Ucapan YB Ustaz Nasir Zakaria (PAS Padang Terap) membahaskan Bajet 2009

Sesi Ucapan Perbahasan Bajet 2009

Ustaz Mohd Nasir Zakaria, MP PAS Padang Terap

Ustaz Mohd Nasir Zakaria, MP PAS Padang Terap

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Dewan, seterusnya yang hadir pada malam ini. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan bajet bagi 2009.

Saya mempunyai beberapa isu yang hendak dibangkitkan di dalam Dewan pada malam ini. Berkaitan juga beberapa isu yang berkait rapat dengan salah satu daripada fokus utama di dalam pembentangan bajet yang telah dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Isu yang pertama yang saya hendak sebut ialah yang berkaitan dengan pendidikan iaitu sebanyak RM47.7 bilion berdasarkan kepada peruntukan ataupun bajet yang disediakan adalah dikhususkan untuk pendidikan dan juga latihan. RM14 bilion adalah diperuntukkan untuk Kementerian Pengajian Tinggi. Prasarana asas yang kita lihat pada hari ini berkaitan dengan mahasiswa yang mereka ini diberi bantuan baik daripada jabatan ataupun daripada JPA atau mereka yang mendapat pinjaman daripada agensi seumpama PTPTN.

Kita melihat bagaimana dalam jawapan yang diberikan dalam Parlimen sebelum daripada ini dalam tahun 2007, bagaimana mahasiswa yang berada di peringkat diploma mereka ini sebelumnya dapat RM5,000 lebih kurang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma mendapat tambahan sehingga RM8,000. Itu di peringkat diploma.

Manakala bagi yang berada di peringkat ijazah dasar, mereka ini akan ditingkatkan pinjaman daripada RM20,000 sepanjang tempoh pengajian kepada RM30,000.

Baiklah, kalau kita lihat daripada jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri tahun lepas, peruntukan yang diterima oleh pusat serenti ataupun oleh pelatih di pusat serenti pun lebih banyak daripada yang diperoleh mahasiswa di peringkat universiti. Kalau kita lihat perbelanjaan bagi setiap pelatih per hari ataupun mengikut harian, mereka dapat lebih kurang satu hari RM20.

Kalau kita lihat kepada apa yang diperolehi oleh mahasiswa dengan RM20 yang diperoleh oleh pelatih di pusat serenti yang kalau RM20, 30 hari mereka dapat lebih kurang sebulan RM600. Kalau mereka berada di pusat serenti selama tiga tahun, jumlah yang mereka akan dapat lebih kurang RM20,000.

Kalau kita tengok mahasiswa yang berada di peringkat diploma, mereka hanya dapat lebih kurang RM8,000 sahaja. Ini satu benda yang begitu menyedihkan kita. Sehingga satu kajian yang dibuat oleh satu persatuan mahasiswa yang mana kalau dibandingkan dengan pendapatan per kapita penduduk dalam negara kita sendiri pun seolah-olahnya mahasiswa ini berada di bawah paras kemiskinan. Jadi kita kasihan kepada mereka. Kita hendak lahirkan pada masa yang sama, modal insan yang baik tetapi mereka akhirnya terpaksa bekerja pada waktu malam untuk mencari lebihan untuk meneruskan pengajian mereka.

Dalam peluang ucapan perbahasan ini, saya juga hendak menyebut, Tuan Yang di-Pertua, tentang amalan demokrasi yang berlaku ataupun yang berlangsung di kampus-kampus. Selaras dengan peruntukan yang ada di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti, universiti mesti mengadakan pemilihan untuk Majlis Perwakilan Mahasiswa. Masalah yang berlaku ialah seperti mana yang berlaku kepada kita rakyat Malaysia yang berada luar daripada menara gading, tarikh pilihan raya kampus juga masih menjadi rahsia, tidak diumumkan.

Kalau dahulu pihak kementerian mengumumkan pilihan raya kampus ini akan dibuat serentak di semua kampus, tetapi sekarang ada pilihan raya yang berlaku pada hari ini ataupun 21 Oktober hari ini, ada kampus yang melanjutkan ataupun yang dikatakan akan mengadakan pilihan raya pada bulan Januari 2009, malah dalam tempoh itu ada pula caretaker government…, seolah-olahnya begitu, ada pula bila mereka sudah habis tempoh mereka memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa, ada pula orang yang mengisi jawatan sehinggalah berlaku pilihan raya pada bulan Januari.

