Isu Rasuah dalam permainan bola sepak perlu dibendung

Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat mengkaji semula jadual perlawanan Liga Super dan Liga Malaysia.

Sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-9 di Dewan Rakyat semalam, beliau menyentuh jadual padat perlawanan yang menjadi salah satu faktor merosotnya mutu permainan pasukan bola sepak tempatan.

“Kita menyedari apabila sesuatu pasukan menjuarai kejohanan, jadual yang cukup padat mengakibatkan pemain-pemain terlalu letih dan tidak mendapat rehat yang cukup.

“Saya mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan bekerjasama dengan Jabatan Sains Sukan mengambil kira bukan sahaja pemakanan dan penginapan sahaja, bahkan jadual juga mesti diambil kira.

Kalaulah begini, maka yang menjadi mangsa adalah pasukan yang juara. Pasukan yang dapat meneruskan perlawanan, terpaksa berhadapan dengan jadual yang cukup ketat, dan padat,” katanya yang kerap menerima rintihan pemain-pemain bola.

Dalam pada itu katanya, isu rasuah yang sering berlaku dalam permainan bola sepak pasukan negeri juga harus dibendung.

“Persatuan bola sepak negeri yang gagal membayar gaji dengan baik mengakibatkan pemain-pemain tempatan mahupun pemain luar sudah mula mencari makan dengan cara haram, akhirnya mereka sanggup menjual perlawanan sebagai rasuah.
Read more »

Pengakuan Rosmah: kes bunuh bukan isu kecil, kata Mahfuz

Pengakuan Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bahawa beliau tidak bersalah dalam dakwaan yang dikaitkan dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak mencukupi untuk membersihkan nama baik dan imejnya termasuk suami beliau yang sudah tercemar.

Anggapan bahawa beliau tidak menyaman Raja Petra Kamaruddin kerana membuat fitnah itu, kerana tidak mahu menumpukan pada isu-isu yang tidak perlu, diselar dan kritik hebat hari ini oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar.

“Sejak bila kes bunuh ini adalah isu kecil atau tidak perlu ditumpukan malah tuduhan terhadapnya adalah serius dan mesti dibersihkan mengikut lunas undang-undang.

“Raja Petra sendiri sanggup berhadapan dengan tindakan undang-undang untuk dedahkan bukti dan bersedia disaman dan ke mahkamah,” kata Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Katanya kesan kepada pengakuan Rosmah dengan tidak melakukan sebarang tindak balas menyebabkan orang ramai tertanya-tanya sama ada maklumat yang didedahkan oleh Raja Petra dalam Surat Akuan Berkanun itu adalah benar.

Ini katanya memberi impak tidak baik kepada negara dari segi politik dan ekonomi apabila isteri Timbalan Perdana Menteri dikaitkan dengan kes pembunuhan dan menghilangkan kepercayaan rakyat termasuk masyarakat antarabangsa terhadap negara ini

Kata Mahfuz lagi, jika ‘kaedah’ Rosmah ini digunakan oleh Penasihat Dato Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi tuduhan liwat pemuda tempoh hari , sudah pasti beliau tidak perlu di siasat atau kes tersebut diabaikan begitu sahaja.

“Adakah dengan pengakuan Anwar bermakna kes ini ditutup sama seperti tuduhan terhadap Rosmah? Sudah pasti polis dan mahkamah mahukan bukti kukuh atas dakwaan dan pembelaan Anwar,” katanya

“Dan Anwar sendiri bertindak menyaman pemuda itu demi membersihkan nama baiknya. Rosmah perlu menyaman Raja Petra, demi mendedahkan bukti yang sebenarnya.
Read more »

Ibrahim Ali bertikam lidah dengan Karpal Singh

Isu mengenai pertikaman lidah yang membabitkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan Gobind Deo Singh (DAP-Puchong) masih belum selesai dibincangkan.

Hal tersebut dibangkitkan kembali Dato’ Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) selepas sesi soal jawab lisan hari ini ketika beliau memohon penjelasan daripada Pandikar mengenai kekeliruan laporan media mengenai permohonan maaf Gobind terhadap Pandikar.

“Saya minta Tan Sri Speaker membuat penjelasan mengenai laporan tersebut, benarkah Puchong telah membuat permohonan maaf.

“Ini kerana kita bimbang ia akan menjejaskan imej dewan yang mulia dan perlembagaan negara ini,” tegasnya.

Hal ‘katak’ dan ‘barua’

Sejurus selepas itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pula bangkit dengan menyanggah permintaan Ibrahim dengan menggelarnya sebagai ‘katak’.

