Ucapan Ir Khalid Abd. Samad (MP PAS Shah Alam) membahaskan Bajet 2009

Sesi Perbahasan Bajet 2009
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sepanjang pembentangan bajet oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan perbahasannya oleh wakil-wakil Barisan Nasional selama beberapa hari yang lepas saya telah mengikutinya dengan begitu teliti, saya mengharapkan kedengaran pengakuan serta keinsafan ke atas kegagalan pentadbiran Barisan Nasional dalam mengurus kewangan negara Malaysia ini dengan baik.

Kegagalan yang semakin ketara tahun demi tahun apabila melihat negara kita ini ditinggalkan oleh negara-negara lain yang pada satu ketika dahulu setaraf dengannya seperti Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura, namun pengakuan dan keinsafan ini tidak langsung kedengaran dan sebaliknya didengari lagu dan retorik lama bahawa Kerajaan Barisan Nasional berjaya dan terus berjaya.

Sikap sebegini hanya menjanjikan dengan izin more of the same atau yang mendatang sama saja dengan yang telah lalu. Kerajaan Barisan Nasional seakan-akan dengan izin, oblivious atau tidak sedar sama sekali akan kegagalan mereka dan bagaimana disebabkan kepimpinan mereka yang lemah, corrupt dan penuh ketirisan dan kebocoran, potensi sebenar negara kita ini tidak kecapaian dan rakyat dilanda kesempitan kewangan dan jurang pendapatan yang semakin melebar.

Seperti mana yang diulangi beberapa kali dan diulangi sekali lagi dengan harapan ia nya akhirnya akan difahami dan diinsafi pendapatan rakyat Taiwan sudah meningkat hingga lima kali ganda pendapatan rakyat Malaysia. Pendapatan rakyat Singapura lebih tiga kali ganda pendapatan rakyat Malaysia sedangkan mereka tidak dikurniakan kekayaan semula jadi seperti mana di anugerahkan Allah kepada negara kita.

Namun berhadapan dengan kenyataan ini Kerajaan Barisan Nasional terus mendabik dada dan menyatakan Barisan Nasional berjaya, Barisan Nasional berjaya. Kegagalan negara kita mencapai prestasi seperti mana dicapai oleh negara-negara seperti yang disebutkan tadi sering dipersalahkan kepada pihak yang lain.

Hari itu Yang Berhormat Kinabatangan dan Bintulu menyalahkan Yang Berhormat Ipoh Timur dengan mengatakan bahawa Malaysia tidak berjaya seperti Taiwan, oleh kerana adanya pembangkang seperti Yang Berhormat Ipoh Timur, aneh wal ajaib semenjak bila pula prestasi negara ditentukan oleh pembangkang dan bukan oleh kerajaannya.

Penyusunan semula subsidi minyak dan tindakan sering kali juga dipersalahkan sistem hantarannya atau delivery systemnya dalam erti kata yang lain, pegawai-pegawai kerajaan yang tidak amanah dan tidak mengikut arahan pemimpin-pemimpin kerajaan kononnya, sedangkan kita semua tahu bahawa dedikasi pegawai mana-mana kerajaan adalah mencerminkan kehebatan kepimpinan kerajaan itu sendiri.

Sekiranya, pegawai tidak cekap dan tidak menunjukkan prestasi yang baik, ianya kemungkinan besar adalah kerana pemimpin kerajaan adalah dengan izin mediocre. dan tidak mampu memimpin ke arah yang lebih baik. Mediocrity Kerajaan Barisan Nasional jelas terserlah dengan keengganan pihak Barisan Nasional untuk mengkaji semula bajet yang jelas meleset dan tidak tepat walaupun mereka sedar perlunya pengkajian semula ini. Sikap acuh tidak acuh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional adalah sebab utama…

Tuan Muhd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …Kegagalan Malaysia mencapai kecemerlangan walaupun dilaung-laungkan slogan “Cemerlang, Gemilang, terbilang” beratus ribu kali. Hakikatnya, kecemerlangan, kegemilangan, dan keterbilangan Barisan Nasional adalah hanya atas sifat mediocre dan sambil lewanya.

