Ucapan YB Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian) membahaskan Bajet 2008

Sesi Ucapan Perbahasan Bajet 2009

Salahuddin Ayub, MP PAS Kubang Kerian

Salahuddin Ayub, MP PAS Kubang Kerian

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim kerana memberikan juga peluang kepada saya untuk membahaskan pembentangan bajet bagi tahun 2009. Saya memulakan ucapan pada tengah hari ini dengan menyebut firman Allah SWT.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran] Yang bermaksud, “Orang-orang atau mereka yang diberikan kekuasaan di atas muka bumi ini, sifat-sifat mereka adalah mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan sifat juga mestilah menyeru kepada yang maaruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allahlah kembali segala urusan”.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua. Saya telah memulakan ucapan pagi tadi dengan saya mengungkap sepotong ayat Quran yang menterjemahkan dan menggariskan perkara-perkara yang paling asas kepada mereka yang diberikan kekuasaan oleh Allah SWT untuk menguasai muka bumi ini.

Di antara perkara penting yang menjadi asas kepada matlamat untuk memberikan keadilan di atas muka bumi ini adalah seseorang itu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan kemudian mengajak yang makruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembali segala urusan.

Tuan Yang di-Pertua, apa yang penting dalam negara kita pada hari ini ialah kita mahu sebuah kerajaan pemerintah, pemimpin yang bertanggungjawab, yang boleh melaksanakan amanah ini untuk kepentingan rakyat. Mana-mana kerajaan sekalipun Tuan Yang di-Pertua, akan mementingkan pemimpin yang boleh dan dapat menaungi bukan sekadar bangsanya sahaja, kaumnya sahaja, ataupun puaknya sahaja tetapi keadilan itu mestilah merentasi. Dapat sampai ke segenap lapisan masyarakat khususnya dalam tanah air kita.

Tuan Yang di-Pertua, dalam sejarah Islam dan mana-mana sejarah tamadun manusia sebagai contoh Islam sendiri telah dapat melahirkan pemimpin agung kita, Nabi besar kita Muhammad SAW yang menjadi contoh ikutan yang terbaik. Saya merujuk Tuan Yang di-Pertua, kepada satu tulisan oleh seorang sarjana Michael Hart dalam tulisannya bertajuk “Ranking of the Most Influential Persons In History”.

Dalam buku ini Tuan Yang di-Pertua, Hart telah meletakkan Nabi besar Muhammad SAW sebagai yang teratas mengatasi tokoh-tokoh dunia lain dan dapat menempatkan dirinya sama ada di kalangan saintis, budayawan, sasterawan, seperti St Paul, Christopher Colombus, Aristottle, Lenin Morses, Martin Lurther dan Adam Smith dan lain-lain lagi.

Apabila Hart meletakkan tentang Nabi Muhammad SAW sebagai pilihan utamanya ia menukilkan bahawa dengan izin Tuan Yang di-Pertua, “my choice of Muhammad to lead the list of the world most influential persons miss surprise some readers and may be question by others but he was the only man in history who was supremely successful in both the religious and secular level”.

Ini dinukilkan oleh Hart bila beliau menulis antara karya agungnya ini. Demikian juga para sarjana yang lain seperti sejarawan terkemuka British, Simon Sebag dalam koleksi artikelnya “Speeches That Changed the World” yang juga menempatkan bahawa watak dan peribadi Nabi SAW ini sebagai contoh terbaik yang mesti menjadi ikutan kepada seluruh yang diberikan amanah, memerintah sama ada kerajaan yang ada dalam dunia ini.

Mengambil iktibar daripada ini Tuan Yang di-Pertua, saya memulakan hujahan saya apabila pada hari ini kita menyaksikan negara yang dikatakan akan mengambil suatu episod lagi dalam sejarah kepimpinan negara. Saya tidak kisah sama ada siapa yang akan memimpin nanti, peralihan kuasa ini, siapa yang akan naik dan siapa yang akan pergi dan begitulah sejarah menulis pemimpin datang dan pergi. Akan tetapi apa yang penting bagi kita adalah kita mahu seorang pemimpin yang boleh dan berupaya menyampaikan amanah ini yang berdasarkan kepada kriteria yang paling asas. Disebut dan boleh menjadi contoh kepada orang lain.

