Ucapan Dr Che Rosli Che Mat (MP PAS Hulu Langat) membahaskan Bajet 2009

Ucapan Perbahasan Bajet 2009

Dr Che Rosli che Mat, MP PAS Hulu Langat

Dr Che Rosli che Mat, MP PAS Hulu Langat

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 29 Ogos 2008 di Dewan yang mulia ini banyak menyentuh tentang sejumlah peruntukan kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dalam membantu golongan miskin, ibu tunggal dan orang-orang kurang upaya atau OKU. Jadi, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih.

Namun saya ingin menekankan tentang perlunya peruntukan dan faedah tersebut diberikan kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira daripada negeri mana dan daripada fahaman politik mana. Antara halangan yang menyebabkan sebahagian rakyat gagal menikmati faedah daripada dasar-dasar kerajaan adalah wujudnya orang tengah kepada individu yang berpendapatan tinggi untuk mendapatkan faedah atau manfaat daripada kerajaan.

Sebagai contoh di dalam pembelian rumah kos rendah kerap kali berlaku mereka yang berpendapatan tinggi atau seorang peniaga menggunakan individu yang berpendapatan rendah sebagai penama bagi membolehkan individu yang berpendapatan tinggi tersebut mendapatkan rumah kos rendah.

Akhirnya rumah tersebut disewakan kepada orang lain sebelum dijual apabila sudah sampai masanya dengan harga yang lebih tinggi. Akhirnya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan rumah tersebut tidak mendapatnya. Kerajaan harus memantau perkara ini dengan teliti agar tidak terus menerus berlaku.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Rompin ingin mencelah, Yang Berhormat.
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Belum sampai lagi. Okeylah.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Langat, pakar nuklear. Syabas kepada Yang Berhormat bahawa dari segi kita membela, kita membela semua. UMNO buat begitu PAS pun buat begitu tetapi saya hendak bertanya juga baru-baru ini di Kedah apabila dikatakan untuk memastikan bahawa semua kumpulan itu diberikan rumah kos rendah 50% bagi bumiputera dan 50% bagi bukan bumiputera tetapi DAP membangkang.

Apakah pandangan PAS sebab saya tahu PAS dalam Pakatan Rakyat tidak bersetuju semuanya dengan DAP. Saya pun nampak Presiden PAS pun berkata begitu juga. Apa pandangan Yang Berhormat bahawa PAS ada pandangan sendiri dan Keadilan dengan DAP ada pandangan-pandangan sendiri. Seperti juga kita mendengar Yang Berhormat daripada Kedah itu.

Adakah PAS atas isu negara kesejahteraan rakyat sanggup berbeza dengan sebelah sana, kerana di sebelah sana dia ada politik tak habis-habis tetapi PAS bagus. Saya ucapkan syabas kepada Hulu Langat…

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: [Bangun]
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Biarlah point itu. Kita boleh berbeza tetapi kita boleh bersatu. Saya memang akur kerana selama pengalaman saya dari tahun 60-an lagi memanglah bumiputera ini hanya dihadkan 30%. Jadi, kalau Kerajaan Negeri Kedah mengehadkan memberi keadilan 50-50 itu satu pembaharuan yang dibuat iaitu pada pandangan sayalah. Selain daripada itu…

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: [Bangun]
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Saya belum lagi bergerak di mana-mana.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. dan terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat. Saya hanya ingin melanjutkan adakah Yang Berhormat Hulu Langat bersetuju dari dasar kerajaan sebagai prinsip dasar yang kebanyakan kita bersetuju dalam Pakatan Rakyat tetapi dalam administration dengan izin, mungkin ada perbezaan pendapat. Itu adalah amalan demokrasi.

Namun kalau dibandingkan dengan Barisan Nasional kita dapati ada perbincangan di dalam Barisan Nasional ada komponen parti yang mengatakan UMNO itu adalah pembuli bagi parti-parti yang lain dan juga ada perbezaan besar dalam pendekatan menangani isu ISA, ada komponen parti yang sekarang sangat teguh dan tidak bersetuju dengan cara UMNO menangani isu menggunakan ISA dan banyak lagi dasar-dasar yang merupakan dasar pokok. Bukankah ini….