Tuan Muhd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Mencelah sedikit.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ada pula… Ya, sila Yang Berhormat Balik Pulau.
Tuan Muhd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Shah Alam, saya mohon penjelasan pada Yang Berhormat Shah Alam kerana saya dimaklumkan walaupun semua dunia sedar bahawa kita menghadapi kegawatan ekonomi yang paling teruk sejak the great depression. dengan izin tetapi dikatakan bahawa hanya dua orang terkecuali di dalam dunia ini.

Yang pertama iaitu Senator John McCain dan kedua Menteri Kewangan kerana keduaduanya percaya sehingga kini dengan izin the fundamentals of our economy is still strong. Saya mohon penjelasan.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau. Saya rasa, kenyataan-kenyataan politik yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan kita sudah pun dia contradict sendirilah dengan izin dengan mengaku bahawa akan dilakukan beberapa program-program yang baru. Lalu ini merupakan kata-kata yang manis, yang ingin menutup hakikat bahawa kita sedang berhadapan dengan suatu kemelut ekonomi dan satu bajet yang baru perlu disediakan.

Ada pula wakil rakyat Barisan Nasional yang menyalahkan rakyat. Ini lagi hebat, tadi menyalahkan Yang Berhormat Ipoh Timur, kemudian salahkan pegawai kerajaan, ada pula yang salahkan rakyat. Rakyat yang malas, tidak motivated dan oleh itu kita gagal. Maka, kegagalan Barisan Nasional adalah kegagalan semua pihak kecuali Barisan Nasional sendiri.

Persoalannya, apakah yang ingin dan mampu dilakukan oleh Barisan Nasional untuk mengatasi apa yang mereka katakan sebagai punca-punca kegagalan ini selain dari merungut dan menuding jari. Sekiranya mereka kebuntuan, tiada idea, macam mana ingin memotivasikan rakyat, masyarakat dan pegawai-pegawai kerajaan, maka saya sarankan dengan izin move over and let the Pakatan Rakyat take over. [Tepuk]

Kita tidak mahu mendengar alasan-alasan yang sama diulangi tahun demi tahun. Sambil Barisan Nasional sendiri tergamam dan mandul dengan izin completely important untuk membawa apa-apa perubahan.

Maka, bajet yang bersifat more of the same ini akan menghasilkan kesudahan yang sama iaitu semakin ketinggalan, semakin melebar perbezaan pendapatan dan semakin terbebannya rakyat biasa. Kemampuan berbelanja oleh rakyat jelata adalah antara faktor terpenting untuk menjana ekonomi negara yang sihat dan mampan.

Namun, kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan kekangan ekonomi terhadap rakyat jelata yang berlaku hasil dari dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional yang tidak mesara
rakyat.

Penyusunan semula subsidi minyak dan tindakan-tindakan yang tertentu yang diambil oleh Kerajaan Barisan Nasional kononnya bertujuan menangani dua krisis serentak yang dihadapi seluruh dunia dan juga Malaysia. Namun, ianya telah gagal dan sebaliknya berlaku inflasi. Inflasi naik ke tahap 8% lebih dan merupakan kadar yang tertinggi semenjak 26 tahun yang lalu.

Namun, Barisan Nasional tetap menganggap dirinya berjaya walaupun di peringkat grass root rakyat merana dan mengharapkan perubahan.

Tuan Yang di-Pertua yang di muliakan. Bajet yang dibentangkan bertajuk “Kerajaan prihatin” tetapi tidak ada keprihatinan yang dizahirkan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Ingat sahaja ucapan Yang Berhormat Pasir Salak pada petang kelmarin apabila disebutkan kenaikan harga nasi sepinggan dari 60 sen ke RM1. Sekiranya harga nasi di kedai sudah mahal katanya, makan sahaja nasi di rumah. Derita rakyat yang terhasil dari dasar-dasar Barisan Nasional langsung tidak dipedulikannya.

Rakyat pandai-pandailah hadapi kesan buruk, dasar-dasar Barisan Nasional masalah rakyat, bukan masalah Barisan Nasional. Kalau minyak sudah mahal, maka naik sahajalah motosikal. Kalau tidak mampu, naik sahajalah basikal. Kalau tidak mampu, berjalan kaki sahajalah wahai rakyat Malaysia oi. Sambil itu pemimpin hidup mewah, makan angin ke Taiwan dengan bajet RM50,000 seorang. Ini mesej yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Bukti kedua ketidakprihatinan Barisan Nasional ialah soal harga minyak. Harga minyak masih tinggi berbanding Jun 2008 dan tidak hairan sekiranya kita sekarang ini sedang membeli minyak pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran sebenar. Saya ingat lagi bagaimana apabila harga minyak sebanyak USD140 setong, harga pasaran petrol dikatakan RM3 seliter.