“Ini Pasir Mas, ada sesetengah orang menyebutkannya sebagai katak kerana dia masuk keluar pelbagai parti, orang sebegini tidak boleh didengar pandangannya,” ujarnya sambil disahut sorakan.

Mendengar kenyataan Karpal itu, Ibrahim bangkit untuk membela dirinya.

“Hal ini tiada kena-mengena dengan apa yang dibincangkan,” katanya diakhiri dengan menggelar Karpal sebagai ‘barua’.

Suasana menjadi agak kecoh seketika sehingga ianya berjaya dikawal oleh Pandikar beberapa minit selepas itu.

“Pada pengamatan saya, semuanya tidak mengikut peraturan mesyuarat. Penjelasan saya mengenai isu ini adalah, tidak semestinya apa yang dibaca di dalam akhbar itu benar.

“Sebenarnya saya tidak menjemput Puchong datang berbincang tetapi beliau sendiri yang ingin bertemu.

Katanya, dalam dialog bersama Gobind semalam, Gobind ada menyatakan bahawa ‘i’m sorry to put you in this,’ yang mana saya fahami ianya sebagai permohonan maaf atas apa yang berlaku.

Memperjelaskan tindakan beliau yang kelihatan seperti mempertahankan Ibrahim, Pandikar berkata, beliau pun melompat parti, namun ini bukan bermakna beliau membela Ibrahim serta membenarkan kesemua kenyataan beliau.

“Bukit Gelugor, tolong, saya merayu agar menjadikan perjalanan parlimen ini lebih tertib,” ujarnya.

Bertengkar soal bangun dulu

Sejurus selepas itu, Dato’ tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Dato’ Fuad Zarkashi (Batu-Pahat) pula mengambil bahagian untuk bercakap.

Meluat dengan gelagat mereka, Pandikar mengeluh,” Yang berhormat, sudah-sudahlah tu, takkanlah mengenai siapa bangun dulu pun nak bertengkar.”

Dalam pada itu, Ibrahim terus menggesa Pandikar memberikan penjelasan sebenar dengan kehadiran Gobind di dalam dewan.

Namun, Pandikar menolaknya dengan permintaan agar ianya dibincangkan ketika beliau tiada di dalam sidang dewan.

Barua

Setelah itu, tugas beliau diambil alih Timbalannya, Ronald Kiandee yang memberikan laluan kepada Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai) untuk menyatakan peraturan mesyuarat mengenai kesalahan penggunaan perkataan iaitu barua.

“Baiklah, saya tarik balik perkataan barua itu,” kata Ibrahim, sambil Ronald memberi laluan kepada Gobind dengan penjelasannya.

Katanya, maksud dialog ‘i’m sorry to trouble you’ adalah minta maaf mengganggu dan mengambil masa beliau ketika berehat agar beliau dapat berbicara dengan Pandikar.

“Saya tidak meminta maaf merujuk apa yang berlaku di dalam dewan tempoh hari kerana tidak ada sebab untuk saya berbuat demikian,” katanya lagi.

Bohong

Tegasnya, sungguhpun begitu ia bukanlah bermaksud beliau tidak meletakkan kepercayaan dan hormat ke atas kedudukan Speaker.

Walau bagaimanapun, Gobind menegaskan berkali-kali bahawa beliau tidak pernah menyatakan beliau bermaksud menuduh Pandikar berbohong.

“Saya tidak menyatakan beliau berbohong, tetapi ia adalah satu salah faham,” tegasnya lagi.

Ronald kemudian meminta ahli-ahli dewan mengemukakan sebarang usul sebagai tindakan susulan kepada kes tersebut.

Razali Ibrahim (BN Muar) yang bangkit membacakan peraturan agar merujuk kes tersebut kepada Jawatankuasa Hak Asasi dan tatatertib parlimen.

Bagaimanapun, Ronald menolaknya sambil menjelaskan bahawa peraturan yang dirujuk itu (26 (h)) tidak sesuai.

“Saya rasa ia kurang sesuai dan saya minta diusulkan peraturan lain,” katanya lagi.

Sidang mesyuarat diteruskan dengan agenda perbahasan kajian Separuh Penggal RMK9.

Parlimen perlu pembaharuan bagi pertingkat imejnya

Nasharudin Mat Isa (PAS - Bachok) mencadangkan Parlimen membuat dua pembaharuan bagi mempertingkat imej sistem berparlimen negara ke arah yang lebih akauntabiliti dan berkesan.

