pengabaian pembayaran royalti tersebut.

Perkara ini juga melibatkan kepentingan ramai pengabaian tersebut melambatkan perkembangan ekonomi negeri Kelantan yang sudah tentu merencatkan pertumbuhan ekonomi negara kerana negeri Kelantan dengan rakyatnya yang begitu ramai adalah bahagian yang sangat integral dalam menentukan pertumbuhan ekonomi negara.

Perkara ini perlu disegerakan kerana rakyat Kelantan telah dinafikan hak mereka selama empat tahun sejak tahun 2005 lalu tanpa sebab yang munasabah melainkan tindakan yang dilihat sengaja mengabaikan hak mereka.

Perkara ini perlu disegerakan kerana pengabaian hak rakyat Kelantan dalam masa yang begitu lama adalah bertentang dengan prinsip keadilan ketika kerajaan pusat begitu sibuk dengan dakwaan semangat 1Malaysia.

Perkara ini juga perlu disegerakan demi menjunjung titah Pemangku Raja Kelantan seperti yang dititahkannya ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu Selasa lalu.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, perlu disegerakan dan berkepentingan ramai.
Sekian.

MP PAS Padang Terap minta Isu Selatan Thai dibincang Dewan Rakyat

Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) ketika membentangkan usul itu berkata, insiden pembunuhan kejam 11 penduduk Islam yang sedang menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, wilayah Narathiwat pada 9 Jun lalu adalah sesuatu yang mengejutkan.

”Ini adalah kali pertama tragedi yang melibatkan pembunuhan terhadap orang yang sedang bersolat berlaku. Ia tidak selaras dengan ajaran Islam yang melarang perbuatan membunuh ahli rumah ibadat.

”Islam juga menegah perbuatan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang tidak terlibat di dalam peperangan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Nasir mencadangkan supaya Malaysia mengambil inisiatif memanggil satu sidang khas ASEAN dengan segera bagi membincangkan pergolakan berkenaan.

”Malaysia juga perlu mendesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya mengiktirafnya sebagai orang tengah bagi membantu menyelesaikan masalah selatan Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) supaya sidang ditangguhkan bagi membolehkan isu pergolakan selatan Thailand dibincangkan.

Menurut beliau, walaupun isu itu merupakan perkara tertentu dan berkepentingan awam namun ia tidak perlu disegerakan.

Kata Pandikar Amin, sebagai negara jiran yang bersempadan dengan Thailand, Malaysia sentiasa bekerjasama dan mengambil langkah berterusan untuk membantu menyelesaikan masalah di selatan negara itu.

”Dengan yang demikian saya berpuas hati bahawa usul ini tidak perlu untuk disegerakan. Oleh itu, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Isu Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa dibahaskan di Dewan Rakyat

11.32 pagi:

Usul 18 (1) oleh YB Mohd Azmin Ali (PKR Gombak) mengenai tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa diterima Speaker untuk dibahaskan, 10 Dis. 2008.

4.30 petang,

Teks penuh akan menyusul …

MP PAS Shah Alam: bahas usul potong Gaji Menteri Pelajaran

26 November 2008:

Ahli Parlimen Shah Alam membahaskan usul di bawah peraturan 66 (9) daripada DAP Serdang mencadangkan memotong gaji Menteri Pelajaran, 26 Nov. 2008.

Teks penuh:
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: 36(12) ucapan Yang Berhormat Bintulu yang mengatakan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat hendak mengharamkan penjualan arak di seluruh negeri Selangor adalah satu kenyataan yang tidak benar.

Apa yang telah berlaku ialah satu cadangan yang dikemukakan di pihak PBT di Shah Alam dan setelah di bincang ianya dipersetujui untuk disekat penjualan arak melalui kedai-kedai seperti 7-eleven, stesen-stesen minyak yang beroperasi di dalam kawasan PBT itu…

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Baik Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …demi menyekat dan mengurangkan masalah sosial yang dihadapi oleh kalangan remaja yang dengan mudah boleh pergi ke 7-eleven yang beroperasi 24 jam untuk membeli minuman beer, arak, jadi mat rempit dalam keadaan mabuk.
Teruskan membaca