Sekarang ini, apabila harga minyak mentah sudah turun ke bawah USD70 setong, adalah tidak mustahil bahawa harga minyak di pam sepatutnya kurang dari RM2 seliter. Sikap sambil lewa kerajaan terhadap persoalan harga minyak adalah bukti nyata bahawa kerajaan tidak prihatin kepada kesusahan rakyat biasa sedangkan…

Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Rakyat terpaksa menanggung kos ini setiap saat kehidupan mereka. Ya, silakan
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Ya, terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Tuan Yang di-Pertua, soal prihatin bajet in pada rakyat. Dua hari semalam Menteri Kewangan yang baru telah membuat kenyataan yang jelas mengatakan RM18 bilion wang dijangka dihantar oleh pekerja asing yang berada di negara kita pulang ke negara mereka pada tahun ini.

Ini bermakna bajet yang kita dok bincang dan kita minta allocate ini juga prihatin kepada bukan warganegara kita dan yang paling penting saya tidak dengar cadangan yang dibawa oleh kerajaan untuk menyekat atau membendung penghantaran wang keluar. Oleh kerana itu, kerana prihatin ini, saya cadangkanlah kalau boleh kita minta cadang kepada kerajaan supaya wujudkan semula reholding tax yang telah dilupakan lima tahun yang lalu supaya perkara ini dapat disekat.

Mohon dimasukkan di dalam ucapan Yang Berhormat. Terima kasih.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: [Bangun]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, terima kasih Yang Berhormat Indera Mahkota, saya masukkan. Sila Yang Berhormat Rasah.

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat. Apabila kerajaan menaikkan harga minyak, kakanda kepada Yang Berhormat, yang mewakili kepada pihak kerajaan telah mengatakan bahawa kerajaan akan mengikut harga minyak di pasaran. Kerajaan akan memberi subsidi 30 sen kepada harga di dalam pasaran.

Sekiranya mengikut apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat tadi, katakan harga pasaran ialah RM2, sepatutnya harga runcit di pam kita ialah RM1.70 tetapi sekarang pembayar membayar RM2.20 seliter di pam kita. Maksudnya, kerajaan langsung tidak memberikan subsidi dan sekiranya tidak memberikan subsidi dan kerajaan membiarkan syarikatsyarikat minyak mengaut keuntungan yang lebih banyak, adakah ini patut? Saya tanya pandangan Yang Berhormat.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, terima kasih Yang Berhormat Rasah. Sebenarnya, saya ada ajukan soalan berhubung dengan mekanisme penentuan harga minyak tetapi jawapan yang diberi tidak seperti mana yang sepatutnya.

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Mutalib [Maran]: Yang Berhormat, boleh mencelah?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya rasa, saya kurang masa, biar saya habiskan dahulu.
Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Mutalib [Maran]: Berkaitan dengan minyak.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Lepas itu, saya… Ya?
Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Mutalib [Maran]: Berkaitan dengan minyak.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okey, ringkas sahaja ya?
Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Mutalib [Maran]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya minta pandangan, semasa pilihan raya dahulu. Manifesto PKR mengatakan bahawa kalau dia memerintah, di akan turunkan harga minyak. Saya hendak tanya di Selangor sahaja sekarang ini. Berapa banyak turun minyak di Selangor? Kalau semua turun di Selangor saya akan pergi. [Dewan riuh]

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Awat teruk sangat? Itu kuasa pusat. Awat teruk sangat? [Dewan riuh] Itu kuasa pusat. Ya Allah, itu pun tidak tahu. Macam manalah.

Tuan Amran bin Ab. Ghani [Tanah Merah]: Orang kata memerintah Malaysia!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tidak apa, tidak apa. Baiklah, baiklah. Saya mahu teruskan. Saya mahu teruskan, ya.