Ini satu perkara yang pelik yang berlaku dalam kampus pada hari ini. Kita diajar ataupun mahasiswa diajar supaya mengenal, mendapat pendedahan awal tentang sistem demokrasi. Mereka diberi peluang untuk mengasah bakat kepimpinan, tetapi pada masa yang sama mereka masih dikongkong dengan peraturan-peraturan yang tidak begitu mesra mahasiswa seperti mana yang diperkenalkan oleh HEP khususnya.

Begitu juga kita melihat bagaimana berlaku di dalam kampus seolah-olah mahasiswa terpaksa berlawan dengan pihak Hal Ehwal Pelajar. Kita melihat bagaimana ada Hal Ehwal Pelajar yang taja calon, ugut macam-macam kepada mahasiswa termasuklah buang kolej sekiranya tidak memberi undi kepada calon-calon yang ditaja oleh HEP. Ini satu perkara yang amat malang dalam satu masa kita hendak mempromosi demokrasi yang lebih adil, lebih saksama, tetapi kita lihat seolah-olah ada ugutan di dalam kampus, tempat penyuburan ataupun tempat mereka mempelajari tentang teori demokrasi itu sendiri.

Satu isu yang berbangkit juga yang menimbulkan perbincangan hangat di kalangan mahasiswa dan juga kawan-kawan yang begitu prihatin terhadap demokrasi ialah e-voting, iaitu bagaimana pembuangan undi yang dilakukan secara online. Ini diwujudkan dalam pilihan raya sebelum ini di kampus seumpama di UPM, UIA dan juga UPSI, tetapi pada masa yang sama sistem e-voting ini mendapat kawalan penuh daripada TNC dan juga HEP. Jadi sudah tentulah kita melihat bagaimana isu kebebasan timbul sekali lagi.

Tuan Yang di-Pertua, dalam rangka kita melahirkan modal-modal insan terbaik dalam negara kita. Saya juga nak menimbulkan di dalam Dewan yang mulia ini, bagaimana isu yang berkaitan dengan kualiti bangunan ataupun kualiti persekitaran yang ada dalam universiti itu sendiri. Saya sempat pada tengah hari tadi melawat Universiti Malaya, Universiti Malaya tempat saya graduasi. Bagaimana saya mendapat laporan bahawa terdapat tanah runtuh di Universiti Malaya, bukan kali pertama, sudah berkali-kali sebelum ini di kolej 10, sebelum ini di asasi.

Pada hari ini berlaku tanah runtuh pula di Akademi Pengajian Islam, di bangunan Akademi Pengajian Islam, sehingga telah merosakkan sebahagian daripada bangunan pentadbiran Akademi Pengajian Islam yang melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit. Ini satu isu yang cukup besar, yang mesti kita lihat terutamanya pihak-pihak yang terbabit dalam menguruskan ataupun yang berurusan terus dengan pihak universiti.

Bagaimana blok D Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang menempatkan perpustakaan, blok pentadbiran yang terdiri daripada pejabat pengarah, pejabat ijazah tinggi, ijazah dasar dan pejabat pembangunan dan juga penyelidikan termasuk di sudut pejabat-pejabat bagi timbalan-timbalan pengarah yang kita lihat 20 Oktober, berlaku kelmarin sahaja, kita melihat hampir runtuh. Perpustakaan rosak, yang ada dalam perpustakaan itu, ribuan buku-buku, kitab-kitab, tesis-tesis, jurnal-jurnal yang terbenam di dalam tanah.

Maka kita nak pertikaikan bagaimana kualiti, walaupun telah mungkin sebelum ini sudah mendapat perakuan keselamatan dan sebagainya. Maka kita minta supaya Kementerian Pengajian Tinggi mengambil berat isu ini.

Kita minta supaya pihak-pihak yang berkenaan boleh memberikan peruntukan kecemasan kepada pihak universiti terutamanya Universiti Malaya untuk memulihkan apa yang berlaku pada hari ini, yang mana sebelum daripada ini ada pihak yang menganggarkan kerugian lebih kurang RM10 juta.

Jadi tempat atau yang kita panggil perpustakaan yang menempatkan puluhan computer dan juga tesis akademik musnah. Dan pada masa yang sama di sebelah blok C, kita lihat ada lagi bangunan yang berada dalam keadaan yang hampir sama dengan bukit yang berada di belakangnya, hampir sama kedudukannya yang mungkin boleh runtuh bila-bila masa. Ini isu yang sangat besar yang perlu diberi perhatian. Kalaulah ia berlaku pada waktu malam ketika pelajar-pelajar ataupun mahasiswa sedang study, bagaimana dengan keselamatan mereka?

