Salahuddin: Penyelesaian konkrit diperlukan selesai isu perpaduan

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil bahagian dalam membahaskan usul ini dan ingin menyatakan beberapa perkara tentang masalah perpaduan yang sedang dihadapi oleh negara kita.

Walaupun saya menjadi anggota kepada jawatankuasa ini dengan saya tidak berniat untuk bercakap tentang apa yang telah kami bincang, tetapi saya mengambil bahagian tentang beberapa isu yang sedang berlaku di dalam negara kita pada hari ini. Asas kepada apa yang dikatakan perpaduan pada hari ini adalah mesti kita lihat bahawa negara kita perlu melihat apa sahaja perbalahan dan perkara-perkara yang ditimbulkan pada hari ini.

Kita mengharapkan ada suatu penyesuaian yang konkrit, satu penyesuaian yang bertanggungjawab daripada pihak kerajaan sendiri terhadap apa juga tuntutan-tuntutan yang semakin dipersoalkan oleh mana-mana pihak dalam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, kita sudah tentu tidak mahu negara kita menjadi seperti Indonesia ataupun menjadi seperti Thailand, di mana wujudkan konsep melting point di mana semuanya, semua kaum, semua bangsa itu mesti tunduk dan patuh kepada satu ideologi ataupun satu doktrin yang diperkenalkan oleh kerajaan di negara tersebut.

Di Indonesia mereka melakukan apa yang dikatakan asimilasi iaitu hilang bahasanya, hilang budayanya, semuanya mahu
diindonesiakan. Semuanya mesti patuh kepada apa yang dikatakan ‘Bhineka Tunggal Ika’, mesti patuh kepada apa yang dikatakan tunduk kepada negara “sang saka merah putih”.

Walaupun pada teorinya kita melihat isu ini atau cara pendekatan ini berjaya mewujudkan satu bangsa Indonesia tetapi bila sampai kepada satu tahap yang kritikal, kita telah menyaksikan selepas jatuhnya Rejim Suharto, maka kaum-kaum ini bangkit dengan sentimen perkauman masing-masing. Kita lihat kedai-kedai orang Cina dibakar, kita melihat bagaimana harta benda mereka ini dimusnahkan setelah sekian tahun, puluhan tahun mereka hidup dalam konsep melting point ini.

Demikian juga yang berlaku di Thailand sebagai contoh, semuanya mahu disiamkan, semuanya mahu dinegarakan, dihapuskan bangsa dan entiti kaum-kaum yang lain. Tetapi akhirnya kita lihat berlaku rasa ketidakpuasan hati terhadap yang dilakukan kepada
mereka selama hari ini.

Kita dalam negara ini Tuan Yang di-Pertua, kita pernah menghadapi beberapa zaman ataupun era yang sangat kritikal. Kita pernah menghadapi era 13 Mei yang menyaksikan bagaimana berlakunya rusuhan kaum yang tetap menjadi satu sejarah hitam dalam negara kita.

Kita juga melihat dalam negara-negara lain bila tidak wujudnya perpaduan bila sentimen keagamaan dan perkauman ini dimainkan.
Saya sebagai Ahli Parlimen Tuan Yang di-Pertua, sebagai pimpinan dalam sebuah parti politik yang menamakan diri kami Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya sama sekali tidak boleh bersetuju di atas agama yang saya anut dan pembacaan yang saya buat untuk membentuk moral dan peribadi saya, kita menggunakan sama ada kaum atau agama itu sebagai satu landasan dalam perjuangan kita. Kita melabelkan agama itu sebagai satu perkara yang kita dominasikan untuk kepentingan mana-mana pihak.

Sebagai contoh bila berlaku apa yang dikatakan ethnic cleansing, yang dilakukan oleh bangsa Bosnia, orang-orang Islam dibunuh dan hampir setengah juta mereka dibunuh dalam tragedi yang menyayat hati kita semua. Berlakunya ethnic cleansing, pembunuhan beramairamai, genocide, massacre ini.

Walaupun dilakukan oleh Slobodan Milosevic dan Radovan Karavic, saya sebagai manusia yang mengaku saya bertamadun, saya tidak boleh mengatakan itu angkara agama Kristian walaupun yang melakukan itu ialah orang yang beragama Kristian.