Nasharudin yang juga Timbalan Presiden Pas, berkata pembaharuan pertama yang perlu dilakukan ialah mewujudkan jawatankuasa khas mengikut kementerian yang dianggotai Ahli Parlimen dari parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Beliau berkata menerusi jawatankuasa itu, Ahli Parlimen dapat memastikan perseimbangan mengikut kementerian masing-masing sekali gus memudahkan mereka menerangkan pelbagai isu semasa kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke sembilan di Dewan Rakyat semalam.

Ketika membahaskan Kajian Separuh penggal Rancangan Malaysia ke 9, Ustaz Nasharudin (PAS-Bachok) menyarankan agar kerajaan tidak mengabaikan golongan pesara kerajaan tatkala golongan ini turut merasai beban kenaikan harga minyak ketika ini.

Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke -9 di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, kesan kenaikan kos hidup begitu membebankan seluruh rakyat termasuk golongan yang bergantung semata-mata pada pencen.

Katanya tuntutan yang dibuat Persatuan Pesara Kerajaan baru-baru ini wajar diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan jasa golongan kepada negara.

Jelas Nasharudin, antara tuntutan pesara ini ialah agar kadar pencen tidak lagi dibayar berdasarkan separuh daripada gaji pokok terakhir tetapi dinaikkan sebagaimana amalan di negara lain.

Tambahnya, di negara seperti Sri Lanka dan Singapura, pencen pesara kerajaan dibayar rerdasarkan seratus peratus gaji pokok terakhir sebelum bersara.

“Jika tidak dinaikkan pada kadar 100 atau 90 peratus, sekurang-kurangnya antara 60 ke 75 peratus buat peringkat permulaan,”katanya.
Read more »

Dewan kecoh isu peraturan mesyuarat

Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan supaya peraturan mesyuarat tidak digunakan bagi membolehkan ahli Dewan mencelah pada sesi soal jawab.

Langkah itu menyebabkan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) membantah dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

Wan Junaidi menjelaskan, cadangan itu bertujuan supaya urusan soal jawab tidak terganggu dengan perkara tidak berkaitan bagi membolehkan lebih banyak soalan dapat dijawab oleh menteri berkaitan.

”Saya telah merujuk dengan amalan Dewan Rakyat di beberapa negara maju seperti England dan New Zealand yang juga tidak membenarkan peraturan mesyuarat dibangkitkan dalam sesi soal jawab.

”Kita bukan melarang terus peraturan mesyuarat dibangkitkan tetapi kita mahu ia dihadkan hanya jika ada pelanggaran yang nyata berlaku,” katanya menjawab kritikan Po Kuan itu.

Po Kuan mendakwa cadangan itu melampaui kuasa Yang Dipertua Dewan yang juga tertakluk pada peraturan mesyuarat ketika mempengerusikan persidangan.

Terdahulu, sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Wan Junaidi mengemukakan cadangan itu selepas mendengar Peraturan Mesyuarat 36.12 yang dibangkitkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Tajuddin ketika membangkitkan peraturan itu, meminta Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang didakwa menghina dan mempertikai kewibawaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di luar dewan.

Semalam, Pandikar Amin mengarah Gobind keluar dewan dan digantung dua hari daripada Dewan Rakyat kerana mencabar kewibawaan Yang Dipertua.

Saranan Tajuddin itu turut disokong Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyifatkan tindakan Gobind sebagai keterlaluan.

”Kita adalah pembuat undang- undang, bukannya pelanggar undang-undang,” katanya merujuk tindakan Gobind yang terus mencabar kewibawaan Pandikar di luar dewan.

Mengulas perkara yang dibangkitkan itu, Wan Junaidi berkata, isu itu tidak akan dibahaskan dalam dewan sebaliknya akan dibincangkan dengan Pandikar Amin dan seorang lagi Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee untuk menetapkan keputusan.

HDC telah keluarkan 38 produk sijil halal kepada syarikat multinasional Thailand - PM

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr. Mohamed Hayati Othman (PAS- Pendang) mengenai sijil halal yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC), memberitahu, sejak ditubuhkan pada 18 September 2006, sebanyak 38 produk telah diberikan sijil halal untuk syarikat multinasional Thailand.

Abdullah memberitahu, sijil halal itu dikeluarkan bagi produk yang meliputi produk berasaskan lemak, minyak dan dandanan diri.

Jelasnya, peranan Bahagian Halal Hab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih diteruskan dalam pengeluaran sijil halal Malaysia.