Nasib baik berlaku waktu malam, tidak ada orang, kalau ada orang, kalau ada timbalan pengarah, kalau ada Pengarah Akademi Islam, berapa banyak jiwa yang terbaik yang terkorban – mungkin. Yang sedang berada di dalam perpustakaan sekiranya berlaku pada waktu siang ketika study week! Jadi Yang Berhormat-Yang Berhormat, Dewan yang mulia, kita harapkan satu tindakan yang serta-merta dan segera terhadap isu ini.

Kalau tengok isu ini berkaitan lama sebenarnya. Sebelum daripada ini dijanjikan kepada fakulti Islam, sebuah universiti yang dicadangkan di Bachok, Kelantan. Tiba-tiba peruntukannya diubah untuk membina Universiti Utara Malaysia. Kemudian peruntukan yang RM70 juta lebih kurang dikurangkan sehingga RM30 juta. Tinggal RM30 juta, buat pula bangunan yang cukup tidak selamat, cukup berisiko. Jadi ini satu isu yang cukup besar.

Perkara yang seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya juga prihatin terhadap ura-ura Universiti Malaya khususnya yang akan mengurangkan seperti mana yang disebut dalam akhbarakhbar, pengambilan mahasiswa yang terlibat di dalam akademi Islam khususnya ataupun terlibat di dalam ijazah dasar.

Kononnya mereka akan ambil lebih pelajar-pelajar di peringkat ijazah tinggi untuk menaikkan semula ranking ataupun kedudukan universiti di mata dunia. Saya juga mendengar khabar bahawa mahasiswa daripada pra Sabah dan juga Sarawak yang sebelum ini berada di dalam Nilam Puri, Kelantan iaitu salah satu daripada cawangan Universiti Malaya akan diambil oleh pihak USIM.

Jadi persoalannya ialah kita telah melihat bagaimana mahasiswa pra daripada akademi Islam yang berada di akademi Islam yang berasal daripada Sabah dan Sarawak yang sudah berada sekarang di jabatan masing-masing di Sabah, Sarawak yang memberi sumbangan yang begitu besar terhadap pembangunan umat Islam di Sabah, Sarawak yang sebelum ini bergraduasi dari Universiti Malaya. Tiba-tiba kita sudah tidak lihat lagi mereka dididik daripada Universiti Malaya.

Jadi saya minta supaya pihak Universiti Malaya ataupun pihak Kementerian Pengajian Tinggi akan mengambil berat juga isu ini, kerana pada masa yang sama kita promote satu program. Perdana Menteri telah melancarkan satu program yang bernama j-QAF. Iaitu Jawi, Quran dan Fardu Ain yang memerlukan ribuan tenaga untuk diisi, tetapi pada masa yang sama pengurangan berlaku kepada mahasiswa daripada aliran ini.

Tuan Yang di-Pertua, ketika dunia berdepan dengan krisis ekonomi, saya juga pada malam ini ingin mencadangkan ataupun menarik perhatian dari pihak Jabatan Perdana Menteri untuk memikirkan terutamanya di bawah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk memikirkan satu akta yang berkaitan dengan pajak gadai Islam yang kita lihat pada hari ini, yang kita panggil agensi-agensi atau pihak-pihak swasta yang memberikan pinjaman-pinjaman dengan riba dan sebagainya.

So, ini menarik perhatian Dewan pada malam ini. Satu sistem pajak gadai Islam wujud sebenarnya dalam negara kita tetapi tanpa satu akta, namanya mungkin Akta Pajak Gadai Islam atau sebagainya, ia tidak boleh berkembang dengan lebih luas.

Jadi pada malam ini saya ingin menyebut, bahawa pajak gadai Islam ataupun disebut sebagai Ar-Rahnu yang sebelum ini ataupun sekarang dilaksanakan melalui Bank Rakyat, melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia di bawah JPM yang berlandaskan syariah, tidak ada riba dan tidak ada manipulasi, tidak ada ketidaktentuan, ia cepat, murah, dijamin barang gadaiannya, upah simpan pula rendah, tempoh gadaian boleh disambung daripada mungkin enam bulan peringkat awal, tambah lagi dua bulan, tambah lagi dua bulan, perlu diberi perhatian yang lebih mendalam oleh pihak Jabatan Perdana Menteri.

Kerana dalam Al-Quran, Allah SWT menyebut, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] ini ayat Al-Quran yang menyebut, bahawa sekiranya seorang itu berada dalam keadaan musafir, sedangkan tidak ada jurutulis untuk menulis hutang, nak bagi hutang maka letak barang, maka dipegang oleh orang lain, kemudian orang itu akan memberi hutang. Maksudnya satu system gadaian dan malah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah gadai, Nabi miskin. Dia pernah menggadaikan baju besi kepada seorang Yahudi untuk mendapat pinjaman sebanyak lebih kurang 70 kilogram gandum, bahan makanan kerana dia miskin.