Kita tidak mahu pemimpin-pemimpin yang bakal menerajui negara kita ini sarat dengan isu, sarat dengan pelbagai skandal yang boleh mencemarkan wibawa pemimpin itu sendiri. Maka dengan ini Tuan Yang di-Pertua, apabila kita membahaskan bajet ini sendiri sebagai contoh maka sebab itulah sahabat saya daripada Kuala Selangor semalam bila berhujah, memulakan ucapannya dengan mengetengahkan satu permasalahan rakyat dengan beliau membawa mesej sepinggan nasi yang naik dengan harga yang diakibatkan oleh kenaikan harga petrol. Dinaikkan oleh kerajaan 41% pada bulan Jun yang lalu.

Ada Ahli-ahli Parlimen yang memperlekehkan perkara ini. Kenapa mengambil contoh sepinggan nasi tetapi itulah falsafahnya. Siapa yang menjadi ahli ekonomi, siapa pun yang melahirkan dirinya dengan bidang ekonomi, sudah pasti kemahiran dalam bidang itu akhirnya yang golongan sasar yang mesti mendapat nikmat daripada kepakaran ataupun kepandaian itu adalah golongan rakyat yang seharusnya mendapat kekayaan, agihan sumber dalam sesebuah negara itu. Bagi saya falsafah sepinggan nasi inilah yang menjadi public outcry yang ada pada hari ini.

Rakyat yang hari ini yang rata-rata yang terkesan dengan harga barang. Keperluan, kewajaran untuk kita meminta supaya bajet ini ditangguhkan sehari dua untuk dimasukkan dengan fakta-fakta yang baru itulah suatu pandangan kita, yang mesti diambil kira oleh pihak kerajaan. Saya cukup kesal sampai ke hari ini Menteri Kewangan baru, Menteri Kewangan Kedua, hatta Timbalan Menteri Kewangan pun masih tidak hadir di dalam Parlimen untuk datang dan mendengar sesi perbahasan bajet ini.

Bagi saya Tuan Yang di-Pertua, perkara inilah yang menjadi asas. Kalau rakyat esok ingin melihat atau ingin memastikan kehidupan mereka yang lebih baik, maka kita seharusnya lebih bertanggungjawab. Datang ke mari untuk mendengar, menganalisis, mengambil yang terbaik supaya apa yang kita hujahkan pada hari ini akhirnya dengan izin at the end of the day rakyat will benefit. Rakyatlah yang akan mendapat manfaatnya daripada apa yang kita bincangkan pada hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua yang ingin saya sebut pada hari ini ialah berkaitan dengan integriti badan-badan penguatkuasaan yang cukup penting. Sekali lagi kita menyaksikan sistem kehakiman dalam negara kita ini masuk satu lagi episod iaitu dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru.

Saya telah masukkan usul, saya telah mengemukakan dan minta pandangan pada pagi tadi. Saya telah dimaklumkan tentang Peraturan Mesyuarat 18(7), Peraturan Mesyuarat 36(6) dan juga dihujahkan tentang Perkara 127 dalam Perlembagaan Negara. Saya tidak akan menyentuh tentang hal itu kerana itu telah pun diputuskan.

Apa yang saya mahu berhujah pada ketika ini Tuan Yang di-Pertua adalah tentang aturan dan prosedur supaya ini boleh kita bincangkan dan pandangan ini dapat diambil kira untuk kita memastikan bahawa negara kita pada hari ini dan pada masa yang akan datang akan memiliki sebuah sistem kehakiman yang akan mengembalikan zaman keagungannya.

Kita semua maklum sebelum daripada ini setidak-tidaknya negara boleh berbangga dengan nama-nama seperti Yang Mulia Raja Azlan Shah, Yang Arif Tun Salleh Abas, Yang Arif Hakim George Seah, Yang Arif Hakim Tun Sufian, legacy yang mereka tinggalkan sehingga ahli-ahli perundangan menamakan mereka ini sebagai legal giant. Mereka yang telah mengharumkan negara dengan kewibawaan mereka dan integriti mereka.