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Point of order. Tidak ada kena mengena dengan apa yang dihujahkan. Yang Berhormat Hulu Langat bercakap mengenai perumahan. Ini tidak ada kena mengena dengan perumahan. Ini luar daripada tajuk, Tuan Yang di-Pertua. Saya khas kepada …

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Bukankah ini lebih besar perbezaan di antara…
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya sokong Yang Berhormat Hulu Langat. Itu dasar yang baik, dia pergi kepada ke lain sampai ke dunia, sampai ke mana benua buat apa.
Tuan Pua Kiam Wee [Petaling Jaya Utara]: Point of order yang mana?… [Ketawa]

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Batu memberi penjelasan. Itu pandangan Yang Berhormat Batu. Jadi, saya ingin sambung balik. Selain daripada itu maklumat satu lagi yang saya minta walaupun peruntukan tadi sudah ada semuanya.

Satu perkara penting juga iaitu maklumat tentang manfaat yang disediakan oleh kerajaan kepada golongan sasaran iaitu golongan miskin, OKU dan sebagainya yang tidak sampai kepada rakyat bawahan juga menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapat pelbagai faedah daripada kerajaan. Bahkan dengan banyaknya prosedur dan ditambah lagi dengan taraf pendidikan rakyat yang rendah menjadikan mereka mudah berputus asa daripada memohon pelbagai faedah daripada kerajaan.

Harapan saya adalah agar pegawai agensi yang berkenaan bersama dengan pemimpin masyarakat iaitu ketua kampung, tok penghulu dan sebagainya turun padang ke seluruh pelosok negeri dan kampung bagi menerangkan kepada rakyat tentang faedah yang diberi oleh pihak kerajaan dan dalam masa yang sama juga dapat mengemaskinikan bank data mereka.

Kerajaan juga harus mempermudah dan mempercepatkan sebarang permohonan rakyat. Seruan saya ini ditujukan kepada kerajaan dan agensi juga kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pemaju perumahan kos rendah, Yayasan Tekun, MARA dan pelbagai agensi lain untuk mengambil tindakan yang sebaiknya yang lebih berkesan.

Tuan Yang di-Pertua, antara pendapatan besar negara adalah dari cukai pendapatan dan cukai-cukai lain tetapi sebanyak 14.4% adalah daripada bayaran balik pinjaman. Ia adalah satu peratusan yang besar yang tidak boleh kita pandang remeh oleh kerajaan. Oleh itu sebarang tunggakan pembayaran hutang daripada mana-mana pinjaman selalunya akan merencatkan atau mengurangkan pendapatan untuk pembangunan negara.

Jadi, saya ingin merujuk kepada Laporan Audit Akaun Awam 2007 daripada muka surat 30 sehingga 40 yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia baru-baru ini berkenaan dengan mendapat bayaran balik pinjaman yang tertunggak.

Analisis Audit mendapati pada akhir tahun 2007 tunggakan bayaran balik pinjaman adalah berjumlah RM10.02 bilion. Jumlah ini telah meningkat sejumlah RM0.58 bilion daripada tahun 2006 yang pada masa itu berjumlah RM10.04 bilion. Sebagai pecahan, hutang daripada kerajaan negeri sebanyak RM3.49 bilion, Perbadanan Kemajuan Negeri – RM139.74 juta; pihak berkuasa tempatan – RM477.61 juta; badan berkanun – RM2.422 bilion; koperasi – RM15.8 juta; syarikat – RM3.89 bilion; dan pelbagai agensi RM164.32 juta.

Jadi Kerajaan Persekutuan seharusnya mengkaji apakah masalah yang berlaku di dalam proses pembayaran balik ini terutama kepada kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat.

Ketidakcekapan dalam pemantauan ini boleh menyebabkan kerajaan mengalami kerugian. Antara perkara yang terdapat dalam perjanjian pinjaman ialah jumlah jadual bayaran balik perlu disediakan selepas pinjaman terakhir dikeluarkan kepada peminjam dan selepas berakhirnya tempoh penangguhan atau grace period dengan izin, yang mana lebih awal.

Malangnya semakan audit mendapati jadual bayaran balik bagi 55 pinjaman yang berjumlah RM2.51 bilion yang diluluskan masih belum disediakan jadual walaupun pinjaman berjumlah RM2.28 bilion telah dikeluarkan. Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman yang diluluskan telah tamat antara tahun 1994 -2007.