”Pemantauan sijil halal adalah dilaksanakan oleh bahagian tersebut dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN& HEP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

”Pemantauan dan semakan adalah secara berkala, sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh sah laku sijil serta pemantauan mengejut dijalankan berasaskan aduan orang ramai,” katanya.

Tuduhan terhadap Anwar menjijikkan - Dato’ Kamarudin

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar menyifatkan tuduhan liwat yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi jahat dan jijik.

Sambil mengharapkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenakan tindakan kepada pihak yang terbabit mendakangi konspirasi ini beliau juga mahu isu ini dihentikan serta merta.

Malah atas nama Islam beliau menyeru kepada kelompok yang berkemungkinan mencetus konspirasi ini agar memikirkan implikasinya terhadap tuduhan ini yang mengaibkan seseorang.

Tuduhan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjejaskan hubungan dan pakatan antara Pas dan PKR, kata beliau yang juga Setiausaha Agung PAS.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata pemimpin pembangkang tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan seumpama itu dan sebaliknya percaya ia adalah satu lagi konspirasi untuk menjatuhkan Anwar selaku pemimpin pembangkang.

Pada 28 Jun lepas, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan di balai Polis Travers, di sini dengan mendakwa diliwat oleh Anwar pada 26 Jun lepas di sebuah tempat di ibu negara.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula berkata kenyataan bekas setiausaha politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd. Nor, yang meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya berlaku konspirasi bagi menjatuhkan Anwar, hanyalah pandangan peribadi Mohamad Ezam.

Mohamad Ezam semalam meminta orang ramai tidak termakan dengan cerita Anwar kononnya wujud konspirasi untuk menjatuhkannya.

Kamarudin juga memaklumkan bahawa petang tadi satu taklimat dan penerangan telah dibuat Anwar kepada pemimpin PAS antaranya, beliau sendiri, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS< Salahuddin Ayub dan AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad di Pejabat KeADILan di Damansara.

Taklimat itu dibuat sejurus selepas Anwar mengadakan sidang media dan laporan polis di Ibu Pejabat Kontinjen Shah Alam.

Berita dan gambar lihat.

Keluar Dewan bantah ucapan Najib - MP PAS

Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Haji Pandikar Amin Mulia membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak membentangkan ucapan sokongan Penilaian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang dikemukakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lepas, telah menyebabkan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati.

Mereka lantas bangkit mengemukakan bantahan serta memohon penjelasan Pandikar atas kebenaran yang diberikan kepada Najib bagi menghuraikan hal tersebut.

Namun Pandikar memberikan alasan bahawa pembentangan yang dibuat Abdullah sebelum ini tidak lengkap, tidak mencukupi serta mempunyai kelemahan.

“Alasan yang dikemukakan speaker tidak dapat kami terima, kerana ia secara tidak langsung mencerminkan kelemahan Perdana Menteri,” kata Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

Tegasnya, ia tidak ditambah pada ketika ini memandangkan beliau boleh berbuat demikian pada sesi penggulungan.

“Kalau beliau ingin membuat apa-apa penambahan mahupun penjelasan, beliau boleh menggunakan peluang ketika sesi penggulungan nanti.

“Persoalannya sekarang, kenapa baru sekarang hendak membuat tambahan, kalau tidak cukup ruang semasa pembentangan sebelum ini, buat semasa sesi penggulungan,” katanya.

Menurut Mahfuz, ianya hanya akan menghabiskan masa yang diperuntukkan untuk perbahasan sidang dewan.

Sementara itu, Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pula berpendapat tindakan speaker membenarkan ucapan tambahan oleh najib sebagai melanggar peraturan mesyuarat sidang dewan.

“Tindakan kami keluar adalah sebagai membantah ucapan Najib yang ternyata melanggar konvensyen dewan ini,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen.

Jelasnya, ia membuktikan bahawa terdapat kelemahan dalam ucapan Perdana Menteri selain membuang masa sidang untuk mendengar penjelasan tambahannya.

Dalam perkembangan yang sama, Azmin Ali (PAS-Gombak) mempertikaikan tindakan Abdullah yang mewakilkan timbalannya untuk membentangkan penjelasan tersebut sebagai bukti kelemahannya.

“Kenapa PM wakilkan kepada orang lain? Kita tidak mahu terima penjelasan TPM,” katanya.

Tegasnya, ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak perlu memberikan reaksi kepada kenyataan tambahan selain apa yang berlaku menjelaskan kelemahan Abdullah yang sangat ketara.