Maka pada hari ini saya bangun sekali lagi untuk mungkin bertanya kepada menteri yang berkenaan dan pada kerajaan sendiri, bagaimanakah cara yang kita boleh berkongsi pandangan supaya pelantikan hakim-hakim ini sama ada pelantikan hakim di Mahkamah Tinggi, mahkamah rayuan, mahkamah persekutuan dan ketua hakim itu sendiri cara dan bagaimana dan prosedur itu akan dilihat, akan melahirkan, membuahkan dan kita akan mempunyai barisan para-para hakim yang akan mengembalikan zaman keagungan yang pernah kita kecapi suatu masa dahulu.

Tuan Yang di-Pertua, dalam semakan saya di Amerika sebagai contoh dalam sejarah dan peradaban mereka yang panjang, begitu juga di United Kingdom sebagai contoh, di Amerika sebagai contoh. Presiden akan menamakan beberapa calon sebagai contohnya Ketua Hakim Negaranya dan Senate akan berperanan untuk screen nama-nama hakim-hakim ini. Kemudian mencadangkan nama-nama itu kembali kepada Presiden dan Presiden akhirnya melantik seorang hakim ataupun hakim-hakim dalam mahkamah-mahkamah penting mereka setelah Senate dengan segala wibawa, dengan segala kebebasan, dengan integriti yang mereka miliki bila mereka scan ini.

Tuan Yang di-Pertua, kalau kita hendak syarahkan dengan begitu panjang lebar, kes peribadinya, perniagaannya, moralnya, segala-galanya akan di screen oleh Senate. Maknanya, nama-nama yang melepasi proses skrin ini bagi rakyat Amerika setelah Presiden lantik mereka ini sebagai hakim-hakim adalah satu nama barisan nama-nama yang tidak lagi boleh dipertikaikan oleh rakyat. Begitu juga di United Kingdom sebagai contoh, pelantikan ini diserahkan satu badan atau satu panel yang ditubuhkan oleh Parlimen yang begitu berintegriti.

House of Commons tidak boleh kita nafikan dari segi integritinya, satu Parlimen yang telah menjalani satu proses yang begitu panjang ratusan tahun. Kita melihat tentang bagaimana mereka cukup berintegriti termasuklah di dalam pelantikan hakim-hakim dalam negara mereka.

Maka dengan ini Tuan Yang di-Pertua, saya suka untuk mencadangkan sebab kita tidak lagi mahu selepas daripada ini ada lagi nama-nama hakim yang boleh dipertikaikan. Tuan Yang di-Pertua, sama ada perbahasan dalam Parlimen ini ataupun di luar Parlimen, sampai bila kerajaan atas nama sifatnya kerajaan akan menghalang rakyat untuk bercakap tentang perilaku dan tingkah laku para hakim.

Sebagai masyarakat yang bertamadun yang mahu negara ini maju ke hadapan yang bercakap tentang integriti, sampai bila rakyat dan kita sebagai Ahli Parlimen akan dikekang dengan Perkara 36(8). Ataupun kita menggunakan Perkara 127 dalam Perlembagaan Negara untuk tidak boleh langsung menyentuh tentang wibawa, tentang sifat para-para hakim ini.

Sekiranya mereka melakukan satu perkara yang sangat dipertikaikan, kesan daripada perbuatan mereka itu akan menjadikan negara ini dan rakyat negara ini sebagai mangsa kepada ketidakadilan dan sikap perbuatan yang mencemarkan. Bukan sekadar integriti kehakiman itu tetapi melibatkan nama dan maruah negara berada dalam keadaan yang sangat mendukacitakan. Sampai bila?

Tidak boleh langsung bincang, kalau bincang akan mengalami proses tangkapan ISA, Akta Hasutan. Sampai bila kalau kita yang ada pada hari ini tidak menyelesaikan perkara ini? Bila lahir isu video yang dibangkitkan, saya rasa hampir satu dekad dalam Parlimen ini, satu dekad masyarakat di luar sana membahaskan tentang isu video ini.

Akhirnya video ini lahir. Akhirnya kerajaan terpaksa menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja yang kami di dalam sesi yang lepas berhempas pulas yang pada waktu itu Yang Berhormat Ipoh Timur sebagai Ketua Pembangkang untuk menubuhkan satu suruhanjaya.