Kelewatan menyediakan jadual bayaran balik menyebabkan pihak peminjam tidak membuat bayaran balik pinjaman mereka. Soalnya, apakah pihak Kerajaan Persekutuan yang bertindak sebagai pemiutang gagal dalam menyediakan jadual pembayaran balik kepada 55 peminjam tersebut, sedangkan wang pinjaman sebanyak RM2. 51 bilion telah pun dikeluarkan.

Bahkan empat daripada pinjaman tersebut iaitu negeri Johor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang berjumlah RM74.32 juta telah diluluskan antara tahun 1996-1998 kini dalam proses hapus kira. Jadi saya berpandangan proses hapus kira ini akan menggalakkan lagi budaya menanggu pembayaran pinjaman di kalangan peminjam selain merugikan Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: [Bangun]
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Yang Berhormat Rompin, saya tahu…
Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Sedikit sahaja. Saya ingin komen kepada Yang Berhormat Hulu Langat. Saya menghargai pandangan Yang Berhormat bahawa agensi-agensi ini kalau beban hutang mereka itu patutlah disokong, saya ingin menyokong. Itu satu pandangan baik Yang Berhormat.

Akan tetapi saya hendak bertanya Yang Berhormat juga. Bila sudah agensi ini dikurangkan beban mampu bergerak kembali tapi ada bahayanya Yang Berhormat. Adakah Yang Berhormat ingin berkongsi pandangan dengan saya. Bahayanya nanti dia akan bersaing dengan usahawan-usahawan tempatan, usahawan kita sendiri, usahawan bumiputera, usahawan bukan bumiputera, usahawan Malaysia.

Adakah pandangan Yang Berhormat nanti kalau kita lepaskan beban ini nanti, dia boleh bergerak, tapi dia bergerak dengan bersaing dengan rakyat Malaysia, dengan swasta. Saya risau dan bimbang juga sekarang ini dengan keluhan-keluhan usahawan-usahawan kita. Mereka kata projek-projek yang mana mereka boleh kendalikan, perumahan-perumahan biasa itu, persaingan itu dengan agensi-agensi ini.

Saya minta pandangan Yang Berhormat, adakah Yang Berhormat bersetuju cadangan kementerian, saya setuju benar dengan pandangan Yang Berhormat tadi. Akan tetapi mesti dikawal dari segi aktiviti yang mereka terokai. Janganlah mereka bersaing dengan bidang-bidang yang mana usahawan kita boleh. Patut mereka itu memasuki bidang-bidang yang mana risikonya tinggi, berteknologi tinggi tapi jangan sektor-sektor yang mana usahawan yang kita bela pada kecil sehingga mereka berjaya tetapi terpaksa bersaing dengan agensi-agensi kerajaan ini. Apakah pandangan Yang Berhormat tentang perkara ini. Terima kasih.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin. Memang saya setujulah supaya pihak kerajaan memantau juga supaya tidak berlaku competition di antara usahawan-usahawan bumiputera dengan agensi kerajaan yang mungkin mempunyai peruntukan yang besar. Terima kasih.

Jadi kerajaan melalui Perbadanan Perbendaharaan Malaysia dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia hendaklah mewujudkan satu mekanisme untuk memantau dan memastikan jadual bayaran balik dikeluarkan sebelum tamat tempoh penangguhan bayaran balik. Ini supaya agensi yang meminjam dapat membayar balik pada masa yang tepat dan seterusnya mengurangkan jumlah tunggukan bayaran balik pinjaman Kerajaan Persekutuan. Jadi, tempoh penyediaan jadual bayaran balik juga perlu ditentukan supaya tempoh tersebut tidak mengambil masa yang lama.

Tuan Yang di-Pertua, semenjak tahun 60-an telah timbul kesedaran tentang pembakaran bahan api fosil seperti minyak, gas, dan arang batu ke atas alam sekitar. Krisis minyak pada 1973 dan 1978, 1980 juga telah memberi dorongan yang kuat kepada usaha penyelidikan terhadap penjimatan penggunaan tenaga, peningkatan kecekapan, penggunaan tenaga dan teknologi dan teknologi penggunaan sumber-sumber tenaga diperbaharui seperti biojisim, angin, dan tenaga suria.