“Kenapa kita perlu respond kepada kenyataan tambahan?” katanya.

Sebelum ini, Mahfuz (PAS-Pokok Sena), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkali-kali bangkit menegur keputusan Pandikar yang memberikan ruang kepada Najib bagi membentangkan ucapan tambahan bagi pihak Perdana Menteri.

“Tan Sri tidak boleh menggunakan ruang untuk perbahasan untuk membuat penjelasan, ini peraturan mesyuarat dan kita kenalah ikut.

“Kalau tidak ia tidak bererti,” tegasnya.

Namun, Pandikar menegaskan bahawa sekiranya Lim tidak berpuas hati dan ingin mengemukakan bantahan atau pandangan ianya hendaklah dibuat dalam bentuk usul.

“Tetapi itupun saya tidak jamin akan menerimanya,” katanya.

Beliau berulang kali mengingatkan ahli-ahli parlimen yang terdiri daripada kalangan intelektual agar dapat menerima keputusan bagi meneruskan sidang untuk mendengar ucapan Najib.

“Semua yang ada di sini ramai yang terdiri daripada peguam-peguam terkenal, harap dapat fahami keadaan dan terima keputusan ini,”

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) juga beberapa kali membacakan peraturan mesyuarat.

Walaupun begitu ianya tidak diendahkan langsung Speaker, menyebabkan semua ahli-ahli parlimen Pakatan Rakayat meninggalkan dewan.

Untuk itu, kesemua ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar daripada dewan sebagai tanda protes.

MP PAS tolak Konspirasi jahat menjatuhkan imej, maruah dan kredibiliti Anwar

Kami, ahli-ahli Parlimen dari Parti Islam SeMalaysia, PAS merakamkan perasaan amat dukacita dan sedih berkaitan perbuatan konspirasi jahat terhadap peribadi Pimpinan Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan nama baik. maruah dan kredibiliti beliau.

Ternyata konspirasi jahat ini bertujuan untuk mengalih pandangan umum dan perhatian rakyat dari pelbagai macam krisis yang sedang melanda negara yang membebani rakyat dengan kos kenaikan saraan hidup akibat penarikan semula subsidi sebanyak RM13.7 bilion tentang bahan bakar; petrol dan diesel yang mencetuskan kesan berantai paling parah dalam krisis ekonomi negara.

Rakyat juga nampak jelas bagaimana kepimpinan kerajaan BN yang sedang dilanda pelbagai tekanan dalaman sesama sendiri mahupun akibat dari kegagalan kepimpinan mereka mengurustadbir negara ini dengan baik, mahu mengalih perhatian rakyat supaya menumpu kepada isu-isu sensasi seperti ini.

Tidak kurang juga tekanan yang terpaksa mereka depani terhadap isu pengambilalihan kerajaan Pusat olih Pakatan Rakyat yang semakin kencang bertiup dalam pelbagai media baru termasuk media perdana.

Kami, ahli-ahli Parlimen PAS dengan ini menolak sebarang tuduhan jahat yang sekaligus membawa erti tuduhan ”Qazaf” terhadap seorang peribadi Muslim yang diketahui umum sebagai seorang pemimpin di dalam negara ini, yang tertakluk kepada undang-undang jenayah Islam yang berat di segi hukuman seandainya tidak dibawa bersama bukti-bulti yang kukuh seperti yang dituntut Syari’at.

Kami juga sedar dan faham bahawa matlamat disebalik keberanian melakukan dosa seperti ini adalah juga bertujuan untuk menghakis kepercayaan dan wibawa kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Kami, ahli-ahli Parlimen PAS yakin bahawa rakyat tidak akan mudah dipengaruhi dengan mainan ’skrip lama’ dan akan menolak sebarang cubaan ini, meskipun dengan pelakon-pelakon baru dengan jalan-cerita yang dikitar-semula secara sensasi dan diperkukuh dengan kononnya bukti-bukti.

Justeru ketidakpercayaan rakyat terhadap pihak Polis Di Raja Malaysia, PDRM dalam mempertahankan hak dan keselamatan rakyat secara profesional seperti yang pernah menimpa peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka kami ahli-ahli Parlimen PAS, menuntut supaya sebuah Badan Bebas Siatan Awam ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap dakwaan jahat dan berat ini.