Sebelum daripada ini lahirlah satu sindrom biasa, denial syndrome. “Oh tidak. Tidak mungkin ini
berlaku. Itu fitnah dan seumpamanya”. Akan tetapi bila ditubuhkan Suruhanjaya Diraja satu suruhanjaya untuk menyiasat perkara ini maka lahirlah dan kerajaan terpaksa mengakui.

Akhirnya beri pampasan balik kepada hakim-hakim yang tidak berdosa dan seumpamanya. Bagi saya apa yang penting ialah bagaimana kita yang ada pada hari ini bertanggungjawab ke atas perkara ini. Sampai bila kita mahu menggunakan kekebalan akta-akta yang ada tidak boleh bincang, tidak boleh sentuh dan seumpamanya. Kalau ada hakim yang bercuti ke luar Negara dengan pelanggan, kes Air Molek, kes-kes yang melibatkan bagaimana sejarah Negara dimalukan yang akhirnya kerajaan kena bayar balik.

Banyak mana wang kerajaan yang kena dihabiskan untuk bayar balik semua ini? Ia bukan masalah harga, ia bukan masalah wang ringgit tetapi masalah maruah dan integriti system kehakiman dalam negara kita.

Perdana Menteri di hari-hari terakhir beliau sebagai seorang Perdana Menteri, punya satu lagi iltizam iaitu sebelum dia meninggalkan jawatan Perdana Menteri, ingin membawa suatu pembaharuan ke atas dua perkara. Membanteras rasuah, membuka Suruhanjaya Rasuah dan keduanya hendak memulihkan sistem kehakiman dalam negara kita.

Itulah janji beliau pada hari pertama beliau duduk di dalam Kabinet, menjadi pengerusi Kabinet, ketua Kabinet. Tahun 2004 berlalu, dan sudah tinggal menunggu bulan Mac tahun hadapan, hendak melaksanakan perkara ini. Boleh dilaksanakan atau tidak? Itu masalahnya.

Rakyat menunggu dan rakyat masih menunggu tentang ingin melihat kembalinya integriti, kembalinya kewibawaan sistem kehakiman yang mungkin selepas ini rakyat tidak lagi mempertikaikannya.

Akan tetapi apabila terlantiknya Ketua Hakim yang baru, ia menimbulkan kembali masalah. Di mana prosedurnya dan saya membaca prosedur pelantikan hakim khususnya Ketua Hakim Negara. Perdana Menteri yang mencadangkan nama tersebut, Perdana Menteri yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atas nama tersebut, dan bagaimana Perdana Menteri itu dinasihati, siapa yang menasihati beliau, adakah beliau kenal hakim-hakim yang ada, adakah beliau membaca rekod-rekod hakim yang ada? Ini persoalannya Tuan Yang di-Pertua.

Maka saya mencadangkan demi kebaikan negara, perlu ditubuhkan satu Panel Pelantikan Hakim. Ini telah kita bincangkan, kita hujahkan berdekat yang lalu supaya sistem dan prosedur pelantikan itu biar jelas dan kalau di Amerika, presiden itu mencadangkan nama itu kepada Senat dan rakyat Amerika tidak mempertikaikan Senat atas integritinya tetapi hari ini, isu kepercayaan rakyat, isu kelunturan keyakinan rakyat kepada sistem ini semakin hari semakin luntur. Bukan semakin hari semakin membina, semakin subur. Makin kuat berjanji, lain yang dicakapkan, lain jadinya.

Kita tanya kepada warga mahkamah yang ada pada hari ini, tanya rakan-rakan kita dalam Bar Council yang ada pada hari ini, pengamal undang-undang yang ada pada hari ini, apa perasaan mereka, apa perception mereka tentang isu yang saya bawa ini. Oleh itu, kita mesti berani untuk membuat satu anjakan. Sampai bila?

Saya mencadangkan satu panel yang mungkin boleh dibarisi oleh mereka yang arif, yang berwibawa, yang berintegriti, merekalah yang menamakan, siapakah yang bakal menjadi Ketua Hakim Negara, siapakah yang boleh menduduki kerusi Presiden Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi. Setelah panel ini….