Sumber bahan api fosil dunia adalah terhad mengikut dengan izin, World Energy Council dalam laporan yang bertajuk Energy for Tomorrow’s World dalam tahun 2000 menganggarkan bahawa arang batu boleh bertahan selama 182 tahun, minyak 25 tahun lagi dan gas asli 41 tahun lagi. Sungguhpun bahan api fosil tidak diramalkan akan lupus dalam tempoh yang terdekat, permintaan yang meningkat terutama selepas terbukanya ekonomi China dan India menyebabkan harga bahan api fosil ini tidak menentu.

Pada tahun 1979 kerajaan telah menggubal dasar tenaga negara yang mempunyai tiga objektif jangka panjang iaitu:
(i) mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber tenaga dengan membangunkan sumber-sumber alternatif. Yang dimaksudkan dengan sumber alternatif ialah gas asli, arang batu dan hidro;
(ii) memastikan bekalan sumber-sumber tenaga yang stabil dari segi bekalan dan harga; dan
(iii) menggalakkan penggunaan tenaga dengan cekap dan optimum.

Pada tahun 1980 pula, kerajaan menggubal dasar pengeluaran minyak negara yang menetapkan kawalan pengeluaran terhadap lembangan-lembangan minyak terutama dihadkan pengeluaran yang kepada tidak lebih daripada 3% setahun bagi menjamin kelangsungan sumber minyak negara dalam jangka masa panjang. Jadi pada tahun 1981 pula kerajaan melancarkan strategy for fuel untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak.

Strategi ini mengisytiharkan empat sumber tenaga iaitu minyak, gas asli, hidro dan arang batu sebagai sumber tenaga jangka panjang. Kesemua dasar-dasar ini dibuat oleh kerajaan hampir 30 tahun yang lalu di mana teknologi berkenaan dengan sumbar tenaga lain serta sumber tenaga diperbaharui masih lagi minimum.

Mengikut laporan National Energy Balance pada tahun 2004, peratusan penjanaan tenaga elektrik negara seperti berikut iaitu gas asli 60%, arang batu 30%, kuasa hidro 70% sahaja, minyak dan petroleum 3%. Jadi ingin saya simpulkan bahawa buat masa sekarang Malaysia bergantung kepada 93% bahan api, fuel. Manakala stesen jana kuasa hidro pula perlu melibatkan kos yang tinggi sejumlah kawasan yang besar yang ditenggelami air. Ia melibatkan isu alam sekitar dan hutan. Untuk makluman, kawasan hutan yang akan ditenggelami air selepas Empangan Bakun siap adalah seluas satu daerah Hulu Langat iaitu 612 kilometer persegi. Ia juga akan melibatkan pemindahan penduduk setempat.

Di atas kesedaran mengurangkan kebergantungan kepada satu jenis sumber tenaga terutama daripada bahan api fosil yang bakal habis suatu hari nanti, maka saya menyokong dengan cadangan kerajaan untuk meletakkan sumber tenaga nuklear sebagai alternatif yang utama bahkan dimasukkan dalam dasar kepelbagaian bahan api negara. Tuan Yang di-Pertua, kini teknologi bagi pembinaan loji nuklear telah pun sampai ke generasi ketiga…

Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Rompin, Yang Berhormat.
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: …Generasi ketiga plus dan…
Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya nak bagi tahniah kepada Yang Berhormat Hulu Langat kerana mungkin di antara kita hanya beliau seorang yang ada kepakaran dalam bidang nuklear. Kalau mahu izin, bagi saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Hulu Langat kerana di antara kita, beliaulah yang paling pakar di kalangan kita. Kebimbangan orang ramai Yang Berhormat dalam penggunaan nuklear ialah dari segi kesan dia punya waste dengan izin, radiation, bahan buangan…

Beberapa Ahli: Sisa!
Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Sisa, terima kasih. Yang beritahunya DAP, bukan PAS, tahniah DAP. Sisa radioaktif itu. Adakah Yang Berhormat bersetuju pembekal kita punya pembekalan nuclear rods ini yang ke negara kita nanti, mesti mereka juga ambil balik dia punya sisa itu. Bermakna rakyat Malaysia tidak perlu bimbang, apa dia nuclear rod, supply rod itu diberi kepada kita tetapi apabila habis dibawa balik waste ke negara mereka.