Walaupun Radovan Karavic dan Slobodan Milosevic menganut fahaman Kristian ortodoks, tetapi saya tidak boleh mengatakan ini angkara agama Kristian. Begitu juga kalau kita lihat dalam sejarah-sejarah ethnic cleansing yang lain yang mungkin banyak yang tidak sempat saya sampaikan dalam masa yang singkat ini.

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua terhadap apa yang berlaku baru-baru ini, apa yang dikatakan Hindraf. Saya telah melihat dengan teliti, membaca memorandum-memorandum yang diserahkan oleh mereka dan apa yang mereka perjuangkan.

Dan saya boleh mengakui dan saya boleh bersetuju sama ada kalau mereka merasakan kaum India yang ada pada hari ini perlu dibela. Inilah suatu dasar dan suatu perjuangan yang mesti diteruskan oleh mana-mana parti yang mungkin memerintah negara kita
ini, mana-mana kaum dan mana-mana etnik yang terus dilanda dengan kemiskinan yang ada pada hari ini. Sebab itu berulang-ulang kali kita mengatakan bahawa Dasar Ekonomi Baru ini masih gagal mencapai matlamatnya.

Kita mesti dengan jujur dan berani untuk menyatakan sama ada dalam Dewan yang mulia ini atau di luar sana, siapakah sebenarnya yang menjadi penyebab, siapakah sebenarnya yang menjadi penjahat, the real culprit terhadap bagaimana DEB ini gagal untuk mencapai matlamat asalnya yang begitu murni iaitu untuk menyusun kembali masyarakat dan untuk membasmi kemiskinan.

Kalau ada pada hari satu golongan kaum yang mendapat nikmat daripada DEB ini dengan mengetepikan kaum yang lain dan ini menjadi perjuangan mereka, menjadi outcry mereka, menjadi battle cry mereka, maka siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan pada hari ini. Maka dengan sebab itulah, bila kita melihat tentang tuntutan-tuntutan itu saya juga bersetuju kalau kita percaya pada hari ini dengan dunia cyber yang ada pada hari ini.

Saya juga ingin mendapat satu kepastian supaya Hindraf ini, saya sendiri bila membaca memorandum tersebut, saya tidak percaya kerana saya percaya semua agama dalam dunia ini ada memiliki apa yang dikatakan command stand atau command issues yang boleh kita kongsi bersama.

Ada nilai-nilai yang bersifat sejagat yang murni yang saya rasa tidak mungkin itu adalah salah satu ajaran orang-orang Hindu dalam negara kita. Tetapi apabila kita membaca tentang beberapa butiran sebagai contoh, saya harap ia tidak betul, sebagaimana satu surat dihantar kepada Gordon Brown yang mengatakan bahawa antara sebab berlakunya penindasan Hindraf kerana mengungkit balik sejarah kenapa kolonial British membawa orang-orang India datang ke dalam negara kita disebabkan oleh orang-orang Melayu lack of intelligence, bodoh, kita bodoh, orang Melayu ini bodoh kerana itulah Inggeris membawa orang India datang ke mari.

Ini saya rasa kalau disebarkan kalau diperluaskan, apa kata pula besok, atau lusa ada satu kumpulan etnik pelampau Melayu pula mengatakan atau menuntut bahawa ingin menyaman pula kerajaan British bahawa membawa datang orang-orang India dengan tuduhan bukan-bukan.

Adakah kita hari ini sedang dalam 13 Mei in the making. Jadi saya merasakan apa yang tidak betul dalam negara kita yang ada pada hari ini yang kita merasakan bahawa kita perlu melihat perkara ini secara objektif. Kalaulah masyarakat India yang ada pada hari ini perlu diselamatkan, kehidupan mereka yang miskin di estate-estate ini tidak dipedulikan, maka Barisan Nasional mesti bertanggungjawab, MIC mesti bertanggungjawab. Tuan Yang di-Pertua: Baik, cukuplah Yang Berhormat.

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Setengah minit saya habiskan. Jadi untuk kita melihat perkara ini secara jujur dan secara objektif, saya mengharapkan tidak berlaku seperti itu. Tetapi kalau ianya masih satu perkara yang tidak dipedulikan mungkin menteri yang menjawab akan mengatakan tidak berlaku, denial syndrome ini berlaku jadi saya cukup takut kalau perkara ini menjadi satu kenyataan yang menjadi satu lagi mimpi ngeri akan dicipta dalam negara kita.

Tinggalkan komen