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Penjelasan sedikit sahaja. Sungguhpun Mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah sudah bersidang empat hari bermula hari Khamis dan mengikut laporan ada dibuat pelantikan Tan Sri Zaki sebagai Ketua Hakim tetapi sampai sekarang, belum ada apaapa pengumuman dibuat. Bukankah ini sangat aneh oleh kerana…, adakah ini menunjukkan bahawa pentadbiran atau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada kurang yakin untuk mempertahankan pelantikan ini. Kenapa sampai sekarang tidak ada satu pengumuman yang rasmi, apa keadaannya?

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih rakan saya Yang Berhormat Ipoh Timur. Ini menimbulkan satu lagi masalah, satu lagi pertikaian rakyat terhadap pelantikan ini. Mengapa tidak diumumkan segera. Oleh itu, apa yang berlaku pada hari ini ialah, adakah PM tidak tahu atau dia tidak sedar pelantikan ini ataupun beliau tidak sempat melihat itu semua, ataupun dia telah menyerahkan segala-gala kepada pengganti beliau….?

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Minta penjelasan. Sebenarnya beliau hari Jumaat ialah hari terakhir Tun Abdul Hamid bersara, apakah sekarang ada kekosongan, kita mahu tahu kan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tun Abdul Hamid bersara wajib pada 17 hari bulan, bersara wajib tidak boleh extend lagi. Ini satu post yang sangat penting. Post, satu jawatan yang paling penting antara yang terpenting dalam negara kita, dan saya difahamkan ada Yang Arif Hakim Sallahuddin yang saya rasa kalau rakan-rakan warga mahkamah, warga perundangan, saya rasa tidak mempunyai masalah tetapi itu satu keputusan yang saya rasa telah diputuskan, yang saya tidak mahu menyentuhnya lagi Tuan Yang di-Pertua.

Oleh itu, saya mencadangkan kita mahu sebagai suatu perkongsian idea, suatu pandangan demi kebaikan kita bersama, satu Panel Pelantikan Hakim ditubuhkan….
Tuan Yang di-Pertua: Lebih kurang 10 minit lagi Yang Berhormat.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Kemudian panel ini mestilah dianggotai oleh mereka yang betul-betul dan benar-benar mempunyai keupayaan, pengalaman, kepakaran dalam bidang perundangan dan kehakiman….
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: [Berdiri]

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Sekejap, saya habiskan tentang panel. Sedikit dan selepas itu saya bagi Yang Berhormat Batu Pahat.

Mereka boleh menamakan, dan saya rasa telah sampai masanya negara, rakyat dan Parlimen sendiri boleh memberikan suatu kepercayaan penuh kepada panel ini. Panel ini akan insya-Allah, menamakan nama-nama hakim ini, sama ada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan seumpamanya kepada menteri dan prosedurnya, Perdana Menteri akan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk melantik hakim-hakim yang saya maksudkan tadi.

Ini cara di antara cara yang boleh kita cadangkan berbanding dengan apa yang ada pada hari ini yang hanya kuasa Perdana Menteri yang mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Sila Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Kubang Kerian, saya mengamati apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian iaitu soal kebebasan hakim dan cadangan daripada Yang Berhormat Kubang Kerian soal untuk mewujudkan satu panel untuk melantik hakim ini tetapi saya yakin bahawa kerajaan adalah komited sebenarnya terhadap usaha untuk memperbaiki sistem kehakiman di negara kita ini.

Sebab itulah, tunggulah. Maksudnya kerajaan sudah pun umumkan akan bawa satu undang-undang untuk mewujudkan Suruhanjaya Kehakiman ini dan ini adalah komitmen yang telah pun dinyatakan dan termasuklah soal suruhanjaya tentang BPR yang juga akan dibentangkan, termasuklah yang disebutkan baru-baru ini iaitu Suruhanjaya Aduan Khas. Jadi kenapa maksudnya, kita tidak boleh sabar menunggu dalam perkara ini.

Sebab itu apabila disebut tentang bebas tidak bebas ini, itu yang menjadi masalah bahawa kita banyak perkara yang berbangkit, apabila terkena pada diri kita, kita tidak hendak terima. Kita kata tidak bebas dan sebagainya. Jadi sebab itulah kadang-kadang, kita sendiri bersikap tidak adil dan saya selalu melihat pembangkang membangkitkan perkara-perkara, pertuduhan-pertuduhan hanya berasaskan kepada laporan yang dipetik daripada internet dan hari ini kita tahu MalaysiaKini membuat satu cerita yang bukan-bukan sehingga ada orang yang terpaksa meletak jawatan kerana integriti itu.