Maka ini menunjukkan, ketika Nabi SAW wafat pun, mati pun, baju besinya masih lagi berada dalam tanggungan hutang. Maksudnya miskinnya Nabi, walaupun seorang negarawan yang besar, yang hebat tetapi dia miskin, menunjukkan memberikan kepada kita satu penyelesaian kepada orang-orang yang miskin, orang-orang yang tidak ada apa-apa untuk mendapat sesuatu pembiayaan, ketika mana mereka berada dalam keadaan yang sangat susah.

Dalam satu kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Profesor Dato’ Hamdan Adnan, bekas Presiden FOMCA. Dia menyenaraikan beberapa elemen-elemen negatif, kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam pelaksanaan aktiviti pajak gadai konvensional yang ada pada hari ini, yang akhirnya mewujudkan along-along yang begitu ramai. Termasuklah nilai gadaian yang semakin merosot, ia tak sama.

Kalau gadaian Islam, pada 6 bulan yang pertama kalau tidak mampu hendak tebus, ditambah lagi 2 bulan. Sekiranya tidak mampu hendak tebus, tambah lagi 2 bulan, tak mampu hendak tebus pula, maka pihak kita dipanggil yang digadaikan itu, barang yang digadaikan itu dibuat lelongan. Lelongan itu bagi balik pula kepada si penggadai. Ini maksudnya, tetapi kalau kita tengok di dalam sistem konvensional yang diamalkan, kalau gadaian itu bernilai RM100 ke bawah tanpa perlu memberitahu kepada penggadai maka ia boleh dirampas.

Ini satu kelemahan, wang lebihan gadaian tidak dipulangkan, tiket gadaian susah dibaca dan difahami oleh orang-orang miskin kerana kebanyakan mereka ini tidak berpelajaran. Akhirnya apabila mereka menggadaikan barang, akhirnya mereka kena tipu. Kadar faedah yang cukup tinggi, berbanding dengan hanya upah sahaja dibenarkan ketika kita menggadai secara Islam. Pemegang pajak gadai tuntut pula wang pendahuluan.

Ini maksudnya suatu era baru perlu dirangka oleh Jabatan Perdana Menteri untuk kita melihat satu akta diperkenalkan. Saya cukup berharap kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri terutamanya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat cadangan ini secara lebih mendalam.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, kali yang kedua Yang Berhormat sebut nama ahli. Peringatkan Peraturan 36(5) melarang menyebut nama ahli Yang Berhormat. Ya, sebutkan nama tempat ataupun kementerian dia. Terima kasih Yang Berhormat.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Minta maaf Tuan Yang di-Pertua, terima kasih banyak. Saya menarik perhatian daripada Yang Berhormat Bagan Datok iaitu menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk melihat cadangan ini secara lebih mendalam.

Tuan Yang di-Pertua, perkara terakhir yang ingin disebut ialah masalah yang berlaku di Parlimen Padang Terap. Hari ini lebih kurang 50 ataupun 60 keluarga dipindahkan akibat banjir, airnya akan mengalir ke Kota Star, akan mengalir ke tempat yang lebih rendah. Masalah yang berlaku ialah bagaimana kita meminta jasa baik agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti JKR, JPS untuk melihat satu pendekatan ataupun satu penyelesaian kepada masalah yang berlaku terutamanya mungkin boleh mendalamkan sungai-sungai seumpama Sungai Padang Terap, Sungai Padang Sanai dan juga Sungai Tekai yang air ini mengalirkan air daripada Empangan Pedu ataupun Empangan Muda.

Saya juga mengambil kesempatan dalam perbahasan ini untuk menarik perhatian Kementerian Dalam Negeri sekali lagi untuk mempertimbangkan, menaiktarafkan pondok polis iaitu terutamanya di Felda Lubok Merbau untuk menjadi balai polis.

Penduduknya sudah mencapai lebih kurang 10,000 ataupun 12,000 orang penduduk tetapi mereka hanya ada lebih kurang 3 anggota sahaja. Sudah tentulah mereka tidak mampu untuk mengawasi atau memantau jenayah-jenayah yang berlaku terutama apabila harga-harga komoditi seumpama getah yang begitu teruk.

Jadi, saya mengharapkan perbahasan saya ini mendapat perhatian daripada agensi-agensi yang berkaitan. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk berucap pada malam ini. Terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

RUJUKAN: 21 Oktober 2008

Tinggalkan komen