Kalau ini dapat diuruskan dengan baik oleh negara dan saya juga minta pandangan Yang Berhormat bahawa yang mempunyai nuklear reaktor ini mesti kerajaan, tak boleh swasta. Kalau nuklear reaktor ini dipunyai oleh swasta mungkin orang ramai akan rasa bimbang dari segi selamat tak selamat. Akan tetapi nuklear reaktor itu dipunyai oleh kerajaan tetapi dari segi dia punya wap, itu boleh diberi kepada Tenaga Nasional untuk menjana generator.

Maka kebimbangan orang ramai yang pertama, keselamatan nuklear reaktor itu kepada kerajaan. Yang kedua, sisa itu mereka tidak bimbang.

Adakah Yang Berhormat boleh bersetuju bahawa ini boleh menghakiskan kurang keyakinan rakyat Malaysia tentang negara memasuki era baru tenaga iaitu era baru dalam penggunaan nuklear kerana apa jua sumber tenaga yang ada sekarang sama ada minyak, arang batu, semuanya kita telah lihat ada kaitan dengan harga minyak. Harga minyak naik, arang batu naik, bermakna dan juga di negara kita, sumber air kurang. Itu insya-Allah akan menjamin harga kuasa, harga tenaga negara itu pada paras yang kompetitif bukan sahaja kepada industri, juga berpatutan kepada rakyat Malaysia. Minta pandangan Yang Berhormat.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin yang banyak mengambil masa, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Ada lapan minit lagi Yang Berhormat.
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Berapa minit lagi Tuan Yang di-Pertua?
Tuan Yang di-Pertua: Lapan minit lagi.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Okey, terima kasih. Sebenarnya memanglah oleh sebab kita tidak memahami secara saintifik mengenai reaktor maka kita menganggap bahawa reaktor ini memberi satu bahaya ataupun kemudaratan kepada kita. Sebenarnya kalau kita ambil cooling system di dalam reaktor, tidak memberi kesan radioaktif yang tinggi, tidak ada. Kemudian yang kedua, dari segi radiation. Ini yang saya nak sebut berdasarkan daripada laporan United Nations Scientific Committee on Effect of Atomic Radiation menyebut stesen janakuasa nuklear adalah paling rendah sekali dari segi penelahannya iaitu 0.002 mSv (millisievert) berbanding dengan sumber semula jadi sebanyak 2.4 mSv Pemeriksaan X-ray 0.4 mSv dan ujian nuklear atmosfera sebanyak 0.005 mSv.

Jadi dari segi radiation nya, kita tidak perlu bimbang dan apa Yang Berhormat Rompin sebut tadi, kita sebenarnya membeli pakej yang telah pun sedia ada daripada syarikat-syarikat antarabangsa yang telah pun menjamin dari segi keselamatan reaktor nuklear. Jadi rakyat atau masyarakat tidak perlu bimbang.

Reaktor nuklear dari segi kos penjanaan nuklear juga agak murah. Umpamanya reactor nuklear, untuk menjana satu mega watt per jam hanya antara RM10 ke RM28. Kalau kita tengok minyak, RM37 ke RM41 dan gas asli antara RM13 ke RM30. Itu perbezaannya. Dan kos pembinaan untuk satu reaktor nuklear yang menghasilkan 1,000 mega watt hanya antara RM8 ke RM10 bilion. Kalau kita dengar untuk membina kabel di bawah dasar laut daripada Bakun ke Semenanjung juga memerlukan kos yang lebih daripada RM10 bilion.

Jadi maknanya kita boleh bina dah satu reaktor nuklear. Saya nak mencadangkan untuk permulaan, mungkin reaktor nuklear ini boleh kita bina di kawasan koridor, pembangunan koridor. Umpamanya di Johor, di timur dan sebagainya. Jadi itu sebagai starting lah.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: [Bangun]
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Masa dah tak ada dah. Sikit saja.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Sikit sahaja, saya nak tanya tentang bahaya reaktor nuklear dengan bahaya radiasi daripada alam semula jadi. Tadi dikatakan reactor nuklear ini tidak mempunyai radiasi yang terlalu tinggi sebab kita ada perlombongan, kuari batu, kuari yang boleh menyebabkan radiasi tersebar. Dibandingkan dengan bahaya ini, mana lebih rasa- rasanya daripada Yang Berhormat Hulu Langat?