Kenyataan media tersebut dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa merangkap Ahli Parlimen Bachok di Lobi Parlimen pada 30 Jun 2008

Struktur tarif air perlu adil kepada kerajaan dan rakyat

Pada Julai 2006, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 telah diperkenalkan dan diluluskan yang bertujuan menstruktur semula pengurusan air dan menguatkuasakan pengurusan serta pengawal selian sektor atau industri air bagi seluruh Malaysia akan diletakkan sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan (“federalization of water industry”). Ini bermakna Kerajaan Negeri hanya akan dipertanggungjawabkan untuk membekal sumber air sahaja.

Impak atau Kesan dari Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Air Negara

• Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milikan penuh oleh Kementerian Kewangan akan mengambil alih aset dan liabiliti syarikat perawatan dan pembekalan air sama ada dimiliki oleh pihak kerajaan negeri atau pihak swasta. Untuk membolehkan asset-aset tersebut diambil alih, PAAB akan menerbitkan bon untuk membiayai proses tersebut.

• Aktiviti perawatan dan pembekalan air akan diberi melalui konsep kontrak bukan lagi konsesi. Syarikat terbabit hanya dipertanggungjawabkan dalam operasi perawatan dan pembekalan air sahaja. Sebarang pembangunan aset yang baru akan dibiayai oleh PAAB selaku ”asset owner”.

• Dari segi perolehan, syarikat terbabit akan mengenakan caj kepada PAAB atas perkhidmatan perawatan dan pembekalan air yang diberi dan PAAB juga akan mengenakan caj kepada syarikat terbabit kerana mengguna dan beroperasi aset-aset perawatan dan pembekalan air milik PAAB / Kerajaan Persekutuan.

• Tempoh kontrak adalah selama tiga tahun dan akan diperbaharui. Pelanjutan kontrak tersebut bergantung kepada pencapaian syarikat tersebut dalam ujian Key Performance Indicators yang telah ditetapkan oleh SPAN.

• Dari segi penentuan tarif kepada pengguna air, ia akan ditentukan oleh SPAN.

Isu

Berdasarkan impak diatas, terlalu banyak perkara penting yang memungkinkan / kebarangkalian salahguna dana awam akan berlaku dan keputusan yang hanya memihak pihak yang berkepentingan dan tidak secara menyeluruh khususnya kepada rakyat Malaysia. Oleh yang demikian Kerajaan atau KTAK perlu menetapkan terlebih dahulu skop atau kayu ukur (benchmark) kepada perkara-perkara berikut:-

1) Jumlah Pampasan
Untuk memastikan Kerajaan yang menggunakan dana awam, tidak membayar pampasan yang terlalu tinggi dan “over-priced” kepada pemegang saham syarikat-syarikat perawatan dan pembekalan air yang akan diambil alih:

• Metod menentukan jumlah pampasan kepada pemegang saham yang menguasai syarikat konsesi perawatan dan pembekalan air yang bakal menjadi sasaran pengambilalihan oleh PAAB, iaitu yang menggunakan ”valuation method” khususnya ke atas sesebuah syarikat yang beroperasi secara konsesi perlulah diseragamkan dan andaian-andaian yang dikemukakan bagi menentukan jumlah nilai syarikat terbabit (company value) mestilah adil dan saksama serta menepati piawaian pasaran.
• Andaian seperti perubahan risiko operasi daripada syarikat berasaskan konsesi kepada kontrak sehingga membenarkan mereka ini untuk menuntut premium yang tinggi dalam jumlah pampasannya, perlulah diperincikan secara kuantitatif dan kualitatifnya, memandangkan mereka juga akan diberi peluang untuk meneruskan operasinya dalam bentuk kontrak sekiranya dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
• Perkara-perkara seperti, syarikat pemegang konsesi yang sedia ada yang telah beroperasi sehingga berjaya mengaut pulangan modal serta mencapai jangkaan keuntungan (shareholders’ IRR) dalam bentuk pembayaran dividen perlu diambilkira dalam penentuan jumlah pampasan dan premiumnya.

2) Struktur Tarif

• Memastikan Kerajaan dan SPAN menggariskan faktor-faktor yang adil dan saksama diambilkira dalam penentuan struktur tarif yang baru dan bakal dikenakan kepada pengguna air setelah model perlaksanaan aktiviti sektor air yang baru dan pengambil alihan berjaya dilaksanakan

• Memastikan juga SPAN menggariskan secara terperinci faktor-faktor yang adil dan diambil kira dalam menentukan struktur caj yang akan dikenakan oleh syarikat-syarikat yang diberikan kontrak perkhidmatan merawat dan membekal air kepada PAAB/Kerajaan.

—————-
Ucapan penangguhan YB Ustaz Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap pada 30 Jun 2008