Tuan Amran bin Ab. Ghani [Tanah Merah]: Itu kuasa pusat, bukan kerajaan negeri.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Projek-projek mewah dengan pembangunan koridor-koridor pembangunan di selatan dan timur terus dipentingkan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Shah Alam, pohon penjelasan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kaedahnya adalah menyediakan infrastruktur untuk menarik pelabur asing. Kita telah melaksanakan kaedah yang seakan sama di Cyberjaya. Apakah kesudahannya? Adakah pelaburan yang dibuat telah mendatangkan hasil seperti yang dianggarkan? Berapa bilion yang telah dibelanjakan dan berapa pula pulangannya? Saya minta Yang Berhormat Menteri menjawab.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Shah Alam. Yang teman sebelah kiri itu kalau tidak mahu kasi laluan, beritahu dia supaya duduk.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sila duduk. Nanti saya sudah habiskan saya bagi. Insya-Allah, insya-Allah.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sikit saja, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okeylah, okeylah. Bagilah, bagilah. Tidak apalah, tidak apalah.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya sebenarnya sedang membaca bajet alternatif Pakatan Rakyat ini. Saya dah sampai muka surat enam iaitu berhubung tentang Human Capital Development dengan izin. Jadi kalau membaca setakat enam para ini tentang bajet alternatif mengenai dengan pembangunan modal insan dengan kenyataan-kenyataan yang terlalu umum, tidak pun ada satu strategi yang kukuh.

Jadi bagaimana saya hendak meyakini tentang bajet alternatif yang kata bahawa bajet yang dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional ini tidak kuat dan tidak kukuh sedangkan saya baca sini pun sebenarnya terlalu kabur.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okey, baik, baik. Okey, okey.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Bagaimana kita mahu mengatasi cabaran ekonomi global kalau ini pun strateginya yang terlalu umum.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okey, terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Saya ingat Yang Berhormat Batu Pahat buat usul. Kita khaskan satu hari di mana kita bentang bajet Pakatan Rakyat. [Tepuk]

Lepas itu kita boleh bincang habis-habisan. Insya-Allah ya. Lalu kita telah melaksanakan. Adakah pelaburan. Berapa bilion yang telah dibelanjakan dan berapa pula pulangannya. Adakah pelaburan berbentuk koridor ini jenis pelaburan yang terbaik dan paling berkesan dalam kita menghadapi apa yang dikatakan sebagai global economy down… Sejauh mana ia menjamin manfaat dan keuntungan kepada rakyat biasa? Adakah manfaat dan keuntungan rakyat biasa diambil kira atau hanya keuntungan dan manfaat golongan tertentu?

Dalam suasana ekonomi dunia yang sedia ada, kerajaan mesti lebih bertanggungjawab ke atas cara dan gaya wang negara digunakan. Kita tidak mampu dan tidak boleh membazirkannya dengan menjalankan projek-projek mewah yang tidak jelas pulangannya semata-mata demi menjaga kepentingan golongan tertentu.

Dalam suasana hari ini dengan izin, we cannot afford to spend levi… throwing all caution to the win seperti mana pernah Barisan Nasional lakukan sebelum daripada ini. Dulu sakit dan perit. Hari ini cemas dan parah. Mengapa tidak dibangunkan infra mengikut keperluan industri dan pelabur tempatan seperti mana yang disebutkan tadi oleh wakil daripada Sabah dan Sarawak.

Bagaimana mereka telah mencuba menanamkan hasil-hasil pertanian tetapi tidak ada jalan untuk mereka memasarkannya. Tidak ada jalan. Apa yang ditanam akhirnya makan sendirilah. Macam mana hendak janakan ekonomi pelabur tempatan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Shah Alam, laluan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sebaliknya PR mahu memulakan tradisi politik yang baru yang tidak mampu dan tidak mungkin dibawa oleh BN. Saya tidak ada masa, ya.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Bolehkah jawab sikit apa yang dibangkitkan tadi. Jawab sikit sajalah. Tidak akan jawab sikit pun tidak berani.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Apabila disebut mengenai kerajaan yang bersih dan bebas dari korupsi dan kronisme ada pula Ahli Parlimen Barisan Nasional menuding jari kepada Ketua Pembangkang yang baru dan mengatakan pada zaman beliau, Ketua Pembangkang mengamalkan kronisme juga.