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Itu saya sebut tadi, bahaya dari sinaran, sinar latar sahaja 2.4 mSv sedangkan reaktor yang telah pun mempunyai safety feature nya, dia hanya 0.002 mSv. Sebab perlombongan dan sebagainya kita tidak meletak shielding atau pendindingnya yang sebaik seperti reaktor, jadi itu yang bezanya.

Satu daripada kebaikan reaktor juga, ia tidak menghasilkan karbon yang tinggi. Umpamanya reaktor hanya menghasilkan 10 gram karbon setara atau equivalent per kilowatt hour. Dan kalau banding dengan arang batu 350 gram karbon kilowatt hour, minyak 330 gram karbon setara per kilowatt hour.

Oleh itu sistem jana kuasa yang menggunakan reaktor nuklear boleh menjamin keselamatan, insya-Allah. Kecukupan perbekalan tenaga negara dengan kos yang rendah dan mengurangkan penghasilan gas rumah hijau negara bagi tempoh jangka panjang. Dan ini selaras dengan dasar tenaga negara.

Tuan Yang di-Pertua, dalam sesi soal jawab di Dewan yang mulia ini, Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat Kepong menyatakan bahawa sebanyak 564 projek di bawah program Science Fund, Techno Fund dan Inno Fund telah diluluskan sehingga Oktober tahun ini dengan melibatkan peruntukan RM358.03 juta. Dalam usaha menggalakkan pertumbuhan baru dalam bidang penyelidikan dan perkembangan bio teknologi.

Sejumlah besar peruntukan yang diberikan daripada kerajaan kepada agensi terutama untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak cukup sekiranya kerajaan tidak memantau dan menyelaras dan juga mengkomersialkan hasil penyelidikan di sektor awam dan sektor swasta. Jika penyelarasan ini tidak dibuat maka pembaziran boleh berlaku.

Sebagai contoh, beberapa tahun yang lepas ketika negara mengalami krisis kekurangan gula maka saya difahamkan satu proposal telah dikemukakan dari MARDI kepada kerajaan untuk menggunakan tanaman alternatif sebagai sumber gula iaitu pokok stevia yang nama saintifiknya stevia rebaudiana. Pada tahun 2006, Kabinet telah bersetuju dengan proposal tersebut dan pihak MARDI telah diberikan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk mencari klon yang sesuai untuk ditanam di persekitaran Malaysia dan teknologi penanaman dan pemprosesannya juga dikembangkan. Daripada peruntukan RM5 juta, RM1 juta telah pun diberikan kepada MARDI melalui tabung sains dan telah digunakan kira-kira 60% daripadanya.

Dalam masa yang sama sebuah syarikat di Malaysia telah pun berjaya menghasilkan klon stevia yang sesuai ditanam di Malaysia. Projek penanaman pokok stevia ini dilakukan oleh syarikat swasta tersebut di beberapa lokasi di Pahang. Pihak syarikat juga telah menjalankan R&D berkenaan klon pokok stevia tersebut dengan menggunakan kosnya sendiri. Jadi, pada masa ini pihak syarikat telah berjaya menghasilkan produk berbentuk teh dengan jenama Hayat.

Saya juga difahamkan bahawa pihak MARDI telah pun beberapa kali mengunjungi syarikat ini untuk mendapatkan maklumat, tetapi pihak syarikat tidak bekerjasama disebabkan tidak jelas dari segi perjanjian yang berkaitan dengan hak milik ataupun harta intelek.

Tuan Yang di-Pertua: Sila gulung Yang Berhormat.
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Jadi, mungkin ada baiknya jika kerajaan dapat memantau peruntukan penyelidikan daripada agensi kerajaan dan mencadangkan kerjasama di antara badan kerajaan dan swasta dalam penyelidikan dan pengkomersialan hasil penyelidikan serta turut memberi insentif kepada badan swasta yang berpotensi untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.

Akhir sekali, saya ingin menegaskan sekali lagi tentang peri pentingnya penyusunan bajet yang seimbang bagi semua sektor serta pelaksanaan pengagihannya yang menyeluruh kepada semua pihak. Sekian, terima kasih.

RUJUKAN: 21 Oktober 2008

Tinggalkan komen