Ini satu contoh, sebab itu lain kali janganlah berhujah pertuduhan. Selalu sangat bangkitkan soal Altantuya, hanya berasaskan kepada cerita-cerita andaian seolah-olah bahawa apa yang disebut oleh kebebasan yang dibangkit oleh pembangkang in menjadikan Raja Petra sebagai benchmark. Ini saya rasa tidak betul.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Bukan masalah kita tak sabar, kita letih, we are tired. Sejak 2004 Tuan Yang di-Pertua,…
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Balik Pulau, sikit saja penjelasan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: … Saya habiskan sikit lagi. Saya menjawab dulu. Tahun 2004, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada waktu itu mendapat majoriti 9/10 majoriti dalam Parlimen ini. Menjanjikan tentang IPCMC, menjanjikan memerangi rasuah sampai ke akar umbi. Sekarang tinggal 5 hingga 6 bulan. Ini persoalannya dan jangan kata kita hanya berasaskan sekadar pada persepsi tentang kehakiman ini.

Tuan Yang di-Pertua, zaman yang mulia Tuan Azlan Shah, zaman Tun Salleh Abas, zaman Tun Suffian. Saya rasa melalui pembacaan kita dalam jurnal-jurnal undang-undang dalam negeri yang diterbitkan di luar negara, saya rasa hampir tidak ada pertikaian tentang apa yang dikatakan suatu kecacatan dalam sistem kehakiman dalam negara kita tapi hari ini hakim bercuti luar negara, ini bukan perkara yang saya bawa sebagai cerita tepi jalan.

Diperakui oleh suruhanjaya yang menyiasat isu video Linggam dan seumpamanya. Ini yang kita perjuangkan, bukan andaian dan seumpamanya. Tentang Altantuya itu, yang empunya dirilah yang kena bersihkan nama. Saya pun tak sebut benda itu dalam Parlimen ini. Itu sendirilah mahu ingat. Sila Yang Berhormat Balik Pulau.

Tuan Yang di-Pertua: Tak ada injury time ya Yang Berhormat.
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Ya sedikit saja Yang Berhormat Kubang Kerian. Tadi kerana teman saya dari Batu Pahat menggunakan perkataan kerajaan komited, komited. Saya orang muda, saya tak sabar. Terus-terang saya cakap kat sini sebab saya juga terlibat dalam kes Suruhanjaya Kehakiman kerana pelbagai recommendation telah dibuat tapi sehingga hari ini satu pendakwaan pun tidak dapat dilihat dan duit pembayar cukai pun telah habis banyak di dalam suruhanjaya pada tempoh hari tetapi hasilnya tak ada tetapi yang digunakan komited. Jadi saya tak faham, mungkin Yang Berhormat Kubang Kerian boleh jelaskan kepada saya apa maksud komited ini. Saya tak faham.

Seorang ahli: Kemetot, kemetot.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ya lah, nanti bila buat cepat sangat macam DNA marah pula. Kata tak bincang dengan orang, tak tanya dengan orang dan sebagainya…[Ketawa]
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Kemetot, bukan komited.
Tuan Yang di-Pertua: Tak usahlah berdialog Yang Berhormat. Sila, sila teruskanlah. Ada tiga minit setengah lagi.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, ya saya faham. Maknanya kita mesti komited, walk the talk. Perdana Menteri saya harap, he say what he means, he means what he say. Ini yang kita mahu suatu jawapan, suatu pembuktian. Bukan kita menunggu dengan begitu lama, bukan kita membiarkan suatu perjalanan masa yang begitu panjang dan jauh yang kita mahu melihat kembalinya apa yang saya sebutkan tadi ialah kembalinya satu sistem kehakiman yang semua rakyat akan mendapat manfaatnya nanti yang insya-Allah saya rasa itulah ucapan yang saya nak sampaikan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

RUJUKAN: 21 Oktober 2008

Tinggalkan komen