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: [Bangun]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, mungkin benar tetapi itu dulu dan ia berlaku oleh kerana kesilapan beliau memilih Barisan Nasional sebagai rakan perjalanannya.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Shah Alam, bukankah lebih baik Yang Berhormat Shah Alam bentangkan bajet alternatif ini. Bentangkanlah bajet alternatif ini. Kita dengar, kita boleh lihat.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Perjalanan beliau mencabar dan penuh ranjau. Barisan Nasional bukan jenis rakan untuk perjalanan yang sebegini. Barisan Nasional merupakan rakan yang apabila berlakunya amalan kronisme tidak akan membantah tetapi sebaliknya bertanya untuk saya apa? Dasar USA. Dulu ISA, ikut suka aku. Ini USA. Untuk saya apa?

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Minta laluan.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Shah Alam, kenapa tidak berani bentangkan bajet sendiri. Bentangkanlah. Kita boleh bahas. Pertahankan bajet ini.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sebaliknya cuba lihat kepada rakan perjalanan. Buat usul, buat usul. Sebaliknya cuba lihat kepada rakan perjalanan beliau sekarang iaitu DAP yang begitu dikenali sebagai parti yang tegas dengan prinsip kebolehan, pertanggungjawaban dan ketelusan.

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Minta laluan Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: CAT iaitu competency, accountability and transparency. Mereka berjuang sehingga sanggup hidup sebagai pembangkang dengan segala cabarannya berpuluh tahun ditahan di bawah ISA, dicerca dan dicaci. [Tepuk]

Namun mereka tetap dengan pendirian mereka. Satu lagi rakannya yang kuat adalah PAS yang juga terkenal dengan ketegasannya berpegang kepada prinsip-prinsip keadilan Islam.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Pohon penjelasan. Yang Berhormat Shah Alam, penjelasan. Sah, Yang Berhormat Shah Alam memang sah tidak baca dia punya bajet alternatif sendiri. Memang tidak baca.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Yang Berhormat Shah Alam tidak beri laluan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Seperti DAP, PAS telah sanggup mengharungi kehidupan sebagai pembangkang. Dengan segala celaan dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya. Namun, PAS istiqamah walaupun pemimpin-pemimpinnya ditahan di bawah ISA, dipukul, diseksa dan ada yang dibunuh. [Tepuk]

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Minta laluan, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dengan rakan-rakan sebegini sekiranya ada kecenderungan ke arah melalukan kronisme, maka rakan-rakan ini tidak akan bertanya untuk saya apa, tetapi sebaliknya akan menasihatinya dan mengatakan jangan. Ini jenis rakan yang diperlukan.

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Mohon laluan, Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Bukit Gantang di belakang.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Allahuakbar. Okeylah.

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Satu soalan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Shah Alam. Saya mahu bertanya. Apakah kita boleh ubah nama sekarang ini. BN sebagai beban negara manakala PR ialah penyelamat rakyat. Minta komen. [Tepuk]

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Ketawa] Okey, terima kasih.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: PR. Penipu rakyat. Itu yang paling tepat.
Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: [Bangun]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Begitu juga dengan parti PKR yang ditubuhnya parti yang terbentuk melalui perjuangan dan pengorbanan. Perjuangan yang bagaikan api yang membersihkan kekotoran besi semasa dicairkan. Tidak mungkin pada kemuncak perjuangan ia akan mengkhianati amanah yang diperolehinya daripada rakyat. [Tepuk]

Inilah jenis rakan perjalanan yang ada sekarang. Yang rendam tidak basah, jemur tidak kering. Insya-Allah kekal dengan perjuangan. [Tepuk] Kami menyeru wakil rakyat-wakil rakyat Barisan Nasional termasuk Yang Berhormat Jerlun bersama kami.

Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Sikit saja. Yang Berhormat Shah Alam, sikit.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Gabungan Pakatan Rakyat yang gagah perkasa ini dalam usaha bersejarah ini mengasaskan budaya politik baru bagi negara kita supaya rakyat jelata akan melihat corak kepimpinan yang bersih dan telus yang memimpin ke arah kesejahteraan rakyat.

Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Mohon penjelasan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ada yang mengatakan tidak bermoral untuk berhijrah ke Pakatan Rakyat.
Tuan Yang di-Pertua: Tiga minit lagi, Yang Berhormat.
Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Mohon, mohon sikit.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Adakah tidak bermoral untuk menyertai usaha yang mulia ini? Sudah pasti ia lebih immoral untuk duduk bersama kerajaan yang korup dan tidak berwawasan ini. [Tepuk]

Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Sikit saja Yang Berhormat Shah Alam. Minta penjelasan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Minta maaf ya. Tidak ada masa. Ucapan Yang Berhormat Marang jelas menunjukkan dasar yang asas dan kukuh untuk membina budaya politik baru seperti yang diinginkan oleh Pakatan Rakyat. Negara mesti dibina atas paksi keadilan dan atas paksi ini sahajalah akan terbentuk perpaduan dan kesejahteraan yang diinginkan. Begitu juga beliau telah mengingatkan kita bahawa sistem kapitalisme barat menuju kehancuran.

Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Mohon penjelasan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ia menuju kehancuran kerana ia dibina atas kepentingan dan keinginan setiap individu untuk memiliki dan mengumpul kekayaan ataupun materialisme.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Jerlun merayu, Yang Berhormat

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tidak ada masa, ya. Di atas motivasi yang seperti ini…
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Pohon laluan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …maka kerangka sistem ekonomi kapitalisme ini telah dibina dan amalan riba melalui mana duit dan menghasilkan duit tanpa semestinya menghasilkan apa-apa manfaat menjadi bagaikan tulang belakang sistem ekonomi ini.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Pahat tidak puas hati.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Minta maaf. Tidak ada masa, tidak ada masa.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab dulu dia selalu ganggu kami, Tuan Yang di-Pertua. Kita bagi laluan.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Akhirnya riba ini menghancurkan pertumbuhan ekonomi dan melalui masalah yang dikenali sebagai masalah yang dikenali sebagai masalah supreme yang pada dasarnya disebabkan peminjam tidak lagi mampu membayar hutangnya yang telah bertambah berlipat kali ganda. Sistem ekonomi yang adil mesti dibina di atas konsep manusia yang adil.

Bukan sebagai haiwan ekonomi yang ingin memuaskan nafsunya saja. Sebaliknya manusia mesti dilihat sebagai makhluk yang mulia sebagai khalifah Tuhan yang bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Inilah di antara tuntutan yang disebut oleh Yang Berhormat Kuala Selangor melalui istilah ‘yastag’maru’ atau memakmurkan dan ‘yastaglifu’ atau mentadbir dan mengurus sebagai wakil serta alfalah ataupun kejayaan.

Kesemua ini memperlihatkan kebaikan dan keuntungan untuk semua manusia dan pelaksanaan konsep ini yang akan menuntut diwujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus. Kebersihan dan ketulusan ini akan menghasilkan kesan yang positif di mana ketirisan dan kebocoran itu dapat dihapuskan. Hasil dari ini adalah ekonomi yang lebih produktif di mana dengan revenue yang sama, kita akan mampu mendatangkan hasil yang lebih bermakna Insya-Allah. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Gulung, Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Cukup?
Tuan Yang di-Pertua: Sila gulung.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Gulung? [Ketawa] Allah, mahu gulung pula.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Biar saya tolong gulungkan. [Ketawa]

Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Minta penjelasan. Tadi banyak masa itu bolehlah beri laluan sikit.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Maka Tuan Yang di-Pertua…
Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Duduk, Yang Berhormat Batu Pahat. Ganggu saja.
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Dia hendak gulung tikar tu.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya merasakan bahawa kita sebenarnya berada di persimpangan jalan.
Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Bagilah.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Pilihan yang perlu dilakukan oleh semua ahli Dewan, bukan sekadar ahli-ahli daripada Pakatan Rakyat tetapi semua ahli Dewan. Nombor satu ialah untuk mengakui kegagalan yang telah berlaku, yang lepas.

Selama 50 tahun, apa yang kita telah lihat kita boleh hujah bermacam-macam-macam hujah. Hakikatnya the bottom line, the final result adalah kita ketinggalan bila mahu banding dengan Taiwan, bila hendak banding dengan South Korea, hendak banding dengan Hong Kong dan hendak banding Singapura.

Maka Barisan Nasional tidak insaf dan tidak sedar. Kita perlukan satu perubahan dan satu kerajaan yang mempunyai wawasan dan dasar yang baru. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

RUJUKAN: 23 Oktober 2008

Satu Respons

  1. […] *Transkrip penuh ucapan boleh didapati di laman web MPPAS […]

Tinggalkan komen